Berperang Dengan Curiga



JANUARI 2009

Senyap sunyi suasana malam di Kampung Kucing Buta. Tiada bebudak pergi dan balik kelas mengaji, waktu Isya' pun terasa lekas dan tak dilengahkan. Rumah selerak rabak ruah, tetapi tiada jiwa yang berkelana. Senyap, sunyi dan sepi sekali.

Aku sudah dua tahun mati.

Ya, dua tahun.

Malam ini aku kembali untuk merawat jiwa-jiwa luka yang telah aku hantukan semenjak kepergianku dulu. Kepergianku tidak dirancang, nyawaku tanggal setelah 8 bulan aku bertarung. Mendendam memang asadku, tapi itu tak boleh lama lagi kerana jiwa aku tak tenteram. Aku diselubungi rasa bersalah kerana kepergianku diratapi untuk sebuah kemunafikan.

"Cikgu Ju dah lama mati. Lama sangat, kenapa nak disibukkan lagi?" jerkah sang bapa tua saat aku meneropong sebuah rumah kayu usang di tepi sungai.

"Sebab dia mak kita pun pergi" balas si anak penuh geram. "Dua tahun abah, dua tahun!" sambungnya lagi.

Tiada kesudahan. Aku hanya mendengar keluh kesah mereka kerana sudah dua tahun, aku dijadikan alat sehingga hidup mereka ini tiada kesudahan. Meringkuk sekadar mana yang boleh.

"Kita nak harapkan siapa? Kita kena diam saja Jannah. Diam lebih baik" bisik bapa yang asyik mengulit anak lelaki bongsu yang lelap tak sampai seputar jarum.

"Pak Jali?" ada saja jawapan dari si anak, sukar sekali untuk dimatikan.

"Jangan kita harap kepada mereka, kita pun tak kenal betul siapa mereka. Apa tujuan mereka" pohon si bapa dengan sabar.

"Pak Jali dah buat banyak benda untuk kembalikan maruah kita, maruah orang kita. Kenapa kita tak boleh harapkan dia? Abah dulu pun tolong dia"

"Mereka silap percaturan" jawab bapa tua itu ringkas.

Malam yang sepi itu berlalu tanpa aku sedari. Seluruh isi alam pun tidak bermesra seperti dulu. Kepergianku dulu nyata merobek seluruh isi duka anak kampung ini. Kampung Kucing Buta ini takkan aman lagi. Semuanya berhasil dengan curiga.

MEI 2005

"Sawaidee Na Kaap!" ucapku saat melalui penghalang laluan jalanraya berhias beting pasir di dalam guni. Lewat Ligor hingga ke sempadan Pantai Ni aku temui banyak manusia berbaju hijau. Suatu pandangan yang asing bagiku.

"Umur saya 22 tahun, dan akan mengajar matapelajaran Seni" ucapku saat kali pertama menjejakkan kaki ke Sekolah Rendah Kampung Gujingruepo. Pagi itu nyaman sangat biar kelas sarat dengan 56 orang murid. Tak pasti kalau semuanya berusia 11 tahun, tetapi menurut Cikgu Nang, murid-murid di sekolah ini tidak sebaya.

Gujingruepo adalah perkataan dalam bahasa ibundaku, dalam bahasa murid-muridku ia membawa maksud Kucing Buta. Tidak banyak beza di antara bahasa aku dan bahasa mereka.

"Jalan kaki sejauh ini?" betahku saat mengetahui seorang muridku datang jauh dari negeri Jalor.

"Kalau ada yang nak tumpangkan, saya ikutkan saja. Tapi setiap hari saya kena diperiksa askar seluruh tubuh. Malu"

"Awak boleh tinggal di rumah cikgu" balasku, niat membantu.

"Tak boleh. Saya orang Islam" jawab gadis usia 11 tahun sambil rambutnya meliuk ditiup angin.

Kenapa tak boleh? Salahkah seorang Buddha seperti aku membantu Muslim seperti dia? Atau, aku harus berbudi bicara dengan kedua ibubapanya.

Gadis bernama Chearim itu tidak tinggal lama di sekolah kami. Kurang dua kali rembulan mengambang, dia tidak lagi muncul-muncul. Lama ku tunggu kehadirannya, hinggalah seorang rakan memberitahu Chearim sudah mula bekerja di kilang arang. Alkisah, bapanya sudah menyertai pakatan pemberontak dan abang sulungnya pula lebih dulu mati di tangan tentera Thaksin, bulan puasa tahun 2004. Ibu Chearim terpaksa ulang-alik ke Tumpat membekalkan barang-barang runcit.

