Hujung minggu lalu (29 dan 30 November 2008) hamba berkesempatan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak untuk menonton Pertandingan Debat Di-raja 2008. Pertandingan ini diadakan saban tahun, dan melahirkan ramai pendebat hebat.
Hamba sudah berjanji dengan teman baik hamba, yang juga bekas pendebat hebat daripada Uniten iaitu Saudara Firdaus Azim yang kami teriak Makhluk Halus. Firdaus datang jauh dari Terengganu untuk menonton debat kali ini, dan hamba juga teruja untuk pertama kali menonton Debat Diraja. Lama diundang, hamba tak pernah pergi. Takdir, selepas habis belajar barulah hamba berpeluang. Turut serta bersama kami hari itu ialah seorang lagi teman baik hamba, En Pau.
Hari Pertama
UIA agak jauh dari kediaman hamba di Cheras. Cadangnya kami bergerak awal pagi, tapi janji Melayu, kami bertolak pukul 10.30 pagi selepas berkudap di kedai mamak. Kami sampai agak lewat, dan sidang pertama sudahpun tamat. Tak mahu bazir masa, kami masuk terus ke Auditorium untuk mendengar keputusan sidang 1. Agak ramai manusia di dalam auditorium tersebut. Bukan saja ada peserta daripada seluruh IPTA di Malaysia, malah juga orang awam yang mengikuti pertandingan debat ini.
Melihat jumlah penonton yang ramai, hamba agak bangga kerana nampaknya anak muda sekarang masih ada yang menyokong majlis-majlis ilmu yang lebih lagi mendaulatkan Bahasa Melayu. Alhamdulillah.
Seperti kebiasaan, dapat saja tajuk perdebatan peserta hanya punya 30 minit untuk kaji dan semak semula isi penting. Kelam kabut sangat nampaknya, lebih lagi jika tajuk yang dijangka keluar, tak keluar. Sesekali ada pertandingan sebegini, pendebat kena kaji dan selidik semua 30 tajuk merangkumi isu sosial, politik, budaya malahan tajuk berperibahasa. Kesian tapi menguntungkan mereka sebab dapat banyak pengetahuan am.
Tajuknya : Politik Malaysia Mengancam Perpaduan. Tajuk yang cliche bagi hamba, namun tambahan pesertanya ialah kumpulan muda, hamba rasa debat kali ini tidaklah sengit. Hamba lebih teruja jika pasukan utama menentang pasukan utama.
UM Utama bergerak sebagai kerajaan menggariskan tajuk politik yang mengancam perpaduan menerusi contoh-contoh adil. Tidak berpihak kepada BN mahupun PR. Biarpun mereka bergelar kerajaan. Perdana Menteri sebelah kerajaan ialah Saudara Azri Zahier Azmi yang Firdaus kenali sebagai John. Sebagai pemanas, hamba rasa John bergerak senang tanpa ada halangan. Cuma, sebagai PM hamba rasa TPM yang lebih banyak membantu - TPM hari itu ialah Saudara Ali Ashraf yang kemudian dianugerahi Pendebat Terbaik untuk sidang 21. Tahniah, anda memang layak.
Gambar: John (kanan) ketika mencelah, sebagai PM John tidak banyak 'bekerja' berbanding TPM - Ali (tengah)pun begitu beliau nampak faham benar tajuk perbahasan.
Benar seperti dijangka, pasukan USM Muda bukanlah saingan sengit. Adalah serba sikit cubaan untuk melawan, tapi USM banyak mengalah. Tidak berpengalaman dalam mematahkan serangan UM. Bayangkan, ketua pembangkang Nurul Fatini Jaafar asyik merendah diri mengatakan abang-abang UM lebih berpengalaman daripada mereka. Itu membunuh pertandingan nampaknya. Seteruk mana pun menjadi pasukan belasahan, jangan sesekali mengakui kehebatan lawan.
