Pugar

PERHATIAN: Cerpen ini menggunakan kata ganti diri berikut:-
1) Saya/Aku = Orang
2) Awak/Kau/Kamu = Awak Orang
3) Kita= Kita Orang
HARAP MAKLUM! Selamat membazirkan waktu...

Judul: Pugar
Penulis: Amer Yusof

Manusia dan manusia terus.

Tiada seorang pun yang cinta. Semua manusia yang ada disini tiada berkata-kata seperti gelombang curhat yang meledak dari dalam. Mata bundarku tak tertahan menanggung sakit. Sakit tidak berjumpa dia di depan mata. Yang ku jumpa hanya manusia, dan manusia terus.

Lemas dan terus lemas. Aku rimas dengan lautan manusia ini kerana tiada aku temukan sang cinta yang ku yakin berlegar dan berada di dalam radar. Di mana dia berada setelah berkali ku soalkan ke mana dia menghilang. Kenapa disini pula jadinya pertelingkahan aku dan dia. Kenapa tidak di rumah gajah putih yang teguh tak berpenghuni? Kenapa mesti di tempat ini. Kenapa??

Menyoal 'kenapa' bukan sifatku juga bukan daripada nasabku. 'Kenapa' untuk mereka yang suka mempersalahkan kejadian. Tapi kali ini tak tertahan lagi. Aku juga punya emosi yang normal, mana mungkin aku tidak boleh mempersoalkan kejadian.

Sebagaimana tuhan menciptakan manusia? Ada kau persoalkan?

Hati kecil aku berbisik, patutkah aku persoalkan lagi.

"Percintaan ini tak hanya kita orang berdua! Awak orang kena faham yang orang tak ingin hanya berdua dengan awak orang!" jeritnya memarahiku 10 minit yang lalu.
"Tapi orang yang awak orang invite masuk dalam conversation kita tu orang tak boleh blah!" alasku.
"Suka atau tidak, awak orang kena juga suka. Awak orang dah berjanji kan sebelum ini? Dah lupa?" airmatanya mula mengalir tak tertahan lagi.
"Awak orang jangan macam ni" pujukku, mula gelisah. "Awak orang, malulah macam ni. Banyak orang ni" bisikku lagi.

Bising dan bingit tidak dihiraukannya. Airmatanya malah tumpah, dan dia terus berlalu menyelinap di segenap lapisan manusia. Jari jemarinya yang selama ini tak pernah lepas menggenggam tanganku kini mula lerai. Alah! Ini acahan saja! Aku yakin dia akan datang semula.


Satu tapak, dua tapak, tiga tapak, empat tapak....empat suku tapak, empat setengah tapak...

Alamak!

Aku tergamam. Dia sudah berani beredar pergi lebih daripada 5 tapak tanpa berpaling. Kali ini parah. Amat parah.

"Orang tak suka awak orang mengutuk sepupu orang, si Emma tu!" tegurnya tak lama dulu ketika aku dan dia menghadiri majlis kahwin ibu saudaranya. Tapi aku tak ambil pelajaran, disimbah lagi minyak ke atas api bila mana ibu saudaranya pula aku sasarkan.
"Tak boleh blah orang tengok Aunty Muna pakai korset hari ini. Tak agak-agak" kataku bercadang melucu.

Dia naik geram lantas mencubit pahaku. Cubitannya manja, langsung tidak ku jejas. Petang itu dia buat perangai, tak mahu bercakap dengan aku sampai habis majlis.

Dalam Facebook dia komen gambar aku dan kawan-kawan pergi bercuti ke Genting Highlands. Dia mahu ikut, tapi aku katakan itu bachelor party, gadis tak boleh ikut. Untuk puaskan hatinya, aku muatnaik semua 44 keping gambar yang ku ambil menggunakan kamera digital Olympusnya.

Dia komen salah satu gambar yang ada aksi gedik kawan aku, si Freddy Enzim. Katanya, "Fred tu tak nak pergi jumpa Dr. Murad ke?" dengan tambahan ikon emosi gelak guling-guling di akhir ayat. Aku balas balik, "Bolehlah dia pergi dengan Pak Cik 'Afif awak orang tu".

Tahu apa jadi? Dia suruh bapa saudaranya, 'Afif yang lagi muda daripadaku untuk SMS kata dua terhadapku. Aku tahu dia yang taip mesej itu maka aku balas dan mohon maaf.

Sampai begitu sekali dia marah kalau aku bergurau tentang sanak saudaranya. Paling parah mungkin kisah aku touch-up gambar lemak-lemak di perut nenek saudara tiri sebelah sepupu ipar bapanya. Dah memang aku kerja sebagai pereka grafik, tentulah tangan aku gatal nak touch-up gambar yang tak elok. Dia marah, sedangkan niat aku untuk menyelamatkan maruah nenek saudara bla bla bla-nya tu.

"Awak orang kena sayang keluarga orang macam awak orang sayang keluarga orang" katanya ketika hari pertama aku berjumpa ibubapanya.

Aku diam, pohon dia mengerti maksudku. Tapi dia tak endah. Aku hairan sebab sudah berkali aku kisahkan sejarah keluargaku. Dia menjeling sebelum aku turun daripada kereta Satria GTi biru milikku.

"Alah! Awak orang, sorry ek! Orang terlupa. Sorry, sorry, sorry..." pujuknya sayu.

Memang dia pandai memujuk. Pujukannya sentiasa menyejukkan hatiku hingga aku tidak boleh mengambil hati.

Aku tak punya keluarga. Dia yang pernah cuba membantuku menepis segala duka. Aku dibesarkan oleh bapa tiriku sejak kematian ibu. Sementara bapaku sudah berhijrah ke Australia sejak berpisah dengan ibuku. Aku tinggal dengan keluarga tiri yang pada mulanya baik-baik saja. Akhirnya, rumahtangga bapa tiriku berantak kerana hadir orang ketiga dalam hidup ibu tiriku. Aku terasing sejak terjadi peristiwa itu. Bapa tiriku bukan tidak sayangkan aku, cuma dia kini lebih gemar menyendiri dan melayan kesepian kerana kegagalan perkahwinan keduanya.

"Abah awak orang masih macam tu ke?" tanya dia ketika bergotong royong menghidupkan semula roh dapur rumah kami anak beranak...tiri.
"Macam tulah. Awak orang nampak sendiri kan?" jawabku kelat.
"Janganlah awak orang buat muka ketat! Nanti orang try cakap-cakap dengan abah awak orang" pujuknya sambil menggayakan semangkuk Masak Lemak Cili Api.

Sejak aku dengan dia, bapa tiriku semakin beransur menjadi manusia. Aku juga tidak terabai seperti dulu. Dialah yang memberi sinar baru dalam hidup aku.

Aku perlukan hanya dia, dan dengan ribuan manusia membanjirkan ini mana mungkin aku akan dapat bertemu semula dengan si dia. Mustahil sekali.

Berulangkali aku dail nombor telefonnya. Tidak berjawab, malah dimatikan terus sebelum sempat aku friendfinder. Aku berjalan terus hingga ke ceruk ruang yang ku rasakan ada dia. Beberapa manusia di situ melihatku dengan pandangan tak semengah. Aku umpama mencari kucing hilang, terjenguk-jenguk, terhendap-hendap.

Di sebalik ribuan manusia itu akhirnya aku ternampak akan dia. Berbaju kurung merah dan berambut lurus panjang. Dia ada di celah-celah manusia, di tepi lorong sempit.

"Awak!! Awak!!" jeritku, nada berbaur gembira.
"Lu bikin gila apa? Manyak-manyak tempat, ini telinga lu mau pekik!" tegur seorang perempuan cina tua yang memandangku geram.
"Soli,soli! Saya mau cari itu olang" balasku, berdialek cina.

Alamak! Hilang sudah.

Aku tak putus derap. Kakiku deras menuju ke tempat tadi. Aku yakin dia akan berlegar di kawasan itu sahaja. Tanpa malu ku jerit namanya berulangkali, biarpun ramai mata memandang.

Sepuluh minit aku berlegar-legar mencarinya. Tak ku jumpa.
Kalau aku telefon kawan baik dia, Zalia agak-agak dia angkat tak?

"Kau tahu dia buat apa?" tanya Zalia kepadaku saat si dia pernah tak jawab panggilanku selama 32 jam. Rekod paling lama setakat ini.
"Apa dia buat?"
"Dia tidur. Matikan handset pula" jawab Zalia geram kerana dia pernah terpekik terlolong lantas memanjat anjung jemuran di hadapan rumah mereka saat itu semata-mata mahu masuk ke rumah.
"Aku dah try call, dia off. Kau buat apa kat dia?" tanya Zalia rimas.
"Aku kutuk Emma" jawabku jujur.

Zalia tergelak besar. Dia mengiyakan perbuatan aku. Katanya, memang patut Emma mendapat testimoni pedih daripada aku. Zalia siap mahu sampaikan sendiri kepada Emma. Celaka punya kawan, aku minta tolong, lagi dia seronok mengenakan aku.

"Tak ada cara lain selain daripada kau cari dia kat situ. Mengamuk mak bapak dia kalau dapat tahu kau tinggalkan dia kat situ" pesan Zalia sebelum hilang dalam radar.

Tubuhku berpeluh kencang. Panas bersesak dengan orang ramai sebegini. Bertambah panas dengan sikap dia yang selalu saja sentap tak tentu fasal. Naik rimas ada, naik lemas pun ada. Tapi nak buat macam mana, hati dah sayang. Kenalah terima seadanya.

Ramai kawan-kawanku bertanya kenapa aku berkasih dengan si dia yang manja dan merimaskan. Naik darah juga aku nak menjawab. Aku bilang, dia tak manja dan merimaskan sangat. Err..adalah sedikit rimas tetapi aku sayangkan dia sebab dia penyayang dan jujur terhadapku. Dalam hati aku tahu, mereka cemburukan aku dapat gadis secomel Han Ye Seul, aktres Korea Selatan.

Mengapa ini semua harus berlaku,

Apakah ini semua kerna diriku,

Sedangkan aku cuma watak dalam percintaan,

Tak sanggup aku melepaskanmu,

Kau ibarat terperangkap di tengah lautan,

Tak tahu mana arah untuk kau menuju...

(Trilogik Cinta - Saleem)

Bergema di gegendang telingaku persembahan seorang pak cik buta yang sedang bermain keyboard. Tiba-tiba saja aku melintasi kawasan ini. Pandai pula pak cik ini memilih lagu, sesuai benar dengan situasi sekarang.

Aku mendapat akal. Tak kisahlah, malu aku sanggup kikis ke tepi. Kali ini, aku tak mahu pulang dengan perasaan tak tenteram. Aku bawa anak orang keluar, adalah tidak patut aku tinggalkan dia di tengah lautan manusia ini semua.

"Perhatian! Kepada gadis yang bernama Marya Rahila binti Hj Mohd Nordin. Berusia 23 tahun dan memakai baju kurung merah, berambut panjang. Apa saja tak kisahlah, you know who you are. Diharap dapat lapor diri ke tempat punca suara ini" aku terhenti seketika menanyakan tuan punya tempat "Apa nama tempat ni pak cik?" sebelum aku menyambung semula "Lapor diri ke Pak Latip Corner sekarang juga!" umumku sambil menahan malu. Semua mata memandang hairan aku yang seolah berucap untuk kempen pilihanraya.

