Ketuanan Melayu Yang Tiada Dalam Perlembagaan

SOROTAN 2008

PESANAN: Hamba sedang mengulas subjek-subjek berkaitan Melayu yang menarik sepanjang 2008 yang akan hamba pecahkan kepada 3 kategori iaitu
1. Hiburan Melayu
2. Bahasa Melayu
3. Politik Melayu

Memahami Perlembagaan Negara

Sebelum berceloteh panjang, hamba panjangkan pemahaman hamba terhadap Perlembagaan Malaysia yang sempat hamba pelajari (walaupun tidak menelaah dengan lebih mendalam) ketika zaman bergelar penuntut universiti tak lama dulu. Perkara asas yang perlu kita tahu tentang Perlembagaan Malaysia ialah ia punya 15 cabang yang menetapkan semua hal penting dalam pembentukan sesebuah negara seperti perkara asas seperti undang-undang tubuh, kehakiman, kewangan negara, perkhidmatan awam, pilihanraya dan paling dibincangkan, kewarganegaraan. Untuk bacaan terus kepada
Perlembagaan Malaysia <--ini bukan sumber Wiki ya.






Gambar kredit kepada perisik-rakyat.com


Perkara Yang Dibangkitkan - Perkara 153

Perkara 153 dalam perlembagaan menggariskan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera. Pembetulan, kalau ikut sains, Bumiputera tak kira kaum asli dayak mana juga dikira Melayu. Okay, inilah yang sibuk diperbincangkan selama ini.

Tun Det dalam blognya menggariskan dua entri berjudul Kontrak Sosial menerangkan satu persatu akan pemahaman beliau mengenai kontrak sosial. Tun lebih dulu memukul canang apa itu kontrak sosial, tanpa hamba hirau apa muslihat di sebaliknya. Dalam entri tersebut, Tun menggariskan pemahaman beliau bahawa setiap warganegara harus memperakui dan akur kepada perlembagaan sesebuah negara, biarpun mereka kaum pendatang atau kaum bergelar tuan tanah. Untuk faham, elok baca entri ini terlebih dahulu. Berbalik kepada Kontrak Sosial dalam entri kedua, hamba tertarik dalam hujah nombor 21 dan 26 di mana beliau mengatakan

"..dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi"

" Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja".

Hamba nak tergelak pun ada, kerana perkara yang dinyatakan oleh Tun Det nampaknya tidak menampakkan hasil biarpun sudah setengah abad perlembagaan negara ini diperakui kedaulatannya. Tapi maaf, hamba tidak mahu bercakap bahasa Melayu secara khusus, sebaliknya hal lain yang secara amnya mewakili hak dan keistimewaan orang Melayu, termasuk soal bahasa.

Hamba ada membaca kesemua perkara dalam perkara 153 yang sebetulnya berkenaan kontrak sosial dan sepemahaman hamba yang tak seberapa ini, tiada disebutkan fasal ketuanan Melayu. Jadi, daripada mana pesongan fakta ini berlaku? Dalam perlembagaan atau atas marga politik sahaja? Yang pasti ketuanan Melayu lebih hamba faham sebagai dongengan yang menakutkan bak sumpahan orang minyak. Kenapa ini berlaku? Itu yang hamba cuba rungkaikan.

Penemuan hamba sepanjang menelaah perlembagaan yang mana hamba bertemu perkara bahawa tiada disebutkan langsung konsep ketuanan Melayu dalam perlembagaan negara. Jadi, dari mana datangnya konsep ketuanan Melayu?

Sebelum itu, ada baiknya anda semua rujuk Perkara 153 dalam link di bawah ini.

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Jelas dan nyata, perkara 153 digubal untuk menjaga kepentingan bangsa Melayu sebagai tuan tanah yang tidak dianggap sebagai pendatang di Tanah Melayu. Lama dulu sebelum kehadiran bangsa Cina dan India, semenanjung ini berada di bawah kekuasaan kerajaan Melayu, baik yang berpusat di Sumatera, Tanah Jawa, ataupun di Tanah Melayu sendiri. Semenanjung telah ditadbir oleh beberapa kesultanan / kerajaan Nusantara secara terus menerus, zaman ke zaman.

