Denting - 0101

Berbicara Bahasa Tuhan
(Bab 1 - Bahagian 1/3)

Denting angklung kayu menyiram sepi aku pada petang itu. Bergolak, dipuput bayu. Petang yang sunyi, tiada bunyi bebudak berkejar-kejaran. Petang yang jingga, tiada awan cuba melindungi. Panas petang membakar ruang jendela bilikku yang menghadap ke barat.

Angklung kayu tergantung di tingkap memualkan aku dengan berbaur perasaan. Marah, kecewa, sedih dan segala yang buruk-buruk. Aku tak bahagia, itulah yang sebenarnya aku rasai.

Aku sudah letih menjunjung nama tuhan yang utuh berada dalam namaku. Saban nafas aku harus menjaga tingkah dan laku dengan baik. Fathurrahman, nama aku yang diberi oleh nenda. Bukan salah nenda aku jadi begini, tetapi salah aku juga. Aku yang penuh noda dan dosa.

"Kalau kamu rasa berat, capailah sejadah. Bersujud kepada-Nya" pesan nenda tak lama sebelum aku berlepas ke kota.

Aku bangun dan bermenung sejenak.

"Tak guna kamu buat yang ketiga kalau yang kedua kamu tak lakukan" marah nenda ketika aku terbongkang dihujung syuru'.

Aku mahu buat yang kedua. Yang kedua ini harus dimulai semula.

"Pintu-pintu ini semua sudah tertutup. Tiada orang yang boleh bukakannya" aku masih terngiang-ngiang akan kata-katanya, semalam.

Khusyuk? Aku tidak khusyuk. Jiwaku tak turut sujud, mindaku terbayang hal yang lain.

"Rahman patut jadi manusia yang sentiasa mengasihani. Nama Rahman, maknanya kasih" pesan nenda lagi. Masih bergema hingga kini biarpun sudah 20 tahun berlalu.

Kini aku 25. Sudah injak dewasa, dan sudah layak bernikah sebagaimana Rasulullah mengahwini Khadijah Khuwailid ketika berusia sama denganku.

Aku melipat sejadah yang masih keras. Keras kerana agak lama tidak diguna, sejak nenda hadiahkan ketika pulang dari Mekah. Mengerjakan haji buat kali kedua.

"Aku hadiah ni bukan untuk kamu buat perhiasan. Cukup setahun harus diganti baru. Kamu kena guna 5 kali sehari!" bebel nenek apabila ku sambut hadiah sejadah itu dengan memuji sayang dipakai benda itu.

Aku bangun, dan bercadang untuk menambah mana yang kurang. Takbir cuba diangkat lagi.

"Hey Rahman! Tak pernah dibuat orang, solat sunat antara asar dan maghrib!" marah nenda ketika aku injak 12 tahun.

"Tak boleh ya nek?" tanyaku, naif.

"Memang tak boleh. Melainkan kamu mahu buat tahiyatul masjid" katanya sambil melipat telekung.

Aku duduk semula. Serba tak kena jadinya. Bayang nenda ada dimana-mana.

Kluk! Kluk! Kluk!

Denting angklung kayu bergema lagi. Angin petang menyorot ke dalam kamar sepiku. Anganku melayang, diriku tak lagi terbang.

Aku tak pandai berdoa. Nenda ajarpun aku susah nak hadam. Aku tak reti mengadu domba, mengadu nasib dan bercakap sendirian. Aku tahu Dia mendengar, aku tahu langit sentiasa terbuka untuk menembuskan gema suaraku. Tapi, aku terkunci. Bibirku kering, lidahku kaku. Aku sebenarnya malu untuk terus meminta.

"Allah memberi, dan tak henti-henti memberi. Senang dan susah juga diberikannya. Dan tak semua benda yang Dia akan terima, segala baik amalan kita serta titip doa yang tulus ikhlas. Itu yang Dia akan terima" bisik suara si dia tak lama dulu.

Tapi hari ini dia yang ku tunggu tak mendengar. Hanya Dia yang satu itu sedia mendengar. Harus kepada siapa lagi aku harus berbicara kalau bukan Dia.

Aku bermasalah. Dan masalah ini, aku yang undang sendiri. Tak bisa berpatah balik, aku harus lalui. Kesan dan akibatnya.