Pak Latip bersuara "Ulang. Dia tak dengar kalau sekali". Aduh, nak kena ulang semula. Nampaknya sekali lagi aku harus tebalkan muka.

Habis pengumuman kedua, aku menyendal malu dengan menjemput semula Pak Latip membuat persembahan. Aku terpaksa berlagak seperti deejay majlis kahwin.

"Hey brother! Ada orang kasi ini sama lu" tegur seorang pemuda cina berwajah bak aktor Farid Kamil yang tetiba muncul di Pak Latif Corner itu. Di tangannya terdapat sekeping nota.
"Siapa kasi sama lu?" tanyaku.
"Secret ma. Dia suruh you baca dulu" jawab pemuda itu.
"Okay len chai, terima kasih!" sambutku mesra.

Aku mencapai nota itu. Aku tahu daripada siapa. Tengok kertas sudah tahu siapa empunya. Apa saja permainan dia kali ini sampai aku terpaksa menanggung malu besar. Aku membuka perlahan-lahan, turutkan saja kemahuan dia. Malas rasanya mahu bertekak lagi.

Aduh! Kenapalah perkara ini terjadi kepadaku. Geramnya!

Aku meminta mikrofon Pak Latip sekali lagi. Kali ini dah macam aku pula pengurus beliau.

"Lagu kita orang yang mana satu? Yang ini ke?" tanyaku tiba-tiba. "Ingat tak lagi janji kita dulu oh Cik Marya..."

Bengkak! Kenapa dan-dan itu juga aku lantun lagu Aspalela. Manalah aku ingat mana satu lagu kegemarannya. Tiap kali karaoke, mahu 10 hingga 20 lagu dia nyanyikan. Yang aku ingat hanyalah Aspalela.

Banyak sebenarnya mata yang memandang, malu jangan dihitung lagi. Tapi alang-alang sudah bermain separuh masa, baik dihabiskan saja.

Seketika datang pula seorang perempuan yang ku agak berasal dari Indonesia. Tekaan aku salah, awalnya tadi mati-mati aku fikir gadis Indo itu mahu request lagu kegemarannya kerana fikirkan aku penghibur di sini. Gadis itu sebenarnya memberikanku sekeping lagi nota bertulis tajuk lagu pilihan si dia.

Lagu ini?

"Orang nak chup lagu ini jadi lagu kita orang. Awak orang okay ke?" tanya dia ketika mula kami berjanji membuka jalan percintaan.

Itu 6 tahun dulu. Ketika masing-masing berumur 20 tahun dan 18 tahun. Lama dulu setelah aku berjaya mengumpul wang pendahulu belian Satria GTi kesayanganku.

"Kenapa lagu ni? Tak ada lagu duet ke?" tanyaku tak puas hati dengan cadangannya.
"Awak orang juga yang suruh orang pilih. Geramnya" dengusnya dengan wajah comel.
"Okaylah. Tapi dengan satu syarat! Orang tak akan main lagu ini dengan band orang. Setuju?" pintaku awal-awal. Silap kalau setuju buta-buta, nanti kantoi dengan rakan-rakan sekugiranku.
"Kenapa? Itukan lagu kita?" tanyanya tak puas hati.
"Sebab lagu kitalah, biar kita saja yang tahu. Lagipun band orang nyanyi lagu punk dan grunge saja" jawabku siap tersengih buntu.

Berjaya juga pujukku hingga terukir senyuman panjang lebar di wajahnya. Lagu ini tak sukar, cuma segan saja. Aku lelaki, dan lagu ini? Aduh, geli geleman. Kini nak dinyanyikan pula di khalayak ramai. Lagilah segan. Tambahan aku memakai t'shirt Rage Against The Machine petang ini. Canggung betul!

Belasah sajalah! Lirik? Takkan aku lupa. Lagu rasmi kami.

Aku bisik ke telinga Pak Latip mana tahu silap haribulan dia tahu chord lagu tersebut, mudah sikit untuk aku fokus kepada lontaran vokal. Malang! Pak Latif menggeleng. Tiada cara lain, aku harus bermain sendiri keyboard ini. Kurang 5 minit juga ku betulkan tetapan keyboard itu. Mahu menyanyi, jangan sebarang saja.

Petang itu saat matahari senja mencurah di sebalik pencakar langit, aku dendangkan lagu kami. Hanya untuk dia yang mendengar di sebalik keramaian.

"Bunyian ini untuk si dia yang sembunyi" ucapku sebelum memulai. Ramai jadinya orang yang kerumun. Lantak! Asal dia puas hati, aku turutkan saja.

Kau datang bagaikan mimpi
Kau hadir daku sedari
Sekian lama kunanti
Kau di sini

Mungkin kehendak Ilahi
Segalanya kujalani
Biar lelap tidurmu
Dipelukku

Siksanya nak habiskan verse ini semua. Sedang mataku melilau mencarinya biar lekas muncul. Tak perlu lama aku membuat show percuma disini. Pak Latip pun dah tersengih-sengih apalagi beberapa mbak-mbak yang tersengguk menonton aksi tak tahu maluku.

Cinta ini
Kupersembahkan
Setulus hati kasih
Kepadamu
Seandainya engkau mengerti
Hanya kau kumiliki
Dalam hidupku

Dia akhirnya muncul. Dari celahan manusia yang banjir itu, dan betul-betul berada di hadapanku. Aku tersenyum sambil tangan mencuri waktu untuk menggaru kepala yang tak gatal. Aku malu yang amat sebenarnya, tapi segalanya telahku redah. Biar aku habiskan saja permainan ini.

Kasih sayang ini
Semoga abadi
Kan kubawa sampai akhir nanti .

Nyanyianku tamat. Lagu Misha Omar berjudul Semoga Abadi itu tak pernah-pernah agaknya bergema disitu. Manusia-manusia yang ada semua diam sebelum Pak Latip bertindak sebagai pencetus tepukan. Aku naik segan bila ramai yang bertepuk tangan dan memerhati Marya muncul betul-betul di hadapanku.

"Orang malu" ucapku terus.

Marya kemudian meletakkan sekeping not RM100 ke dalam bakul kecil Pak Latip. Dia kemudian menyerahkannya kepada lelaki tua yang erat dan mesra di sebelah isterinya yang juga buta.

"Tolak duit orang, awak orang kumpul dua ratus lebih" katanya sambil mencapai jari-jemariku untuk digenggam.

"Sepatutnya lagi banyak boleh kumpul tu" usikku sambil menarik Marya keluar daripada pemerhatian ramai. Kaki ini langkahnya mahu lekas. Malu masih belum pudar.

"Ah Moi! Lu punya boyfriend manyak romantic lah! Lu jangan suka-suka main sama dia punya feeling!" sergah pemuda cina yang menghubung pertemuan semula kami tadi.

Kami berdua tersenyum simpul. Aku bersalam dan ucapkan terima kasih kepada pemuda itu.

"Handsome macam Farid Kamil kan dia?" tanya Marya kepadaku. Aku mencebik cemburu, lantas Marya memaut lenganku dengan senyuman. Kami lekas beredar.

Aku dan dia tergelak besar sepanjang jalan ke kereta. Sumpah aku segan nak ke Petaling Street lagi selepas ini.

"Lain kali, jangan buat macam ni. Malu orang tau. Mahu saja tadi orang nak bersihkan tempat ini biar semua pergi supaya senang orang jumpa awak orang" tegurku nada pohon.

"Awak orang janji dulu tak akan kutuk suara sepupu orang lagi. Janji tak?"

Aku menyeringai, berjanji tak mahu ulangi. Perpisahan mungkin sekadar waktu. Dan dalam waktu sesingkat ini saja aku tak mampu. Di kaki mentari ini telah aku temukan hakikat bilamana aku tidak bisa pugarkan semua manusia disini hanya kerana aku mahu memiliki dia seorang saja. Pugar tak mampu mengasingkan alam dan suara. Pugar ini juga tidak sesekali mampu menemukan aku dengan si dia.

"Semoga abadi ya awak orang!" bisiknya manja.

[TAMAT]

p/s: Pergh! Jiwangnya...hahaha.






Fotografi oleh Maltravels
Read more

Seringai Bersanding

Salam,

Entri ini sekadar suka-suka saja. Ada bahan nak dicerita, maka lajulah jari ni nak menaip. Alkisahnya tentang adat orang Melayu bersanding. Mak nenek andam segala sudah banyak kali pesan agar menjaga adab sebagai pengantin.

Senyum jangan sampai melewah bak kerang busuk,
kaki jangan terkangkang bak pelacur Chow Kit,
mulut jangan dok bising berbual,
bercakap tak tentu hala dan paling penting,
janganlah sampai nampak macam tiga suku atas pelamin

Seterusnya adat menepung tawar, sepengetahuan hamba jikalau ada tetamu kenamaan yang berpangkat yang mana tuan rumah menjemput secara rasmi ada eloknya diberi giliran utama untuk menepung tawar, kemudian barulah keluarga pengantin. Tentang giliran menepung tawar bagi pihak pengantin lelaki atau perempuan yang patut di dahulukan, hamba tidak pasti. Cuma, kalau hamba sebagai pengantin lelaki, hamba akan dahulukan kedua-dua ibubapa pengantin dan kemudian barulah tok nenek sepupu sepapat daripada pihak saudara mara kedua belah pihak. Lagi ramai lagi bagus, lagi banyak restu.

Hamba titipkan gambar-gambar ini untuk direnung. Kadang-kadang harta yang berkoyan juga tak mampu mendidik kita untuk beradab tertib ketika tiba waktu yang sepatutnya. Bukan mahu membuka aib, cuma menegur sekadar aja.

Selamat pengantin baru buat mereka yang berkenaan.
Dan yang tidak berkenaan:- Ingat! Jangan menyeringai ketika bersanding, tak elok!


Gambar: Kredit to Saniboey


Gambar: Kredit untuk Klubbkidd




Gambar: Kredit untuk Hafreeze

Pernyataan: Adat bersanding ini tidak 100% asli Melayu, biarpun berpaksi kepada kesan ajaran Hindu zaman dahulukala, namun sejarah menyaksikan kita menggunakan adat ini dengan cara kita, tanpa pengaruh kental budaya Hindu zaman dahulukala.