Tetapi di mana wujudnya konsep ketuanan Melayu yang dipukul canang?

Secara ringkas, hamba melihat idea untuk mengembar-gemburkan wujudnya ketuanan Melayu, lebih-lebih lagi dalam meyakinkan sebilangan besar bangsa Melayu yang tidak berminat untuk mengkaji, dan menelaah Perlembagaan Malaysia untuk terus percaya, dan terhutang budi kepada kerajaan sekarang yang bertanggungjawab mencetuskan perjanjian, dalam perkara 153 tersebut.

Intipatinya, Melayu akan terus menikmati rizab atau keistimewaan yang kita cuba pertahankan hari ini. Contohnya, hak kerakyatan, Islam sebagai agama rasmi, kuasa raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, biasiswa, kuota dalam perkhidmatan awam dengan nisbah 4:1 untuk Melayu dan bukan Melayu, ekuiti 30% dalam syarikat milik kerajaan, dan yang paling dijaga ialah kedudukan Melayu dalam pentadbiran kerajaan selain kuasa raja-raja.

Hamba faham , ketika Tunku mahu menuntut kemerdekaan negara - sokongan daripada bangsa bukan Melayu amat diperlukan untuk mendapat restu daripada British. Makanya, dalam pada menggubal kesemua 15 cabang perlembagaan negara baru benama Persekutuan Tanah Melayu (ketika itu), perjanjian untuk menggariskan perkara 153 ini dibuat untuk memelihara hak keistimewaan orang Melayu, sebagaimana ia tidak disebut dalam rang undang-undang untuk membentuk Malayan Union tak lama sebelum itu. Inilah yang hamba sebut sebagai survival orang Melayu yang dipukul canang dengan meletakkan terma Ketuanan Melayu, walhal hakikatnya ia tidak digariskan secara rasmi dalam perlembagaan negara.
Ya benar, suatu ketika dulu hampir semua kesultanan Melayu mengamalkan sistem feudal di mana golongan bangsawan saja yang akan mengambil pusing soal politik. Raja berkuasa sepenuhnya dan rakyat yang berbangsa Melayu dianggap sebagai rakyat sementara pendatang tidak diperakui sebagai rakyat. Kalau ini yang dikatakan ketuanan Melayu, maka sudah jelas sistem feudal sudah tidak diamalkan di Malaysia.

Maksud ketuanan Melayu pada hemah hamba tidaklah molek untuk digunakan. Tuan bermaksud menjadi orang yang memegang tampuk, dan sesiapa yang tidak bergelar tuan, maka menjadi hamba. Dalam konteks ini Melayu dan Bumiputera diangkat sebagai Tuan sementara bukan Melayu, maaf jika hamba namakan sebagai golongan Hamba. Adilkah begitu?

Hamba persoalkan disini ialah, seiring dengan pembentukan kerajaan Tanah Melayu, UMNO sendiri dengan janji memberi hak kerakyatan kepada bangsa bukan Melayu dalam usaha untuk mendapat restu merdeka daripada Inggeris. Hak kerakyatan itu diperolehi dengan cara dilahirkan didalam negara itu atau Jus Soli. Selepas menjadi warganegara, anak mereka akan secara automatik dianggap sebagai warganegara dan sebagai warganegara mereka tidak perlu bersumpah kesetiaan kepada negara berkenaan secara formal. Hak ini pula dikatakan sebagai melalui Jus Sanguinis, iaitu melalui pertalian darah. Samada kewarganegaraan diperolehi melalui jus sanguinis atau jus soli, kontrak sosial masih diguna pakai walaupun tiada pengakuan sumpah secara formal. Jadi, hamba sudah lengkapkan bagaimana Cina dan India boleh diterima kerakyatan di Malaysia tanpa syarat mengatakan mereka menjadi hamba.

