CERPEN : Bukan Sekadar Angin Lalu
oleh: Amer Yusof
oleh: Amer Yusof
Malam itu bergenderang dengan ayat-ayat suci. Aman dan menyuburkan jiwa. Aku berjalan di dalam gelap malam menuju cahaya dari Pusat Aktiviti Bahasa di sekolahku yang aku tak berapa gemar khabarkan - Kolej Sains Pendidikan Islam Negeri Terengganu. Selipar yang ku pakai pula lain sebelah, makanya aku agak malu untuk terus meluru ke alam bercahaya, terang benderang pula.
Aku usaikan rasa marah dan geram. Seliparku di curi lagi, dicuri saat aku habis berwirid di surau, solat Isya'. Marah aku kerana pencurinya mencuri di rumah Allah, geram aku kerana aku kini punya masalah untuk ke Pusat Aktiviti Bahasa, seliparku pakai kini selipar tandas surau. Lain sebelah. Aku naik hairan kenapa pencuri mencuri sebelah saja seliparku sedang aku rasa, ada baik dia mencuri kedua-dua belah.
Adat orang yang tinggal di asrama, selipar asyik bertukar ganti. Bukan kerana haus, tapi kerana tak lekat di lantai, biarpun bertanda nama. Oh ya, selipar aku bertanda nama 'Dr.M', aku bencikan Dr. Mahathir dek kerana dalam otak aku yang tidak matang menilai. Itupun ada juga yang mahu merembar selipar jepunku. Unik agaknya seliparku hingga dicuri oleh makmum tak untung berdosa.
Tapi, sebabkan aku sudah berjanji, ku gagahkan juga membawa jisim badan untuk ke Pusat Aktiviti Bahasa yang letaknya betul-betul di hadapan Perpustakaan Al-Ghazali. Perpustakaan Al-Ghazali sudah menjadi rumah keduaku di sekolah, kerana akulah pustakawan yang paling rajin, rajin melepak dan memencil diri di dalam gedung buku indah itu. Lampu koridor tidak menyala sepanjang jalan. Sejak sekolahku bertukar tangan daripada sekolah BN kepada sekolah PAS, aku diajar untuk menerima segala ketentuan. Sekolah aku kini tidak lagi menerima bantuan kerajaan pusat, sekolah ku kini harus terima acuan daripada Tuan Guru Hj Hadi.
Aku berhenti di tepi papan kenyataan berhampiran perpustakaan. Mataku melilau memerhati bilik terang yang sudah kerumun ramai pelajar lain. Anak mataku mencari seseorang. Seseorang yang pohon aku datang, untuk menyokongnya.
Aku hairan, kenapa perlu aku menyokongnya, dia terlibat sekadar saja. Malahan, aku pertikai akan keterlibatannya dalam acara malam itu. Aku dengki. Aku dengki kerana aku tak diajak sama. Busuknya hati aku, konon bergelar sahabat.
"Abang Ayub!" suara kecil lemah bergema di cuping telingaku. Lantas ku toleh, tiada sesiapa yang bernyawa di belakangku.
"Kat sinilah" suara itu rupanya datang dari timur laut pandangan monoskopikku.
"Wafi" balasku.
"Tak pergi tengok ke?"
"Nak tengok, tapi ada masalah sikit"
"Masalah apa?"
Aku memandang kakiku, Wafi ikut sama. Dia tergelak hingga sepet matanya. Aku naik segan.
"Ada orang rembat?"
"Hmm. Kat surau"
"Abang Kudin ada cari abang tadi, abang lambat datang"
"Wafi nak pergi mana?"
"Nak balik, Wafi ada banyak kerja sekolah. Malaslah nak tengok Tilawah Al-Quran malam ni"
"Pulak. Tadi, ramai tak yang datang?"
"Ramai. Abang ni malu nak pergi ke? Malu pasal selipar?"
Aku membuat muka tak kisah.
"Nah ambil selipar saya, tapi janji pulangkan kat dorm nanti okay?"
Wafi terus menanggal seliparnya, mohon ditukar dengan selipar yang ku pakai. Untung berbaik dengan budak tingkatan satu yang beradap sopan. Sebagai yang lebih senior, aku dihormati kerana aku juga menghormati mereka.
Wafi berlalu dengan senyuman. Aku sengih dan berterima kasih di dalam hati saja. Malas bersuara jika hati tengah tak tenang.
Kaki ku langkah menuju ke tingkap bangunan sekolah. Ramai juga pelajar perempuan yang menjenguk dari luar tingkap. Benar, ruang duduk di dalam sudah penuh. Kudin memandang aku yang muncul dalam diam. Kudin tersenyum, dia sedang duduk memandang peserta. Dihadapannya bertulis perkataan arab pada sebuah tanda nama.
