Belasungkawa Buat Seniman

Empat tahun lalu, hamba berpeluang membelek dan membaca naskhah pementasan teater/drama berjudul Alang Rentak Seribu. Ya, judul ini sudah acap kali dipentaskan di arus perdana, cuma jelang kedewasaan ini barulah hamba berpeluang membaca naskhahnya. Itupun, hamba terkebil-kebil untuk memahami yang tersurat dan tersirat.

Jujur, hamba tidak pernah berpeluang bertemu 4 mata dengan penulis drama ini, sebagaimana mudahnya hamba bertemu dengan A Samad Said di sekitar ibukota. Apa lagi, hamba tidak pernah berpeluang menonton pementasan drama penulis ini sepanjang hayatnya.

Penulisnya; Datuk Syed Alwi pada 1 Disember 2008 lalu ditemui mati di dapur rumahnya dan kes tersebut menjadi kes polis apabila disyakki berunsur samun dan bunuh. Baca kisahnya di sini.

Sebagai penggemar seni, dan penyanjung golongan yang bersenjatakan mata pena, hamba ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham, dan berasa terkilan di atas kepergian beliau. Untuk itu molek kiranya kita sedekahkan ummul-kitab al-Fatihah kepada Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat dan karya-karyanya pula akan terus disanjung, dikaji dan dijunjung oleh generasi akan datang.

al-Fatihah.

Kepada sesiapa yang tak sempat kenal Datuk Syed Alwi, hamba unjurkan sedikit biodata beliau yang hamba selak daripada laman blog Tok Perak, pementasan terakhir karya beliau. Biodata beliau ini ditulis oleh pengulas filem kegemaran hamba; A Wahab Hamzah.

Belasungkawa
Datuk Syed Alwi (1930-2008)


Dato’ Syed Alwi adalah tokoh drama tanah air kelahiran Taiping, Perak. Syed Alwi mendapat latihan profesional di sebuah University of Minnesota dalam Jurusan Ijazah Seni Teater dan Penulisan. Beliau menceburkan diri dalam bidang penulisan buat sementara waktu sebelum menyambung kembali pembelajarannya di London Film School. Beliau kembali ke Malaysia dan menceburkan diri dalam bidang industri hiburan termasuklah bidang penerbitan, pengarahan, pengajar dan juga pelakon.

Sebagai dramatis Syed Alwi mula bergiat dengan drama Inggeris pada tahun 1950-an. Antara drama beliau dalam bahasa Inggeris yang terkenal ialah Going North, the More We Get Together dan Day of Efil. Bagaimanapun apabila beliau beralih menghasilkan drama-drama Melayu, drama-dramanya telah mendapat perhatian dan kritikan yang cukup menarik. Antara dramanya yang cukup terkenal ialah Alang Rentak Seribu (1973), Tok Perak (1974) dan Desaria (1978). Dramanya menyulami gaya realistik dan komedi daripada segi perwatakan, dialog dan aksi. Malah drama Tok Perak dianggap teater multimedia yang pertama di Malaysia. Skrip drama Alang Rentak Seribu telah memenangi Hadiah Karya Sastera pada 1973 dan Tok Perak pada 1974. Beliau juga telah menghasilkan beberapa buah skrip serta turut menerima anugerah budaya daripada negara United States, Malaysia, Sweden, Australia, France dan Yugoslavia. Pada 2002 beliau telah menerima Anugerah Seni Negara daripada Kerajaan Malaysia dengan gelaran Seniman Negara.

0 ulasan:

penggemar