Memayungkan 'Hujan' Daripada Tempias

SOROTAN 2008

PESANAN: Mulai minggu ini hamba akan mengulas subjek-subjek berkaitan Melayu yang menarik sepanjang 2008 yang akan hamba pecahkan kepada 3 kategori iaitu
1. Hiburan Melayu
Insya-Allah, tajuk-tajuk ini akan hamba bentang sebelum terbitnya sinar 2009.
Payungkan Hujan

Kugiran
Hujan tenggelam timbul setelah setahun yang lalu mencanak naik bagai pencakar langit yang tumbuh di muka bumi. Kenapa panas Hujan sebentar sahaja sedangkan perkiraan hamba, Hujan layak untuk terus ke depan.

Bagi pengikut persada seni bawah tanah, Hujan sebenarnya tidak mati malahan makin lebat. Saban bulan ada saja persembahan hebat yang dijanakan kugiran tersebut. Hamba ada mengikuti beberapa persembahan mereka, setakat ini tiada yang menghampakan cuma disebabkan kesibukan kerja, dan tiada 'kaki' jarang sekali hamba dapat luangkan masa untuk ke gig-gig yang berlangsung di sekitar ibukota. Sementelah, penyertaan Hujan dalam gig-gig di sekitar Kuala Lumpur agak kurang, sebaliknya Hujan banyak ke utara semenanjung serta Malaysia Timur. Di Selatan, khabarnya Hujan agak berat kaki setelah satu insiden yang menyebabkan Hujan dicemuh.


Hujan menjadi subjek untuk hamba cuit hari ini sebagai SOROTAN 2008 yang pertama untuk kategori Hiburan Melayu. Kalau ikutkan hamba mahu menulis mengenai kecintaan Bahasa Indonesia di kalangan penggiat muzik Indonesia, namun hamba kira adalah lebih baik bercerita mengenai Kugiran Hujan, sebagai tanda sokongan hamba kepada kugiran yang baru berusia 3 tahun ini. Tambahan, malas untuk hamba ulas mengenai industri filem.

Hujan sebagai kugiran yang mencelah masuk ke dunia bawah tanah sekadar suka-suka telah menggelegakkan dunia kewartawanan Malaysia yang penuh dengan JPD (Jiwa Pantang Disentuh) kira-kira hujung 2007 yang lalu. Kenapa? Kerana kugiran ini mahu terus bernafas dalam lumpur, sedangkan udara pendam sudah meluap-luap mahu muncul dan berdiri di pentas arus perdana. Noh Salleh sang vokalis dalam temubual dengan Majalah Hai pada Januari 2008 memaklumkan bahawa mereka sebenarnya masih lagi terkena kejutan budaya kerana penghijrahan mereka daripada arus bawah tanah ke arus perdana bukanlah atas kehendak mereka secara penuh, sebaliknya adalah desakan komersialisme yang menuntut mereka keluar daripada kepompong.

Ironi kepada kejadian Noh yang tak berbudi bahasa itu, Hujan sebenarnya harus di angkat sebagai simbol baru Bahasa Melayu kerana pengaruh mereka. Hamba ambil 4 contoh Hujan dan isu bahasa ibunda kita. Pertama Hujan sebagai kugiran indie yang membawakan hanya lagu-lagu Bahasa Melayu. Seterusnya, perkara pokok : Nama Hujan sendiri mengangkat bahasa Melayu. Ketiga Hujan sebagai alat pemasaran menerusi kemeja T dan barangan fesyen remaja yang bersepah di uptown dan downtown. Terakhir Hujan sebagai medium mendekatkan remaja dengan sastera Melayu melalui penulisan lirik yang bijak dan berilmu.

Gambar: T'shirt jenama Hujan membiak di pasaran menunjukkan orang kita tak malu lagi berbaju conteng Bahasa Melayu.