Pengerusi majlis mengambil tempat, dan bersuara.
"Kita sudah memperdengarkan bacaan ketiga daripada peserta peringkat menengah rendah 1, saudari Nurul Husna Abdul Razak dari kelas 1 Al-Khawarizmi. Seterusnya kita akan perdengarkan bacaan ayat suci Al-Quraan daripada perserta peringkat menengah rendah dua pula. Sebelum itu mari kita berkenalan dengan juri-juri kita pada malam ini. Yang pertama ialah Yang Berbahagia Ustazah Marini Mohd Stambul yang akan menilai fasohah, kedua ialah Saudara Mohd Syakirin Suliman untuk penilaian lagu dan suara, ketiga ialah Saudari Siti Zuhairatun Zabidi untuk penilaian tajwid, juri kita yang keempat ialah Saudara Mohd Khairuddin Omar yang akan menilai makhraj, dan terakhir ketua juri kita pada malam ini ialah Yang Berbahagia Al-Fadhil Ustaz Md Nor Yahya"
Aku memandang Kudin yang tersipu malu apabila diteriak pembawa acara sebentar tadi. Kudin menjadi penilai makhraj para peserta pertandingan Tilawah Al-Quraan Peringkat Menengah Rendah anjuran Persatuan Agama Islam dan Bahasa Arab. Makhraj yang dinilai Kudin berdasarkan sebutan bacaan peserta.
Siapa Kudin? Sebaya denganku, bakal menduduki peperiksaan PMR pula, layakkah dia menjadi penilai tilawah Al-Quraan?
Aku memandang peserta seterusnya, budak lelaki tingkatan dua yang menyertai pertandingan tersebut. Ya, mataku memandangnya, telingaku mendengar tetapi fikiranku melayang.
Aku layangkan fikiran ke sebuah kisah tak lama dahulu, ketika Kudin menyertai Musabaqah peringkat sekolah agama di Sekolah Agama Khairiah, Kuala Terengganu. Itu pertandingan Musabaqah kali kedua disertai budak separa gemuk ini. Sebagai sahabat, aku jadi peti buangan masalah.
"Bila Mizi masuk, Ustaz Md Nor terus letakkan dia sebagai pilihan utama. Sedih aku, Yob!"
"Sebab Mizi lagi sedap mengaji daripada engkau kot" balasku sambil menyudahkan lorekan atas peta topografi Semenanjung Malaysia dalam buku latihan Geografi.
"Soal sedap tak sedap, lain cerita. Ash-Shafie pun sedap mengaji, tapi Ustazah Marini suruh dia masuk pertandingan nasyid saja. Apa beza?" gerutu Kudin.
"Sebab Ash-Shafiewarya Rai tu baca sedap, tapi tajwid tunggang terbalik" terangku, mengulang kembali apa yang diterangnya banyak kali sebelum ini bahawa tajwid dialah yang terbaik.
Kudin tergelak.
"Kenapa?" tanyaku.
"Tak baik kau gelar Ash-Shafie dengan nama Bollywood tu" ketawanya berdekah-dekah.
Tugas sebagai sahabat, kalau tak menyejukkan, bukan sahabatlah. Kedua, kalau sahabat menyampah dengan orang lain, sahabat macam aku kenalah kutuk jugak orang yang dimaksudkan itu. Silap konsep sebenarnya, tapi agak berkesan sebab Kudin dah pun tergelak.
Pertandingan tersebut berakhir, dan Kudin turun daripada bas sekolah yang membawa mereka menyertai Musabaqah selama 2 hari tersebut. Aku kebetulan ada di situ, meluru ke arahnya.
"Macam mana?"
"Kalah" Kudin lesu.
"Siapa menang?"
"Salman, budak Sekolah Agama Ladang. Mizi dapat nombor 3"
"Takpe, tahun depan cuba lagi"
"Tahun depan lagi tough. Peringkat menengah atas pulak"
"Nak buat macam mana, takde nasib kau kali ni"
"Tak puas hati betul macam mana Mizi boleh menang"
Aku tergelak, seminggu juga dia gerutu tentang Mizi.
"Sebab Mizi tu, penyertaannya ibarat angin taufan. Kau tu sekadar angin lalu sepoi-sepoi langguage saja. Takde impact. Macam mana nak menang" balasku, nada bergurau.
"Yob! Ye ke aku sekadar angin lalu?" nada Kudin berubah, sedih.