Pertanyaan: Apa itu 'seringai'? Menurut Kamus Dewan Edisi Empat
Seringai : 1. gerak bibir atau muka (utk meng-ejek, mengeji, dll), kenyih, gerenyot; 2. senyuman lebar (yg menampakkan gigi); menyeringai menggerenyotkan bibir atau mulut (utk mencebik, mengeji, mengejek, dll): gadis itu cuma tersenyum ~; menyeringaikan; ~ gigi menampakkan gigi (ketika menyeringai): nenek Tempe ~ gigi hitamnya; terseringai 1. terbuka sedikit mulutnya (spt orang tersenyum) dan tergerenyot bibir atau muka: kawannya itu ~ kesakitan; bahagian kepala Razak terasa sakit dan dia ~ me-nahannya; 2. tersengih dan kelihatan gigi-nya, terkernyih, tergerenyot.
Read more

Kaki Perempuan oleh Orang Buangan Amerika



Tiada benda, cuma nak kongsi benda ini - Kaki Perempuan. Hamba sebenarnya sedang mencari semangat spoof untuk Jimmo, LEMBAYUNG TIMOUR dan menemukan semangat spoof yang ringkas tetapi mendalam. Ada dua versi contoh spoof yang hamba lampirkan, pertama spoof yang terus dan terang, manakala yang kedua spoof versi selindung tetapi pedih. Tahniah kepada kugiran kegemaran hamba. All American Rejects dan juga pihak yang lagi satu. Astarfirullah, tak baik betul, 1 Muharam buat entri semacam ini.

[Nak tengok aksi Spoof versi 1, tekan kat kaki perempuan di atas ya, manakala Spoof versi 2, sila tekan bawah]
Read more

JIMMO, LEMBAYUNG Timour

Salam,
Untuk pengetahuan pembaca budiman, hamba sedang mengusahakan sebuah projek dalam waktu terdekat yang mana membabitkan hamba sebagai teraju utama. Ia sebuah projek kecil-kecilan, tapi hamba yakin amat memberi makna untuk masa depan hamba. Insya-Allah.
Nantikan akan datang, hamba dedahkan apa itu
JIMMO, LEMBAYUNG Timour
Tunggu saja ya!
Read more

Maal Hijrah 1430


Selamat Menyambut Maal Hijrah untuk tahun 1430 hijrah. Semoga kita dapat lebih rezeki dan lebih kemuliaan dalam tahun baru Islam ini. Seperti kebiasaan, pada petang hari terakhir 1429 hijrah ini ada baiknya kita semua membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun sempena menyambut tahun baru kita ini. Tiada upacara countdown, bunga api, konsert-konsert segala ya. Kita mulakan tahun baru kita dengan perkerti yang elok. Insya-Allah.


Untuk doa, boleh tekan sini. Alhamdulillah.
Read more

Denting - 0103

Berbicara Bahasa Tuhan
(Bab 1 - Bahagian 3/3)


Nenek menyapu sampah lain daripada yang lain. Lagaknya tak ubah seperti mencangkul tanah. Sudah sepusing jarum jam aku bertenggek tak disuruhnya masuk. Apa salahnya benarkan aku menyalin pakaian. Habis lencun bajuku dengan peluh. Kalau tak kerana mahu sekali berjumpa nenek, aku tak akan muncul di Kampung Ranjau Hantu ni lagi.

"Mana aku nak letak muko Man oi?" bebel nenek tak henti-henti.

Aku menyesal. Menyesal sebab ke Kuala Lumpur tak lama dulu. Belum masuk 3 bulan sudah banyak perkara yang berlaku. Nenek tahu, satu kampung tahu. Apa yang terjadi, biarlah rahsia. Cukup setakat nenek yang tahu dan faham. Itu sudah memadai.

"Ekau buat apa lagi tercogat kat situ? Dah nak masuk maghrib! Pergi solat Asar cepat!" serangan nenek yang berdas-das sejak tadi akhirnya tamat.

Lah, ada lagi!

"Agaknya ekau tak sembahyang kat KL dulu kan? Apa nak jadi dengan ekau?" sambungnya lagi. Nampak gaya aku kena juga pasang perisai.

"Habis tu nenek tak suruh eden naik, macam mana eden nak naik sembahyang. Inikan rumah nenek" balasku sambil memeluk beg sandang yang hanya berisi dua tiga helai pakaian.

Nenek diam.

"Ini rumah ekau juga" katanya, dalam nada sepi.

Aku naik dan kembali semula ke kamarku yang tak terusik sejak dua bulan lalu. Senyap sepi, asing sekali. Udara petang menghembus mesra ke dalam bilik. Tingkap yang terkuak ku sisir langsirnya. Senja kian berlabuh, maka elok aku persiapkan diri.

Segalanya sudah terjadi, dan tak dapat ku undurkan masa. Jadi, apa yang akan berlaku selepas ini biarlah aku tempuh dengan sendiri. Belajar daripada pengalaman yang secebis ini.

***

Dia menyedut minuman yang terhidang di atas meja. Teh Ais. Minuman yang aku cukup tak gemar sejak kecil. Sesekali matanya memandangku, penuh khusyuk ibarat aku ini pendatang tanpa izin.

"Habis tu buat apa kau datang balik ke sini?" tanya dia.

"Sebab aku nak cari balik orang tu" jawabku tenang.

"Tak semudah tu Rahman. Kuala Lumpur ini besar. Orangnya bermacam-macam. Mustahil, mustahil Man!" sergahnya seolah mahu membuatku lemah.

Dia menyuruh aku minum sehingga habis. Entahlah, tawar rasanya Nescafe Ais ni. Tujuan aku bertemunya untuk meminta pertolongan, tapi caranya kali ini tak serupa dulu. Dulu, ketika aku dan Jenal mendapatkannya, dia melayan mesra. Kali ini entah kenapa, ada semacam curiga yang bertanam di benak fikirannya.

"Aku tahu kau pun mahu cari dia. Kita berdua memang nak cari dia" tegurku setelah meneguk yang akhir.

"Siapa kata?"

Eh budak ini, kalau kau tak nak cari mangkuk tu, takkan kau setuju nak jumpa aku. Kau fikir senang aku nak buat keputusan nak ke sini?

"Macam ni, malam ni kau lepak rumah aku. Aku boleh tolong kau, tapi aku tak nak terlibat" jawabnya sebelum memanggil anil yang sibuk berdiri kehulu kehilir di Mamak Bistro 24 Jam itu.

Aku mengekornya ke kereta. MyVi hitam yang masih tinggal kesan kemek itu akan membawaku ke jalan penyelesaian. Dendam, dan cinta yang kumahu ku jalani.

***

Semuanya telahku jalani. Tetapi kisah ini baru bermula. Banyak pihak terkait ibarat benang bersimpul-simpul. Diri aku berada jauh di tengah punca. Tiada alasan lagi untuk aku menyepi, mencari makna bersendirian.

Angklung kayu berserta logam kecil itu tidak akan berdenting lagi kerana aku harus akhirkan apa yang aku mulai. Rahman yang dulu harus kembali.

"Kamu kenal siapa diri kamu, jangan takut dengan diri sendiri Man" bisik nenek tak lama sebelum aku memilih jalan ini.

"Awak pergi cari diri awak dulu! Selesaikan semuanya! Pintu-pintu ini semua sudah tertutup. Tiada orang yang boleh bukakannya" aku masih terngiang-ngiang akan kata-katanya, semalam.

Pangsapuri 4 tingkap itu kecoh seketika. Banyak kepala yang muncul di sebalik kain langsir, memerhati drama yang sedang berlangsung.

"Erin, tolong jangan buat pasal kat sini!" nampaknya aku terpaksa merayu si kecil itu agar tidak terus menganggu jiran-jiran yang lain.

"Berani kau keluar tunjuk muka ya bang! Turunlah kalau berani! Kata anak jantan!" Erin terus memaki hamun tanpa menghiraukan orang lain.

"Dah tu, kau suruh aku keluar!" darahku menyirap.

"Kalau nak gaduh, gaduh tempat lain lah!" jerkah satu lagi suara.Aku nampak tiada jalan untuk hentikan suara lantang Erin. Tiada jalan lain lagi, aku harus turun dan berdepan. Perkara ini harus diselesaikan.

Selesaikan segala macam cela tentang dia yang menanti keputusanku, tentang Erin yang menunggu penjelasanku, juga tentang mereka yang menyimpan dendam terhadapku sekaligus hapuskan si dia yang terkutuk, yang mahukan aku hidup-hidup.

Jangan berhenti Rahman. Kisah hidupmu baru bermula.

***

(bersambung ke Bab 2)

Bab 2 akan muncul selepas 2009. Harap maklum.

Read more

Ketuanan Melayu Yang Tiada Dalam Perlembagaan

SOROTAN 2008

PESANAN: Hamba sedang mengulas subjek-subjek berkaitan Melayu yang menarik sepanjang 2008 yang akan hamba pecahkan kepada 3 kategori iaitu
1. Hiburan Melayu
2. Bahasa Melayu
3. Politik Melayu

Memahami Perlembagaan Negara

Sebelum berceloteh panjang, hamba panjangkan pemahaman hamba terhadap Perlembagaan Malaysia yang sempat hamba pelajari (walaupun tidak menelaah dengan lebih mendalam) ketika zaman bergelar penuntut universiti tak lama dulu. Perkara asas yang perlu kita tahu tentang Perlembagaan Malaysia ialah ia punya 15 cabang yang menetapkan semua hal penting dalam pembentukan sesebuah negara seperti perkara asas seperti undang-undang tubuh, kehakiman, kewangan negara, perkhidmatan awam, pilihanraya dan paling dibincangkan, kewarganegaraan. Untuk bacaan terus kepada
Perlembagaan Malaysia <--ini bukan sumber Wiki ya.






Gambar kredit kepada perisik-rakyat.com


Perkara Yang Dibangkitkan - Perkara 153

Perkara 153 dalam perlembagaan menggariskan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera. Pembetulan, kalau ikut sains, Bumiputera tak kira kaum asli dayak mana juga dikira Melayu. Okay, inilah yang sibuk diperbincangkan selama ini.

Tun Det dalam blognya menggariskan dua entri berjudul Kontrak Sosial menerangkan satu persatu akan pemahaman beliau mengenai kontrak sosial. Tun lebih dulu memukul canang apa itu kontrak sosial, tanpa hamba hirau apa muslihat di sebaliknya. Dalam entri tersebut, Tun menggariskan pemahaman beliau bahawa setiap warganegara harus memperakui dan akur kepada perlembagaan sesebuah negara, biarpun mereka kaum pendatang atau kaum bergelar tuan tanah. Untuk faham, elok baca entri ini terlebih dahulu. Berbalik kepada Kontrak Sosial dalam entri kedua, hamba tertarik dalam hujah nombor 21 dan 26 di mana beliau mengatakan

"..dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi"

" Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja".

Hamba nak tergelak pun ada, kerana perkara yang dinyatakan oleh Tun Det nampaknya tidak menampakkan hasil biarpun sudah setengah abad perlembagaan negara ini diperakui kedaulatannya. Tapi maaf, hamba tidak mahu bercakap bahasa Melayu secara khusus, sebaliknya hal lain yang secara amnya mewakili hak dan keistimewaan orang Melayu, termasuk soal bahasa.

Hamba ada membaca kesemua perkara dalam perkara 153 yang sebetulnya berkenaan kontrak sosial dan sepemahaman hamba yang tak seberapa ini, tiada disebutkan fasal ketuanan Melayu. Jadi, daripada mana pesongan fakta ini berlaku? Dalam perlembagaan atau atas marga politik sahaja? Yang pasti ketuanan Melayu lebih hamba faham sebagai dongengan yang menakutkan bak sumpahan orang minyak. Kenapa ini berlaku? Itu yang hamba cuba rungkaikan.

