English Lebih Baik?

SOROTAN 2008

PESANAN: Hamba sedang mengulas subjek-subjek berkaitan Melayu yang menarik sepanjang 2008 yang akan hamba pecahkan kepada 3 kategori iaitu
1. Hiburan Melayu
2. Bahasa Melayu
3. Politik Melayu
Insya-Allah, tajuk-tajuk ini akan hamba bentang sebelum terbitnya sinar 2009.


" I am better in English than in Malay. In fact, when my friends speak to me in Malay, I reply in English. I think it is better for all students to learn in English" - Erfan Hamad, lepasan UPSR sesi 2008, berusia 12 tahun di muka depan New Straits Times 13 November 2008.

Hamba terluka, itu saja yang dapat hamba simpulkan. Kenyataan demi kenyataan yang membidas dan menidakkan kecendikiawanan bahasa ibunda hamba, dihalakan untuk tatapan masyarakat umum. Hamba terluka.

Dalam banyak perkara yang menggugat keutuhan jatidiri bangsa Melayu, kita diuji dengan satu bentuk undang-undang yang digubal oleh bangsa kita sendiri - ujian itu ialah PPSMI.

PPSMI singkatan kepada Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris. Aduh! Alang-alang mahu meneruskan projek ini, ada baiknya ditukar singkatan English Application Program for Science and Mathematic Syllabus (EAPSMIC).

Apabila GAPENA meluncurkan program Wacana Dilema Melayu baru-baru ini, ada seorang tua yang bersuara agar PPSMI ini terus dilaksanakan. Hamba tidak hairan kerana orang tua itulah yang mencetus, memutus dan melaksanakan PPSMI. Tun Dr Mahathir yang hamba kagumkan idea-ideanya sebelum ini tidaklah berjaya membuat hamba menerima bulat-bulat kesemua cadangannya. Ada juga yang busuk bak tahi anjing. Contohnya PPSMI ini.

Sebagai Melayu, hamba tidak cuba bersifat perkauman kerana hamba bukanlah orang yang gemar berprasangka terhadap kaum lain. Sifat mazmumah dalam diri manusia tidak sepenuhnya berpunca daripada keturunan. Cuma, sebagai Melayu hamba amat berharap agar warisan bangsa kita tidak dipinggirkan di tanahair sendiri.

Lainlah kalau hamba ini Melayu anak dagang yang merantau ke benua Eropah! Tidaklah hamba menentang undang-undang jika disuruh menuntut ilmu dalam mana-mana bahasa Anglo-Saxon. Tapi undang-undang busuk ini digubal di sebuah negara yang dulunya diteriak sebagai Tanah Melayu! Mana keadilannya?

Berlaku adil ialah meletakkan sesuatu kepada tempatnya. Jadi, hamba berharap agar Bahasa Melayu diletakkan di tempat yang sewajarnya. Usaha meneruskan pelaksanaan PPSMI ini sebenarnya usaha untuk MEMBUNUH BAHASA MELAYU!!!

Hamba tidak faham apabila Tun Det sibuk mengulang hujah-hujah dangkal seperti BI lebih banyak diguna dalam pembelajaran Sains. Justeru BI penting untuk diserap ke dalam sekolah agar anak-anak Melayu (khususnya) dapat menguasai ilmu sains sekaligus meningkatkan penguasaan BI.


Gambar: Lihat buku sekolah ini - kecelaruan bahasa sudah mula terjadi. Sedih Malaysia!

Assalamualaikum! Hamba berani kata ketika Tun Det membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI ini pada 2003 dulu, tiada kajian khusus yang dibuat dan dibentangkan untuk menyokong usul mengatakan bahawa punca utama kegagalan anak Melayu dalam Sains dan Matematik adalah kerana gagal menguasai Bahasa Inggeris. Kalau betullah Melayu macam hamba ini lemah dalam Sains dan Matematik, tunjukkanlah buktinya. Setakat Laporan Jawatankuasa Wan Zahid yang merepek itu? Hentikanlah.

