Penerimaan


PENERIMAAN
oleh Allahyarham
Chairil Anwar (1922 - 1949)

Kalau kau mau kuterima kau kembali
Dengan sepenuh hati

Aku masih tetap sendiri

Kutahu kau bukan yang dulu lagi
Bak kembang sari sudah terbagi

Jangan tunduk! Tentang aku dengan berani

Kalau kau mau kuterima kembali
Untukku sendiri tapi

Sedang dengan cermin aku enggan berbagi.

ditulis pada Maret 1943

***

Ramai yang suka puisi 'Aku', sedang hamba tanya apakah disebabkan filem Ada Apa Dengan Cinta? Jawab hampir kesemua mereka, ada kebarangkalian. Kagumnya mereka ini kepada puisi 'Aku' seolah tiada yang lain pun sepengetahuan dengannya. Kagumnya itu, seolah orang lain tidak berkongsi rasa yang sama. Hakikat, hanya puisi Aku yang diingatkan, mahakarya lain tidak langsung berlegar di atas batu jembala mereka. Untuk itu, soalan lazim ; seberapa kenalkah mereka kepada ahli seni yang mereka kagumi? Setakat mana pemahaman mereka tentang hasil seni seniman itu? Jika sekadar suka, sebabkan ramai yang suka - maka carilah ertinya. Jujur atau pura-pura?

Hamba terdetik juga kadang-kadang apabila terlalu ramai manusia terlebih kejut dan tindak apabila menghadapi saat kehilangan seseorang yang mereka kagumi. Seperti yang dapat dilihat sekarang, kematian insan-insan seni terulung yang ditangis saban waktu, seolah tiada lagi manusia di bumi.

Hamba tidak pasti pula sebanyak mana kenalnya mereka kepada hasil seni si mati. Jikalau cukup mendalam, apakah layak si mati menerima tangis meratap seolah manusia di bumi lebih sayang, daripada sayangnya Allah di arasy sana.

Hamba mengulit puisi 'Penerimaan' ini sejak umur 15 tahun. Puisi ini sentiasa jadi kegemaran. Ia cukup sederhana, tetapi memberi pengertian yang jelas. Terkadang sentimental, tapi benarlah kata-kata setajam mata pedang. Puisi ini merobek lagi hati hamba kala mengenangkan sesuatu yang tertunda.

Sesuatu perkara yang pergi terkadang menjadi sesuatu yang tertunda. Tertunda kerana kita tidak sempat mengenal, tidak sempat mengerti dan cukup waktu sesuatu itu pergi. Ia seolah menjadi perasaan kedekut kita untuk melepaskan perkara yang sudah tidak di genggaman. Untuk itu, kenapa harus kita meratap sedang kita mengaku cukup kenal dengan hasil seni si mati?

Tak guna mengenang manusia yang pergi dengan airmata, sedu sedan serta emosi yang sangat ekspresif. Cukuplah bersederhana, mendoakan yang baik-baik lantas meraikan pertemuan si dia dengan penciptanya.


p/s: untuk alihar yang tidak pernah mati namun sering tertunda ; ~


Read more

Mereka Juga Berbahasa Melayu


Sekadar berkongsi, di laman Youtube banyak sungguh rakyat sedunia yang mencuba dan tidak segan untuk berbahasa Melayu ataupun Bahasa Indonesia.

Yang sebenarnya, bahasa kita mudah untuk dipelajari dan harapnya kita sama-sama menjaga, mengembangkan malah berbangga dengan bahasa kita.

Kita mulakan dengan Presiden Obama















dan yang ini, 'kecek kelate' pun boleh!




Kalau bukan kita yang perlu berbangga, siapa lagi?

Macam mana kalau yang ini pula?



BAHASA JIWA BANGSA


Abaikan yang ini

Read more

Dia Ingin Yasmin Pulang (Belasungkawa Yasmin Ahmad)

Yasmin Ahmad (1 Julai 1958 - 26 Julai 2009)

Al-Fatihah buat Allahyarham Yasmin Ahmad yang telah meninggalkan alam fana ini tanggal 26 Julai 2009, kira-kira 11.25mlm. Semoga ruh beliau dicucurkan rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.