Hamba bersetuju dengan isu pokok berkenaan kontrak sosial yang Tun Det gariskan dalam hujah ke 23 dan 24.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

Jadi, sejak dua menjak ini lebih-lebih lagi sepanjang 2008 hak keistimewaan orang Melayu dipersoalkan semula oleh bukan Melayu. Mereka menuntut kesamarataan atas dasar mereka mungkin terasa hina dengan konsep ketuanan Melayu yang seolah menjadikan mereka sebagai hamba kepada tuan Melayu.



Gambar: Orang Melayu sebagai penduduk asal mahu segala hak keistimewaan mereka terpelihara
Kredit kepada jalankayutrail.blogspot.com
2008 juga menyaksikan PAS dan UMNO membuat pertemuan demi pertemuan dalam membincangkan masa depan Melayu dan Islam. Ramai yang jadi kaget apabila ura-ura PAS dan UMNO mungkin bersatu seperti mana yang pernah berlaku dalam Perikatan dahulu. Secara peribadi, hamba tidak berkenan dan bersetuju PAS dan UMNO bergabung kerana dua entiti ini harus dipisahkan untuk mewujudkan 'check and balance'. Tiada kerajaan yang teguh jika tiada pembangkang.
Lagi pula, UMNO sendiri harus menelaah semula perjuangan mereka. Jika soal 'bangsa' yang menjadi keutamaan mereka maka tidak perlu mempergunakan 'agama' sebagai alat. Keahlian UMNO harus dibuka kepada bumiputera bukan Islam, sepertimana konsep tak semua Melayu adalah Islam. Dengan cara ini tidaklah muncul banyak parti-parti politik kecil di Sabah dan Sarawak yang sibuk memperjuangkan nasib kaum minoriti masing-masing sedangkan mereka mendapat hak keistimewaan sebagai bumiputera. Tidakkah ini akan lebih menyatupadukan orang Melayu/Bumiputera biarpun ada yang berlainan agama. Cuba rujuk MCA yang membuka keahlian kepada bangsa Cina tak kira mereka Buddha atau Kristian.
Lainlah pula dengan PAS, mereka memperjuangkan 'agama' sebagai asas perjuangan politik, maka tidak semestinya PAS hanya mempunyai ahli berketurunan Melayu, sebaliknya harus dibuka kepada kaum India Muslim, Cina Muslim ataupun mualaf dan Arab pendatang. Golongan-golongan ini secara logiknya tidak layak berada dalam kapal UMNO.

Tapi selama ini kita kenal UMNO sebagai parti penyelamat hak istimewa kaum Melayu sementara parti-parti lain tidak akan dapat menyelamatkan hak istimewa yang terkandung dalam perkara 153 tersebut. Hanya dengan mengundi UMNO (biarpun kadang-kadang calon UMNO tidak sepenuhnya berketurunan Melayu) maka mereka merasa akan lebih terjamin.

Justeru, hamba percaya ramai Melayu takut untuk mengundi parti yang tidak berasaskan kaum seperti PAS, PKR dan DAP atau logiknya PR kerana takut hak keistimewaan orang Melayu tergugat jika mereka memerintah. Inilah yang dimomokkan selama ini hingga Melayu takut untuk mengundi calon yang benar-benar berkelayakan sehingga terpaksa memilih kaum sendiri biarpun calon itu terbukti tidak telus, mengamalkan rasuah atau tidak cekap dalam pentadbiran.

Mereka takut untuk undi bukan Melayu yang pada mereka mahu memegang tampuk penting dalam kerajaan dan itulah yang menyebabkan Datuk Ahmad Ismail (Adun Bukit Bendera) contohnya sibuk berdemo, dikatakan bersikap perkauman segala. Betapa bebalnya Ahmad Ismail ini kerana mengambil pusing perkara 153 sahaja tanpa menelaah keseluruhan perkara dalam perlembagaan negara.
Perkara Yang Tidak Dibangkitkan - Perkara 159

Sedar atau tidak sedar, ramai Melayu yang takut dengan kuasa bukan Melayu tertipu dengan momokan ketuanan Melayu yang diperjuangkan sejak zaman pengharaman Umno pada 1988. Mereka sebenarnya tidak merujuk kepada perkara 159 yang menggariskan bahawa hak keistimewaan orang Melayu/Bumiputera tetap akan terbela.