Menurut perkiraan hamba, ramai juga graduan Melayu yang lahir selama berpuluh tahun baik di dalam mahupun luar negara. Ibubapa kita dibesarkan dengan sistem pengantar BM dalam matapelajaran Sains dan Matematik. Jadi juga mereka sebagai Jurutera, Arkitek, Saintis mahupun Doktor. Semuanya lahir menerusi Dasar Pendidikan Kebangsaan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Tun silap apabila mengatakan sumber rujukan Sains banyaknya dalam BI. Jika dikaji sejarah, bangsa Anglo-Saxon mencuri manuskrip ilmuan Islam yang ditulis dalam Bahasa Arab, dan kemudian menterjemahkannya dalam bahasa mereka hingga kini anak-anak muda sebaya hamba ada yang tak tahu bahawa Avecine itu ialah Ibnu Sinaa.

Sains dan Matematik adalah matapelajaran yang berteraskan teori. Tiada bahasa yang boleh membezakan jawapan kepada persoalan 1 + 1 = 2. Diulang: TIADA! Dalam Bahasa Swahili 1+1 =2 sama jika dihitung dalam Bahasa Jepun. Sebarang teori dalam ilmu sains boleh diajar dalam semua bahasa kerana ia TEORI.


Gambar: Pelajar kini tidak kenal akan perkataan Melayu untuk alatan ujikaji Sains.

Hamba percaya ilmu sains jika di ajar dalam bahasa yang dekat dengan jiwa bangsa tersebut, maka akan lebih mudah difahami. Penggunaan BM dalam ilmu sains secara tidak langsung akan menambah dan mengembangkan lagi BM ke tahap yang lebih tinggi. Perkataan seperti tabung uji, kertas turas, mangkuk pijar, air suling, hempedal, hempedu, usus besar, usus kecil, perlanggaran tak kenyal dan banyak lagi tidak akan wujud jika tiada pengembangan ilmu sains dalam BM. Semua ini akan memperkayakan lagi BM.

PPSMI tidak sepenuhnya membantu anak Melayu luar bandar untuk menguasai BI. Yang menjadi masalah pokok ialah APAKAH BERKESAN PENGAJARAN BAHASA INGGERIS DI SEKOLAH?.

Masalah dengan cara guru-guru kita mengajar BI di sekolah sebenarnya yang harus diperhalusi. Hamba membesar dan menuntut di sekolah kebangsaan dan hamba tak pernah rasa bermasalah untuk memahami ilmu sains di sekolah. Cuma hamba malas saja nak minat sains tapi tidak bermakna hamba harus berhempas pulas untuk memahami subjek sains kerana ketika itu hamba (dalam tidak minatpun) boleh memahami semua teori dalam matapelajaran sains dalam tempoh ulangkaji yang suntuk.

Yang hamba sering bosan ketika menuntut ialah ketika datangnya subjek bahasa. TERMASUK BAHASA MELAYU. Apalagi dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Entahlah, subjek bahasa amat membosankan. Bagi hamba, pengajaran subjek bahasa harus menarik, seronok dan nampak kepentingannya. Jadi jangan hairan kalau penguasaan Melayu dalam bahasa asing atau bahasa ibunda sendiri amat lemah. Semuanya berpunca daripada perkara-perkara sebegini. Hamba tak pasti berapa ramai guru bahasa yang rajin, diulang:rajin untuk mengadakan story telling, short play, bersajak, bergurindam segala di dalam kelas. Paling-paling cikgu-cikgu ini suruh buat latih tubi. Sememangnya sekolah di Malaysia mengamalkan exam-orientation. Pelajar diajar untuk belajar semata-mata untuk peperiksaan, bukan untuk digunakan dalam kehidupan seharian. Percayalah!

Dalam kenyataan Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein sebelum ini ketika mengumumkan keputusan UPSR, beliau sibuk pukul canang jumlah penjawab soalan UPSR dalam BI meningkat sekaligus menandakan pengusaan BI di kalangan murid sekolah sudah meningkat sedangkan jumlah yang mendapat 5A dah sah-sah merosot!