Hujan berterus-terang sejak mula bahawa mereka mahu terus menggunakan Bahasa Melayu untuk penggunaan lirik dalam karya-karya mereka. Di sebalik keghairahan kugiran-kugiran indie lain yang mengunakan Bahasa Inggeris sebagai medium, Hujan tegar dengan BM. Kenapa? Disini hamba lihat jatidiri mereka untuk mengangkat jiwa Melayu yang sebenarnya lebih mudah digunakan untuk melepaskan perasaan dalam karya-karya mereka. Seringkali sebelum ini hamba mengikuti kugiran indie yang sibuk menulis lagu dalam Bahasa Inggeris, sedangkan mereka Melayu. Ambil contoh Butterfingers dan OAG yang dulunya ghairah mengangkat Bahasa Inggeris, dengan alasan 'mudah tembusi pasaran asing' sedangkan setelah misi mereka untuk tembus keluar gagal mereka kembali semula ke bahasa ibunda untuk berkarya. Jatidiri menjadi soal utama dalam subjek ini dan nampaknya Hujan tidak sekadar menjelmakannya melalui lagu-lagu malahan nama kugiran ini sendiri.

Hujan ialah perkataan Melayu yang bermaksud rintik limpah air yang turun daripada awan. Bagaimana perkataan Melayu yang biasa-biasa saja ini mampu diangkat sebagai nama sekaligus mendaulatkan penggunaannya. Sudah lama kita perasan kugiran-kugiran di Malaysia sejak zaman Search (terdahulu Singapura dengan Sweet Charity) hinggalah ke zaman Bunkface kini semuanya sibuk nak bersenandung dalam Bahasa Melayu, tetapi nama kumpulan pula dalam Bahasa Inggeris. Kecelaruan ini tidak langsung menjadi kerisauan mereka. Bayangkan 30 tahun nama Inggeris beraja dalam nada muzik Melayu maka di mana jatidirinya? Justeru Hujan memilih untuk lari daripada kecelaruan itu dan menyahutnya dengan menamakan mereka sebagai Hujan. Di Indonesia, banyak juga kugiran-kugiran baru yang bernama Inggeris tetapi hamba lihat yang berjaya banyaknya kugiran yang bernama Melayu seperti Dewa 19, Padi dan terbaru Kerispatih.



Gambar: Angkatan Baju Malaya punya agenda menarik untuk masa depan Bahasa Melayu.


Suatu ketika dulu remaja sezaman abang-abang hamba ghairah memakai kemeja T yang bertulisan Bahasa Inggeris. Masih lagi popular hingga kini sejak zaman kemeja T Metalicca hinggalah kepada jersi pasukan bolasepak ternama. Semuanya dalam bahasa penjajah. Hujan membawa angin baru apabila banyak pula penyokongnya memakai kemeja bertuliskan Hujan, yang ironinya berbahasa Melayu. Hamba melihat perkembangan fesyen ini menular sepanjang 2008 hinggakan banyak sudah kini budak-budak memakai kemeja T yang bertulis ayat-ayat Melayu seperti "Awak Tak Perasan Saya Sebab Awak Perasan Cantik", "Saya Sayang Mak Saya" serta "(Bakal Mak Mertua) Saya Garang". Mungkin secara logiknya Hujan bukan punca, tetapi jenama Hujan secara tidak langsung turut membawa kempen itu. 2008 juga hamba lihat, kumpulan sosial seperti Angkatan Baju Malaya juga dapat terus bernafas selesa seiring perkembangan muzik indie di Malaysia. ABM ini sering saja muncul menawarkan t'shirt cantik yang melakarkan bahasa kita sebagai bahasa seni mereka. Tahniah!

Mengambil hasil karya Hujan yang walaupun tetap wujud masalah tatabahasa, hamba percaya sastera itu ada. Hamba yang cetek ilmu pun terkesima dengan bait-bait indah yang terkandung dalam lirik-lirik lagu mereka. Bahasanya cukup indah dan membuai selain penggunaannya tepat dan kena pada tempatnya. Sastera yang dibawa Hujan menjelmakan sisi-sisi kecintaan terhadap bahasa sebagaimana Ahmad Dhani, Melly Goeslaw, M Nasir, Loloq, Hairul Anwar Harun, Tohpati dan cerdik pandai muzik Nusantara telah lama usahakan.

Banyak pengkarya yang mengambil mudah hasil seni lirik sedangkan benda inilah yang membawa bendera bangsa. Lirik yang berjiwa, cantik tatabahasa serta halus maknanya amat penting dalam menterjemahkan lagi roh lagu tersebut. Ia ada pada Hujan serta tak kurang juga pada karyawan muda lain seperti Taja dan Tass, Cat Farish (bahasanya juga hebat) dan Nurfatimah.

