Adaptasi 'Cerita Adam'. Di mana magis A Wahab Hamzah?

Peluang santai di petang Aidiladha mengizinkan hamba menonton drama TV berjudul 'Cerita Adam' yang hamba pernah baca novelnya tak lama dulu (maaf, baca sekerat jalan saja kerana suntuk waktu di Perpustakaan Negara, dan hamba tak punya keahlian untuk meminjamnya). Novel 'Cerita Adam' ditulis oleh Saudara Baharuddin Kahar, dan menurut buku tersebut, cetakannya pada tahun 2004, dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka.

Hamba sempat baca hingga bab Adam bersama budak-budak gelandangan di tengah bandar, ketika itu Adam baru saja lari dari rumah ibunya, seorang penyanyi kelab malam. Aduh! Menyesal pula kerana tak baca habis, jadi harus bagaimana hamba hendak mengulas keseluruhan drama TV ini?

Gasak. Hamba pernah beberapa kali membaca novel, dan akhirnya dapat menonton versi adaptasi drama, kebanyakannya hampa. Kalau ada pun yang hamba terpana, mungkin drama Hujan Sudah Teduh, SerojaMasih Di Kolam dan juga filem Ranjau Sepanjang Jalan(1981) & Jogho(1998). Erma Fatima mengupas semula novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk tulisan HAMKA pada 1937 menerusi drama Haryati (2002)(lakonan berkesan Umie Aida dan Rusdi Ramli) juga bagus. Yang lain, entahlah program adaptasi karya sastera di Malaysia masih suam-suam kuku.

Tapi usaha untuk menerbitkan karya-karya sastera bermutu amatlah hamba hargai dan hamba mengerti kerja-kerja adaptasi bukanlah semudah yang disangka. Adaptasi menuntut kita menjelmakan segala fantasi yang berlegar di dalam kepala pembaca yang sudah membaca karya tersebut, apatah lagi adapatasi harus tepat, dan tidak menggerakkan cerita kepada kekeliruan.

Berbalik kepada Cerita Adam, begini hamba huraikan sedikit ringkasan ceritanya sebelum hamba ulas hasil kerja projek daripada Unit Drama RTM ini.

Ringkasan

Kisah seorang remaja bernama Adam (Chomatt Samad) yang berhadapan dengan pelbagai dilema dan masalah kehidupan sebagai remaja.

Dia dan ibunya, Kasmah (Sherie Merlis) terpaksa berpindah dari kampung bapanya dari Tapah ke Ipoh selepas kematian bapanya, Surip (Sahronizam Noor), setelah lombong tempat bapanya bekerja runtuh.

Di Ipoh, Adam dan ibunya tinggal bersama Makcik Juni (Sheila Mambo), teman lama ibunya di Kampung Setinggan Seri Mat Jenin. Di kampung itu juga Adam berkenalan dengan Fatimah (Erin Malek) dan Rahmat (Addy Ashraf) yang merupakan teman di sekolah baharunya, Sekolah Anderson.

Tetapi di sekolah itu, Adam berhadapan dengan Bakar (Hisyamudin Ahmad), Jain (Iswazir Ismail), Cheong Beng (Xavier Fong) yang merupakan kumpulan samseng di sekolah itu yang tidak menyenangi keakraban Adam dengan Fatimah.

Di Ipoh, Kasmah kembali menyanyi di kelab malam untuk mencari rezeki dan di situ dia juga berhadapan dengan pelbagai masalah. Akibat terbiar semasa Kasmah menyanyi di kelab malam, Adam sering keluar rumah dan akhirnya berkawan dengan budak-budak gelandangan iaitu Jalil (Nas T), Piro (Azmi Bahron), Andy (Aurangzeb Khan) dan Limin (Faiz Kamal). Melalui Andy, Adam berkenalan pula dengan Pakcik Thomas (Gandii Nathen), bekas pemuzik yang sudah tua dan melarat.

Satu hari Adam telah diperangkap oleh Bakar dan kumpulannya apabila dituduh mencuri pen. Akibatnya Adam bergaduh di sekolah dan kemudian lari dari sekolah. Kehidupan Adam sebagai budak gelandangan menyebabkan dia berdepan dengan konflik dam masalah baru. Dia sudah mula berkawan dengan kumpulan samseng hingga membawa kepada pergaduhan kumpulan. Kemuncak konflik Adam adalah apabila dia berselisih faham dengan ibunya dan Adam lari dari rumah.