Besar jasa beliau dalam industri perfileman juga pengiklanan. Dan hamba dapat simpulkan disini, filem Rabun melestarikan pemikiran remaja hamba, filem Sepet membuka lebih banyak pertanyaan, hingga filem Gubra memberi ruang kepada hamba untuk mencari jawapan disamping berhibur dengan Mukhsin dan bergenang airmata dengan TaleNtime.




Cuma, hamba tidak pasti apakah berpeluang untuk menonton Mualaf setelah sedikit kecewa kerana tidak dapat menunggu Wasurenagusa ditayangkan, lantaran filem itu tidak sempat dibikin.

Dalam bidang pengiklanan pula, hamba kira nama Yasmin cukup sinonim dengan iklan Petronas. Saban tahun, kita beraya dengan iklan beliau, dan tidak sah jika tidak bergelak ketawa dan akhirnya bergenang airmata kerana tersentuh dengan kreativiti beliau.

Sebagai mengenang jasa Allahyarham, hamba lampirkan dua buah iklan TVC arahan dan tulisan beliau yang mana hamba kira adalah yang terbaik dalam sejarah pengiklanan mahupun filem pendek negara dan serantau.

Sedekahkan al-Fatihah, dan kurangan bercakap soal yang bukan-bukan. Insya-Allah.

2007 - Aku Ingin Pulang





Funeral - Singapura



Tan Hong Ming in love




:: Lagu PERGI dipetik daripada TaleNtime. Ironi sekali.

Read more

Kenapa sekadar menumpang bangga Laskar Pelangi?

Ketika membaca novel karya Andrea Hirata berjudul Laskar Pelangi, lewat tahun lalu hamba tidak dapat tidak untuk berkata novel tersebut tidak seberapa untuk mencecah sempurna, tapi rasanya cukup manis sekali.

Apabila berpeluang menonton filem tersebut, hamba tidak menyangka apa yang diberi Riri Reza selaku sutradara melebihkan jangka hamba. Terkadang penghasilan filem adaptasi menuntut keperluan untuk memenuhi jangkaan dan bayangan pembaca novel asalnya, dan itu berjalan dengan mudah untuk filem Laskar Pelangi.



Sejak tahun lalu, ramai yang mengikuti tetralogi tulisan Andrea Hirata. Menyusul kemudian adalah Sang Pemimpi dan Edensor serta terbaru dan terakhir Maryamah Karpov. Ramai yang mula berbangga dengan kemunculan penulis yang hamba ibaratkan sebagai
Pramoedya Ananta Toer versi junior kerana kritis penulisannya yang berjaya membangkit aroma perjuangan untuk masyarakat Melayu serantau untuk menaikkan taraf sosial menerusi pendidikan.

Sebaris ayat berbunyi "Hidup ini bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya, tapi untuk memberi sebanyak-banyaknya" cukup untuk menggambarkan betapa besarnya pengertian yang harus ditemukan pembaca setia Andrea.

Tetapi cukupkan kita di Malaysia sekadar berbangga dengan novel tulisan anak Melayu kelahiran Belitong tersebut?

Memaksudkan semangat patriotik dalam diri Andrea dan membandingkan apakah wujud penulis sebegitu di negara kita, Malaysia. Hamba rasa jawapannya ADA.

Lewat tahun 1999 dahulu, ketika beberapa minggu dilantik menjadi pustakawan di Perpustakaan Al Ghazali, KOSPINT; hamba pernah meluangkan masa menyelongkar buku-buku di dalam gedung itu. Sepatah ayat daripada guru sejarah hamba (Cikgu Zaliha) yang masih hamba ingat hingga kini adalah "Kalau nak lihat minda sesebuah masyarakat, lihat bidang penulisannya" sebetulnya adalah hakikat.

