Berbaloi-baloi


4 tahun dulu, ada seseorang bisik ke telinga hamba soal yang hamba kusut tak terjangkau. Soalnya, kenapa kita memilih untuk menjadi hamba kepada benda itu.

Dia kata, "Kau jumpa benda tu, bukan kau cari kan?"

Aku kata, "Aku terjumpa benda tu, semasa aku mencari benda lain"

Dia balas, "Jadi kau pilih untuk ada benda tu, semasa kau nakkan benda lain?"

Aku termenung dan balas, "Aku jumpa benda yang aku nak dalam benda tu"

Dia bungkam, tapi tanpa putus asa, tanyanya kepada aku sejelas-jelasnya,

"Kau sedar tak yang benda yang kau kata kau nak (yang ada dalam benda yang kau jumpa) tu sebenarnya datang sekejap saja?"


Aku bisu.

Dia pohonkan pengertian aku tentang satu perkara; betapa aku begitu mencari benda itu sehingga aku menghalalkan segala cara asal aku berjumpa dengannya, bercinta dengannya hingga menuntut aku menderita kerananya.

Dia; "Benda itu bukan cinta, benda itu bukan ketenangan"

Aku; "Berdamping, aku cuma ingin berdamping sahaja"

Dia, dengan nada keras berkata-kata. Kata-kata yang hilang rima, namun hingga kini aku kenang.

"Manusia hidup untuk merasa kehidupan. Sedih, gembira, debar, runtun, sakit dan segalanya. Itu yang manusia tak perlu cari, sebab manusia akan jumpa juga.

Kau, lain. Kau pilih untuk menghilangkan semua rasa itu, dengan gantinya - benda yang kau fikir layak untuk berdamping dengan kau. Berbaloi ke untuk kau hilang semua saat-saat sedih, gembira, apa saja dalam ingatan kau? Apa lagi yang tinggal untuk kau ceritakan kepada anak cucu kau? Apa kau fikir, waktu-waktu yang kau lintas sekarang hanya sekadar waktu, dan tak perlu untuk kau simpan dalam ingatan kau?

Aku nak tanya kau sesuatu; apa lagi yang kau mahukan dalam hidup? Kau mahu seseorang untuk bersama-sama dengan kau saat kau gembira, saat kau sengsara bukan? Bagaimana kalau salah seorang daripada kamu menderita? Bagaimana kalau salah seorang daripada kamu diuji bencana? Apa kau sanggup untuk terus bersama dengan manusia itu?

Hidup ni untuk merasakan segala rasa. Kalau kau mahu itu terjadi dalam hidup kau, berhentilah menjadikan benda sebagai manusia. Sesungguhnya, segala dugaan dan cabaran itu cukup berbaloi untuk ditempuh asalkan kau tetap bersama si dia"


Selepas 4 tahun, hamba masih menunggu rasa 'berbaloi' itu.

p/s: Hamba bukan berbahasa mengenai cinta. Harap maklum
Read more

Khunsa & Masalah Minda Melayu

Salam,

Ada yang bertanya tentang khunsa. Apa itu khunsa, dan apakah 'hina' menjadi khunsa?

Hamba jawab, hamba bangga jadi anak Melayu, cuma hamba tak bangga dengan perangai Melayu. Tipikal apabila nampak sesuatu yang pelik dan lain daripada yang lain, maka dicemuh diherdik tak cukup kajang. Bukan orang khunsa saja, malah orang cacat atau kurang mana-mana fizikal. Jadi, itu jawapan yang paling mujarab untuk beritahu kenapa 'khunsa' menjadi begitu sulit untuk didedahkan.


Khunsa ialah keadaan di mana seorang bayi baru lahir yang dikurniakan dua jenis alat sulit, lelaki dan perempuan. Menentukan menurut fatwa, kecenderungan kanak-kanak itu sendiri sama ada ke arah mana ( lelaki atau perempuan ) adalah penentuan jantina kanak-kanak tersebut. Ia tidak berlaku dalam sebulan dua selepas kelahiran. Ia menuntut banyak waktu, sehingga kanak-kanak itu menjadi remaja dan menempuh akil baligh. Ada remaja khunsa menerima akil baligh agak lambat, dan jika terjadi; ternyata ia melambatkan penentuan jantina yang lebih cenderung kepada anak tersebut.

Makanya, tempoh berbelas tahun sementara menanti kedewasaan anak tersebut ternyata menjadi zaman yang agak sukar untuk ibubapa dalam membentuk kejantinaan anak tersebut. Bagaimana anak tersebut mahu disekolahkan, mahu dikelaskan sebagai anak berjantina apa, mahu dinamakan nama lelaki atau nama perempuan. Semua itu antara perkara yang ibubapa harus hadapi.

Persoalan - Seberapa fahamkah anak-anak kita tentang isu khunsa?


Hamba fikir, apabila generasi baru bertanyakan soalan sebegini kita harus sedia dengan jawapan. Mengelak untuk memberitahu fakta hanya akan menyebabkan generasi akan datang akan terus menjadi judgmental dan berpandangan serong terhadap sesuatu perkara yang perlu diperjelas.

Kalau kita mahu bangsa Melayu menjadi lebih terbuka dalam menangani isu, ada sebaiknya kita mengubahnya menerusi minda anak-anak kita sekarang. Minda tipikal Melayu yang kita waris ini datangnya daripada kesilapan nenek moyang kita yang sentiasa menganggap isu seksual sebagai isu yang taboo dan tidak patut diperjelaskan.

Hamba ingin kongsi kisah di zaman Saidina Ali RA. Kisah ini mungkin boleh membantu serba sedikit pemahaman tentang penentuan jantina khunsa. Ini saja informasi yang hamba rasa bersesuaian untuk diceritakan jika ditanya oleh sesiapa saja, tentang perkara ini. Tambahan, hamba bukan pakar tentang hal ini.


ISTERINYA SEORANG KHUNSA

Semasa Saidina Ali r.a memerintah maka terjadilah satu peristiwa yang tidak pernah terjadi sebelumnya. Seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang khunsa (memiliki dua alat kelamin). Si suami juga menghadiahkan seorang jariah kepada isterinya. Setelah beberapa lama, isterinya yang khunsa itupun melahirkan anak. Tidak berapa lama selepas itu, timbul pula nafsu berahi wanita khunsa itu terhadap jariahnya. Akhirnya jariah ini juga melahirkan anak. Masyarakat menjadi gempar dan peristiwa ini sampai ke pengetahuan Saidina Ali. Khalifah terus menghantar pakar untuk mengesahkannya. Ternyata wanita khunsa ini mengalami haid seperti perempuan serta keluar air mani dari dua alat kelaminnya. Dia boleh dijimak suaminya dan boleh juga menjimak jariahnya. Untuk menentukan jantina sebenar wanita ini Khalifah Ali tidak ketandusan akal. Beliau menghantar pakar untuk menghitung tulang rusuk wanita ini. Hasilnya ternyata rusuk sebelah kiri wanita ini kurang satu dari rusuk yang kanannya. Saidina Ali menetapkan bahawa wanita yang khunsa ini adalah lelaki. Alasannya, ketika Allah menjadikan Adam yang tinggal keseorangan di dalam syurga, Allah mengambil satu tulang rusuk sebelah kiri Adam dan diciptakan Hawa. Oleh sebab itu, tulang rusuk sebelah kiri Adam kurang satu. Khalifah Ali memisahkan perkahwinan tersebut kerana dianggap tidak sah.

Wallahualam.

p/s: Berpesan-pesan ke arah kebenaran.
Read more

penggemar