Ulasan

Hamba tak kebiasaan mendengar nama pengarah Mohd Zamani Ibrahim yang menyutradarakan drama ini. Tapi hamba boleh beri sedikit pencuci mulutlah kepada beliau kerana ketelitiannya menghasilkan sebuah drama yang berlatarkan era 70-an.


Gambar: (dari kiri) Addy Ashraff, Chomatt Samad, SheilaMambo dan Sherie Merlis beraksi.

Kerja seni amat berkesan dengan usaha untuk menutup zaman sekarang dengan penggunaan busana dan lokasi yang bersesuaian biarpun ada beberapa babak tidak terlepas daripada kantoi mempamerkan zaman sekarang. Alah! Itu perkara biasa bagi sebuah drama, dan jika berlaku dalam filem. Itu baru haru!

Dari segi jalan cerita, ya ia sedikit lari daripada bayangan hamba terutama terhadap perwatakan dua watak utamanya - Adam dan Kasmah. Adam ketika hamba baca, bayangannya seperti seorang budak sekolah yang sederhana, diam, keliru dan punya penampilan tak terurus. Almaklum, anak seorang penyanyi kelab malam. Hamba nampak silap, kerana rumahtangga Kasmah nampak bersih. 'Bersih' nya tak sama seperti rumahtangga Zulaikha dalam drama Surah Terakhir. Ada aspek logik yang lari daripada bayangan hamba.

Gambar: Penggerak utama Cerita Adam.

Kedua, Kasmah yang hamba bayang tidaklah semanis, sopan dan berwajah baik seperti Sherie Merlis. Hamba ketika membaca membayangkan watak Kasmah seolah cocok untuk aktres seperti Safura Yaakub. Cukup tegas dalam keibuan. Tapi Kasmah di tangan Sherie taklah mengecewakan. Bagus, cuma tidak terbanding dengan lakonan Sherie dalam drama bersiri arahan Meor Hashim Manaf (hamba lupa tajuknya, tapi pasangan Sherie dalam kisah mengenai isteri yang juga penuntut syarie di UIAM itu ialah aktor Azhar Sulaiman) terbitan RTM untuk tahun 2001. Lakonan Sherie amat bagus dalam drama tersebut, dan jika dalam drama ini, Sherie seolah mengeluarkan hanya 60% daripada keupayaannya.

Chomatt Samad untuk watak Adam juga tidak mengecewakan. Cuma ada beberapa babak,terutama apabila babak bertekak atau bergaduh, Chomatt kelihatan seperti 'terlalu mencuba'. Chomatt harus belajar menjadi budak nakal yang sederhana. Izi Yahya, Faizal Hussein, Roy Azman mahupun yang baru-baru seperti Nas-t dan
Zahiril Adzim telah membuktikan,watak bermasalah tidak harus kelihatan pada tonasi dialog sahaja, tetapi juga gerak badan.

Hamba pernah menonton lakonan Chomatt sebelum ini, dan ini adalah kali pertama pelakon remaja yang hamba ingatkan anak kepada pelakon lama, Harun Hashim (wajah mereka seiras)ini memegang watak utama.

Kehadiran Nas-t Muammar Zar (sebagai Jalil) yang sebelum ini cemerlang menerusi watak Abu dalam filem Kami tidaklah banyak membantu. Imej gelandangan tidak nampak, selain susuk tubuh sihat langsung tidak cocok untuk anak-anak gelandangan. Nast-t punyai tabiat untuk senyum dalam lakonan, yang hamba kira tidak elok. Senyum bukanlah gaya lakon yang selamat, tetapi ia berbahaya kerana tafsirannya.

Gambar: Lakonan Nas-t (dua dari kiri) menghampakan.

Sheila Mambo sebagai Juni sekadar okay saja. Watakpembantu sebegini juga harus kuat sebagaimana hebatnya lakonan Rose Iskandar dalam Surah Terakhir. Namun kehadiran Sheila hamba agak cukup untuk membantu menyorokkan beberapa kelemahan Sherie Merlis.

Pelakon kegemaran hamba dalam drama ini ialah Gandii Nathen yang muncul sebagai pemuzik tua bernama Thomas. Lakonannya berkesan,cukup subtle dan tidak berlebih-lebihan. Hamba gemar cara beliau menuturkan dialog dalam Bahasa Melayu, kerana iwanya ada. Seolah punya roh dalam lakonan. Babakyang hamba kira perlu diperkemas kerana dalam bayangan hamba ia harus cantik ialah ketika Thomas dan Adam ke pengkebumian cina. Entah kenapa, nampak 'kosong' saja babak itu, sedangkan ia harus emosi.