Hamba boleh jamin Bahasa Melayu seorang Noh Salleh memang bertaraf A kerana susah hamba nak jumpa kesalahan tatabahasanya tinggal lagi hamba berusaha untuk memahami penulisannya seperti dalam lagu Luka Mana dan Empayarmu yang menentang kapitalis, Bila Aku Sudah Tiada yang penuh dengan unsur hakikat - nama dan pangkat tak bawa ke kubur, Pagi Yang Gelap pula tentang kasih sayang dua beradik lelaki (yang subjeknya agak janggal tetapi mujarab), serta Neon dan Kuala Lumpur yang menyesakkan jiwa pemikirnya tambahan Ludah Amerika yang sinikal tetapi berkesan. Disini letak istimewanya Hujan, yang sepatutnya ada di dalam kugiran lain. Bukan sekadar bercakap soal cinta sahaja.

Namun dengan segala keistimewaan dan sokongan yang diperoleh, apa sebenarnya sudah jadi dengan Hujan setelah keluar daripada alam bawah tanah? Disebalik perhatian yang diberikan kepada kugiran-kugiran indie lain seperti Meet Uncle Hussein, Estranged, Bunkface dan Laila's Lounge, nama Hujan sekadar lebat di kalangan peminatnya sahaja - Raingers.

Desakan arus perdana membenarkan Hujan menerbitkan album perdana - ABCDEFGHUJANOPQRSTUVWXYZ pada Ogos 2008 dengan single pertama - Dugaan-Nya setelah harum dengan lagu-lagu daripada EP seperti Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada, Aku Skandal, Ku Mau Kau Tau serta Empayarmu. Tak semua lagu awalan Hujan mendapat putaran radio swasta. Corong seperti Suria FM dan X FM sahaja hamba kira mendukung wawasan kumpulan indie untuk terus bernafas.


Hasilnya, setelah hampir 4 bulan album penuh mereka keluar, Hujan sekadar di tahap mahu memperkenalkan lagu Dugaan-Nya yang hamba rasakan agak lemau dan tidak mengujakan seperti mana hamba tertarik dengan Aku Skandal. Di mana silap Hujan yang nampak tak bersedia sepenuhnya untuk meredah arus perdana.

Pertama mungkin kronologi kisah-kisah tidak sedap si out-spoken Noh yang bersuara lantang dalam beberapa isu termasuk kisah homophobicnya, menolak permintaan fotografi wartawan secara kasar, pertelingkahan dengan Astro soal hak penyiaran lagu, yang akhirnya nyata fitnah dan kes mengkelaskan awek cun dan awek tembam ketika gig. Maaf kalau silap, tetapi cakap-cakap sebegini telah lama bergema di cuping telinga. Tak perlu untuk percaya, sebaliknya setidak-tidak nama Hujan terpalit prasangka.

Noh sebagai seorang yang tetap pendirian, nampaknya teguh betul dengan tiangnya. Tak salah bercakap sesuatu yang betul, hakikat tetap hakikat. Namun, Noh harus faham keadaan masyarakat Malaysia yang menilai akhlak lebih daripada bakat seni. Bagi masyarakat Malaysia, artis harus seperti malaikat dan mereka pun, lebih teruja dengan artis berbanding ilmuan dan tokoh-tokoh sosial.

Segelintir wartawan (bukan semua, ada juga yang bagus) beranggapan bahawa mereka 'tuhan' yang berhak menentukan jatuh bangun artis. Itulah hakikat, dan kita semua tahu retorik konsep artis dan wartawan saling memerlukan sebenarnya memualkan. Andaikan anda pelakon sebagus Natasha Hudson, bakat hebat anda dengan sendirinya boleh dilupakan apabila media mengambil keputusan untuk memomokkan kisah peribadi yang tidak membantu kerjaya pun sebenarnya. Cara terbaik untuk Noh sebagai pembawa payung Hujan ialah melengkapkan ilmu berinteraksi secara bijak. Anda harus hipokrit sedikit untuk menjaga hati banyak pihak. Sayang otak anda yang geliga tidak dijanakan dengan budi dan bahasa yang sempurna.