Tahun itu hamba terjumpa sebuah novel nipis berjudul Memori Bukit Besi tulisan Awang Abdullah. Hamba mengambil masa dua hari untuk menghabiskannya, siap mencuri baca buku ini di bawah sinaran lampu koridor asrama.


Dan ketika hamba membelek Laskar Pelangi yang pertama kali dibaca umum pada 2005, hamba teringatkan novel terbitan tahun 1993 ini. Kisahnya tidak serupa, tetapi punya acuan yang sama disamping semangat patriotiknya amat jelas dan kukuh.

Terlintas pula, kenapa belum ada pihak ingin menerbitkan sebuah filem nuansa serupa adapatasi daripada Memori Bukit Besi. Hamba yakin, ramai pihak yang ingin melihat kapitalisme dan kemanusiaan yang bagaimana yang pernah menjelma di pusat perlombongan besi terhebat era 70-an di negeri Terengganu itu.


Read more

Peduli



Isu PPSMI tidak akan habis dibebel. Itu pasti.

Ada yang membantah ia dibawa balik ke tempat asalnya, ada yang menyambut dengan rasa syukur kerana keadilan telah terlaksana.

Hamba erti kenapa ramai yang memberontak. Kemungkinan besar mereka sudah berada dalam zon yang selesa dangan cara baru ini, dan makin hari makin menipis rasa bangga mereka terhadap bahasa sendiri.

Untuk berpatah balik ke BM bukannya suatu perkara yang sukar. Kita memberontak untuk kembali ke tempat asal kita; semudahnya kita akan dapat kembali menyesuaikan diri. Apa lagi yang kita hendak punyakan sekiranya kita memberontak untuk memiliki sesuatu yang dipunya oleh tanah orang lain.

Mendepang masa dengan memikirkan apa yang dituntut di alam selepas persekolahan amatlah wajar. Tidak dinafikan, saban hari kita hidup untuk masa depan. Tetapi dalam kita menemukan titik untuk mempermudah jalan mengejar cecita kita, tak terbayangkah kita bahawa tujuan utama kita membina pencapaian?

Pencapaian bangsa kita tidak diukur dengan angka-angka dan juga materi yang banyak. Tetapi bagaimana cara kita mendidik anak bangsa kita. Hati. Bangsa kita tidak diajar untuk menindas hak orang lain, bangsa kita sedari dulu dididik untuk punya hati dan nurani yang jujur. Lihat di dalam diri mereka yang terdahulu; dari mana datangnya rasa peduli?

Daripada hati dan mereka punya rasa peduli untuk
memastikan semua anak-anak berhak mendapat pendidikan yang tembus terus ke dalam jiwa bangsa mereka.

Ini bukan keselesaan kita di tanah kita sendiri, tetapi keperluan kita untuk terus punya rasa peduli biar di mana jua kita menuntut, hatta dalam bahasa apa kita didepani. Orang tidak menilai kita dengan cara kita menjawab soalan, mereka melihat apa bentuk jawapan yang kita berikan. Mereka lihat kepada angka dan teorinya, dan bukan bahasanya.

Ada bangsa yang cukup cemerlang dalam bidang sains & teknologi (yahudi), tapi apakah mereka juga dididik untuk punya hati yang tulus berserta sedikit rasa peduli untuk orang lain?

Biasanya manusia apabila sudah terlalu selesa, terlalu nyaman dan punya kuasa; mereka lupa diri. Mereka perbesar segala macam dengan menghalalkan segala cara hingga mereka lupa bahawa tidak semua perkara diukur dengan materi.

Bahasa adalah jiwa kita. Satu hari kita tidak bercakap dalam bahasa kita seolah-olah separuh di dalam diri kita akan merasa kehilangan.

Sudah 50 tahun lebih kita merdeka. Kenapa soal bahasa ibunda, bahasa rasmi kita masih dipertikai? Tak ada penutur, tak ada penyambung keturunan?

Apa lagi yang boleh diba
nggakan? Selain namanya Bahasa Melayu.

