Bahasa Melayu Menuju Jalan Pupus - Bahagian 1

Apabila diajak berbincang mengenai Bahasa Melayu, memang takkan ada penghujungnya. Bahasa kita diperlekehkan oleh mereka yang tak kenal pun bahasa kita, apalagi jika diajak untuk bercinta dengan bahasa kita. Bahasa kita sudah lama dijadikan alat politik untuk kepentingan sesetengah pihak dan bahasa kita sudah lama diramal bakal pupus sebagaimana bahasa sanskrit suatu ketika dulu. Di mana silapnya Bahasa Melayu yang suatu ketika dulu pernah menjadi lingua-franca?

Menonton Ally Iskandar mengendalikan rancangan bual bicara atas jenamanya sendiri sememangnya hamba nanti sejak beliau menjadi salah seorang penerbit Malaysia Hari Ini. Jenama Ally Iskandar hamba kira, jenama yang kukuh kerana menyeimbangkan pengaruh sosio-politik dan ekonomi biarpun secara peribadi hamba melihat Ally masih terpaksa menggunakan pengaruh hiburan dalam topik perbualannya. Hiburan dan Ally tidak dapat lari, namun skeptikal masyarakat kita yang sering mengasingkan unsur hiburan daripada masuk ke dalam topik ilmiah.

Cubaan Ally Iskandar untuk membincangkan soal nasib dan masa depan Bahasa Melayu pada malam semalam setidak-tidaknya berjaya menepis klise golongan hedonisme yang tidak gemar diangkat sebagai penjujung bahasa. Pemilihan ahli panel juga bersesuaian, terutamanya dengan kehadian ahli akademik. Hamba setuju dengan pendapat salah seorang ahli panel- Kartunis Ujang yang mahu meletakkan seni kartun sebagai alat yang tidak bersangkut paut dengan perjuangan bahasa, cuma hamba amat tidak setuju jika mahu diletakkan bahasa pasar sebagai satu bahasa yang harus diangkat sebagai bahasa yang perlu diperjuangkan.

Secara peribadi, pengkarya seni seperti kartunis dan penulis lakonlayar tidak harus diheretkan dalam masalah bahasa kerana ini bukan tugas mereka. Kartunis dan penulis lakonlayar adalah berhak untuk menulis layar cerita menggunakan situasi surealisme yang ada pada zaman yang dimaksudkan itu. Hamba tidak akan menonton filem kisah mat rempit yang menggunakan dialog bahasa baku atas alasan mahu memperjuangkan bahasa. Itu silap. Filem dan hasil seni visual adalah cerminan masyarakat pada zaman itu dan pemalsuan soal bahasa dalam layar amatlah berdosa untuk suatu kejujuran dalam seni.

Jika bukan tugas dua jenis manusia seni ini, siapa yang sepatutnya? Hamba akan senaraikan pertama-tamanya ialah penulis lirik, dan kemudian penulis berita, penyampai radio dan TV, penulis iklan dan beberapa sektor media dan medium seni yang lain. Mereka ini harus meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang betul. Berapa ramai antara kita yang boleh sedarkan Fara Fauzana, sebagai orang TV nombor satu buat masa ini yang mana dia sering silap dalam penggunaan tatabahasa? Ya, benar dia menggunakan bahasa rojak untuk menarik perhatian pendengar tetapi ramai yang sering peka jika Fara tersilap grammar Bahasa Inggerisnya, tetapi jika tatabahasa BM yang mudah seperti 'dari' dan 'daripada', tidak pula ada yang sudi menegur beliau. Orang kita gemar mengambil mudah dalam soal ini, padahal mereka yang berada di barisan depan seperti pengacara TV, penulis lirik, penyanyi dan sebagainya harus cemerlang dalam berbahasa ibunda. Jika anda tidak kenal bahasa itu sedalam-dalamnya, bagaimana anda mahu menggunakannya sebagai pengantar dalam kerja anda?