Kedua, Hujan sebagai jenama harus benar-benar meyakinkan. Hujan yang dijual secara terus menerusi gig-gig dan jualan belakang pentas tidak sama dengan Hujan yang dijual secara pamer-tawar-terima. Andaikan penyokong Hujan dalam 2 hingga 3 ribu yang aktif meredah bingit gig, mungkin sekadar 2000 saja yang membeli album/EP Hujan secara tangan ke tangan. Biarpun Hujan punya 70 000 rakan di Myspace, jualan album atau download(berpendapatan) tidak akan setimpal dengan jumlah tersebut. Maka, Hujan harus lipat gandakan promosi Hujan menerusi medium arus perdana, dan untuk memenangi media arus perdana Hujan harus memperbetulkan sifat yang saya tegur dalam bahagian pertama tadi.

Bukan makna, mahu Hujan tunduk kepada wartawan hiburan namun sebenarnya PR harus baik dan berprinsip. Sebagai artis Hujan ada hak untuk menolak sebarang unsur eksploitasi ataupun untuk abai sebarang publisiti yang tidak menjana nama baik Hujan. Pun begitu, Hujan harus mengawalnya dengan baik, dan PR yang bagus inilah yang Hujan perlukan. Katakan Noh tidak reti berbahasa, ambillah orang yang boleh menjadi orang tengah dalam mewujudkan hubungan dua hala secara tenang. Harus diingat, media hiburan di Malaysia masih lagi di takuk lama, selagi mereka merasa hebat menjadi 'tuhan' atau 'the hand that built the industry'. Hujan harus lebih kedepan dari segi meneroka pasaran. Sayang sekali kerana kerja seni anda bagus, tetapi tak kemana. Ambil contoh penyertaan dalam penganugerah lagu seperti Juara Lagu contohnya. Ramai juga yang kata tak usah masuk, kalau kalah malu. Hamba melihat pertandingan ini dari sudut lain. Bayangkan Hujan menjadi finalis dan berpeluang beraksi untuk 4 juta penonton secara langsung, tidakkan dengan cara ini Hujan mampu meneroka pasaran baru? Kalah atau menang tidak harus dijadikan kayu ukur. M Nasir pun tak kisah kalau kalah.

Tipulah kalau Hujan berkarya tak kejar untung. Kalau tidak takkan beriya-iya AG Coco mempersoalkan bayaran show, lepas itu jual pula EP setiap kali show selain Noh sendiri begitu teruja dengan jenama Hujan dan mahu melebarkan lagi. Kalau kata Hujan tak kejar kemewahan itu atas dasar anti-capitalist, itu semua bull-shit. Hujan perlukan bukan sekadar sokongan manusia tetapi juga modal. Pengkarya tak ambil pusing biasanya jenis tak kisah pasal jenama pun, sebaliknya tak peduli orang nak dengar atau tak. Tapi memandangkan Hujan sudah ada bangunan manusia yang kukuh, tak salah kalau Hujan mencari untung.

Terakhir dalam perkiraan hamba ialah Hujan dari sudut muzik itu sendiri. Hujan sebenarnya punya payung, dan payung Hujan adalah jenamanya. Berapa ribu remaja Melayu yang menyanjung Hujan kerana kononnya muzik Hujan lebih dekat dengan jiwa mereka berbanding muzik Butterfingers, FTG, R.O.B, OAG, The Times dan kugiran-kugiran sebelum ini? Kerana apa mereka menyokong? Kerana penggunaan bahasa, dan mereka dahagakan band bawah tanah yang punya ciri ini. Melayu, selorat mana pun mahu jadi Amerika akan tetap mencari sambal belacan.

Itulah yang ada pada jenama Hujan. Sebelum inipun Hujan tidak segan silu menyanyi lagu Melayu dikalangan band lain melantun lagu Inggeris. Pun begitu, jenama Hujan tidak selamanya harus bergantung kepada beberapa kerat anak muda yang layan gig tetapi bodoh muzik. Pencari kualiti muzik tidak bazirkan masa dengan lepak-lepak dan gaduh-gaduh di gig-gig semata-mata mahu mendewakan pemuzik yang dirasakan hebat. Pemikir dan pencari muzik berkualiti bukanlah mereka.


Gambar: Apakah mereka yang menjunjung Noh ini bijak menilai muzik atau sekadar mengikut trend? Kalau alasan yang kedua itu, makanya Hujan berdepan masa depan yang tidak menentu kerana selera budak-budak ini bakal berganti seperti trend. Mereka tak akan sehidup semati dengan Hujan saja.