Tambahan nota, Saudari Fatini acapkali tersilap sebut dan tatabahasanya agak lemah sebagai contoh menggunakan perkataan "rakyat-rakyat". Dik, cukuplah sekadar menyebut rakyat. Rakyat sudah majmuk sifatnya. Fatini teruk tatabahasa, sementara John pula asyik menggunakan saduran Bahasa Inggeris ke dalam penggunaan Bahasa Melayunya. Contoh ketara, awal lagi dia sudah tergeliat menyebut perkataan 'autoritatif'. Mana keutamaan anda?Kalau perkataan tersebut ada istilahnya dalam Bahasa Melayu, kenapa perlu sadurkan Bahasa Inggeris? Apa kurang ke perbendaharaan kata kita?
Tambahan nota, Saudari Fatini acapkali tersilap sebut dan tatabahasanya agak lemah sebagai contoh menggunakan perkataan "rakyat-rakyat". Dik, cukuplah sekadar menyebut rakyat. Rakyat sudah majmuk sifatnya. Fatini teruk tatabahasa, sementara John pula asyik menggunakan saduran Bahasa Inggeris ke dalam penggunaan Bahasa Melayunya. Contoh ketara, awal lagi dia sudah tergeliat menyebut perkataan 'autoritatif'. Mana keutamaan anda?Kalau perkataan tersebut ada istilahnya dalam Bahasa Melayu, kenapa perlu sadurkan Bahasa Inggeris? Apa kurang ke perbendaharaan kata kita?
Gambar : Fatini berbakat, cuma perlu hilangkan gementar dan jangan banyak memuji lawan.
Tak banyak yang hamba boleh komen mengenai perlawanan yang tak berapa nak sengit ini kecuali situasi apabila Shen Yee Aun daripada UM Utama merumus hujah-hujan. Budak Cina bukan sembarangan. Amat bagus dan kritis. Molek hamba jelaskan bahasa Shen juga aktif berpolitik, hamba sudah ikuti blognya, nyata pemikirannya kritis. Nampaknya PKR punya angkatan muda yang bakal serlah hebat, tambah gembira Bahasa Melayu Shen amat bagus dan lebih bagus daripada Sharifah Amani. Oops!
Gambar : Shen Yee Aun merumus tajuk perbahasan. Malaysia harus perhati budak ini.
Sidang 3 merupakan sidang terakhir untuk hari pertama saringan. Sidang 3 dimulakan jam 3.30 petang selepas usai kami kembali ke Auditorium untuk mendengar pengumuman keputusan Sidang 2 tadi. UM Utama melonjak naik ke dalam top 8 daripada kesemua 67 pasukan yang masuk bertanding, utama dan muda.
mencadangkan kami masuk ke Sidang 2 yang belum dimulakan.
Sidang 2 menyaksikan perlawanan di antara USM Utama vs UTM Utama. Nah! Utama lawan utama. Barulah seronok.
Jangan teruja dulu, baca dan nilai kemudian.
Tajuk sidang ini ialah Kita Tidak Bersatu Dalam Menangani Isu Kepentingan Negara. Awalnya hamba amat teruja sekiranya pasukan yang bertanding memilih tajuk pilihan ketiga iaitu - Harapkan Pagar Pagar Makan Padi. Malangnya kebanyakan sidang yang hamba jenguk, tidak memilih tajuk ini. Sukar barangkali, tambahan jika tajuk berperibahasa bimbang kalau pihak Kerajaan mendasarkan tajuk sekadar tafsiran terus. Habislah satu sidang duduk bercerita hal pagar, hal padi. Pernah berlaku ke sebelum ni? Wallahualam.
PM yang membuka gelanggang petang itu ialah Saudari Zakiah Setu (USM Utama) yang anggun ber'blazer' labuh ala muslimah. Rajin juga tersenyum, sesekali terkeluar slanga Melayu piawai. Asal Sabah barangkali.
Gambar: Pasukan USM Utama - Zakiah (duduk) sebagai PM banyak goyang kaki sedangkan dia harus menggulung hujah manakala Khairul Azhar Jalil (berdiri) sebagai TPM tidak banyak membantu dari segi hujahan bernas, malah silap fakta pula.