Penemuan hamba sepanjang menelaah perlembagaan yang mana hamba bertemu perkara bahawa tiada disebutkan langsung konsep ketuanan Melayu dalam perlembagaan negara. Jadi, dari mana datangnya konsep ketuanan Melayu?

Sebelum itu, ada baiknya anda semua rujuk Perkara 153 dalam link di bawah ini.

Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

Jelas dan nyata, perkara 153 digubal untuk menjaga kepentingan bangsa Melayu sebagai tuan tanah yang tidak dianggap sebagai pendatang di Tanah Melayu. Lama dulu sebelum kehadiran bangsa Cina dan India, semenanjung ini berada di bawah kekuasaan kerajaan Melayu, baik yang berpusat di Sumatera, Tanah Jawa, ataupun di Tanah Melayu sendiri. Semenanjung telah ditadbir oleh beberapa kesultanan / kerajaan Nusantara secara terus menerus, zaman ke zaman.

Tetapi di mana wujudnya konsep ketuanan Melayu yang dipukul canang?

Secara ringkas, hamba melihat idea untuk mengembar-gemburkan wujudnya ketuanan Melayu, lebih-lebih lagi dalam meyakinkan sebilangan besar bangsa Melayu yang tidak berminat untuk mengkaji, dan menelaah Perlembagaan Malaysia untuk terus percaya, dan terhutang budi kepada kerajaan sekarang yang bertanggungjawab mencetuskan perjanjian, dalam perkara 153 tersebut.

Intipatinya, Melayu akan terus menikmati rizab atau keistimewaan yang kita cuba pertahankan hari ini. Contohnya, hak kerakyatan, Islam sebagai agama rasmi, kuasa raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, biasiswa, kuota dalam perkhidmatan awam dengan nisbah 4:1 untuk Melayu dan bukan Melayu, ekuiti 30% dalam syarikat milik kerajaan, dan yang paling dijaga ialah kedudukan Melayu dalam pentadbiran kerajaan selain kuasa raja-raja.

Hamba faham , ketika Tunku mahu menuntut kemerdekaan negara - sokongan daripada bangsa bukan Melayu amat diperlukan untuk mendapat restu daripada British. Makanya, dalam pada menggubal kesemua 15 cabang perlembagaan negara baru benama Persekutuan Tanah Melayu (ketika itu), perjanjian untuk menggariskan perkara 153 ini dibuat untuk memelihara hak keistimewaan orang Melayu, sebagaimana ia tidak disebut dalam rang undang-undang untuk membentuk Malayan Union tak lama sebelum itu. Inilah yang hamba sebut sebagai survival orang Melayu yang dipukul canang dengan meletakkan terma Ketuanan Melayu, walhal hakikatnya ia tidak digariskan secara rasmi dalam perlembagaan negara.
Ya benar, suatu ketika dulu hampir semua kesultanan Melayu mengamalkan sistem feudal di mana golongan bangsawan saja yang akan mengambil pusing soal politik. Raja berkuasa sepenuhnya dan rakyat yang berbangsa Melayu dianggap sebagai rakyat sementara pendatang tidak diperakui sebagai rakyat. Kalau ini yang dikatakan ketuanan Melayu, maka sudah jelas sistem feudal sudah tidak diamalkan di Malaysia.

Maksud ketuanan Melayu pada hemah hamba tidaklah molek untuk digunakan. Tuan bermaksud menjadi orang yang memegang tampuk, dan sesiapa yang tidak bergelar tuan, maka menjadi hamba. Dalam konteks ini Melayu dan Bumiputera diangkat sebagai Tuan sementara bukan Melayu, maaf jika hamba namakan sebagai golongan Hamba. Adilkah begitu?

Hamba persoalkan disini ialah, seiring dengan pembentukan kerajaan Tanah Melayu, UMNO sendiri dengan janji memberi hak kerakyatan kepada bangsa bukan Melayu dalam usaha untuk mendapat restu merdeka daripada Inggeris. Hak kerakyatan itu diperolehi dengan cara dilahirkan didalam negara itu atau Jus Soli. Selepas menjadi warganegara, anak mereka akan secara automatik dianggap sebagai warganegara dan sebagai warganegara mereka tidak perlu bersumpah kesetiaan kepada negara berkenaan secara formal. Hak ini pula dikatakan sebagai melalui Jus Sanguinis, iaitu melalui pertalian darah. Samada kewarganegaraan diperolehi melalui jus sanguinis atau jus soli, kontrak sosial masih diguna pakai walaupun tiada pengakuan sumpah secara formal. Jadi, hamba sudah lengkapkan bagaimana Cina dan India boleh diterima kerakyatan di Malaysia tanpa syarat mengatakan mereka menjadi hamba.

Hamba bersetuju dengan isu pokok berkenaan kontrak sosial yang Tun Det gariskan dalam hujah ke 23 dan 24.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

Jadi, sejak dua menjak ini lebih-lebih lagi sepanjang 2008 hak keistimewaan orang Melayu dipersoalkan semula oleh bukan Melayu. Mereka menuntut kesamarataan atas dasar mereka mungkin terasa hina dengan konsep ketuanan Melayu yang seolah menjadikan mereka sebagai hamba kepada tuan Melayu.



Gambar: Orang Melayu sebagai penduduk asal mahu segala hak keistimewaan mereka terpelihara
Kredit kepada jalankayutrail.blogspot.com
2008 juga menyaksikan PAS dan UMNO membuat pertemuan demi pertemuan dalam membincangkan masa depan Melayu dan Islam. Ramai yang jadi kaget apabila ura-ura PAS dan UMNO mungkin bersatu seperti mana yang pernah berlaku dalam Perikatan dahulu. Secara peribadi, hamba tidak berkenan dan bersetuju PAS dan UMNO bergabung kerana dua entiti ini harus dipisahkan untuk mewujudkan 'check and balance'. Tiada kerajaan yang teguh jika tiada pembangkang.
Lagi pula, UMNO sendiri harus menelaah semula perjuangan mereka. Jika soal 'bangsa' yang menjadi keutamaan mereka maka tidak perlu mempergunakan 'agama' sebagai alat. Keahlian UMNO harus dibuka kepada bumiputera bukan Islam, sepertimana konsep tak semua Melayu adalah Islam. Dengan cara ini tidaklah muncul banyak parti-parti politik kecil di Sabah dan Sarawak yang sibuk memperjuangkan nasib kaum minoriti masing-masing sedangkan mereka mendapat hak keistimewaan sebagai bumiputera. Tidakkah ini akan lebih menyatupadukan orang Melayu/Bumiputera biarpun ada yang berlainan agama. Cuba rujuk MCA yang membuka keahlian kepada bangsa Cina tak kira mereka Buddha atau Kristian.
Lainlah pula dengan PAS, mereka memperjuangkan 'agama' sebagai asas perjuangan politik, maka tidak semestinya PAS hanya mempunyai ahli berketurunan Melayu, sebaliknya harus dibuka kepada kaum India Muslim, Cina Muslim ataupun mualaf dan Arab pendatang. Golongan-golongan ini secara logiknya tidak layak berada dalam kapal UMNO.

Tapi selama ini kita kenal UMNO sebagai parti penyelamat hak istimewa kaum Melayu sementara parti-parti lain tidak akan dapat menyelamatkan hak istimewa yang terkandung dalam perkara 153 tersebut. Hanya dengan mengundi UMNO (biarpun kadang-kadang calon UMNO tidak sepenuhnya berketurunan Melayu) maka mereka merasa akan lebih terjamin.

Justeru, hamba percaya ramai Melayu takut untuk mengundi parti yang tidak berasaskan kaum seperti PAS, PKR dan DAP atau logiknya PR kerana takut hak keistimewaan orang Melayu tergugat jika mereka memerintah. Inilah yang dimomokkan selama ini hingga Melayu takut untuk mengundi calon yang benar-benar berkelayakan sehingga terpaksa memilih kaum sendiri biarpun calon itu terbukti tidak telus, mengamalkan rasuah atau tidak cekap dalam pentadbiran.

Mereka takut untuk undi bukan Melayu yang pada mereka mahu memegang tampuk penting dalam kerajaan dan itulah yang menyebabkan Datuk Ahmad Ismail (Adun Bukit Bendera) contohnya sibuk berdemo, dikatakan bersikap perkauman segala. Betapa bebalnya Ahmad Ismail ini kerana mengambil pusing perkara 153 sahaja tanpa menelaah keseluruhan perkara dalam perlembagaan negara.
Perkara Yang Tidak Dibangkitkan - Perkara 159

Sedar atau tidak sedar, ramai Melayu yang takut dengan kuasa bukan Melayu tertipu dengan momokan ketuanan Melayu yang diperjuangkan sejak zaman pengharaman Umno pada 1988. Mereka sebenarnya tidak merujuk kepada perkara 159 yang menggariskan bahawa hak keistimewaan orang Melayu/Bumiputera tetap akan terbela.

Sebelum itu, rujuk link Perkara 159 dibawah ini dahulu.

Jelas dan nyata dalam perkara 159 ada digariskan dalam fasal kelima berbunyi...
(5) Sesuatu undang-undang yang membuat sesuatu pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Jadi apa yang nak ditakutkan?

Demokrasi di Malaysia tidak berjalan seeloknya sejak 50 tahun yang lalu. Undian yang kita lakukan kebanyakkan bersangkut emosi akan takut kehilangan hak dan keistimewaan hingga menjadikan Melayu sebagai tuan tanah yang lekas selesa, dan tidak berdaya saing.

Tapi apakan daya, semua itu sudah dirangka dan digariskan dengan baik oleh Tunku agar masa depan bangsa Melayu sebagai penduduk asal terbela. Cuma yang hamba kisahkan disini ialah apakah dengan mengundi orang Melayu yang tidak berkebolehan maka kita akan terus selamat?

TIDAK!

Hamba lebih rela memilih seorang Cina yang punya kecekapan dalam memimpin, idea yang kreatif serta memahami perlembagaan Malaysia untuk tidak mempersoalkan perkara 153 kerana hak memimpin dan menyertai politik telah orang Melayu berikan menerusi undi. Hamba tidak rela memilih seorang Melayu yang tidak punya kecekapan dalam memimpin, tidak punya semangat untuk membantu memberikan kesamarataan bantuan terhadap semua kaum, jenis pemimpin yang mengamalkan politik wang malahan punya sikap mazmumah yang berlebihan.

Hamba memilih calon yang berkelayakan tanpa mengira apa kaumnya kerana sebagai Melayu, hamba yakin dan percaya kepada perlembagaan perkara 153 yang dijaga rapi pula oleh perkara 159.

Habis, apa lagi yang Melayu risaukan jika bukan Melayu memimpin? Hamba mahukan perubahan dalam pentadbiran negara. Sikap ketamakan, ambil mudah, politik wang semua itu nampak jelas dalam koloni politik Melayu. Melayu tidak menjadi bangsa yang berdaya saing selama ini kerana ditipu dengan helah politik yang memaksa mereka memilih kerajaan yang tidak berkebolehan. Sisi buruk yang kita nampak sekarang seperti penjawat awam yang lembab hinggalah kepada Pak menteri tidur dan skandal, telah lama wujud kerana keselesaan yang dijanjikan. Bila bangsa Melayu nak maju?

