Denting - 0102

Berbicara Bahasa Tuhan
(Bab 1 - Bahagian 2/3)

Aku bergegas turun dari tingkat 4. Tiada lif, hanya tangga usang penuh lumut. Ini saja yang aku mampu sejak enam bulan aku merantau ke Kuala Lumpur. Bukan tangganya, tetapi terataknya. Aku menyewa bilik kecil di pangsapuri DBKL tak jauh dari stesen keretapi aliran ringan.

Tangga yang usang dan berlumut itu tidak hanya dihuni makhluk pengurai, malahan diletakkan juga barang-barang buangan penghuni pangsapuri ini. Kotak-kotak berisi barang-barang terpakai, surat khabar lama serta basikal kanak-kanak yang sudah rosak. Memang menyesakkan laluan. Berhimpit juga untuk sampai ke lantai bumi. Apa daya, pangsapuri ini sudah puluhan tahun usianya. Tua dan layak usang.

Talian bersambung, nada berdering.

Aku menyambut panggilan pertama pagi itu. Handset murah Nokia 3310 ku tala ke telinga sambil langkahku menderap lekas menuju ke bawah.

"Ekau naik tren ko hari ni?" tanya satu suara garau, nafasnya mengah sekali.

"Habis tu nak naik apa? Naik kuda?" balas aku, geram dengan soalan bodoh.

"Memang banganglah ekau kalau naik kuda kat tongah KL" sambut si bodoh itu sambil ketawa.

"Ekau telefon ni ado hal apo? Eden dah lambat ni. Masuk kerja kena sharp pukul 9. Eden dah lambat gilo ni"

"Nenek ekau suruh den kojutkan ekau poi kerjo. Okaylah jang, jangan lupo hujung minggu ni balik Pilah. Nenek ekau asyik suruh eden tanya kek ekau" pesan suara Syahir, sahabat sekampungku dari Kuala Pilah.

Syahir bekerja di kebun nenekku di Kampung Ranjau Hantu, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Bercucuk tanam sudah jadi minatnya jadi alah bisa tegal biasa dia ke kebun. Aku bukan sepertinya, aku punya impian. Impian aku bukan di Pilah, tapi di sini.

Bukan aku tak suka Pilah. Aku suka Pilah, aku sayang kampung aku. Yang penting, kampungku tiada hantu. Tak usah takut. Namanya pun ranjau hantu, jadi hantupun hidup dengan penuh ranjau dan onak duri.

Di Kuala Lumpur.

Tren STAR LRT berhenti di stesen Miharja. Aku lekas-lekas masuk dan mencari tempat duduk. Bersesak dan jelas, aku tak punya peluang untuk melabuhkan punggung. Lantas aku cari pemegang untuk berpaut. Silap gaya, boleh tertonggeng jatuh aku ke lantai keretapi tersebut.

Beginilah suasana pagiku di Kuala Lumpur. Isnin hingga jumaat menjadi makanan aku untuk bersarap mata dengan orang ramai. Pelbagai jenis manusia dapat kulihat. Ada yang segak berbaju kerja, ada juga yang kusut masai, masih mamai daripada tiduran. Semuanya menjalani rutin sepertiku - menaiki kenderaan awam ke tempat kerja.

Kuala Lumpur tempat tumpuan segala macam manusia. Peniaga, pedagang, pendakwah, pelajar, pelacur, pencuri malahan penunggu. Semuanya mahu di sini. Seolah bumi Malaysia ini tak cukup tanah lagi.

Tapi aku tetap juga mahu di sini. Di sini aku bakal hidup berdikari dan mengenal dunia. Dunia yang tidak akan dapat aku jalani di Kuala Pilah.

"Buek apo nak poie KL? Sini tak ada kerja?" tegur nenek petang itu.

Aku buat-buat tak dengar. Gitar kapok ku goreng diam-diam. Nak kata berbunyi pun tidak, beritma pun tidak. Aku masih memikirkan leteran nenek terhadap keputusanku.

"KL tu banyak cabaran Man, nenek takut kamu tak dapat hadapi" tegur nenek, nadanya agak sayu.

"Nenek pernah poie KL ke?" tanyaku setelah jari mati kutu dengan segala chord gitar.

"Tidaklah pernah" jawab nenek sambil mengurut tapak kakinya dengan minyak gamat.

"Habis tu kenapa nenek tak kasi Man pergi?"

Nenek diam. Serabut juga aku dibebel nenek sejak dari pagi di kebun sampai petang di anjung.