Hamba terdetik juga, apa perasaan pejuang bahasa yang ada sekarang apabila Ujang menempelak orang-orang DBP (memperjuangkan Bahasa Melayu Moden) ini sebagai perosak bahasa jika dirujuk pendapat daripada pejuang Bahasa Melayu Klasik atau Kuno. Hal ini tidak dapat dielakkan, mereka memang perosak bahasa Melayu. Biarpun bukan secara terang-terangan seperti masyarakat yang berbahasa rojak, namun mereka ini, yang hamba maksudkan sebagai pejuang Bahasa Melayu Moden, adalah perosak bahasa kerana telah berdekad lamanya menggalakkan pemupusan bahasa kebangsaan melalui aktiviti menghalalkan saduran bahasa asing (terutama bahasa daripada bangsa anglo-saxon) ke dalam Bahasa Melayu.

Jadi, DBP tidak harus melenting jika penggunaan bahasa rojak ini berleluasa tanpa ada rasa cinta kepada bahasa yang piawai kerana secara halus anda jugalah yang menggalakkan pemupusan itu untuk terus berlaku. Sebagai bukti, berapa patah perkataan akar dari barat yang hamba gunapakai dalam karangan ini? Berapa banyak pula kesilapan tatabahasa yang berlaku? Jadi, berkesankah pengajaran Bahasa Melayu di sekolah hingga remaja zaman sekarang hampir pasti tidak lagi mengambil tahu tentang tatabahasa mereka.

Menonton Ally hamba boleh rumuskan bahawa isu Bahasa Melayu yang makin pupus tidak lagi seronok untuk diperdebatkan kerana setiap satu daripada ahli perdebatan akan saling menyalahkan antara satu sama lain. Bahasa kita makin menuju jalan pupus, itu bukan mimpi tetapi hakikat yang kita harus terima.

Remaja menyalahkan DBP kerana sering merombak sistem Bahasa Melayu sejak zaman berzaman, remaja juga menyalahkan kerajaan kerana pengajaran Bahasa Melayu sering berada pada tahap membosankan dan tidak masuk ajaran jadi harus bagaimana mahu disemaikan rasa cinta kepada bahasa sendiri, sedangkan ibubapa juga harus memainkan peranan untuk memupuk komunikasi yang berkesan dalam bahasa ibunda, malahan remaja juga harus mempertahankan jatidiri. Media dan sektor swasta menyalahkan DBP kerana tidak mainkan peranan untuk memperkasakan bahasa, sedangkan media dan sektor swasta sendiri harus tanpa disuruh untuk sentiasa bersedia menjalankan tanggungjawab memperkasakan Bahasa Melayu. Kerajaan akan menyalahkan media kerana menggalakkan aktiviti merosakkan bahasa, dan media dan remaja akan menyalahkan teknologi kerana semakin hari semakin mengganas untuk menghapuskan ketuanan bahasa. Pejuang bahasa tidak boleh bersuara kerana adalah sukar untuk mengubah budaya orang kita yang sudah 52 tahun dijana untuk menjadi bangsa yang memandang tinggi kepada bendasing. Pejuang bahasa boleh sekadar bersuara di tepi reban, tetapi tiada siapa yang akan mendengarkannya. Alam berubah kerana manusia, bahasa juga berubah kerana manusia.

Orang lama sering berpesan, jika berlaku masalah kecil sila salahkan orang terdekat dengan anda tetapi jika berlaku masalah besar, sila salahkan kerajaan.

Kepada Ally yang mewakili golongan pengamal media, serta golongan karyawan dan remaja masakini; 'Matlamat tak menghalalkan cara'. Banyak benda yang boleh anda perjuangkan selain daripada memperjuangkan sesuatu yang bodoh seperti meletakkan bahasa rojak sebagai bahasa bertaraf sendiri. Bahasa Melayu harus diperkaya, untuk apa pula kita mesti mengasingkan dua bahasa yang salah satunya tidak nampak ketamadunan? Tak terfikir kah, pernahkah ada golongan remaja yang berani naik ke Menara Dewan Bahasa semata-mata mahu menuntut perkataan seperti poyo, siot dan blah supaya dimasukkan ke dalam Kamus Dewan? Gunakanlah saluran yang betul.

Kepada kerajaan dan DBP, mungkin mereka boleh menyalahkan pemimpin. Kerana pemimpin juga yang menukar Belanjawan menjadi Bajet, menukar Bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia. Jadi jika wujud 10 lagi pemimpin seperti yang seorang dua ini, nescaya cepatlah proses memupuskan bahasa kita akan terjadi. Bukankah begitu?

Sekian buat masa ini. Hamba akan menyambung dalam beberapa bahagian lagi. Insya-Allah.