Pernah kita fikir kenapa BM diperlaku sebegini rupa? Mungkin benar, kerana sudah kurang manusia yang peduli.

Hamba: Mencari sekolah yang mendidik anak muridnya untuk punyakan rasa "peduli".

Read more

Manek Bahasa Melayu Akan Terus Mengurai (PPSMI)


Ketika menulis artikel yang tak seberapa ini hujung tahun lalu, hamba tak fikir orang akan baca apatah lagi kalau Pak Menteri yang baca. Tapi, sebagai budak muda yang nak melantun pendapat, hamba tulis juga biarpun tiada siapa yang hirau.

Biarpun bukan disebabkan hamba, tapi sedikit sebanyak apa yang berlaku lewat 24jam yang lalu cukup untuk memberi sebab kenapa hamba harus tersenyum simpul sepanjang hari. Ya, menulislah apa saja biar tiada menelaah, jika ada 100 lagi yang berbuat seperti apa yang hamba buat, malahan tindakan mereka lebih lagi daripada sekadar hamba, rasanya daya itu akan mengumpul tenaga yang kuat dan jitu.

Keputusan kerajaan mengunapakai semula Bahasa Melayu (dalam konteks Najib Razak adalah Bahasa Malaysia (?)) dalam pengajaran Matematik dan Sains mempunyai pro dan kontra. Tun Det mempunyai alasan tersendiri untuk menentang pemansuhan dasar tersebut, antara alasannya yang pernah diutarakan ialah tidak semua istilah-istilah sains dan matematik boleh diterjemahkan dengan mudah ke dalam bahasa Melayu. Alasan kedua antaranya untuk rakyat Malaysia bersaing di luar Malaysia pada masa hadapan.

Menganalisis dua alasan Tun Det membuatkan hamba bertambah-tambah nak senyum. Pertamanya, bukankah kerja cerdikpandai serta pakar bahasa untuk mencipta istilah baharu untuk kegunaan sains dan matematik. Apa guna kita punya Dewan Bahasa & Pustaka? Kita tak minta menterjemah, kita minta dikembangkan ilmu itu ke dalam bahasa kita, sebagaimana nenek moyang kita melaksana saban dekad lamanya.

Kedua, Tun Det mengukur pencapaian rakyat Malaysia pasca merdeka dengan cara merumus kejayaan menerusi komunikasi. Hamba fikir perkara ini wajar diselidik semula. Ada benar dan ada yang canggung tetapi hakikatnya, banyak juga negara kental bahasa seperti Jepun, Arab Saudi serta Perancis yang terus berdaya saing. Biarpun tidaklah dinafikan bahawa Bahasa Inggeris itu amat penting untuk memasuki pasaran global; pokok pangkal bukan soal lemah kuat komunikasi, sebaliknya nilai dagangan yang kita mampu bawakan.

Apapun, hamba gembira kerana Kerajaan Barisan Nasional memulakan langkah bijak untuk menambat semula bukan sekadar hati rakyat, tetapi juga para pejuang bahasa dan cendikiawan. Biar apapun motif sebenar pengumuman pemansuhan yang hanya akan bermula pada 2012 ini, hamba menerima dengan tangan dan minda yang sangat lega dan terbuka.

Persoalannya; apabila kerajaan BN menamakan pemansuhan ini sebagai usaha untuk MENDAULATKAN SEMULA BAHASA MELAYU, hamba kira ayat ini wajar dibasuh cukup-cukup. Kerja melaksanakan pendaulatan BM bukan dicemar 100% oleh isu PPSMI. PPSMI hanyalah isu kecil daripada beratus-ratus isu yang yang membawa kerosakan kepada BM.