Tambah lagi, tidak pula dinyatakan dalam jumlah pelajar yang mendapat A dalam subjek Matematik dan Sains berapa pula pecahan pelajar yang menjawab dalam BM dan BI? Sependengaran hamba, majoriti yang mendapat A menjawab dalam BM. Jadi apa gunanya pukul canang anak kita menjawab dalam BI sedangkan tidak mendapat A pun.

Isu PPSMI ini hanyalah retorik politik BN dan PR (sekiranya berkuasa kelak) untuk menggoda undi kaum bukan Melayu. Orang Melayu marah apabila kaum bukan Melayu sibuk nak tuntut itu ini daripada kita sedangkan perkara asas seperti BM yang tidak sepenuhnya diperkasakan dalam jiwa mereka kita abaikan. BM masih lagi dianggap milik bangsa Melayu sahaja, sedangkan konsep kenegaraan kita seharusnya mempunyai rasa saling memiliki Bahasa Melayu. Cina dan India terutamanya harus fasih dan menguasai BM!! Hamba kalau menetap di Shanghai pun, harus menguasai Bahasa Mandarin kerana itulah bahasa di tempat itu. Jadi di Malaysia, haruslah berbahasa dalam bahasa kebangsaan!

Sedar atau tidak, isu PPSMI inilah yang mengendeng kepada masalah lain seperti tuntutan kaum bukan Melayu untuk kesamarataan. Hamba tidak kisah dengan hak kesamarataan kaum (yang dilaksanakan dengan betul) kerana hamba cukup tidak berkenan dengan konsep ketuanan Melayu. Isu Bahasa Melayu dan ketuanan Melayu jauh menyimpang, tidak harus dikaitkan sejak awal. Jadi, proses memupuskan BM ini berlaku dengan restu orang-orang yang mendokong ideologi ketuanan Melayu. Siapa sebenarnya yang keliru?

Jadi apabila adik Erfan Hamad berkata-kata sebegitu rupa, maka hamba sudah jelas akan hasil PPSMI ini. Hamba cukup terluka kerana penyambung warisan bangsa kita sudah tidak lagi yakin untuk berbahasa ibunda. Jadi, siapa lagi yang akan menyambungkan legasi BM selepas ini? Apakah segolongan pelajar universiti di Beijing yang mengambil jurusan Pengajian Melayu?

Jangan silap faham, hamba tidaklah sampai membantah penguasaan BI dikalangan pelajar. Hamba juga menguasai BI dan hamba faham BI adalah bahasa antarabangsa dan penting untuk dikuasai. Namun yang hamba tidak berkenan di sini ialah kita tidak meletakkan sesuatu perkara di tempat yang betul. Bahasa kita tidak diletakkan ke dalam kedudukan yang betul.

Dan jangan tak tahu, pertengahan tahun lalu akhbar melaporkan seramai 100,000 murid tahun satu gagal menguasai 3M - membaca, menulis dan mengira! Jumlah ini merangkul hampir 15% daripada jumlah pelajar tahun satu di negara ini. Apa jadi jika menguasai bahasa ibunda pun masih gagal, mahu disuapkan dengan bahasa asing?


Gambar: Sibuk mahukan PPSMI, 100,000 murid tahun satu kita masih gagal menguasai 3M. Lama-lama budak-budak ini sibuk 'tidur'!

Isu Bahasa Melayu tidak sekadar digegarkan dengan PPSMI, malah isu papan tanda juga naik daun. Banyak pihak membantah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang ingin menggunakan bahasa lain, selain bahasa Melayu pada papan tanda jalan beberapa tempat warisan untuk tujuan pelancongan, terutama dari luar negara.

Amboi! Tiba-tiba pula ada keprihatinan terhadap kedudukan Bahasa Melayu. Mana pergi prihatin itu ketika ramai cendikiawan bahasa di negara ini menangis kerana PPSMI?
Sikap keprihatinan begini perlu dipuji dan kalau sikap mulia ini diteruskan setiap kali bahasa Melayu dipinggirkan pasti nasib bahasa kita terbela. Namun, sikap sedemikian tidak selalu bersifat berterusan.