10 ulasan:

SyahNURazni berkata...

kadang2 mereka yang dipertanggungjawabkan untuk memartabatkan bahasa melayu nie pun tak menjalankan tugas sewajarnya... jadi bagaimana kita nak menyokong ke arah memartabatkan bahasa melayu...
satu caranya adalah mengurangkan kadar membahasa melayukan istilah inggeris... rasa kalo tengok kamus dewan edisi terkini dah banyak istilah inggeris yg di melayukan... apekah mereka tidak membuat kajian dengan peruntukan yg dibrikan untuk mencari istilah yang sesuai... erm tepi dada tanya la hati...

Kiubrubik berkata...

aku guna 80% je bahasa melayu dalam blog aku, selebihnya aku rasa susahlah. ejaan satu hal, tatabahasa satu hal plak.

ps : kalau tulis 100% bahasa melayu dengan betul aku rasa blog mesti memboringkan, haha.

AieSha berkata...

perbincangan tentang bahasa mmmg sensitif. ada saja yang tak kena.

aku rasa perbincangan perlu dibuat secara tertutup diantara tokoh2 bahasa yang terbaik. baru ada kata putus.

Z berkata...

tiba-tiba teringat esei Saharil dalam Malaysian Essays Vol. 1.

anyway, reading your post made me think of it again. the extinction of our beloved language. Ally ada program sendiri skrg? What is it? Other than that, I don't know what to comment on as I'm in no position to do so. Not a literary expert, see :)

listening to All American Rejects now, sebab itu hamba singgah ke blog ini. teringat kpd anda yang meminati mereka :p

Amer Yusof berkata...

@ syahnurazni - betul tu, kita tunggu masa aje keluar isu KAMUS DEWAN - 60% memakai kata saduran inggeris.

sebenarnya kita boleh bina kata baru, dulu pernah je kita bina kata 'kugiran', 'pawagam', 'dikari'. kenapa skrang malas nak buat perkataan baru? spt menyambungkan ayat mnjadi satu kata ke...

@ marzuki - aku tak peduli, melayu minimalis boleh je. tapi marzuki, 80% kira pangkat A lagi lah. jangan 80% inggeris, 20% melayu sudah.

@ aie - musyawarah kat malaysia ni, selalunya nak capai kata putus saja berminggu-minggu, dan kemudian bila dah ada kata putus, nak tunggu tindakan saja berbulan-bulan, apalagi nak lihat hasilnya kena tunggu bertahun-tahun.


@ Z - mana nak cari esei saharil tU? saharil conteng ke? Z, aku dah dgr beberapa lagu AAR, okay-lah (baca: so-so), dah dengar The Killers?

Ayyman Rahim berkata...

Blog aku campur yang teramat sangat tapi aku rasa banyak bahasa kita daripada bahasa karat tu.

Sebenarnya, aku rasa banyak sangat rombakan la. Bila dah banyak rombakan, benda jadi complicated. Macam dulu tak salah aku la, boleh guna di dalam kalangan tapi sekarang kena guna dalam kalangan sahaja.

Pening pening.

Amer Yusof berkata...

@ ayyman - bila bertukar ketua, maka rombaklah segala benda. contoh paling jelas - sistem pendidikan di negara kita.

ada rombakan yng membawa kebaikan, tapi kebanyakkan banyak yang tak seronok nak di dengar. org bahasa menjadikan bahasa kita semacam susah untuk dipelajari padahal, bahasa kitalah yang paling mudah untuk digunakan.

bahasa jiwa bangsa, tapi sekarang jiwa kita dah melayang...ke barat

Tanpa Nama berkata...

Bahasa kita tanggungjawab kita. Masalahnya ramai yang bersikap tak apa kepada bahasa. Ramai yang memberi komen perihal bahasa tetapi rupanya mereka ini jelas agak dangkal tentang bahasa. Peminjaman dan penyerapan kata asing misalnya memang telah jadi hukum dalam bahasa tetapi tentulah ada kaedahnya. Masyarakat perlu mendekati bahasa secara syumul dan bukan sekadar tatabahasa ya...

Tanpa Nama berkata...

Apa pun aku tetap sokong kartunis ujang yang genius.

Tanpa Nama berkata...

Apa pun alasannya...aku tetap sokong kartunis ujang.Pandangannya lebih tajam dan skema.

penggemar