"Saya kena kerja cikgu. Adik-adik saya kena sekolah" balas Chearim sambil menolak-nolak kayu-kayu terbakar yang tunggu dikemaskan. Sesekali peluhnya diseka dengan jari dan kain tudung comotnya.

"Tiada sekolah di sini, kamu mahu adik-adik kamu ke mana lagi?" aku menjawab dengan pertanyaan demi memahamkan akan keadaan sebenar negeri mereka, Jalor.

"Pak-cik kamu yang tembak, pak-cik kamu yang bakar sekolah ini semua!" sergahku.

"Ya, mereka pak-cik - pak-cik saya kerana mereka sebangsa, seagama dengan saya. Apa saya peduli? Mereka nak bakar, bakarlah!" Aku sentap. Pertama, suara Chearim naik tinggi dan kedua, sebagai guru aku rasa tidak dihormati lagi.

"Cikgu tak tahu apa akan jadi dengan kamu, dan cikgu percaya jauh di lubuk hati kamu - kamu tetap mahu menimba ilmu dan bantu nasib bangsa kita..." balasku, cuba berlembut sebelum dipotong halus.

"Bangsa kita yang cikgu fikir apakah wujud dan sentosa? Maaf cikgu, antara saya dan cikgu...kita bukan sebangsa" balas Chearim sambil mencampakkan pongkes yang penuh arang ke dalam gedung kecil.

***

Chearim bisu-bisu mendengar cerita kedai kopi yang menjadi tempat kerjanya di waktu petang. Matanya melilau mencari punca suara hingga di temukan Pak Jali.

"Menara Barat dekat saja dengan Kelantan. Saudara mara kita ramai di sana. Tok Guru Nik Aziz, saudara kita. Tapi Malaysia tak mahu bantu kita" bebel seorang pemuda yang lengkap berkopiah dan sejadah di bahu.

"
Dasar luar mereka lain. Tambahan, mereka sendiri yang buang kita" balas Pak Jali.

"
Maksudnya apa? Kita ini sepatutnya jadi rakyat Malaysia?" tanya seorang lagi pak-cik tua.

"
Negeri kita, ada sultannya. Ada kerajaannya. Kita, bangsa kita sama dengan bangsa mereka. Agama kita, sembah kita kepada yang Satu serupa mereka. Tapi raja mereka dah buang kita lama dulu sebab mereka mahu merdeka" terang Pak Jali panjang lebar.

"
Mana daulat sultan kita? Boleh pula ditolak ketengah, ketepi"

"
Jangan fikir begitu, tuan puteri kita baru bersanding dengan putera Kelantan" terang Pak Imam.

"
Ada kita kisah?" jawab Pak Jali sinis. "Yang kita tahu dan percaya, negeri kita Menara Barat juga negeri beradik kita, Jalor, Singgora, Pantai Ni, Sentul sampailah ke pantai maksiat Bukit hingga nun jauh ke Genting Kera semuanya Tanah Melayu" ucap Pak Jali panjang lebar.

Geografi dalam kepala otak Chearim sudah mula pening, sepemahamannya sememang dari Genting Kera ke Singapura dinamakan Tanah Melayu. Itulah fakta sebenar.


"Siapapun pemerintah Thailand malah adil macam mana sekalipun mereka, kita tetap mahukan kedaulatan negeri kita. Hak kita untuk mencorak bagaimana kita mahu waris kita menyambungnya"

Untuk itukah Pak Jali dan yang lain menyerang dan membakar sekolah Chearim di Jalor dulu? Bisik hati Chearim setelah lama cuba memahami akan tindak tanduk mereka.

"Mek kena juga belajar, pergilah sampai ke negeri sebelah. Ibu sanggup hantar" bisik bapa Chearim ini setelah hangus rentung sekolah dan guru-gurunya.

"Mereka didik kita supaya jadi seperti mereka!" marah bapa. "Jangan Mek pergi ke sekolah kerajaan. Ibu boleh ajar Mek. Yang abah nak, Mek kena belajar bahasa Melayu, mesti belajar ilmu agama Islam. Sekolah di Menara Baratpun tak akan benarkan itu semua. Mereka nak kita jadi macam orang Bukit! Nama saja Melayu, tetapi tak reti cakap Melayu!" serang bapa hingga membuat ibu terdiam.

"Anak kita masa depan kita bang. Masa depan kita" pujuk ibunya.

"Rumah ini negeri kita, masa depan kita. Pijaknya kaki awak ke tanah itu bukan lagi masa depan kita" sambung bapa kanak-kanak itu.