Maka hamba menuntut kesamarataan kaum yang masih berlandaskan kepada perlembagaan. Hamba percaya tidak semua Cina mampu menghantar anak mereka bersekolah lebih tinggi sebagaimana Melayu yang punya biasiswa / wang ihsan segala. Kesamarataan antara kaum ini penting untuk tidak mewujudkan jurang ekonomi yang kecil dan akhirnya nanti setiap bangsa boleh bekerjasama dan belajar untuk mengenal ilmu baru seperti Melayu yang dahagakan ilmu perniagaan daripada Cina.

Kesamarataan kaum tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan BN kerana mereka menyatakan bahawa dalam apa hal sekalipun Melayu harus diberi hak berlebihan. Hingga menjadikan nasib bangsa Melayu seperti sekarang. Layu dan akan terus layu.

Jadi, PRU 12 pada Mac lalu hamba lihat sebagai pembuka jalan untuk rakyat Malaysia sedar dan celik mata untuk menilai yang mana kaca dan mana permata.
Jadi yang sebenar-benarnya istilah Ketuanan Melayu tidak wujud dalam perlembagaan. Hanya orang yang takut kepada bayang-bayang sendiri saja yang berfikir hak istimewa orang Melayu akan terhapus biarpun tanpa 2/3 kerusi parlimen dan restu Agong.
Insya-Allah, hak keistimewaan orang Melayu akan kekal sampai bila-bila biarpun kerajaan ditadbir oleh bukan Melayu yang bagus dan berkebolehan. Jangan silap dengan hamba, ada juga Melayu yang bagus, dan bukan Melayu yang tak bagus. Yang hamba nak tengok dalam kerajaan ialah mereka yang bagus-bagus. Keturunan bangsa tidak memberi kesan kepada kebagusan sesiapa. Kena faham itu ya!

Hamba juga tidak akan risau kerana Bahasa Melayu tidak akan tergugat sebagai bahasa rasmi negara biarpun mungkin kita akan bermenterikan majoriti Cina atau India yang berkebolehan. Fahamilah Rukun Negara yang ketiga - Keluhuran Perlembagaan.


Tambahan: Perlembagaan sesebuah negara pada asasnya tidak boleh diubah melainkan sesebuah negara digulingkan, dan membentuk sebuah negara baru berbentuk republik. Malaysia bukan negara republik sejak mula ditubuhkan. Inilah yang membezakan Malaysia dengan negara jiran seperti Republik Indonesia yang menghapuskan terus kuasa raja-raja Melayu Nusantara dalam pentadbiran negara mereka.
Read more

Kitab Bible dalam Bahasa Melayu




Allow Bible in Bahasa Malaysia: Christian Federation

By ROYCE CHEAH

PETALING JAYA: The Christian Federation of Malaysia (CFM) has called on the Government to re-look its restriction on Bibles written in Bahasa Malaysia.CFM vice-chairman Rev Dr Eu Hong Seng said considering that Bahasa Malaysia is the national language, it was perplexing that the Bible in Bahasa Malaysia was classified under Section 22 of the Internal Security.

Sumber dipetik daripada The Star . Published: Thursday December 25, 2008 MYT 6:43:00 PM
Apa kata hamba?
Baguslah! Hamba menyokong jika kitab Bible atau nama aslinya Injil (sebelum diolah 'cerdikpandai' Vatican) diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia ya! Ini bahasa versi Najib Razak saja!).
Hamba yakin ramai yang emosi tak tentu fasal. Harap tenang saja. Tak perlu sensitif dalam isu ini kerana hamba cuba untuk berfikir di luar kotak. Penterjemahan kitab suci agama lain ke dalam bahasa ibunda kita seharusnya digalakkan. Kerana apa? Disini saya lampirkan 5 sebab kenapa saya menyokong.
1. Bahasa Melayu bukan bahasa rasmi mana-mana agama.
-Sudah terang lagi bersuluh, wahyu Nabi Muhammad (SAW) diturunkan oleh Malaikat Jibrail dalam Bahasa Arab. Wahyu-wahyu tersebut di susun dan dibukukan ke dalam sebuah kitab yang diberi nama al-Quran setelah wafatnya Rasulullah.
Bahasa Melayu bukan milik mana-mana agama, walaupun semua bahasa di dunia ini adalah bahasa tuhan. Hamba tertarik untuk mengulas isu ini kerana hamba yakin, ramai sangat rakyat Malaysia yang tersalah konsep 'bangsa dan agama'.
2. Bangsa Melayu menurut perlembagaan bukanlah satu-satunya penutur Bahasa Melayu.
- Dalam perlembagaan Malaysia, 1957 menyenaraikan bahawa orang Melayu bercirikan mereka yang berbahasa Melayu dan beragama Islam. Hal ini menyebabkan golongan peranakan India Muslim pun turut sama dikatakan bangsa Melayu. Ini satu contoh silap konsep. Bangsa dan agama bukanlah satu entiti yang sama. Ramai yang kata, kalau berbangsa Melayu maka semestinya beragama Islam. Silap besar ya, kerana tak semua manusia yang berbangsa Melayu itu menganut agama Islam.
Di Melaka, golongan kaum Serani ialah campuran Melayu dan penjajah Portugis dan menganut Kristian. Lama dulu mereka berbahasa Melayu sebagai bahasa Ibunda. Juga di Melaka, ada kaum Baba & Nyonya (pernah hamba ulas dalam tajuk 'Tunggu Sekejap Sang Nyonya' tak lama dulu) juga berbahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.
Di Sabah dan Sarawak, kaum Iban dan KadazanDusun yang ramainya menganut Kristian juga berbahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Bahasa Iban, Kadazan, Tagalog di Filipina serta mana-mana dialek etnik di Nusantara semuanya dikelaskan sebagai keluarga Bahasa Melayu kerana memiliki persamaan kata akar dan tatabahasa. Maka, mereka juga dikelaskan sebagai penutur Bahasa Melayu.
Tetapi perlembagaan Malaysia meletakkan mereka bukan sebagai Melayu, tetapi kaum bumiputera. Hamba mengambil kefahaman Tunku Abdul Rahman yang bertanggungjawab menggubal undang-undang tersebut semata-mana untuk mempertahan survival ketuanan Melayu-Islam di Tanah Melayu. Jadi alasan Tunku, hamba terima dengan besar hati tetapi tidak sesekali hamba bersetuju dengan makna Bangsa Melayu menurut perlembagaan Malaysia.
Hamba yakin tiada sesiapa boleh jamin, seramai 300 juta penutur Bahasa Melayu di mukabumi ini, apakah kesemuanya beragama Islam? Apa jadi dengan Tony Eusof, seorang aktor berketurunan Bidayuh yang berbahasa Melayu dialek Bidayuh sebagai bahasa ibunda, adakah beliau beragama Islam?
Jadi sebelum mengutuk hamba pro-katolik, harus difahami dulu maksud Bangsa Melayu, dan siapa penutur bahasa keempat terbesar dunia ini.
3. Bukan Kristian juga membaca Bible.
- Betul. Jangan silap berkata kerana kitab agama lain juga dibaca oleh bukan penganutnya. Di Malaysia sendiri terdapat fakulti yang menawarkan kursus Pengajian Perbandingan Agama. Maka, atas dasar mengkaji, maka bukan Kristian juga harus menelaah kitab Bible.
Mereka yang mengkaji ilmu kitab membaca Bible bukan untuk mempercayainya tetapi untuk menelaah isi kandungan kitab tersebut untuk diperbandingkan dengan kitab-kitab agama lain. Sebagaimana hamba tidak bersetuju dengan PPSMI, maka hamba boleh katakan bahawa tak salah Bible diterjemah dalam BM kerana mampu memudahkan pengkaji yang berbahasa Melayu untuk memahaminya.
Tambahan, kalau kita yakin al-Quran adalah kitab kalamullah yang kukuh asasnya, dan paling relevan maka kita tidak perlu takut kepada sebuah kitab olahan manusia yang berjudul Bible. Kalau itu yang dibimbangi, hamba kira baik kita bimbangkan 'betapa lemahnya iman orang islam di Malaysia' yang menuntut kita untuk perkuatkan lagi jentera dakwah, terutamanya peranan JAKIM dari blok kerajaan.
4. Penterjemahan Bible boleh menipiskan prasangka.
- Bahasa Melayu harus punya rasa dimiliki bersama oleh negara-negara yang menjadikannya sebagai bahasa rasmi. Indonesia, Malaysia, Brunei sebagai negara berbahasa rasmikan BM seharusnya memiliki bahasanya secara bersama.
Di Indonesia, gereja-gerejanya berbahasa Melayu Indonesia. Upacara perkahwinan masyarakat Kristian pun dalam BM. Mereka lebih faham konsep 'bahasa-bangsa-agama' yang nyata berbeza makna di antara satu sama lain.
Di Malaysia, agak segan penganut Kristian beketurunan Melayu Bumiputra atau Cina yang mahu berbahasa Melayu untuk tuntutan keagamaan mereka. Kerana kekangan bahawa Bahasa Melayu ialah bahasa orang Islam saja, maka mereka tidak dapat turut sama mengembangkan lagi Bahasa Melayu. Setidak-tidaknya, pemilikan bersama terhadap BM akan dapat menipiskan lagi prasangka sesama kita. Tidakkah baik begitu?
5. Tak perlu tunggu Bible Melayu kalau nak murtad.
- Kalau nak sesat, tak payah tunggu baca Bible berbahasa Melayu pun. Baca URS, Mangga atau blog pencacai politik/ sosial Malaysia segala pun boleh jadi sesat. Malah, Muslim yang tidak pernah kenal atau baca Bible pun ramai juga yang tonggang arak, berjudi, berzina segala.
Kalau kita fokus dan yakin kepada ajaran Islam maka kita tak perlu risau. Bahasa kita, bukan milik agama kita sebaliknya diri kita adalah milik Sang Pencipta.
Rumusan
Hamba memandang projek terjemahan ini sama seperti hak orang Islam di Nusantara untuk menterjemah al-Quran kepada Tafsir Bahasa Indonesia dan terbaru Bahasa Melayu Piawai. Ini adalah isu hak untuk penganut mana-mana ajaran untuk memahami agama masing-masing dengan bahasa ibunda masing-masing. Bukankah bahasa jiwa bangsa.
Apa hak kita untuk menghalang katolik Melayu/Bumiputera untuk memahami ajaran agama mereka dalam bahasa Melayu yang juga bahasa ibunda mereka?
Secara tak sedar, ramai yang tidak tahu sebagaimana hamba tidak hairan apabila mengetahui gereja-gereja di Sarawak atau Indonesia menggunakan Bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa pengantar dalaman gereja Kristian. Ini telah lama dijalankan, dan tidak menyusahkan sesiapa.
Hamba pasti ramai yang akan sibuk selepas ini berkempen untuk menghalang penterjemahan Bible kerana mereka takut iman terhadap Allah dikelirukan dengan roh kudus. Hamba yakin kebanyakkan mereka sekadar mahu menjadi jaguh jalanan yang menggunakan agama sebagai alat sedangkan mereka masih lagi percaya bahawa Melayu=Islam walhal dalam masa yang sama mereka mungkin tahu bahawa tidak semua orang Arab beragama Islam.
Bible telah lama diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab. Ada siapa di sana yang kisah?
Read more

Denting - 0102

Berbicara Bahasa Tuhan
(Bab 1 - Bahagian 2/3)

Aku bergegas turun dari tingkat 4. Tiada lif, hanya tangga usang penuh lumut. Ini saja yang aku mampu sejak enam bulan aku merantau ke Kuala Lumpur. Bukan tangganya, tetapi terataknya. Aku menyewa bilik kecil di pangsapuri DBKL tak jauh dari stesen keretapi aliran ringan.