Sebelum itu, rujuk link Perkara 159 dibawah ini dahulu.

Jelas dan nyata dalam perkara 159 ada digariskan dalam fasal kelima berbunyi...
(5) Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Jadi apa yang nak ditakutkan?

Demokrasi di Malaysia tidak berjalan seeloknya sejak 50 tahun yang lalu. Undian yang kita lakukan kebanyakkan bersangkut emosi akan takut kehilangan hak dan keistimewaan hingga menjadikan Melayu sebagai tuan tanah yang lekas selesa, dan tidak berdaya saing.

Tapi apakan daya, semua itu sudah dirangka dan digariskan dengan baik oleh Tunku agar masa depan bangsa Melayu sebagai penduduk asal terbela. Cuma yang hamba kisahkan disini ialah apakah dengan mengundi orang Melayu yang tidak berkebolehan maka kita akan terus selamat?

TIDAK!

Hamba lebih rela memilih seorang Cina yang punya kecekapan dalam memimpin, idea yang kreatif serta memahami perlembagaan Malaysia untuk tidak mempersoalkan perkara 153 kerana hak memimpin dan menyertai politik telah orang Melayu berikan menerusi undi. Hamba tidak rela memilih seorang Melayu yang tidak punya kecekapan dalam memimpin, tidak punya semangat untuk membantu memberikan kesamarataan bantuan terhadap semua kaum, jenis pemimpin yang mengamalkan politik wang malahan punya sikap mazmumah yang berlebihan.

Hamba memilih calon yang berkelayakan tanpa mengira apa kaumnya kerana sebagai Melayu, hamba yakin dan percaya kepada perlembagaan perkara 153 yang dijaga rapi pula oleh perkara 159.

Habis, apa lagi yang Melayu risaukan jika bukan Melayu memimpin? Hamba mahukan perubahan dalam pentadbiran negara. Sikap ketamakan, ambil mudah, politik wang semua itu nampak jelas dalam koloni politik Melayu. Melayu tidak menjadi bangsa yang berdaya saing selama ini kerana ditipu dengan helah politik yang memaksa mereka memilih kerajaan yang tidak berkebolehan. Sisi buruk yang kita nampak sekarang seperti penjawat awam yang lembab hinggalah kepada Pak menteri tidur dan skandal, telah lama wujud kerana keselesaan yang dijanjikan. Bila bangsa Melayu nak maju?

Maka hamba menuntut kesamarataan kaum yang masih berlandaskan kepada perlembagaan. Hamba percaya tidak semua Cina mampu menghantar anak mereka bersekolah lebih tinggi sebagaimana Melayu yang punya biasiswa / wang ihsan segala. Kesamarataan antara kaum ini penting untuk tidak mewujudkan jurang ekonomi yang kecil dan akhirnya nanti setiap bangsa boleh bekerjasama dan belajar untuk mengenal ilmu baru seperti Melayu yang dahagakan ilmu perniagaan daripada Cina.

Kesamarataan kaum tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan BN kerana mereka menyatakan bahawa dalam apa hal sekalipun Melayu harus diberi hak berlebihan. Hingga menjadikan nasib bangsa Melayu seperti sekarang. Layu dan akan terus layu.

Jadi, PRU 12 pada Mac lalu hamba lihat sebagai pembuka jalan untuk rakyat Malaysia sedar dan celik mata untuk menilai yang mana kaca dan mana permata.
Jadi yang sebenar-benarnya istilah Ketuanan Melayu tidak wujud dalam perlembagaan. Hanya orang yang takut kepada bayang-bayang sendiri saja yang berfikir hak istimewa orang Melayu akan terhapus biarpun tanpa 2/3 kerusi parlimen dan restu Agong.
Insya-Allah, hak keistimewaan orang Melayu akan kekal sampai bila-bila biarpun kerajaan ditadbir oleh bukan Melayu yang bagus dan berkebolehan. Jangan silap dengan hamba, ada juga Melayu yang bagus, dan bukan Melayu yang tak bagus. Yang hamba nak tengok dalam kerajaan ialah mereka yang bagus-bagus. Keturunan bangsa tidak memberi kesan kepada kebagusan sesiapa. Kena faham itu ya!