Sebaliknya wujud mereka-mereka yang mengkaji muzik secara bijak. Hujan harus waspada daripada awal. Jujur kata, hamba pada awal akan kata Hujan tidak asli kerana banyak pengaruh luar. Hamba mengkaji muzik Hujan dan hamba menemukan itu. Tetapi kerana apa hamba mendukung wawasan Hujan? Selain faktor memperjuang bahasa, kedua hamba rasa jiwa hamba dekat dengan karyanya. Tapi tak bermakna hamba tidak mahu Hujan berubah mencari jatidiri muzik sendiri.

Gambar: Hujan tak cukup sekadar jenama, harus kering tanpa tempias

Terlalu banyak tempias yang mengena kerja seni Hujan. Terang-terang Noh dipengaruhi The Strokes. Hamba kenal The Strokes terlebih dulu sejak 2004 dan secara jujur, Ya, wujud persamaan. Ketika hamba menonton Noh di atas pentas, banyak juga gaya Julian Casablanca yang dijana Noh. Selain merepek ala ting-tong, Noh gemar bergerak-gerak ala Julian selain fesyen rambut lebih kurang sama.

Hamba rajin dengar Suria Lounge di Suria FM, dan segmen itu dikendali Pot Amir Radiostar. Tak tahu pula kalau Noh ada berguru dengan mantan ahli Innuendo tersebut kerana muzik pop dan jazz bawaan Noh lebih sekufu juga dengan beberapa lagu Pot Amir, dan pengaruh lain seperti Maliq N D'essential. Mungkin Pagi Yang Gelap hasil bidik dan tilik Pot Amir sebagai rakan terdekat.

Stail J-pop atau J-rock juga kelihatan ketara. Tak salah kalau nak diikutkan, hamba lihat remaja sekarang (termasuk hamba) juga gemarkan gaya Jepun. Dalam lagu Bila Aku Sudah Tiada hamba nampak wujud banyak roh Jepun. Sekali imbas dan macam lagu kebangsaan Jepun pula nada dan gayanya. Dan ya, pengaruh paling kuat ialah adaptasi dan terjemahan lagu Mospeada - Lonely Soldier Boys yang hamba sakit telinga kerana rojak bahasanya. Tiada apa untuk dikata, Hujan banyak pengaruh Jepun yang hamba kira tak salah asalkan sekadar mengambil konsepnya, bukan menciplak.

Penulisan lirik Noh pula hamba kira banyak mengambil roh Melly dan Anto serta Yovie Budianto yang hamba kenal menerusi Kahitna sebelum ini. Nasib baik Noh tidak lacurkan perbendaharaan dengan menggunakan sewenang-wenangnya Bahasa Indonesia sebagaimana Faizal Tahir (Coba & Kerna Kamu) dan Ad Samad (Mila Bila Cinta) lakukan.


Gambar: Imej Hujan dan Changcuters tidak dapat tidak boleh dikatakan saling mempunyai persamaan.

Selain gaya Julian yang weirdo, Noh dan rakan-rakan seolah dijelmakan dengan semangat The Changcuters. Hamba kenal anak-anak Changcut ketika berkunjung ke Bandung, Indonesia awal tahun dulu. Jadi hamba tertoleh kepada imej rambut payung Noh itu. Siapa buat dulu? Dan setelah dibelek gambar lama kedua-dua band ternyata Changcuters lebih dulu berambut begitu menerusi Alda dan seorang lagi, lupa namanya. Noh sendiri pernah berkunjung ke Indonesia dan bertemu anak-anak Changcut sebelum ini. Tidak mahu menuduh Noh tiru gaya Alda atau sebaliknya cuma perkara itu sudah termateri dalam rasional hamba, tambahan stail fotografi Hujan sejak gambar Pavillion pun ada unsur-unsur gaya Changcuters, yang hamba yakin uniknya mereka kerana Tria Ramadhani sebagai peneraju mereka. Nasib baik muzik Hujan dan Changcuters jauh beza. Hujan ada juga unsur retro 60-an, tetapi tidaklah sekental Changcuters selain vokal Noh lebih sikit daripada Tria yang mirip Wahid Senario. Dalam berkarya, hamba nampak Hujan juga cenderung sedikit kepada stail sebuah lagi kugiran Indonesia (yang bervokalis wanita) The White Shoes yang kental jazz ala rock mereka, masih terngiang lagu Senandung Maaf nyanyian mereka.