Tangga yang usang dan berlumut itu tidak hanya dihuni makhluk pengurai, malahan diletakkan juga barang-barang buangan penghuni pangsapuri ini. Kotak-kotak berisi barang-barang terpakai, surat khabar lama serta basikal kanak-kanak yang sudah rosak. Memang menyesakkan laluan. Berhimpit juga untuk sampai ke lantai bumi. Apa daya, pangsapuri ini sudah puluhan tahun usianya. Tua dan layak usang.

Talian bersambung, nada berdering.

Aku menyambut panggilan pertama pagi itu. Handset murah Nokia 3310 ku tala ke telinga sambil langkahku menderap lekas menuju ke bawah.

"Ekau naik tren ko hari ni?" tanya satu suara garau, nafasnya mengah sekali.

"Habis tu nak naik apa? Naik kuda?" balas aku, geram dengan soalan bodoh.

"Memang banganglah ekau kalau naik kuda kat tongah KL" sambut si bodoh itu sambil ketawa.

"Ekau telefon ni ado hal apo? Eden dah lambat ni. Masuk kerja kena sharp pukul 9. Eden dah lambat gilo ni"

"Nenek ekau suruh den kojutkan ekau poi kerjo. Okaylah jang, jangan lupo hujung minggu ni balik Pilah. Nenek ekau asyik suruh eden tanya kek ekau" pesan suara Syahir, sahabat sekampungku dari Kuala Pilah.

Syahir bekerja di kebun nenekku di Kampung Ranjau Hantu, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Bercucuk tanam sudah jadi minatnya jadi alah bisa tegal biasa dia ke kebun. Aku bukan sepertinya, aku punya impian. Impian aku bukan di Pilah, tapi di sini.

Bukan aku tak suka Pilah. Aku suka Pilah, aku sayang kampung aku. Yang penting, kampungku tiada hantu. Tak usah takut. Namanya pun ranjau hantu, jadi hantupun hidup dengan penuh ranjau dan onak duri.

Di Kuala Lumpur.

Tren STAR LRT berhenti di stesen Miharja. Aku lekas-lekas masuk dan mencari tempat duduk. Bersesak dan jelas, aku tak punya peluang untuk melabuhkan punggung. Lantas aku cari pemegang untuk berpaut. Silap gaya, boleh tertonggeng jatuh aku ke lantai keretapi tersebut.

Beginilah suasana pagiku di Kuala Lumpur. Isnin hingga jumaat menjadi makanan aku untuk bersarap mata dengan orang ramai. Pelbagai jenis manusia dapat kulihat. Ada yang segak berbaju kerja, ada juga yang kusut masai, masih mamai daripada tiduran. Semuanya menjalani rutin sepertiku - menaiki kenderaan awam ke tempat kerja.

Kuala Lumpur tempat tumpuan segala macam manusia. Peniaga, pedagang, pendakwah, pelajar, pelacur, pencuri malahan penunggu. Semuanya mahu di sini. Seolah bumi Malaysia ini tak cukup tanah lagi.

Tapi aku tetap juga mahu di sini. Di sini aku bakal hidup berdikari dan mengenal dunia. Dunia yang tidak akan dapat aku jalani di Kuala Pilah.

"Buek apo nak poie KL? Sini tak ada kerja?" tegur nenek petang itu.

Aku buat-buat tak dengar. Gitar kapok ku goreng diam-diam. Nak kata berbunyi pun tidak, beritma pun tidak. Aku masih memikirkan leteran nenek terhadap keputusanku.

"KL tu banyak cabaran Man, nenek takut kamu tak dapat hadapi" tegur nenek, nadanya agak sayu.

"Nenek pernah poie KL ke?" tanyaku setelah jari mati kutu dengan segala chord gitar.

"Tidaklah pernah" jawab nenek sambil mengurut tapak kakinya dengan minyak gamat.

"Habis tu kenapa nenek tak kasi Man pergi?"

Nenek diam. Serabut juga aku dibebel nenek sejak dari pagi di kebun sampai petang di anjung.

Malam itu aku berkemas. Tetap mahu ikut Zainal ke Kuala Lumpur. Dia pun sudah berharta, punya Kancil turbo. Satu kampung berbangga dengan Zainal yang baru setahun di KL. Aku pun mahu jadi macam Zainal. Zainal lebih senang ku teriak Jenal sudah banyak kali mengajakku ke kotaraya ini, namun seperti biasa nenek jadi penghalang.

"Nenek, Man pergi KL nak cari kerja. Man tak sekolah tinggi..."

Belum habis ku pujuk dengan rendah diri dan azam tinggi, nenek sudah potong.

"Memanglah kamu tak sekolah tinggi, penat aku hantar kamu sekolah. Kamu belajar takat tingkatan 4 saja!"

Sindiran nenek pedas sekali. Syahir sampai ketawa terbahak-bahak.

"Apa aje kerja yang kamu boleh buat Man kat KL tu? SPM pun tak ada" sambung nenek semasa aku sudah mengikat tali kasut.

"Bagi Man masa dua bulan nek. Kalau Man gagal, Man akan tinggal di Ranjau Hantu ni sampai bila-bila. Sungguh! Man tak akan jadi 'kacang hantu' kek kampung ni lagi! " janjiku kepada nenek sambil menghulurkan salam.

Enjin turbo Kancil Jenal sudah berderum tak sabar berlebuh. Syahir mengangkat beg kecilku berisi beberapa helai pakaian ke dalam kereta. Nenek memandang sayu dari hujung beranda. Aku melambai pergi dalam tenang. Tak guna emosi tak tentu fasal. Aku anak jantan Minangkabau!

"Stesen berikutnya, Masjid Jamek. Stesen ini untuk pertukaran ke laluan Putra LRT Kelana Jaya - Terminal Putra"

Pengumuman oleh abang pemandu tren STAR yang agak tak jelas bunyinya mengejutkan lamunanku. Aku lekas mencari pintu keluar sementara sempat. Kaki memang penat setiap hari terpaksa bersesak-sesak. Banyak pula laluan harus ku tempuhi.

Lintasan zebra penuh dengan umat manusia. Aku ikut serta menyeberang jalan menuju ke stesen Putra LRT berhampiran. Aku harus menaiki tren terus ke laluan Dang Wangi. Tempat kerjaku tidak jauh daripada stesen Dang Wangi.

Aku melamun lagi. Memikirkan poket yang sudah hampir kering menjelang tengah bulan. Mulut nak disuap, asap nak dihembus. Masalah tak habis-habis.

Bodeng, kenalan baruku di KL mengajakku mencari wang sambilan. Malangnya aku tidak boleh keluar masuk pejabat sesuka hati. Silap haribulan boleh kena buang jadinya.

"Assalamualaikum!" tegur satu suara halus.

Aduh! Apa lagi ni? Tak habis-habis orang datang menganggu.

"Boleh pinjam masa encik sekejap?" tanya seorang gadis bertudung labuh yang muncul tiba-tiba di hadapanku saat aku berbaris untuk turun ke stesen di bawah tanah.

"Saya tak ada masa kak. Lagipun saya tak ada anak kecil yang baru nak kenal ABC" balasku, terus terang.

Aku agak dia agen jualan langsung. Barang yang dipegangnya merupakan buku-buku agama dan juga pra-sekolah. Rajin sungguh mengelek buku-buku jualan di pagi hari. Kalau aku, malas tak terkata.

"Encik boleh cuba buku ini. Pedoman Solat Lima Waktu, ataupun buku ini - Rahsia Keperibadian Ummah Cemerlang" tunjuknya bersungguh-sungguh.

Aku dihulur buku tersebut. Apa? Aku nampak macam orang yang kurang penghayatan agama ke hari ini?

"Saya dulu KAFA dapat semua A kak" jawabku, yang jelas rimas.

"Tapi encik boleh hadiahkan kepada isteri atau kawan-kawan"

"Cik kak ni tak kenal putus asa kan?" tanyaku untuk menglenyapkan gangguan.

Dia merenungku dengan penuh rayu. Simpati diberinya secukup rasa. Aduh! Aku tak akan tewas! Duitku hanya tinggal RM45 sementara menunggu masuk gaji! Geramnya!

"Astarfirullah..." jerit gadis itu tiba-tiba.

Buku-buku jualannya bertaburan jatuh ke atas esclator yang sedang bergerak. Banyak mata memandang dia dan aku. Gadis itu lekas mengutip satu persatu buku-buku tersebut. Sambil ada buku yang tertib dijunjung di dahinya, dia tak hiraukan orang yang mahu meredah laluan pintas sebelah kanan esclator itu.

Nampak gayanya, aku kena tolong. Memang tak patut kalau tak tolong awek tudung labuh ini.

***

(bersambung)

Read more

Denting - 0101

Berbicara Bahasa Tuhan
(Bab 1 - Bahagian 1/3)

Denting angklung kayu menyiram sepi aku pada petang itu. Bergolak, dipuput bayu. Petang yang sunyi, tiada bunyi bebudak berkejar-kejaran. Petang yang jingga, tiada awan cuba melindungi. Panas petang membakar ruang jendela bilikku yang menghadap ke barat.

Angklung kayu tergantung di tingkap memualkan aku dengan berbaur perasaan. Marah, kecewa, sedih dan segala yang buruk-buruk. Aku tak bahagia, itulah yang sebenarnya aku rasai.

Aku sudah letih menjunjung nama tuhan yang utuh berada dalam namaku. Saban nafas aku harus menjaga tingkah dan laku dengan baik. Fathurrahman, nama aku yang diberi oleh nenda. Bukan salah nenda aku jadi begini, tetapi salah aku juga. Aku yang penuh noda dan dosa.

"Kalau kamu rasa berat, capailah sejadah. Bersujud kepada-Nya" pesan nenda tak lama sebelum aku berlepas ke kota.

Aku bangun dan bermenung sejenak.

"Tak guna kamu buat yang ketiga kalau yang kedua kamu tak lakukan" marah nenda ketika aku terbongkang dihujung syuru'.

Aku mahu buat yang kedua. Yang kedua ini harus dimulai semula.

"Pintu-pintu ini semua sudah tertutup. Tiada orang yang boleh bukakannya" aku masih terngiang-ngiang akan kata-katanya, semalam.

Khusyuk? Aku tidak khusyuk. Jiwaku tak turut sujud, mindaku terbayang hal yang lain.