Chearim menangis hiba. Tekad di hati seorang ibu, maka dimungkirkan janji demi masa depan anak tersayang. Ibunya setiap habis subuh menyeludupnya menaiki motor Sameon untuk ke Menara Barat. Hanya ada sebuah sekolah yang masih terjaga disitu. Dan sekolah itulah tempat aku ditugaskan.

2006

Aku melakukan kesilapan. Mungkin Menara Barat tidak serupa dengan Cheang Rai. Bukan lagi mungkin, tetapi hakikat. Bumi hijau ini bukan rumah, negeri aku. Ini tanah mereka. Dan aku tersepit atas nama tugas dan juga kemanusiaan.

"Misi kita untuk menyahut seruan kerajaan. Negara ini mesti Siam. Siam sampai bila-bila" bisik Cikgu Pethon ke telingaku.
"Tapi kita tak boleh mengubah bangsa mereka. Mereka tetap Melayu" balasku.

Aku tergugah. Kenapa kerja muliaku mesti disaring hasrat Thaksin. Apakah Thaksin yang menjadi punca? Menjadikan mereka sebagai Siam ini tidak akan menyempurnakan Melayu-Melayu ini menjadi betul-betul Siam. Mereka tetap Melayu. Darah mereka, jiwa dan fizikal mereka tetap Melayu.

"Saya rasa awak cukup faham kenapa dulu Thaksin luruhkan burung-burung kertas ke tanah negeri ini?" pujuk Cikgu Pethon.

Burung-burung kertas itu sebenarnya tanda Thaksin belum sudah. Hati dan jiwa orang sini harus dibeli semula.

"84 orang, dan salah seorangnya abang saya" ungkap Chearim ketika aku bertanyakan tentang keluarganya. Alir cerita kini membawa aku ke kisah abangnya yang mati terpijak pada 2004. Tragedi yang menyebabkan Thaksin berhajat meluruhkan burung-burung kertas yang seribu itu.

Lukisanku seolah mahu menjerit menceritakan hal sebenar dalam diri aku. Bahawa aku butuhkan perkara yang satu ini - toleransi. Seteguh aur dan tebing yang ku lakarkan pada kertas kering, ku simbahkan pula warna membawa maksud bahagia lewat lakaran rembulan ceria. Aku impikan tolak ansur agar diri aku dapat diterima oleh semua mereka disini.

Aku mahu bernafas tanpa pandangan curiga lagi. Aku sudah letih.

"Jangan dengar dongeng mereka. Kita, sebagai guru punya misi. Kita bukan sekadar mendidik tetapi juga menilik. Harap Cikgu Ju faham" bisik Cikgu Pethon setiap kali aku berbelah bahagi.

Aku tepiskan curiga dan belah bagi ini. Aku harus dekati anak-anak ini yang dahagakan ilmu pengetahuan. Tugas aku tak sepatutnya berhenti bila saja Thaksin bersuara supaya aku berhenti. Tugas aku sebagai guru, maka mati aku juga sebagai guru!


MEI 2006

"Cikgu Ju sudah melebihi yang sepatutnya" luah Chearim.

"Saya bukan Chearim, saya Jannah" teriak gadis kecil ini sambil mencari tudung kecil yang berkedut, tersimpan di dalam begnya. Dia menyarungkan terus tanpa hiraukan aku. "Chearim bukan nama jujur saya. Kenapa perlu saya ikutkan semua undang-undang ini Cikgu?! Kenapa mesti saya dilahirkan punya dua nama!" Chearim menangis hiba mengenangkan akibat yang bakal aku tempuh saat mula aku melanggar had yang bangsa mereka tetapkan. Sungguhnya aku tidak berniat.

Chearim berlari keluar daripada kelas kosong tanpa murid itu. Lariannya laju, tudungnya masih lekat biarpun baru saja disarung betul-betul dihadapku.

Itulah kali terakhir Chearim ataupun nama hakikinya, Jannah berpeluang menemukanku.

Malam itu aku koma dibelasah orang-orang mereka. Dalam usia 23 tahun, aku terpaksa berdepan dengan saat paling mengerikan kerana diculik dan dipukul hidup-hidup oleh sekumpulan wanita bergelar ibu dan surirumah. Salah seorang daripadanya, aku pasti ibu kepada Jannah.

Ya, wanita-wanita ini yang membunuhku.

Mereka ini nekad membunuhku atas kesilapan yang tak sewajarnya aku lakukan. Aku juga perempuan, dan aku harus mengerti bahawa masa depan anak-anakku nanti tidak seharusnya terletak di tangan seorang guru seperti aku sahaja. Itu yang aku tak pernah mahu selami selama ini.