Agak bosan petang itu, hamba lihat Sidang 2 ini sudahlah banyak salah fakta, malahan mereka juga tidak memahami secara telus tajuk perdebatan. Antara salah fakta yang ketara ialah bab papan tanda pelancongan, isu Pulau Pinang dan sebagainya. Kami tergelak juga melihat fesyen pasukan USM, Zakiah hadir dengan blazer labuh, Khairul Azhar pula tampil siap memakai vest. Seorang lagi peserta USM, yang hamba lupa namanya, disindir pasukan UTM kerana dia memakai kemeja belang disesuaikan dengan tali leher belang corak serupa.
Aduh, kelakar sungguh. Mereka sekadar menang gaya, itupun Firdaus mempersoal apabila hamba andaikan mereka sebagai 'fashionista', lantas hamba betulkan, bukan 'fashionista' tapi 'fesyen nista'. Tergelak besar kami.
Hari pertama kami habiskan sebagai pemanas badan saja. Harap-harap esok perdebatan lebih panas dengan tajuk-tajuk menarik.
Hari Kedua
Hari kedua, hamba pergi dengan Firdaus saja, En Pau tidak ikut serta. Hamba faham, budak perakaunan susah sikit nak bergaul sekitar dunia politik, dunia perdebatan. Mereka lebih kepada nombor-nombor, objektif dan bukan subjektif.
Topik perdebatan mereka pilih ialah 'Berambut Lebih Baik Daripada Botak'. Tajuk yang punya ummph! Baik jika mereka berdebat secara terus, alamat nanti keluarlah semua fakta-fakta sains mengenai rambut, kulit rambut, shampoo dan sebagainya. Kelakar jugak. Jika mereka mendefinisikan tajuk kepada situasi yang lari daripada politik, alamat susah juga kita nak meramal. Bila dengar kes ini, hamba fikir kalau dibincang secara islamik, mungkin boleh dirujuk kepada kes Sharifah Amani (dia lagi..) yang pernah botak sekaligus melanggar hukum haram yang Allah tetapkan. Itupun menarik untuk di dengar, kisah rambut sebagai masalah wanita.
Tapi pagi itu, mereka memilih untuk memanjangkan tajuk tersebut kepada isu politik perkauman lebih baik daripada politik kenegaraan. Bernas sungguh idea, kerana definisi ini akan menjurus kepada keseimbangan hujah di antara blok pembangkang menentang blok kerajaan.
Gambar: Izuddin terlalu lama bercakap soal rambut, sampaikan Burhan menongkat dagu.
Kerajaan UDM ber-PM kan Saudara Mohd Izuddin Mohd Rosli, memilih untuk mencadangkan tajuk politik yang berteraskan parti. Maka, signifikasinya kepada jalan hujah mereka memang berbaur perkauman lah serba serbi. Berkompanglah Izuddin bila bercakap mengenai ketuanan Melayu, hak-hak bumiputera, serta hak-hak kaum bukan Bumi untuk dijaga. Semuanya dilitup dengan rambut. Cuma yang kelakar, Izuddin sebagai pemula acara mengambil masa yang agak lama sekadar untuk mendefinisikan fungsi rambut kepada manusia. Katanya, rambut dapat mengelakkan daripada kecederaan. Ye ke? Kalau ya, apa perlu wujudnya topi, topi keledar dan payung. Itu secara logiklah. Tapi, hamba faham maksudnya. Kalau botak lagi huru hara semua manusia.
Ketua Pembangkang UIAM ialah Saudara Jefri Khairil Zabri, nampak sopan, zuhud dan khusyuk. Tidaklah tegas sebagaimana ketua pembangkang yang kita kenal. Jefri bantah dan usulkan konsep Bangsa Malaysia yang direncanakan Dr. Mahathir. Boleh? Hamba ketawa saja dalam hati sebab hamba bukanlah penyokong konsep ketuanan Melayu (yang salah pelaksanaannya), dan hamba juga bukanlah penyokong konsep Bangsa Malaysia yang tidak dapat hamba nak cirikan bagaimana rupa bangsa Malaysia itu sendiri.