Bahasa Melayu sendiri banyak dipinggirkan akhir-akhir ini, terutama dalam peranannya selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kadangkala yang membelakangkan bahasa Melayu ialah orang Melayu sendiri, penutur natif dan etnik kepada bahasa Melayu seperti Jawa, Iban, Kadazan-dusun, Kedah dan Pattani-Kelantan.

Hamba bekerja dalam bidang pengiklanan dan sering menghadiri banyak acara, sepengalaman hamba sendiri banyak majlis dan acara kenegaraan dihadiri hanya rakyat negara ini, tidak lagi menggunakan bahasa Melayu. Sebaliknya ia menggunakan bahasa Inggeris. Malahan lebih teruk apabila yang menjadi tetamu VVIP ialah pembesar negara sendiri.

Jadi jangan hairan kalau trend menjenamakan perniagaan dalam bahasa Inggeris pula menjadi pilihan. Pada April lalu, Bank Pertanian mengumumkan nama barunya, iaitu Agrobank. Sakitnya hati! MARA yang dikenali sebagai satu entiti Melayu yang kuat, juga memilih nama dalam bahasa Inggeris, iaitu MaraLiner untuk menjenamakan semula rangkaian bas ekspressnya. Geramnya hati!

Nama dalam bahasa Inggeris terus menjadi pilihan pelbagai pihak, termasuk syarikat milik kerajaan. Penamaan motosikal negara juga tidak terlepas daripada kecenderungan ini, apabila nama dalam bahasa Melayu yang merujuk kepada satu-satunya objek yang menjadi identiti serta kebanggaan bangsa Melayu, iaitu 'keris' dieja secara bahasa Inggeris, dalam bentuk KRISS. Jangan lupa yang ini juga, "Saluran Infotainment Anda!"


Gambar: Kereta nasional, tetapi namanya dalam Bahasa Inggeris?


Kereta nasional juga mula menggunakan bahasa Inggeris, dengan pelancaran model baru: (Satria) Neo, Persona, GEN2, Savvy, MYVI dan VIVA. Apakah nama dalam bahasa Melayu seperti Saga, Iswara, Wira, Satria, Putra, Waja, Perdana, Kancil, Tiara, Kenari, Kelisa dan Rusa sudah tidak layak dalam bahasa Melayu?

Kebanyakan bangunan dan pembangunan kawasan baru ikut diberi nama dalam bahasa Inggeris. Antaranya termasuk One Borneo di Kota Kinabalu dan Bangsar South di Kuala Lumpur. Kelantan yang selalu disebut sebagai antara benteng kemelayuan yang kuat di negara ini, ikut terheret dalam gejala ini. KB Mall dan Pelangi Mall adalah nama dua tempat beli-belah terbaru dan termoden di Kota Bharu. BN sama, PR pun turut sama!


Gambar: Penjenamaan dalam Bahasa Inggeris nyata menutup fungsi BM untuk diperkasa di negara sendiri. Mid Valley sebagai contoh paling jelas, apalagi dengan KLIA atau KLCC!!

Percakapan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi dalam majlis formal, misalnya rancangan radio dan televisyen, serta ucapan rasmi pemimpin berleluasa sekali kini sehingga menjadi satu budaya nasional. Hamba ketika berurusan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka pun sempat bertanyakan mengenai apa-apa tindakan untuk radio Suria FM yang terang-terangan merosakkan Bahasa Melayu dengan bahasa rojak. Apatah lagi dengan stesen radio yang lain. Naik lemaklah jawabnya!

Apakah yang kita lakukan secara serius, seperti yang dilakukan oleh pihak tertentu, dalam kes di Pulau Pinang ini, terhadap semua gejala yang meminggirkan bahasa Melayu selaku bahasa negara?

Sepatutnya kita ikut bersuara lantang terhadap penggunaan bahasa Inggeris yang ternyata tidak kena pada tempatnya. Kemudaratan yang dibawa oleh penggunaan bahasa Inggeris sebegini, sebenarnya adalah sama buruk kesan dan sama besar padahnya, kepada citra selain identiti bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Kalau difikirkan, apalah nak dikecohkan dengan penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil yang tidak kena pada tempatnya di Pulau Pinang sedangkan penggunaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu itu sendiri sudah lama bermasalah.