Hamba juga tidak akan risau kerana Bahasa Melayu tidak akan tergugat sebagai bahasa rasmi negara biarpun mungkin kita akan bermenterikan majoriti Cina atau India yang berkebolehan. Fahamilah Rukun Negara yang ketiga - Keluhuran Perlembagaan.


Tambahan: Perlembagaan sesebuah negara pada asasnya tidak boleh diubah melainkan sesebuah negara digulingkan, dan membentuk sebuah negara baru berbentuk republik. Malaysia bukan negara republik sejak mula ditubuhkan. Inilah yang membezakan Malaysia dengan negara jiran seperti Republik Indonesia yang menghapuskan terus kuasa raja-raja Melayu Nusantara dalam pentadbiran negara mereka.

6 ulasan:

JimeMalek berkata...

million of thanks sbb bce my blog huh ! : )

i already read a few of ur entry
will read more in future! : )
got to say this
u kinda penulis blog about politik rite?
maybe its kinda heavy for teenager's like me but well its still good to know all that stuff u tell ! : )
and i love ur blog! : )
bcoz i know and learn new thingsthat i never know before!
so keep up the good work!
yeaaa!
and and!
keep blogging!
weeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeee~
: )

Amer Yusof berkata...

@ jime - takdelah tentang politic 100%... blog ni pelbagai. tapi kebanyakkannya pasal bahasa kita.
sy pun boleh dikira remaja lagi...(hahaha), kebanyakan topik tak berat sangat melainkan ada topik macam ini, kena serius sikit lah.

terima kasih sebab jenguk blog ni jugak.

Z berkata...

cis, aku teringat BTN la pulak lepas baca entri kau ni.

aku tak baca sampai habis though.

cuma aku rasa kita tak perlu gelabah, we have something to hold on to.

perlembagaan. kedaulatan raja-raja.

or the other way round. rukun negara. the likes.

Amer Yusof berkata...

@ Z- aku masa zaman meningkat remaja dulu (skarang masih remaja lagi) bapak malas nak gi BTN. sampai doa2 jgn terpilih. hahaha. memang xterpilih pon.

Tanpa Nama berkata...

salam.ha! bru jumpa mcm mana nak bg komen...haha.. ..
apa2 pun..thanks krn melawati laman sy.
saya tahu smua artikel anda mmg berkualiti,tp sy blum smpt nak luangkan masa utk baca smua artikel2 penulis. mungkin esok atau lusa.insyaAllah.. apa2 pun..teruskan berkarya..krn apa yg lahir dr jiwa dan minda adalah seni yang xternilai. :)
salam

aku melayu berkata...

nilah akibatnya... buat pntafsiran sendiri.... adilakh Melayu dipinggirkan oleh penjajah dalam bidang politik, pendidikan dan ekonomin beratus tahun lamanya...

sedang Cina mempunyai hampir 35% ekuiti pada tahun 1950, Melayu hanya ada 2% sahaja ekuiti... apathlagi dengan peluang pendidikan...

Atas asas ini hak istimewa siberi kepada orang Melayu... jadi keisteimewaan ini mestilah diberikan kepada 'previlages' atau mereka yang berhak iaitu tuan tanahlah.. Sebab itu dinamakan Hak Istimewa orang Melayu...hanya Melayu dan bumiputra sahaja disebut dalam perlembagaan... Perkataan Cina dan India tiada dalam perlembagaan... hanya disebut sebagai bukan bumiputra...

janganlah jadi Melayu yang berlagak sombong.... ambilah iktibar Melayu di Singapura.

penggemar