Tapi tough fight, TPM dari UDM iaitu Saudara Ahmad Burhan Sidqi (yang hamba fikir berketurunan India Muslim) menyokong politik perkauman, untuk mempertahankan hak ketuanan Melayu. Burhan juga kata konsep Bangsa Malaysia lari dari asas perlembangaan yang sudah ditetapkan sebelum merdeka, bagaimana British mengusulkan idea untuk mengasing dan memberi peluang sama rata kepada semua kaum untuk mempraktikkan budaya, bahasa masing-masing. Burhan silap satu perkara iaitu, TIADA UNDANG-UNDANG YANG DIGUBAL MANUSIA YANG TAK BOLEH DIUBAH. Undang-undang Allah saja yang tidak boleh diusik, undang-undang manusia hatta Tunku Abdul Rahman pun bukannya tak boleh diubah.
Ini termasuk konsep siapa Bangsa Melayu itu sendiri dalam perlembagaan Malaysia yang sah-sah silap konsepnya.
Topik ini agak hebat, dan hamba akan ulaskan dalam posting khas berjudul 'Berambut Lebih Baik Daripada Botak' dalam waktu terdekat nanti. Biar hamba habis ulas majlis debat ini terlebih dahulu.
Gambar: Saudari Husna berapi mempertahankan konsep Bangsa Malaysia.
Blok Pembangkang semakin kuat dengan kehadiran Saudari Nurul Husna Ahmad, sebaya hamba menuntut dalam jurusan undang-undang. Husna punya gerak sampai yang bagus, nadanya bercerita tapi bukan ala-ala makcik. Husna melontarkan idea sekiranya Bangsa Malaysia terbentuk, kepentingan semua kaum terjaga, setiap bangsa boleh hidup sama rata. Iya kah Cik Husna? Agak tak konkrit alasan itu. Ada baik hamba tegur satu perkara saja bahawa apabila berlaku asimilasi, apakah tidak akan wujud situasi berpuak-puak dalam parti tersebut? Bagaimana mahu mempertahankan hak kaum masing-masing sekiranya puak-puak tidak harus wujud. Di akhir cerita, perpaduan parti tersebut juga yang diancam bak hakisan.
Hamba bagaimanapun tertarik dengan penyampaian Saudari Farhan Nordiana atau terkenal di kalangan pendebat sebagai Kajol (Kajol?). Kajol muncul sebagai tukang rumus topik bagi pihak pembangkang. Gaya dan tonasi bagus, ada unsur-unsur kelakar. Cuma bila bekerja sebagai perumus, susah nak lontarkan hujah sendiri. Hamba tertarik dengan kata-kata Kajol berbunyi "Politik perkauman yang ibarat rambut ni susahnya ibarat menjaga rambut sendiri, perlu disikat, dishampoo, dirapi setiap hari. Bila bermasalah, terpaksa pula ke Yun Nam Haircare. Leceh dan menyusahkan".
Kelakar bukan? Tapi realistik. Hamba suka alasan itu kerana sedar tak sedar selama ini pun kerajaan banyak mengalah untuk menjaga kepentingan semua kaum. Kepentingan yang masih perlu dijaga biarpun sudah 50 tahun merdeka.
UIAM menang mudah, dan Kajol dinobat sebagai Pendebat Terbaik Sidang 2. Tahniah!
Sesi petang untuk Sidang 6 kami menyaksikan perlawanan di bilik Sidang 1. Sidang ini menemukan dua pasukan yang sudah 5 kali menang tanpa kalah iaitu pasukan UIAM Utama menentang pasukan pilihan, UPM Utama B. Kedua-duanya menduduki carta teratas selepas pengumuman sidang ke-5 tengah hari itu.
Seperti dijangkakan, Sidang 1 agak box-office. Penuh dengan orang ramai. Kami terpaksa menunggu lama kerana juri yang agak lambat. Tapi masa 30 minit untuk persediaan digunakan dengan baik oleh kedua-dua pasukan. Hamba melihat pasukan UIAM seolah sudah bersedia dengan tajuk bahasa petang itu, kalau tidak masakan mereka asyik-asyik keluar masuk sidang pada waktu persediaan.
Gambar: Suasana sebelum mula Sidang 1, ruang penonton agak box-office seperti menonton kes perbicaraan Altantuya.