Hamba sebenarnya mencari magis seorang yang bernama A.Wahab Hamzah yang cukup hamba kagumi kritikan dan saranannya.Bertuah kerana dapat menonton kerja layar beliau kali ini. Cuma ia tidak sampai ke tahap yang hamba bayangkan. AWahab Hamzah dengan kritis ideanya tidak berjaya mencurahkan sepenuh perhatian dalam usaha mengadaptasi sebuah karya yang hamba kira sederhana saja. Wahab sekadar menyalin isi buku,tanpa melakukan bedah siasat. Relevancy antara penulis dengan pengadaptasi ialah menjalin jalan cerita yang kuat. Ikatan antara visual CeritaAdam dengan novelnya amat kuat sehingga hamba mencari-cari dimana Wahab mampu mencorak semula novel asalnya yang biasa-biasa saja. Jika begini hasilnya, maka Wahab sedikit gagal mencerna mana yang tak hadam dalam novel Baharuddin itu.

Gambar: Chomatt terlalu mencuba (dalam erti kata lain,Over) dalam lakonan hingga tidak nampak jiwa.

Pun begitu,ia tidaklah seteruk mana. Masih dikategori baik, biarpun bukan terbaik. Hamba percaya Wahab lebih nampak hala tuju semasa mengadaptasi novel Cerita Adam ini. Seperkara, Baharuddin sebagai penjelma jalan cerita sebenarnya tidak nampak perkaitan untuk menonjolkan permasalahan sosial remaja 70an dengan remaja era ini, hinggakan hamba sebagai remaja era ini sekadar melihat sisi-sisi periodic dalam karnyanya, tidak terkait dengan situasi masakini, biarpun masalah yang wujud era itu masih berlegasi hingga kini. Mungkin fokusnya kepada penyampaian bentuk masalah itu tidak seratus peratus. Hamba percaya budak-budak gelandangan mahupun anak remaja kepada seorang GRO masakini sukar untuk mengunyah perkaitan cerita ini dengan kehidupan mereka. Bagi mereka, Adam dan mereka tidak sama. Amat ketara perbezaannya.

Syabas kepada Unit Drama RTM kerana menyimpul usaha untukmengadaptasi karya-karya sastera, biarpun novel Cerita Adam bagi hamba sekadar biasa (namun lebih baik daripada novel karya hamba sendiri).Tambahan, hamba tidak habis membaca novel ini maka tidak adil hamba menghentam penerbitan drama ini.

Hamba masih menanti wujud usaha untuk mengadaptasi karya hebat Faisal Tehrani - Bedar Sukma Bisu. Oh ya! Novel Harun Aminurrashid, novelis Singapura yang menulis kisah sejarah Panglima Awang juga patut difilemkan dengan skala besar,kerana kisahnya yang besar. Mana tahu suatu hari, insya-Allah.

Salam mesra.

Pesanan:Nantikan selepas ini hamba akan bedah siasat lirik-lirik lagu yang bertanding untuk Anugerah Juara Lagu ke-23.

3 ulasan:

scOotBerry berkata...

cOp2..
nk tanye..
gelandangan tu ape ek..??

Amer Yusof berkata...

Gelandangan tu kata akarnya 'gelandang' bermaksud tiada tempat tinggal khusus, bertaburan dan senang kata merempat. dalam English kita sebut 'Nowhere'.

perkataan gelandangan ni popular balik sejak dua menjak ni dalam sok kabar sebab penulis lirik Hairul Anuar Harun pakai dalam lagu 'maharaja'-ramlah ram. ..hahaha. sy agak aje lah. tp memang dah lama perkataan gelandangan x diguna sejak wujud perkataan merempat.

p/s: kalau gelandangan merempat kat atas tanah, perkataan 'gentayangan' untuk merempat kat udara maksudnya x jejak tanah, x tembus langit...berlegar-legar kata org.

scOotBerry berkata...

Ok..makasih ya..
dpt 2 wOrds baru arini..
gelandangan n gentayangan..
erk..camne la agak nye nk buat tuk essay nnt..
ingat sem dpn nak amek bm..
duhhhhh~

penggemar