Sebagai contoh, tak guna kalau murid sekolah kembali diajar dalam BM sedangkan hujung minggu mereka masih lepak di 'Mid Valley' atau 'The Curve' sambil makan-makan di 'Secret Recipe' ataupun 'Gloria Jeans' serta membaca papan tanda jalan serta papan iklan yang masih tidak mengutama malah mencemarkan BM. Tak guna mereka yang berbangsa bukan Melayu belajar dalam BM sekiranya habis waktu sekolah mereka tak digalak untuk memperbetul malah mengasah kefasihan BM mereka. Takut nanti, bertahun duduk di negara berbahasa rasmi BM, tetapi masih tidak fasih BM.



Gambar: Sebahagian daripada usaha 'mendaulatkan' BM.

PELAKSANAANYA harus dikaji semula. Hamba pegang undang-undang al-Quran berkenaan soal 'keadilan'. Keadilan bermaksud meletakkan sesuatu kepada tempatnya. Maka letakkanlah BM di tempat yang asal dan menjadi haknya.

Soal kenapa mesti 2012 baru nak tukar, hamba kira ini soal menguruskan silibus pelajar. Jika dulu pelaksanaan PPSMI amat tergesa-gesa hingga kesannya diperaku oleh kerajaan [BACA SINI] setelah beriya-iya menafikan sebelum ini; maka eloklah penukaran semula dibuat secara berhemah dan tidak membebankan pelajar. (serta tender cetak semula buku teks sekolah dapat di belek dan dipertimbangkan semasak-masaknya, tanpa pengaruh kronisme.Hehehe)

Dalam tempoh 3 tahun ini, nampaknya DBP serta Akademi Sains Negara dengan gerak kerja Kementerian Pelajaran mempunyai tugas berat untuk menulis semula silibus Sains dan Matematik di dalam BM, dan amatlah dihargai sekiranya proses perkembangan bahasa juga dilaksana secara telus dan tidak melacurkan BM dengan meminjam perkataan BI.

Kesilapan kerajaan adalah apabila menjadikan PPSMI sebagai ubat ketika sakit, dan bukannya sebagai supplement yang perlu di makan secara harian. Okay, orang sakit (murid sekolah) suka ke makan ubat ketika sakit? 90% dijamin tidak suka. Kenapalah ketika kita sedar anak-anak kita lemah BI, kita pergi sua dengan ubat secara tiba-tiba dan memaksa? Kenapa tidak sejak kecil kita cegah dengan memberi makanan/supplement berkhasiat untuk mereka?

Dan yang bising mengatakan "Makin susahlah Sains & Matematik lepas ini, otak dah tak boleh switch!" hamba seru "Hoi! Suruh belajar pun asyik nak kata susah ke?" sebab hamba dulu pernah merasakan pengalaman menjadi pelajar. Ia bukan sebab susah atau senang, cuma soal malas atau rajin saja. Orang malas macam hamba dulu, semestinya ketinggalan dalam Sains (hehehe), tetapi kalau rajin dan ada minat; tiada yang mustahil. Suruh belajar je pun, bukan suruh buat ujikaji nuklear nak selamatkan Malaysia daripada serangan Yahudi Mabuk!

Juga yang bising mengatakan "Kalau tak tukar, nanti kalah pilihanraya" hamba nasihatkan berkokoklah sampai pagi. Dulu mereka ini juga yang minta mansuhkan PPSMI, bila betul-betul mansuh keluar bunyi bodoh sebegini. Yennadey! buat malu saja tanya cakap macam tepuk air di dulang!

Tak kisah kalau asbabnya politik dan soal mencuri semula kepercayaan pengundi sebab, hal yang satu ini harus disegerakan tak kira siapa pun yang memerintah. Manek Urai bukan tempat untuk kita kata menyelamatkan BM sebab politik kini tak semudah merona propaganda sahaja.

Manek Urai mungkin medan BN menguji keberkesanan hal ini, sebaliknya hamba tak ambil peduli sebab hamba boleh tersenyum kerana 'manek' yang terikat dalam benang ketamadunan bangsa hamba kini boleh terurai dan terus bertebar dan berkembang bebas; tidak lagi terikat dan kusut lantas putus begitu saja. Anak cucu kita adalah pengurainya, bahasa kita adalah 'manek'nya.

Read more

penggemar