Tajuk bahas yang mereka pilih ialah Pindaan AUKU : Mahasiswa Sudah Bersedia. Tajuk ini tidak pernah terkesan ketika hamba menuntut di UNITEN tak lama dulu, kerana lumrah pelajar IPTS tidaklah ghairah sangat untuk berpolitik di kampus. Yang menjadi hal ialah pelajar IPTA yang nampak jelas terdorong untuk aktif dalam politik negara. Jadi, pindaan AUKU akan memberi mereka peluang luas untuk meneroka luar dan dalam keladak dunia politik tanah air. Jangan menyesal sudah ya adik-adik!
Jefri kembali sebagai PM petang itu bak kata perumus UPM, Saudara Amiruddin, Jefri seolah-olah menjadi PM ala Pak Lah, kurang membantu selain bahtera blok kerajaan dikemudi oleh 2 peserta wanita hingga Amir memberitahu "PM seolah-olah lelaki yang dipacu oleh dua isteri". Kelakar betul hingga Jefri tampil ketika menggulung untuk mempertahankan gerak kerjanya petang itu. Katanya tak salah untuk dia berpoligami.
Senang cerita, petang itu saingan sangat sengit, UPM silap dalam beberapa perkara termasuk silap fakta sehingga menyebabkan UIAM yang tidaklah sekuat pagi tadi, mampu menang. Ambil contoh apabila Jefri mengimbas kembali Demonstrasi Baling 1974 ketika penduduk di sana diancam kebuluran, di mana ramai mahasiswa yang ditangkap dan menjadi kes mahkamah. UPM juga seolah memancing penonton untuk mengimbau zaman Anwar Ibrahim sebagai mahasiswa yang mahu pindaan AUKU dijalankan kerana era akhir 70an, Anwar antara mahasiswa yang aktif berpolitik selain Ibrahim Ali (ini ahli parlimen kegemaran hamba).
UPM menerusi Ketua Pembangkang - Saudara Syamsul Salleh (yang banyak menang Best Speaker) mengatakan mahasiswa tidak cukup matang untuk berpolitik hingga menimbulkan isu perbalahan kecil di Kolej ke-12 UPM. Kes itu kecil saja, hamba juga pernah dengar daripada pengurusan UPM sendiri. Tidak salah mahasiswa berpolitik, kerana keadilan itu sendiri menuntut kita meletakkan sesuatu perkara kepada tempatnya. Jika salah, maka betulkan.
Contoh UIAM berikan ialah tindakan berhemah mahasiswa UM yang membuat laporan polis ke aras suruhanjaya pilihanraya kampus ketika berlaku penyelewengan kertas undi pilihan raya kampus mereka tak lama dulu. Itu contoh mahasiswa sudah matang. Nurul Husna bangkit mengatakan "Apabila kita mengatakan mahasiswa kita belum matang, maka kita menghina kualiti mahasiswa kita dan kita mempersoalkan kualiti IPTA di Malaysia".
Tapi dari segi yang lain, Cik Husna harus terima hakikat juga bahawa, yang matang ada, cuma yang tak matang yang selalu jadi pak turut ini juga wujud. Jadi, kematangan tidak dinilai menerusi majoriti kerana kes-kes minoriti inilah yang mencuri tumpuan. Hayati konsep nila, susu dan belanga.
UPM belum mengalah, menerusi Amar Redza sebagai TPM bagaimanapun menyambung hujah PM yang belum sudah. Ada juga yang musykil. Namun, hamba amat tertarik dengan perumus dari blok UPM iaitu Saudara Amiruddin yang agak psiko, berjiwa dan punya lontaran pandangan mata yang tajam, tegas dalam menyampaikan rumusan.
Gambar: Aksi Kajol mencelah, unik dan sakit mata jadinya. Nasib baik UPM bersabar.
Ketika Kajol UIAM mempersoalkan sejak bila mahasiswa diharamkan untuk ber-blog, Amiruddin mempertahankan dengan mengatakan, sebilangan mahasiswa salah guna blog dengan sebarkan cerita-cerita palsu, tanpa selidik. Cuma hamba agak tak berkenan dengan sikap over Kajol ketika merumus. Dia agak rakus membidas blok pembangkang. Nadanya menyakitkan hati, tapi lumrahlah sememangnya berdebat cara itu lebih senang untuk mematahkan serangan.