Lamunanku tersentak. Pandangan mataku tajam menuju ke lantai, muka pintu. Kelihatan selipar jepun bertanda 'Dr. M' berada di situ. Aku lekas mencapai selipar itu dan memegangnya. Nampaknya, kali ini pencuri tersebut dapat aku telanjangkan.
Sudahlah mencuri selipar aku, hadir ke majlis Tilawah Al-Quraan pula. Tak kena langsung!
Pertandingan berakhir. Pelajar berpusu-pusu keluar menuju ke ruang jamuan ringan di Taman Al-Ghazali, berhadapan dengan perpustakaan.
"Aku ingat kau dah tak nak datang"
"Lambat sikit je, pasal ada mangkuk yang rembat selipar aku"
"Yang kau pegang tu? Amende?" tanya Kudin.
"Aku jumpa selipar aku kat sini, sekarang aku nak tengok siapa yang curi"
"Itu!" tunjuk Kudin kepada salah seorang peserta yang berselipar sebelah sedang duduk. Ya, budak itu peserta tilawah juga. Tingkatan 2.
"Wei Mazran! Mana selipar kau sebelah lagi?" sergah aku.
Dia diam.
"Yang ini?"
Mazran terkedu.
"Mana kau rembat? Kat surau?"
Mazran memohon maaf kerana mencuri selipar aku. Nasib baik aku bukan jenis marah berjam-jam. Aku maafkan dia, dan nasihatkan supaya tidak mencuri selipar orang, apalagi mencuri di surau.
"Memang patut kau kalah tilawah!" jentik aku menerusi kata-kata.
Kata-kata itu aku pernah tujukan kepada Kudin. Lama dulu, sebelum dia dipilih menjadi juri malam ini.
"Memang patut kau kalah tilawah! Ada ke patut kau sorok majalah Media Hiburan bawah katil? Pastu tiap-tiap minggu beli VCD cerita hindustan kat Mydin" jenakaku mengutuk Kudin.
"Mizi pun minat Hindustan, siap hafal lagu Khusyiar Aur Gham lagi!"
Kudin menarik majalah yang sekian lama aku minta, tak diberinya kerana disorok. Alasan: Asrama asyik ada spot check.
"Aku terpukul bila kau kata aku sekadar angin lalu, sepoi-sepoi langguage" kata Kudin sambil mengunyah roti jala.
"Oh sebab itulah kau rasuah Ustaz dan Syakirin untuk panggil kau jadi juri malam ni?" usikku.
"Kau nak kata Mizi lagi layak kan?"
Aku sengih. Sengih yang membawa maksud berbeza.
"Khairuddin ni suaranya sederhana. Tapi, tajwidnya bagus, makhrajnya pun bagus" ulas Ustazah Marini saat kami menjamu selera.
"Awak tak minat masuk Musabaqah ke?" tanya Ustazah Marini.
"Saya ni darah raksa. Tak boleh disergah, nanti huru hara pentas. Nervous punya pasal. Lagipun, dulu saya masuk bahas pun sekerat jalan" terangku ketawa.
Lain dengan Kudin, berlakon pentomin pun bagus, berdebat dan pidato pun bagus, baik dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, malahan dalam Bahasa Arab juga. Lukisannya bagus, penulisannya indah cuma nyanyiannya saja sumbang haram, ampun.
Aku hanya tahu menilai dari luaran. Menilai Kudin berdasarkan kelemahannya yang satu, sedang dia punya lebih yang tak kurang daripada yang kurang. Malam itu, dia buktikan kepada aku pada umur 15 tahun dia mampu jadi juri pertandingan tilawah, biarpun pertandingan yang kecilan saja.
***
Cerpen ini hamba tulis khas sempena sambutan hari lahir yang ke 23 sahabat baik hamba, Saudara Mohd Khairuddin Omar. Semoga beliau panjang umur, dan dimurahkan rezeki selalu.Gambar: Kudin (paling kiri) kini menuntut di Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta Indonesia dalam ijazah kedoktoran.
Pesanan: Kisah pokok dalam cerpen ini diolah daripada kisah yang benar-benar berlaku sewaktu kami sama-sama menuntut di Kospint (1998-2002). Nama watak mungkin menyamai mereka yang benar-benar wujud, namun tidak semestinya mereka betul-betul terlibat. Cerpen ini berunsur semi-fikyen. Harap maklum.
1 ulasan:
Satu cerpen yang menarik.Ada pengajaran walaupun simple. Antaranya jgn mencuri hak org lain terutama sekali di rumah Allah. Satu lg jgn menilai org hanya dr luaran. Kalau nak menilai pun biarlah kita mengenali org tu betul2 baru kita boleh menilai org tue baik atau jahat.
Catat Ulasan