Hamba nampak jelas persamaan atau pengaruh semua ini ditambah Hujan dalam 'Influence' di Myspace mereka juga menyenaraikan nama-nama yang hamba jelmakan tadi. Jadi, seperti yang hamba katakan - Di mana keaslian Hujan?

Tidak salah memiliki unsur jajah dalam karya. Hamba pun begitu. Gaya penulisan hamba banyak terdorong daripada penulisan Zurina Waji, Khalil Gibran mahupun Faisal Tehrani. Tak cukup itu, busuknya gaya pena Saniboey Ismail pun hamba boleh telan gaya penulisannya. Menulis lakonlayar pun hamba banyak terpengaruh dengan stail Paul Haggis, Woody Allen malahan Tina Fey dan Marc Cherry juga.

Cuma, janganlah sampai terlalu ketara pengaruhnya hingga menjulurkan rasa dimana Hujan yang seaslinya. Hamba melihat Hujan sebagai suatu benda yang dipayung namun terkena banyak tempias. Tempias-tempias ini yang membasahkan tubuh badan Hujan. Seeloknya Hujan mencari jatidiri dan hamba yakin, usaha untuk itu tidak makan masa sehari dua tetapi dalam tempoh yang agak lama.

Kalau kata hanya Hujan yang terkena tempias, tidak adil juga kerana band lain pun dua kali lima. Malahan band Indonesia juga punya pengaruh barat yang lebih kental. Cuma, bagi hamba budaya condong ke barat ini tidak patut lagi diterima. Artis kita harus menjadi artis bercirikan kita. Siti Nurhaliza pun tidak punya keaslian sendiri kalau diikutkan kerana Fauziah Latif, Aishah, Noraniza Idris, Sharifah Aini mahupun Ziana Zain sudah terlebih dulu memberi pengaruh kental kepada penyanyi nombor satu negara tersebut. Apalagi untuk sebuah kugiran bernama Hujan. Yang nyata, kalau Siti ambil masa 10 tahun untuk beraksi di kota London, Hujan tak ambil masa terlalu lama. Kalau mahu dibanggakan, Hujan pernah juga sampai berkelana menyanyikan lagu Melayu di beberapa lokasi kecilan sekitar England awal tahun ini. Hebatlah tu.

Gambar : Hujan di Kota London, pun terbawa-bawa tempias. Hujan vs Beatles?
* gambar kredit untuk
Azimpuch

Seperkara yang hamba nampak ialah persamaan antara Noh dan Radhi OAG. Nasib Noh sejak dua menjak ini sudah seperti Radhi. Kerana apa? Kerana barisan pengiringnya. Jadi, selama ini hamba hanya boleh katakan Hujan = Noh, dan Noh = Hujan. Sebagaimana anggota OAG yang silih ganti, yang kekal hanya Radhi. Sejak zaman Hang Dimas, senarai ahli keluar masuk jadinya. Yang kekal hanya Noh sebagai anggota rasmi sementara AG baru saja sahkan dia ahli tetap sebab sebelum ini AG lebih kepada Coco. Penyingkiran Dugong baru-baru ini mungkin dengan alasan kukuh yang Noh dapat jelaskan. Tetapi hamba tak berani ramalkan kalau betul Hujan bakal senasib dengan kugiran-kugiran lain yang hanya digerakkan oleh seorang manusia. Noh harus beri peluang kepada AG, Ambobzeela ataupun Hang Dimas untuk berkongsi karya, bukan sepenuhnya dimonopoli Noh saja. Terbaru Hujan disertai Ully Awanband, harap-harap dapat kekal lama. Majoriti artis berkumpulan di Malaysia akan berpecah selepas empat hingga sembilan tahun dan tidak mustahil Hujan bakal menerima nasib yang sama selagi konsep Noh=Hujan, Hujan=Noh ini wujud. Beri ruang untuk berkongsi, itulah yang terbaik.


Gambar: Hujan dengan barisan terkini. Akan ada silih gantikah?
(kiri) Hang Dimas, Ambobzila (Acer pulak, dah tukar nama), Noh Salleh, Jaja dan AG Coco.


Kesimpulannya Hujan harus bangkit dan menilai semula prestasi tahun 2008 yang hamba lihat tidak seperti yang diharapkan. Payung yang dijangka semakin membesar tidak juga mampu menepis tempias luar. Akhirnya Hujan kebasahan. Fikir-fikirkan.