Malam itu aku berkemas. Tetap mahu ikut Zainal ke Kuala Lumpur. Dia pun sudah berharta, punya Kancil turbo. Satu kampung berbangga dengan Zainal yang baru setahun di KL. Aku pun mahu jadi macam Zainal. Zainal lebih senang ku teriak Jenal sudah banyak kali mengajakku ke kotaraya ini, namun seperti biasa nenek jadi penghalang.

"Nenek, Man pergi KL nak cari kerja. Man tak sekolah tinggi..."

Belum habis ku pujuk dengan rendah diri dan azam tinggi, nenek sudah potong.

"Memanglah kamu tak sekolah tinggi, penat aku hantar kamu sekolah. Kamu belajar takat tingkatan 4 saja!"

Sindiran nenek pedas sekali. Syahir sampai ketawa terbahak-bahak.

"Apa aje kerja yang kamu boleh buat Man kat KL tu? SPM pun tak ada" sambung nenek semasa aku sudah mengikat tali kasut.

"Bagi Man masa dua bulan nek. Kalau Man gagal, Man akan tinggal di Ranjau Hantu ni sampai bila-bila. Sungguh! Man tak akan jadi 'kacang hantu' kek kampung ni lagi! " janjiku kepada nenek sambil menghulurkan salam.

Enjin turbo Kancil Jenal sudah berderum tak sabar berlebuh. Syahir mengangkat beg kecilku berisi beberapa helai pakaian ke dalam kereta. Nenek memandang sayu dari hujung beranda. Aku melambai pergi dalam tenang. Tak guna emosi tak tentu fasal. Aku anak jantan Minangkabau!

"Stesen berikutnya, Masjid Jamek. Stesen ini untuk pertukaran ke laluan Putra LRT Kelana Jaya - Terminal Putra"

Pengumuman oleh abang pemandu tren STAR yang agak tak jelas bunyinya mengejutkan lamunanku. Aku lekas mencari pintu keluar sementara sempat. Kaki memang penat setiap hari terpaksa bersesak-sesak. Banyak pula laluan harus ku tempuhi.

Lintasan zebra penuh dengan umat manusia. Aku ikut serta menyeberang jalan menuju ke stesen Putra LRT berhampiran. Aku harus menaiki tren terus ke laluan Dang Wangi. Tempat kerjaku tidak jauh daripada stesen Dang Wangi.

Aku melamun lagi. Memikirkan poket yang sudah hampir kering menjelang tengah bulan. Mulut nak disuap, asap nak dihembus. Masalah tak habis-habis.

Bodeng, kenalan baruku di KL mengajakku mencari wang sambilan. Malangnya aku tidak boleh keluar masuk pejabat sesuka hati. Silap haribulan boleh kena buang jadinya.

"Assalamualaikum!" tegur satu suara halus.

Aduh! Apa lagi ni? Tak habis-habis orang datang menganggu.

"Boleh pinjam masa encik sekejap?" tanya seorang gadis bertudung labuh yang muncul tiba-tiba di hadapanku saat aku berbaris untuk turun ke stesen di bawah tanah.

"Saya tak ada masa kak. Lagipun saya tak ada anak kecil yang baru nak kenal ABC" balasku, terus terang.

Aku agak dia agen jualan langsung. Barang yang dipegangnya merupakan buku-buku agama dan juga pra-sekolah. Rajin sungguh mengelek buku-buku jualan di pagi hari. Kalau aku, malas tak terkata.

"Encik boleh cuba buku ini. Pedoman Solat Lima Waktu, ataupun buku ini - Rahsia Keperibadian Ummah Cemerlang" tunjuknya bersungguh-sungguh.

Aku dihulur buku tersebut. Apa? Aku nampak macam orang yang kurang penghayatan agama ke hari ini?

"Saya dulu KAFA dapat semua A kak" jawabku, yang jelas rimas.

"Tapi encik boleh hadiahkan kepada isteri atau kawan-kawan"

"Cik kak ni tak kenal putus asa kan?" tanyaku untuk menglenyapkan gangguan.

Dia merenungku dengan penuh rayu. Simpati diberinya secukup rasa. Aduh! Aku tak akan tewas! Duitku hanya tinggal RM45 sementara menunggu masuk gaji! Geramnya!

"Astarfirullah..." jerit gadis itu tiba-tiba.

Buku-buku jualannya bertaburan jatuh ke atas esclator yang sedang bergerak. Banyak mata memandang dia dan aku. Gadis itu lekas mengutip satu persatu buku-buku tersebut. Sambil ada buku yang tertib dijunjung di dahinya, dia tak hiraukan orang yang mahu meredah laluan pintas sebelah kanan esclator itu.

Nampak gayanya, aku kena tolong. Memang tak patut kalau tak tolong awek tudung labuh ini.

***

(bersambung)

penggemar