Hamba yakin Tun Det tidak akan sekali-kali berubah dengan keputusan yang telah dibuatnya. Hitam katanya, hitamlah jadinya. Tun Det yang hamba kenal tidak akan mengubah sebarang keputusan yang telah dibuatnya. Hamba percaya kepada kredibiliti Tun Det, sebelum-sebelum ini hamba menyanjungnya namun yang satu ini hamba amat tidak bersetuju.

Bak pesan Dr. Awang Sariyan, "Manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi “Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan”. Kita belum pun sesat sehingga di hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini"

Bahasa yang perkasa ialah bahasa yang dibudayakan, hidup dalam lingkungan masyarakat, bangsa dan negara serta digunakan sebagai bahasa ilmu. Jadi ke mana halatuju BM selepas ini? Apakah akan terus menuju jalan pupus?


Notakaki: Artikel ini hamba tulis dengan merujuk kepada pembacaan semasa hamba di akhbar dan forum-forum serta menghadiri seminar bahasa disamping merujuk juga komentar daripada bijakpandai bahasa antaranya seperti Profesor Dr. Teo Kok Seong- Pakar Sosiolingustik Bahasa Melayu di UKM serta Profesor Dr Awang Sariyan yang menulis untuk Kumpulan Prihatin.

13 ulasan:

aie akaike berkata...

syabas bro!

aie akaike berkata...

amer, ko reporter BH ke?

Amer Yusof berkata...

@ aie - nggak la...aku buat ads kt BH.

Zaff berkata...

boleh tanya sikit tak? atas alasan ape awak katakan suriafm terang-terangan merosakkan bahasa melayu? tolong jelaskan sikit????

Amer Yusof berkata...

@ Cik Zaff - Soalan yang bagus. Oh ya, sy kenal Cik Zaff sebagai penyampai di Suria FM. Pertama, sy amat bangga dengan nama Suira FM sebab perkataan asal sanskrit yang terkandung dalam bahasa melayu itu digunakan sebagai nama radio, berbanding nama-nama radio lain yang putar lagu melayu, namanya inggeris. contohnya, tak payahlah sy terangkan lagi kot.

Suria FM yang saya kira terang-terang mencemar bahasa Melayu, takkan cik zaff tak dengar segmen Zara, atau segmen maklumat-maklumat gaya hidup yang dibaca secara rakaman (diulang, secara rakaman) yang menggunakan bahasa rojak seperti 'u'olls, so, hang-out, etc etc'..kalau ikut banyak sgt smpi dah tak jadi ucapan dalam BM, yang mana radio lain pun tak seberani itu. Radio swasta lain, biarpun ada penyampai yang bercakap rojak tetapi apabila segmen-segmen maklumat sebegitu, sy nampak tidaklah teruk sampai menggunakan bahasa pasar untuk siaran kebangsaan.

penyampai-penyampai suria fm, tak semua ya. ada yang terang-terang berbahasa rojak secara berlebihan dan ada juga guna bahasa melayu pasar yang teruk juga. sy ingat lagi ada seorang penyampai segmen pagi, skarang dia sudah tak ada..hehehe, sy rasa cik zaff tahu siapa. dia sering juga bercakap 'double meaning'. rosak bahasa, rosak juga budi bahasa. tak salah nak bermesra dgn pendengar dgn cara berbahasa pasar tetapi biarlah berpada-pada dan tidak menggunakan seolah bahasa rasmi.

tak cukup dengan itu, nama segmen tugasan penyampai pun bercampur ada...contoh : breakfast@suria tetapi berantara dalam BM. ada pula segmen Suria Drive-In, seterusnya meetnite, sebenarnya putarkan lagu indie yang kebanyakkan lagu melayu ..yang guna BM pun macam segmen Suria Cinta (yang ini BM amat bagus, tahniah!), Suria 8-11. Saya boleh juga kata Fanny yg jd dj utk suria baik banget pun berbahasa indonesia dengan baik, tanpa sebarang campur aduk yg serius.