"Rahman patut jadi manusia yang sentiasa mengasihani. Nama Rahman, maknanya kasih" pesan nenda lagi. Masih bergema hingga kini biarpun sudah 20 tahun berlalu.

Kini aku 25. Sudah injak dewasa, dan sudah layak bernikah sebagaimana Rasulullah mengahwini Khadijah Khuwailid ketika berusia sama denganku.

Aku melipat sejadah yang masih keras. Keras kerana agak lama tidak diguna, sejak nenda hadiahkan ketika pulang dari Mekah. Mengerjakan haji buat kali kedua.

"Aku hadiah ni bukan untuk kamu buat perhiasan. Cukup setahun harus diganti baru. Kamu kena guna 5 kali sehari!" bebel nenek apabila ku sambut hadiah sejadah itu dengan memuji sayang dipakai benda itu.

Aku bangun, dan bercadang untuk menambah mana yang kurang. Takbir cuba diangkat lagi.

"Hey Rahman! Tak pernah dibuat orang, solat sunat antara asar dan maghrib!" marah nenda ketika aku injak 12 tahun.

"Tak boleh ya nek?" tanyaku, naif.

"Memang tak boleh. Melainkan kamu mahu buat tahiyatul masjid" katanya sambil melipat telekung.

Aku duduk semula. Serba tak kena jadinya. Bayang nenda ada dimana-mana.

Kluk! Kluk! Kluk!

Denting angklung kayu bergema lagi. Angin petang menyorot ke dalam kamar sepiku. Anganku melayang, diriku tak lagi terbang.

Aku tak pandai berdoa. Nenda ajarpun aku susah nak hadam. Aku tak reti mengadu domba, mengadu nasib dan bercakap sendirian. Aku tahu Dia mendengar, aku tahu langit sentiasa terbuka untuk menembuskan gema suaraku. Tapi, aku terkunci. Bibirku kering, lidahku kaku. Aku sebenarnya malu untuk terus meminta.

"Allah memberi, dan tak henti-henti memberi. Senang dan susah juga diberikannya. Dan tak semua benda yang Dia akan terima, segala baik amalan kita serta titip doa yang tulus ikhlas. Itu yang Dia akan terima" bisik suara si dia tak lama dulu.

Tapi hari ini dia yang ku tunggu tak mendengar. Hanya Dia yang satu itu sedia mendengar. Harus kepada siapa lagi aku harus berbicara kalau bukan Dia.

Aku bermasalah. Dan masalah ini, aku yang undang sendiri. Tak bisa berpatah balik, aku harus lalui. Kesan dan akibatnya.

"Tuhan mengizinkan kita berbahasa ibunda bila berbicara dengannya. Semua bahasa yang ada di dunia ini adalah bahasa tuhan. Kerana Dia maha mengetahui" titip pesan nenda bergema lagi.

Doa. Berdoa untuk kebaikan saja, agar apa yang akan aku lalui selepas ini aku dapat terima dengan redha dan hati terbuka. Dia yang maha mengampuni, serta dia yang aku hutang kemaafan itu tidak harus meneladaniku sementara dia yang satu lagi harus menerima dengan jiwa sengsara. Salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya harus bersedih di kemudian hari. Aku harus putuskan jawapan, dan izinkan aku bersendiri untuk berbicara dalam bahasa tuhan dengan Dia yang satu.

Kisah semalam harus aku lupuskan. Dia dan mereka yang satu lagi tak harus muncul lagi dalam angan-anganku. Hilang dan harus menghilang.

"Hey abang bukak tingkap! Kalau tidak aku naik atas!" tiba-tiba terdengar suara lantang muncul dari luar tingkap. Panas mentari petang membahangkan lagi debaran dalam hatiku.

"Abang turun! Aku nak kau jelaskan! Kenapa kau buat aku macam ni? Kenapa?" jerit suara itu lagi.

Aku muncul di muka tingkap. Pucat lesi wajahku kerana seperti yang ku jangka, budak ini akan buat hal lagi. Sekali lagi aku harus bersedia menanggung malu.

"Abang keluarlah cepat!"

"Hey apa kes kau terjerit-jerit macam orang gila?! Tak sedar-sedar ke dah nak masuk maghrib ni?!" marah satu suara jantan, agak berusia dari lohong tingkap yang lain.

Pangsapuri 4 tingkap itu kecoh seketika. Banyak kepala yang muncul di sebalik kain langsir, memerhati drama yang sedang berlangsung.

"Erin, tolong jangan buat pasal kat sini!" nampaknya aku terpaksa merayu si kecil itu agar tidak terus menganggu jiran-jiran yang lain.

"Berani kau keluar tunjuk muka ya bang! Turunlah kalau berani! Kata anak jantan!" Erin terus memaki hamun tanpa menghiraukan orang lain.

"Dah tu, kau suruh aku keluar!" darahku menyirap.

"Kalau nak gaduh, gaduh tempat lain lah!" jerkah satu lagi suara.

Aku nampak tiada jalan untuk hentikan suara lantang Erin. Tiada jalan lain lagi, aku harus turun dan berdepan. Perkara ini harus diselesaikan.

***

(bersambung)
Read more

English Lebih Baik?

SOROTAN 2008

PESANAN: Hamba sedang mengulas subjek-subjek berkaitan Melayu yang menarik sepanjang 2008 yang akan hamba pecahkan kepada 3 kategori iaitu
1. Hiburan Melayu
2. Bahasa Melayu
3. Politik Melayu
Insya-Allah, tajuk-tajuk ini akan hamba bentang sebelum terbitnya sinar 2009.


" I am better in English than in Malay. In fact, when my friends speak to me in Malay, I reply in English. I think it is better for all students to learn in English" - Erfan Hamad, lepasan UPSR sesi 2008, berusia 12 tahun di muka depan New Straits Times 13 November 2008.

Hamba terluka, itu saja yang dapat hamba simpulkan. Kenyataan demi kenyataan yang membidas dan menidakkan kecendikiawanan bahasa ibunda hamba, dihalakan untuk tatapan masyarakat umum. Hamba terluka.

Dalam banyak perkara yang menggugat keutuhan jatidiri bangsa Melayu, kita diuji dengan satu bentuk undang-undang yang digubal oleh bangsa kita sendiri - ujian itu ialah PPSMI.

PPSMI singkatan kepada Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris. Aduh! Alang-alang mahu meneruskan projek ini, ada baiknya ditukar singkatan English Application Program for Science and Mathematic Syllabus (EAPSMIC).

Apabila GAPENA meluncurkan program Wacana Dilema Melayu baru-baru ini, ada seorang tua yang bersuara agar PPSMI ini terus dilaksanakan. Hamba tidak hairan kerana orang tua itulah yang mencetus, memutus dan melaksanakan PPSMI. Tun Dr Mahathir yang hamba kagumkan idea-ideanya sebelum ini tidaklah berjaya membuat hamba menerima bulat-bulat kesemua cadangannya. Ada juga yang busuk bak tahi anjing. Contohnya PPSMI ini.

Sebagai Melayu, hamba tidak cuba bersifat perkauman kerana hamba bukanlah orang yang gemar berprasangka terhadap kaum lain. Sifat mazmumah dalam diri manusia tidak sepenuhnya berpunca daripada keturunan. Cuma, sebagai Melayu hamba amat berharap agar warisan bangsa kita tidak dipinggirkan di tanahair sendiri.

Lainlah kalau hamba ini Melayu anak dagang yang merantau ke benua Eropah! Tidaklah hamba menentang undang-undang jika disuruh menuntut ilmu dalam mana-mana bahasa Anglo-Saxon. Tapi undang-undang busuk ini digubal di sebuah negara yang dulunya diteriak sebagai Tanah Melayu! Mana keadilannya?

Berlaku adil ialah meletakkan sesuatu kepada tempatnya. Jadi, hamba berharap agar Bahasa Melayu diletakkan di tempat yang sewajarnya. Usaha meneruskan pelaksanaan PPSMI ini sebenarnya usaha untuk MEMBUNUH BAHASA MELAYU!!!

Hamba tidak faham apabila Tun Det sibuk mengulang hujah-hujah dangkal seperti BI lebih banyak diguna dalam pembelajaran Sains. Justeru BI penting untuk diserap ke dalam sekolah agar anak-anak Melayu (khususnya) dapat menguasai ilmu sains sekaligus meningkatkan penguasaan BI.


Gambar: Lihat buku sekolah ini - kecelaruan bahasa sudah mula terjadi. Sedih Malaysia!

Assalamualaikum! Hamba berani kata ketika Tun Det membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI ini pada 2003 dulu, tiada kajian khusus yang dibuat dan dibentangkan untuk menyokong usul mengatakan bahawa punca utama kegagalan anak Melayu dalam Sains dan Matematik adalah kerana gagal menguasai Bahasa Inggeris. Kalau betullah Melayu macam hamba ini lemah dalam Sains dan Matematik, tunjukkanlah buktinya. Setakat Laporan Jawatankuasa Wan Zahid yang merepek itu? Hentikanlah.

Menurut perkiraan hamba, ramai juga graduan Melayu yang lahir selama berpuluh tahun baik di dalam mahupun luar negara. Ibubapa kita dibesarkan dengan sistem pengantar BM dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Jadi juga mereka sebagai Jurutera, Arkitek, Saintis mahupun Doktor. Semuanya lahir menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Tun silap apabila mengatakan sumber rujukan Sains banyaknya dalam BI. Jika dikaji sejarah, bangsa Anglo-Saxon mencuri manuskrip ilmuan Islam yang ditulis dalam Bahasa Arab, dan kemudian menterjemahkannya dalam bahasa mereka hingga kini anak-anak muda sebaya hamba ada yang tak tahu bahawa Avecine itu ialah Ibnu Sinaa.

Sains dan Matematik adalah matapelajaran yang berteraskan teori. Tiada bahasa yang boleh membezakan jawapan kepada persoalan 1 + 1 = 2. Diulang: TIADA! Dalam Bahasa Swahili 1+1 =2 sama jika dihitung dalam Bahasa Jepun. Sebarang teori dalam ilmu sains boleh diajar dalam semua bahasa kerana ia TEORI.


Gambar: Pelajar kini tidak kenal akan perkataan Melayu untuk alatan ujikaji Sains.

Hamba percaya ilmu sains jika di ajar dalam bahasa yang dekat dengan jiwa bangsa tersebut, maka akan lebih mudah difahami. Penggunaan BM dalam ilmu sains secara tidak langsung akan menambah dan mengembangkan lagi BM ke tahap yang lebih tinggi. Perkataan seperti tabung uji, kertas turas, mangkuk pijar, air suling, hempedal, hempedu, usus besar, usus kecil, perlanggaran tak kenyal dan banyak lagi tidak akan wujud jika tiada pengembangan ilmu sains dalam BM. Semua ini akan memperkayakan lagi BM.

PPSMI tidak sepenuhnya membantu anak Melayu luar bandar untuk menguasai BI. Yang menjadi masalah pokok ialah APAKAH BERKESAN PENGAJARAN BAHASA INGGERIS DI SEKOLAH?.