HUJAN secara peribadi

Tidak adil untuk hamba kondem Hujan secara melulu tanpa kenal mereka sejak dulu. Kisahnya awal tahun 2007 hamba dan rakan baik - Lubuk bersembang di tepi Jalan Padang Tembak selepas solat Jumaat. Kalau dengan Lubuk, topik kami terarah kepada perkembangan muzik indie yang sememangnya Lubuk ikuti. Hamba bertanyakan adakah dia mengenali sebuah band baru bernama Hujan? Lantas Lubuk lantunkan lagu Hiba (biarpun agak sumbang). Hamba mengenali Hujan pada akhir 2006 menerusi Myspace, dan lagu yang hamba dengar saat itu ialah lagu Rantai Rasa Cinta, dan ia agak tak sedap untuk halwa telinga hamba.

Suatu hari hamba memandu kereta untuk ke tempat kerja, dan radio baru yang hamba pasang - Suria FM memutarkan sebuah lagu bernuansa alternatif dengan sentuhan jazz di dalam bahagian intro dan outro nya. Lagu tersebut ialah lagu Pagi Yang Gelap. Terus hamba teringat sebuah lagi lagu berjudul Di Kala Bermain Biola, konsepnya hampir sama - sentuhan jazz.

Sejak mula rakan-rakan hamba sering bertanya, kepelikan selera muzik hamba yang gemar mendengar muzik yang pelik-pelik kemudian boleh bertukar mood daripada mendengar jazz Norah Jones kepada pop alternatif John Mayer atau punk Greenday dan sesekali (selalunya) melayan dendangan penyanyi-penyanyi 60-an serta pejuang irama etnik Melayu. Julat muzik hamba besar daripada lagu-lagu mellow ala Coldplay kepada easy listening ala Amy Mastura. Semuanya hamba layan.

Saat hamba memberitahu rakan-rakan bahasa hamba mengagumi kugiran baru bernama Hujan, ramai yang sangsi. Hamba perkenalkan lagu-lagu Hujan kepada Hafiq, seorang sahabat hamba yang mengikuti industri muzik nasyid, dan komen beliau " Ala-ala 60-an". Tepatnya, kugiran Hujan menawarkan kumpulan nuansa yang hamba mahukan dalam satu julat. Ketika itu Hujan memperdengarkan muzik Jazz bersatu Rock dan persembahan ala-ala Pop Yeh Yeh serta kebal bunyi Alternatif berserta susunan muzik mudah tetapi berbisa selain penggunaan Bahasa Melayu yang agak cemerlang untuk sebuah band indie.

Hamba dapat tahu Hujan (AG Coco mungkin) tinggal berdekatan pangsapuri hamba di Cheras melalui rakan baiknya Perhani Salam, yang juga bekas rakan sekerja hamba di tempat kerja hamba sekarang. Melalui si kecil molek itu, hamba tahu serba sedikit tentang bagaimana wujudnya kugiran Hujan selain kisah lucu lagu Selamatkan Kucing Aku serta AG menulis lagu Apek dan Sifoo, sempena kucing milik Perhani. Namun, melalui Perhanipun hamba tidak berkesempatan untuk berkenalan dengan Hujan melainkan ada sekali, hamba berpeluang bergambar bersama Noh, di Angkasapuri pada Mac 2008. Noh bersama Hujan membuat persembahan di RTM bersama Elyana, Meet Uncle Hussein dan Coco.



Gambar: Hamba bersama Noh awal tahun lalu.

Setelah mendengar kebanyakan lagu Hujan daripada EP '1,2,3 Go!' dan pada Disember 2007 lahir pula EP 'Check Check Rock Rock' (CCRR). Hamba terperasan, judul EP mereka bersilang. Dalam EP pertama ada lagu Pagi Yang Gelap di mana vokalis Hujan, Noh Salleh menyebut "check, check, rock-rock" kemudian dalam EP kedua, ada lagu Aku Skandal yang mana Noh menyebut "1,2,3 Go!". Jadi hamba andaikan kedua-dua lagu tersebut dihasilkan sebelum kedua-dua EP muncul. Maaf kalau silap.