seperkara lagi, laman web suria fm pun agak teruk penggunaan bahasa melayu hingga sy tak faham, nak guna bm atau bi. banyak sangat campur aduk penggunaan. ada perkataan yang sah-sah ada dalam kamus melayu, tidak digunakan sebaliknya dipakai perkataan inggeris, langsung merojakkan bahasa.

sy andaikan ramai orang di suria fm berpendidikan inggeris dan berfikir dalam bahasa inggeris. saya juga kadang-kadang berfikir dalam bahasa inggeris tetapi harus diingat, kita harus mengikut ruang yang kita masuk. kalau dah putus untuk jadi radio berbahasa melayu maka jadilah radio yang sepenuhnya berbahasa melayu.

jangan kaitkan teguran saya dengan konsep pemasaran. silap besar kalau kata berbahasa melayu sepenuhnya boleh buat suria fm jatuh rugi.

p/s: sy pendengar setia suria fm, menolak faktor beberapa penyampai yang cetek ilmu maklumat semasa (yang banyak mereka tahu hanya hal dunia hiburan yang tak membina pun), tetapi sy tetap memuji beberapa usaha murni suria fm dalam memberi selera baru kepada pendengar lagu-lagu melayu serantau. cik zaff, tak tumbuh tak melata..

Zaff berkata...

thank u very much for the explanation... boleh diguna pakai kelak.

Amer Yusof berkata...

sama-sama cik zaff,

boleh lah cik zaff ajukan kepada ym engku emran nanti.

sy tegur kerana sayangkan suria fm..terus terang, 2 radio swasta saja yg saya sokong - suria dan sinar, yang lain sy tak kata sy x dengar tetapi bagi sy radio lain lebih kepada profit based orientation.

mereka buat duit kiri kanan, tapi mereka tak tahu tanggungjawab dan tujuan sebenar radio itu wujud.

kalau kita dh suka sesuatu benda, tak salah kita jentik sikit supaya lebih ras menyukai.

p/s: cik zaff, jgn serik kunjung blog sy okay. sy akan ikuti blog cik zaff juga

aie akaike berkata...

amer, ko tak jawab soalan aku. ko jwb soalan awek je. siot lu!

aie akaike berkata...

owh ada ada. tak perasan. ade keje kosong tak kt BH. position reporter?

Amer Yusof berkata...

@ aie - kalau nak mintak kerja, emel la resume, kalau2 ada peluang insya-Allah. tp tak janji.

Sunshine in the morning berkata...

bahasa jiwa bangsa..
itu lebih baik..

martabat bahasa kebangsaan..;DD

ciK aMoi berkata...

sy belajar sains dan matematik dlm BI
dan mmg saya tak kenal langsung alatan uji kaji sanin dlm BM,
dh terbiasa dgn BI so kalau kerajaan nak ubah balik pergi BM mmg payah utk bdk2 yang dh mula biasa dgn BI.

Tanpa Nama berkata...

bagus la belajar dlm bahasa inggeris.
bukan nye kerajaan menghapuskan mata pelajaran bahasa melayu.
adakah dengan mengajar dalam bahasa inggeris boleh menjejaskan bahasa melayu??
seterusnya menghapuskan bahasa melayu??
kenapa tulisan jawi tidak diperjuangkan yg sememangnye berkait rapat dengan bahasa melayu???
klu pun barat mengambil ilmu sains dan math itu dari dunia arab.adakah org barat itu sudah mahir berbahasa arab??tanpa perlu mempelajari bahasa arab??dan kemudian diterjemahkan kepada bahasa inggeris tanpa memahaminya??
adakah org barat itu hilang bahasa inggeris mereka??ini adalah soal jatidiri.

cuma kita ini sudah lama terhidang dengan penggunaan bahasa rojak dalam media cetak dan elektronik.
kita boleh ambil contoh radio melayu singapura.mereka masih mengunakan bahasa melayu baku sebagai medium penghantar mereka walaupun tiada peruntukan undang2.

penggemar