Syamsul dan Amiruddin antara contoh pendebat yang mampu mematahkan serangan tanpa perlu over, blok UIAM hamba lihat Husna yang nampak rasional kerana penyampaiannya berhemah.
Gambar: Amiruddin bagi hamba punya mata dan telinga berserampang, gerak geri mencurigakan dan hujah dipintas halus, bagi hamba dia pendebat terbaik petang itu.
Petang itu, untuk sidang 6, sidang terakhir untuk peringkat saringan UIAM menang menewaskan UPM. Husna juga dinobat sebagai Pendebat Terbaik, sedang secara peribadi hamba pilih Amiruddin untuk menang.
Kami ke auditorium untuk melihat pasukan manakah yang diumum untuk masuk ke peringkat suku akhir. Jangan terkejut, USM yang hamba cuit sebagai fesyen nista pun berjaya, malah berada di kedudukan kedua. UM Utama, pasukan Shen juga berjaya.
Hamba bekerja mulai isnin, maka terlepas peluang untuk menonton peringkat suku akhir (di mana UIAM sekali lagi menewaskan UM Utama), separuh akhir pada hari selasa dan semalam berlangsung perlawanan akhir. Nanti akan hamba kemaskinikan keputusannya.
Apa-apapun, pengalaman menonton Debat Diraja hamba kira amat menarik, dan membanggakan kerana dengana adanya majlis-majlis ilmu sebegini, maka berkembanglah Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Hamba juga kagum dengan penglibatan pendebat bukan Melayu seperti Shen, cuma bilangan mereka masih minoriti. Harap pada waktu akan datang, lebih ramai pendebat berbahasa Melayu fasih dilahirkan, supaya tidaklah kita melahirkan generasi parlimen yang tergagap-gagap.
Satu lagi yang hamba tak berkenan ialah penyaduran Bahasa Inggeris ke dalam bahasa debat Melayu, yang hamba kira tak ubah sebagai melacurkan bahasa ibunda kita. Pendebat-pendebat harus lebih peka untuk menggunakan perbendaharaan kata dalam Bahasa Melayu selepas ini.
Debat Diraja juga diadakan dalam 3 bahasa. Biarpun hamba pernah menduduki berpidato dalam ketiga-tiga bahasa ini ketika zaman sekolah dulu, bila dewasa, hamba terdorong untuk menyokong debat berbahasa Melayu yang menurut hamba, lebih berjiwa. Bukankah bahasa jiwa bangsa?
Laman Sawang yang turut berbicara soal debat Diraja, boleh rujuk
Bingkisan:
Univerisiti Putra Malaysia diketuai Syamsul Salleh berjaya menundukkan juara bertahan UIAM untuk bergelar Juara Debat Diraja 2008. Tahniah!
Tahniah juga kepada Saudara Amiruddin A Rahman (pelajar Sains Fizik pula tu), yang sejak mula hamba pilih sebagai pendebat kegemaran hamba, semalam dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik untuk kategori Bahasa Melayu. Tahniah juga!
Univerisiti Putra Malaysia diketuai Syamsul Salleh berjaya menundukkan juara bertahan UIAM untuk bergelar Juara Debat Diraja 2008. Tahniah!
Tahniah juga kepada Saudara Amiruddin A Rahman (pelajar Sains Fizik pula tu), yang sejak mula hamba pilih sebagai pendebat kegemaran hamba, semalam dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik untuk kategori Bahasa Melayu. Tahniah juga!
Gambar: Barisan depan, pendebat-pendebat UPM - (dari kiri) Nurul Syafiqah Sokhaily, Syamsul Salleh, Amar Redza Rizal dan pendebat terbaik, Amiruddin Abd Rahman.
2 ulasan:
You pernah join debate ke? tak pernah nampak sebelum ni. Tp comments u bagus.
huh.. penat membaca.. mmg seorang pendebat anda nih.. sgt kewl!!!
Catat Ulasan