Hamba sudah dengar terlebih dahulu lagu 'Ludah Amerika' sebelum lagu itu masuk dalam EP CCRR. Kalau ikutkan, hamba tertarik dengan keseluruhan unsur otak Noh dan pasukannya melalui lagu ini. Ludah Amerika menggambarkan pemberontakan jiwa anak muda, dan dijelmakan dengan semangat dalam sebuah lagu. Bermula dengan Ludah Amerika, maka hamba dapat menerima nukilan cinta Noh dalam beberapa lagu biarpun banyak kekeliruan dalam menilai maksud sebenar lirik tulisan beliau. Dugaan-Nya sebagai contoh bercerita bagaimana Noh tak dapat menghalang si dia yang bakal bertugas sebagai askar. Pelik kan kalau fikir secara songsang.

Secara peribadi, hamba sanggup mengabaikan ironi bahawa Hujan bukan 100% asli kerana bagi hamba Hujan membawa semangat cintakan sastera Melayu menerusi bahasanya, serta melambangkan jatidiri anak muda melalui pemikirannya tambah lagi, mereka mencuri pengaruh yang baik maka tidak salah kalau mahu mencernakannya dalam karya sendiri.

Maju terus untuk Kugiran Hujan, dan diharap dapat menemui sisi hebat Hujan yang sebenarnya, tanpa dipengaruhi unsur-unsur lain. Bukan mudah untuk memayungi sesuatu benda yang rapuh, jika tempiasnya banyak dan tak henti-henti menerjah.

Notakaki: Jikalau pihak-pihak berwajib dengan Kugiran Hujan membaca ulasan ini, hamba pohon maaf jika sekiranya ada kesilapan fakta namun ulasan ini datang ikhlas daripada hati hamba untuk direnungi bersama. Kepada Noh, teruskan berkarya dan bayangkan anda sebagai seorang manusia yang berteduh di bawah pohon, jika sekiranya tumbang dahan-dahan yang membentuk rimbun, maka hilanglah tempat berteduh anda. Andaikan pohon itu sebagai sokongan peminat/penyokong yang anda terima.

6 ulasan:

AieSha berkata...

Aku juga suka karya hujan. Mungkin ada pengaruh2 dr luar. tp karya hujan nampak ikhlas dan telus.

Ulasan anda tersangatlah menarik. syabas!

Tanpa Nama berkata...

aku rasa ramai yang fcuk hujan sebab noh..berlagak siot! aku pun benci. kalaulah noh boleh berpikir cam ko...elok gak

Amer Yusof berkata...

@ aie - betul tu, karya dia jujur. tak ramai karyawan sediada boleh dongak kepada tuntutan komesial.

@ tanpa nama - noh berlagak ke? hurm...ada lah sikit, tp xdelah smpi fcuk. hahaha. sebenarnya otak noh dan otak aku beza yang amat, x boleh nak kata dia harus berfikir cam aku. setiap manusia ada kekurangan dik.

Tanpa Nama berkata...

maksud aku cara dia plan nak layan semua org, bukan buat baik dgn pengikut saja! mcm yg ko tulis tu, kalau dia ikut kan ke baguih..baik noh amik ko jadi meneger..hahaha.

tp bro, tulisan ko memang bagus. dalam pada ko fcuk hujan, ko up jugak sikit. hehehe

Amer Yusof berkata...

@ encik tanpa nama...marah benor kat hujan yer..hehehe. sbnrnya susah nak puaskan hati semua pihak. tp at least noh jenis berterus terang..suka dia kata suka, kalau tak...dia ckp tak. walaupun x bagus, tp dia jujur.

jd manager hujan? ko dah gila ke? hehehe. aku malas, dan kurg minat.

terima kasih..nak kata aku fcuk hujan..tak jugak. standard lah kita semua jenis manusia yg x mudah puas hati.

sekali lagi, terima kasih en tanpa nama sebab komen dengan baik, dan x mencarut. hehehe

AieSha berkata...

betul. kita tak boleh nak puaskan hati semua pihak.

bagi aku, itu stail diorang. setiap org ada stail masing2. takkan penyanyi dangdut nak stail cam rocker lak kan. camtu la hujan.

setakat ni, aku berpendapat diorang sgt bersahaja. diorang ni jenis malas amik port. lantak la ape org nak kate pun. janji diorang tak kacau org. diorang just nak berkarya. kalau ada yg tak suka, tak payah dengar. kalau suka, dengar la.

;)

penggemar