8 JANUARI 2007

8 bulan aku menjadi bangkai bernyawa. Penat bertarung dengan curiga manusia sekeliling yang membunuhku dalam mimpi pudar. Mahu saja aku habiskan mimpi ini, lama dulu sebelum menunggu lapan bulan. Aku tidak berkesempatan untuk menceritakan hal yang sebenar kenapa aku diperlakukan begitu.

Dalam usia 24 tahun aku maut ditangan wanita-wanita besi yang menuntut yang sepatutnya daripadaku.

Aku bingung, sepanjang aku tidur mereka di utara melaungkan aku hero tanpa mencari punca sebenar. Aku dijulang sebagai simbol sedang aku punya khilaf tidak diberi ruang untuk diperbincangkan.

Kenapa pula ibu-ibu Menara Barat mendiamkan diri? Apakah mereka mahu aku yang sudah tidak punya harapan ini untuk menjadi tanda bahawa mereka sekadar berbisa sedangkan ironi, aku menang kerana dijulang dan menjadi asbab supaya Thaksin dan yang lain tidak akan terus memberi muka kepada manusia seperti Pak Jali dan rakan-rakannya.

JANUARI 2009

Jannah mengunci rapat pintu rumahnya tanpa menyedari aku memerhatinya sekian lama. Lidah ini tidak upaya berbicara tulus dari hati ke hati agar mudah ku pohon kemaafan. Kaki ini tidak terpasak di bumi, gentayangnya diriku cuba mencari erti sebuah pengorbanan.

Ibu Jannah telah memilih jalan untuk mencabut nyawaku. Kuasa itu bukan ditangannya, tetapi di telapak qada' dan qadar seperti yang tuhan mereka perintah agar percaya.

Malam ini berlalu bisu, setelah 2 tahun kepergianku. Pak Jali terus-terusan memberontak seperti katanya: -

"Siapapun pemerintah Thailand malah adil macam mana pun mereka, kita tetap mahukan kedaulatan negeri kita. Hak kita untuk mencorak bagaimana kita mahu waris kita menyambungnya"

Ibu Jannah yang dulu ku teriak Chearim tidak berkesudahan. Nasibnya menjadi tanda tanya.

Sedang dunia bersorak akulah wira. Akulah wira yang didendang setiap masa, mengenang aku seumpama meninggikan lagi ego Bangkok. Dunia tidak dijamu dengan cerita yang jujur dan sehingga kini Jannah dan bapanya terus berdiam diri. Mereka memilih untuk berperang dengan curiga.

Sama ada mahu percayakan kami sesama warganegara, atau kerajaan yang bertukar bak baju berganti hari atau Pak Jali dan konco-konconya yang memilih jalan "Fisabilillah" atau terus tidak berbuat apa.

Pagi muncul lagi, dan bumi hijau sarat dengan beting guni pasir ini harus menanggal harinya buat sekian kalinya. Tanah ini subur, dirahmati tetapi jiwanya lara dalam curiga.

Ketidakadilan telah banyak berlaku. Curiga mencanak tumbuh di hati mereka. Telah ramai yang korban menjadi mangsa curiga, aku juga diangkat menjadi mangsa curiga, dan benarkah itu yang harus mereka semua percaya?

TAMAT

Cerpen 'Berperang Dengan Curiga' ini diadaptasi daripada kisah benar pembunuhan seorang guru perempuan berusia 24 tahun, Juling Pangamoon pada 8 Januari 2007 akibat diculik dan dibelasah hingga mati oleh sekumpulan surirumah bangsa Melayu, di Narathiwat, Thailand. Sehingga kini punca sebenar wanita-wanita ini menyerang guru tersebut menjadi tanda tanya.

Fakta:-
Hamba memilih untuk menggunapakai nama Melayu untuk asalan tempat di Thailand. Rujuk senarai ini untuk pemahaman.

Kampung Kucing Buta = Kampung Gujingruepo
Menara Barat = Narathiwat
Jalor = Yala
Singgora = Songkhla
Bukit = Phuket
Pantai Ni = Pattani
Genting Kera = Segenting Kra
Sentul = Satun

Terima Kasih kepada penulis Isma Ae Che Uma (Majalah MILENIA dan UiTM Dungun) yang memberi inspirasi untuk menulis kisah ini.

Juga ini adalah karya kedua hamba berkisar mengenai konflik Selatan Thai setelah pementasan drama 'Burung Kertas' pada Januari 2005 di Uniten, Kampus Muadzam Shah.

0 ulasan:

penggemar