"Tuhan mengizinkan kita berbahasa ibunda bila berbicara dengannya. Semua bahasa yang ada di dunia ini adalah bahasa tuhan. Kerana Dia maha mengetahui" titip pesan nenda bergema lagi.

Doa. Berdoa untuk kebaikan saja, agar apa yang akan aku lalui selepas ini aku dapat terima dengan redha dan hati terbuka. Dia yang maha mengampuni, serta dia yang aku hutang kemaafan itu tidak harus meneladaniku sementara dia yang satu lagi harus menerima dengan jiwa sengsara. Salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya harus bersedih di kemudian hari. Aku harus putuskan jawapan, dan izinkan aku bersendiri untuk berbicara dalam bahasa tuhan dengan Dia yang satu.

Kisah semalam harus aku lupuskan. Dia dan mereka yang satu lagi tak harus muncul lagi dalam angan-anganku. Hilang dan harus menghilang.

"Hey abang bukak tingkap! Kalau tidak aku naik atas!" tiba-tiba terdengar suara lantang muncul dari luar tingkap. Panas mentari petang membahangkan lagi debaran dalam hatiku.

"Abang turun! Aku nak kau jelaskan! Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa?" jerit suara itu lagi.

Aku muncul di muka tingkap. Pucat lesi wajahku kerana seperti yang ku jangka, budak ini akan buat hal lagi. Sekali lagi aku harus bersedia menanggung malu.

"Abang keluarlah cepat!"

"Hey apa kes kau terjerit-jerit macam orang gila?! Tak sedar-sedar ke dah nak masuk maghrib ni?!" marah satu suara jantan, agak berusia dari lohong tingkap yang lain.

Pangsapuri 4 tingkap itu kecoh seketika. Banyak kepala yang muncul di sebalik kain langsir, memerhati drama yang sedang berlangsung.

"Erin, tolong jangan buat pasal kat sini!" nampaknya aku terpaksa merayu si kecil itu agar tidak terus menganggu jiran-jiran yang lain.

"Berani kau keluar tunjuk muka ya bang! Turunlah kalau berani! Kata anak jantan!" Erin terus memaki hamun tanpa menghiraukan orang lain.

"Dah tu, kau suruh aku keluar!" darahku menyirap.

"Kalau nak gaduh, gaduh tempat lain lah!" jerkah satu lagi suara.

Aku nampak tiada jalan untuk hentikan suara lantang Erin. Tiada jalan lain lagi, aku harus turun dan berdepan. Perkara ini harus diselesaikan.

***

(bersambung)

6 ulasan:

scOotBerry berkata...

bile nk smbung ni..??
update cpt2 ek..
sementara ni bule bace lg..
takut bile da bz nnt payah plak nk jenguk2 blog..

Unknown berkata...

laaa...sambung pulak..cipat yee..~

Amer Yusof berkata...

@ intan & hanafana - jangan risau, bahagian 2 dan 3 bab 1 akan muncul pd hari esok (8mlm) dan sabtu. tunggu je k. bendanya dah ada, nak ringkaskan aje utk edisi blog.

Kurt Kuden berkata...

Denting berbahasa lebih molek berbanding Bukan Diriku

Mungkin ini namanya pengalaman mendewasakan kita

Tahinah yob

CAHAYA berkata...

wah, tiba2 Cahaya rasa malu amat sangat.

p/s: Bahasa jiwa bangsa, tapi bahasa Cahaya tunggang terbalik. Sorry.

Amer Yusof berkata...

@ kuden - denting lahir selepas aku dikritik hebat kerana bahasa cacamarba kerana menuntut surealisme dalam sastera. jadi, denting mungkin mencapai piawai diri aku dan apa yg aku kini perjuangkan.

@cahaya - tak perlu rasa malu, yang penting kita masih punya lidah untuk berbahasa dalam apa juga bahasa. semua bahasa kan bahasa tuhan.

oh ya, kekadang org yg berbahasa penuh tertib tatabahasa pun belum tentu menjaminkan diri mereka berbudi bahasa. asalkan jiwa kita tak dijajah, maka eloklah kita perelokkan. t.kasih sebab sudi lawat blog sy.

penggemar