Masalah dengan cara guru-guru kita mengajar BI di sekolah sebenarnya yang harus diperhalusi. Hamba membesar dan menuntut di sekolah kebangsaan dan hamba tak pernah rasa bermasalah untuk memahami ilmu sains di sekolah. Cuma hamba malas saja nak minat sains tapi tidak bermakna hamba harus berhempas pulas untuk memahami subjek sains kerana ketika itu hamba (dalam tidak minatpun) boleh memahami semua teori dalam matapelajaran sains dalam tempoh ulangkaji yang suntuk.

Yang hamba sering bosan ketika menuntut ialah ketika datangnya subjek bahasa. TERMASUK BAHASA MELAYU. Apalagi dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Entahlah, subjek bahasa amat membosankan. Bagi hamba, pengajaran subjek bahasa harus menarik, seronok dan nampak kepentingannya. Jadi jangan hairan kalau penguasaan Melayu dalam bahasa asing atau bahasa ibunda sendiri amat lemah. Semuanya berpunca daripada perkara-perkara sebegini. Hamba tak pasti berapa ramai guru bahasa yang rajin, diulang:rajin untuk mengadakan story telling, short play, bersajak, bergurindam segala di dalam kelas. Paling-paling cikgu-cikgu ini suruh buat latih tubi. Sememangnya sekolah di Malaysia mengamalkan exam-orientation. Pelajar diajar untuk belajar semata-mata untuk peperiksaan, bukan untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Percayalah!

Dalam kenyataan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein sebelum ini ketika mengumumkan keputusan UPSR, beliau sibuk pukul canang jumlah penjawab soalan UPSR dalam BI meningkat sekaligus menandakan pengusaan BI di kalangan murid sekolah sudah meningkat sedangkan jumlah yang mendapat 5A dah sah-sah merosot!

Tambah lagi, tidak pula dinyatakan dalam jumlah pelajar yang mendapat A dalam subjek Matematik dan Sains berapa pula pecahan pelajar yang menjawab dalam BM dan BI? Sependengaran hamba, majoriti yang mendapat A menjawab dalam BM. Jadi apa gunanya pukul canang anak kita menjawab dalam BI sedangkan tidak mendapat A pun.

Isu PPSMI ini hanyalah retorik politik BN dan PR (sekiranya berkuasa kelak) untuk menggoda undi kaum bukan Melayu. Orang Melayu marah apabila kaum bukan Melayu sibuk nak tuntut itu ini daripada kita sedangkan perkara asas seperti BM yang tidak sepenuhnya diperkasakan dalam jiwa mereka kita abaikan. BM masih lagi dianggap milik bangsa Melayu sahaja, sedangkan konsep kenegaraan kita seharusnya mempunyai rasa saling memiliki Bahasa Melayu. Cina dan India terutamanya harus fasih dan menguasai BM!! Hamba kalau menetap di Shanghai pun, harus menguasai Bahasa Mandarin kerana itulah bahasa di tempat itu. Jadi di Malaysia, haruslah berbahasa dalam bahasa kebangsaan!

Sedar atau tidak, isu PPSMI inilah yang mengendeng kepada masalah lain seperti tuntutan kaum bukan Melayu untuk kesamarataan. Hamba tidak kisah dengan hak kesamarataan kaum (yang dilaksanakan dengan betul) kerana hamba cukup tidak berkenan dengan konsep ketuanan Melayu. Isu Bahasa Melayu dan ketuanan Melayu jauh menyimpang, tidak harus dikaitkan sejak awal. Jadi, proses memupuskan BM ini berlaku dengan restu orang-orang yang mendokong ideologi ketuanan Melayu. Siapa sebenarnya yang keliru?

Jadi apabila adik Erfan Hamad berkata-kata sebegitu rupa, maka hamba sudah jelas akan hasil PPSMI ini. Hamba cukup terluka kerana penyambung warisan bangsa kita sudah tidak lagi yakin untuk berbahasa ibunda. Jadi, siapa lagi yang akan menyambungkan legasi BM selepas ini? Apakah segolongan pelajar universiti di Beijing yang mengambil jurusan Pengajian Melayu?

Jangan silap faham, hamba tidaklah sampai membantah penguasaan BI dikalangan pelajar. Hamba juga menguasai BI dan hamba faham BI adalah bahasa antarabangsa dan penting untuk dikuasai. Namun yang hamba tidak berkenan di sini ialah kita tidak meletakkan sesuatu perkara di tempat yang betul. Bahasa kita tidak diletakkan ke dalam kedudukan yang betul.

Dan jangan tak tahu, pertengahan tahun lalu akhbar melaporkan seramai 100,000 murid tahun satu gagal menguasai 3M - membaca, menulis dan mengira! Jumlah ini merangkul hampir 15% daripada jumlah pelajar tahun satu di negara ini. Apa jadi jika menguasai bahasa ibunda pun masih gagal, mahu disuapkan dengan bahasa asing?


Gambar: Sibuk mahukan PPSMI, 100,000 murid tahun satu kita masih gagal menguasai 3M. Lama-lama budak-budak ini sibuk 'tidur'!

Isu Bahasa Melayu tidak sekadar digegarkan dengan PPSMI, malah isu papan tanda juga naik daun. Banyak pihak membantah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang ingin menggunakan bahasa lain, selain bahasa Melayu pada papan tanda jalan beberapa tempat warisan untuk tujuan pelancongan, terutama dari luar negara.

Amboi! Tiba-tiba pula ada keprihatinan terhadap kedudukan Bahasa Melayu. Mana pergi prihatin itu ketika ramai cendikiawan bahasa di negara ini menangis kerana PPSMI?
Sikap keprihatinan begini perlu dipuji dan kalau sikap mulia ini diteruskan setiap kali bahasa Melayu dipinggirkan pasti nasib bahasa kita terbela. Namun, sikap sedemikian tidak selalu bersifat berterusan.

Bahasa Melayu sendiri banyak dipinggirkan akhir-akhir ini, terutama dalam peranannya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kadangkala yang membelakangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, penutur natif dan etnik kepada bahasa Melayu seperti Jawa, Iban, Kadazan-dusun, Kedah dan Pattani-Kelantan.

Hamba bekerja dalam bidang pengiklanan dan sering menghadiri banyak acara, sepengalaman hamba sendiri banyak majlis dan acara kenegaraan dihadiri hanya rakyat negara ini, tidak lagi menggunakan bahasa Melayu. Sebaliknya ia menggunakan bahasa Inggeris. Malahan lebih teruk apabila yang menjadi tetamu VVIP ialah pembesar negara sendiri.

Jadi jangan hairan kalau trend menjenamakan perniagaan dalam bahasa Inggeris pula menjadi pilihan. Pada April lalu, Bank Pertanian mengumumkan nama barunya, iaitu Agrobank. Sakitnya hati! MARA yang dikenali sebagai satu entiti Melayu yang kuat, juga memilih nama dalam bahasa Inggeris, iaitu MaraLiner untuk menjenamakan semula rangkaian bas ekspressnya. Geramnya hati!

Nama dalam bahasa Inggeris terus menjadi pilihan pelbagai pihak, termasuk syarikat milik kerajaan. Penamaan motosikal negara juga tidak terlepas daripada kecenderungan ini, apabila nama dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada satu-satunya objek yang menjadi identiti serta kebanggaan bangsa Melayu, iaitu 'keris' dieja secara bahasa Inggeris, dalam bentuk KRISS. Jangan lupa yang ini juga, "Saluran Infotainment Anda!"


Gambar: Kereta nasional, tetapi namanya dalam Bahasa Inggeris?


Kereta nasional juga mula menggunakan bahasa Inggeris, dengan pelancaran model baru: (Satria) Neo, Persona, GEN2, Savvy, MYVI dan VIVA. Apakah nama dalam bahasa Melayu seperti Saga, Iswara, Wira, Satria, Putra, Waja, Perdana, Kancil, Tiara, Kenari, Kelisa dan Rusa sudah tidak layak dalam bahasa Melayu?

Kebanyakan bangunan dan pembangunan kawasan baru ikut diberi nama dalam bahasa Inggeris. Antaranya termasuk One Borneo di Kota Kinabalu dan Bangsar South di Kuala Lumpur. Kelantan yang selalu disebut sebagai antara benteng kemelayuan yang kuat di negara ini, ikut terheret dalam gejala ini. KB Mall dan Pelangi Mall adalah nama dua tempat beli-belah terbaru dan termoden di Kota Bharu. BN sama, PR pun turut sama!


Gambar: Penjenamaan dalam Bahasa Inggeris nyata menutup fungsi BM untuk diperkasa di negara sendiri. Mid Valley sebagai contoh paling jelas, apalagi dengan KLIA atau KLCC!!

Percakapan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi dalam majlis formal, misalnya rancangan radio dan televisyen, serta ucapan rasmi pemimpin berleluasa sekali kini sehingga menjadi satu budaya nasional. Hamba ketika berurusan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka pun sempat bertanyakan mengenai apa-apa tindakan untuk radio Suria FM yang terang-terangan merosakkan Bahasa Melayu dengan bahasa rojak. Apatah lagi dengan stesen radio yang lain. Naik lemaklah jawabnya!

Apakah yang kita lakukan secara serius, seperti yang dilakukan oleh pihak tertentu, dalam kes di Pulau Pinang ini, terhadap semua gejala yang meminggirkan bahasa Melayu selaku bahasa negara?

Sepatutnya kita ikut bersuara lantang terhadap penggunaan bahasa Inggeris yang ternyata tidak kena pada tempatnya. Kemudaratan yang dibawa oleh penggunaan bahasa Inggeris sebegini, sebenarnya adalah sama buruk kesan dan sama besar padahnya, kepada citra selain identiti bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Kalau difikirkan, apalah nak dikecohkan dengan penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil yang tidak kena pada tempatnya di Pulau Pinang sedangkan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu itu sendiri sudah lama bermasalah.

Hamba yakin Tun Det tidak akan sekali-kali berubah dengan keputusan yang telah dibuatnya. Hitam katanya, hitamlah jadinya. Tun Det yang hamba kenal tidak akan mengubah sebarang keputusan yang telah dibuatnya. Hamba percaya kepada kredibiliti Tun Det, sebelum-sebelum ini hamba menyanjungnya namun yang satu ini hamba amat tidak bersetuju.

Bak pesan Dr. Awang Sariyan, "Manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi “Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan”. Kita belum pun sesat sehingga di hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini"

Bahasa yang perkasa ialah bahasa yang dibudayakan, hidup dalam lingkungan masyarakat, bangsa dan negara serta digunakan sebagai bahasa ilmu. Jadi ke mana halatuju BM selepas ini? Apakah akan terus menuju jalan pupus?


Notakaki: Artikel ini hamba tulis dengan merujuk kepada pembacaan semasa hamba di akhbar dan forum-forum serta menghadiri seminar bahasa disamping merujuk juga komentar daripada bijakpandai bahasa antaranya seperti Profesor Dr. Teo Kok Seong- Pakar Sosiolingustik Bahasa Melayu di UKM serta Profesor Dr Awang Sariyan yang menulis untuk Kumpulan Prihatin.
Read more

penggemar