6 Kugiran Untuk 6 Bulan

Enam bulan pertama 2009 bakal menyaksikan kesinambungan perjalanan kugiran-kugiran bawah tanah yang sejak 2007 mula menunjukkan taring. Hamba turut mengikuti perkembangan semasa kugiran-kugiran indie sejak 2003 ketika berusia 18 tahun. Sejak 2004 banyak kugiran yang hamba rasa bagus telah menjelma dan menghilang. Dari zaman Butterfingers ke O@G ke Flop Poppy dan Nitrus terus ke zaman Bau, Redline, Disagree, The Times dan kini muncul Hujan, Meet Uncle Hussein, Komplot, Couple, They Will Kill Us All, Kluk Kluk Adventure dan Skudap Skudip. Semuanya tumbuh bagai rumput, datang mesen habis hancur semua rumput yang berkemuncup.

Perhatian daripada media arus perdana memang berada di bawah paras kemiskinan, dan itulah yang hamba hairan sejak dulu. Apakah wartawan-wartawan hiburan tidak ditugaskan untuk menyelongkar khazanah muzik bawah tanah ataupun mereka sendiri masih gemar dan selesa dengan arena arus perdana yang asyik-asyik muka itu. Hamba rasa bukan semua wartawan hiburan gemarkan genre artis seperti Ning Baizura, Siti Nurhaliza dan bla bla bla. Tapi itulah, artis-artis yang kerjaya nyanyiannya disokong oleh komposer sahaja yang diberi ruang publisiti.

Hamba boleh katakan muzik bawah tanah kini boleh menjadi sebuah industri kecil, ekoran permintaan yang tinggi dan terkadang lebih lagi daripada permintaan arus perdana. Berapa ramai anak muda yang sanggup turun ke gig semata-mata mahu membeli CD bawah tanah yang cap ayam kualitinya berbanding ke kedai muzik untuk membeli CD cap emas yang dipamer geng arus perdana?

Buka mata, dan berilah mereka ruang. Zaman sudah berubah. Muzik bukan lagi sekadar mengenai artis dan sensasinya, tetapi muzik kini sudah menjadi bahan perbincangan intelek anak muda. Industri muzik yang dipegang kuasa oleh penyanyi (yang mungkin 60% buta pengetahuan muzik) bukanlah industri muzik yang sihat.

Industri muzik yang sihat adalah apabila penyanyi, pemuzik, penyusun lagu serta penulis lirik bersatu dan menghasilkan karya yang ada arah tuju.

Untuk itu, hamba sekadar memperkenalkan kugiran-kugiran yang sudahpun anda kenal barangkali, dan hamba memilih enam kugiran ini kerana sebagai seorang pekerja yang bekerja dalam bidang pemasaran, enam mereka ini hamba jangka bakal mendapat perhatian dan putaran yang baik daripada pendengar muzik sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Lagu-lagu mereka ini ada juga hamba senaraikan dalam playlist, bolehlah belek-belek.



Yuna
Nuansa: Alternatif / Akustika / Folk Rock
Sejak 2006

Dalam banyak-banyak pengaruh yang Yuna jelaskan, hamba hanya kenal 60% daripada mereka. Begitu luas pengetahuan muzik budak ini. Pertama kali mendengar Yuna, hamba bayangkan gadis ini saja-saja jamming dalam bilik. Tetapi ia berubah apabila hamba mencari asal usulnya di internet. Inilah gadis bertudung pertama (barangkali) yang menonjolkan imej berlainan untuk persada bawah tanah. Yuna disokong oleh ahli kugiran yang juga bagus-bagus, cuma yang menonjol hanyalah Yuna. Yuna menjadi seperti sebuah jenama yang sudah boleh diangkat. Menonton beberapa persembahan Yuna, hamba lihat gadis ini masih gubra dan tidak konsisten. Suaranya bergetar dan menjejaskan penonton untuk menghayati.

MALANGNYA tak banyak lagu Melayu yang dinyanyikan Yuna. Yuna, pesanan hamba - anda Melayu, maka nyanyilah dalam bahasa ibunda anda. Lagu Melayu perlukan anda! Pun begitu, hamba gemarkan lagu 'Dan Sebenarnya', dan tak berapa gemar 'Cinta Sempurna' yang agak fake. Lain-lain yang bagus seperti 'Deeper Conversation'(tolonglah buat versi BM!!! Suka sangat lagu ini), Rocket (pergh!!!), After Midnite dan takkan semua kot, rasanya yang hamba gemarkan dan pasang banyak kali ialah 'Backpacking Around Europe'. Sementara 'Fireworks' macam pernah dengar, kurang originaliti barangkali. Muzik Yuna, entahlah... memang dah lama, sebelum Yuna wujud lagi hamba layan. Rakan-rakan sekampus semua pernah tension apabila hamba layan lagu-lagu Norah Jones, John Mayer dan Coldplay. Siapa tak rasa lepas tension sambil layan lagu Yuna, dan rendam kaki dalam baldi sambil duduk atas sofa sorang-sorang.

Anda akan layan kugiran ini jika anda layan tiga artis tadi , juga Corrine Bailey Rae, The Cardigans, Norah Jones, John Mayer, Alanis Morissette dan barangkali Abot, Mocca atau sebuah lagu slow berjudul 'Mengapa Kasih' (erk, siapa ya penyanyinya. Lupa)


Bunkface
Nuansa:Punk Rock Alternatif
Sejak September 2006

Pertama kali tengok Bunkface ketika hujung tahun 2006, di saluran Astro Hitz.tv. Ketika itu ada rancangan Blast-off. Tahu apa reaksi hamba? "Busuk punya band!"

Pertama kerana hamba penggemar muzik punk juga. Dan apabila disua dengan muzik punk ala-ala budak-budak high school yang selalu muncul dalam filem-filem remaja murah USA, hamba akan kata "punk is not about feeling great, its about a protest"

Apabila radio mula memutarkan lagu Bunkface, berjudul Situasi yang hamba sebenarnya tidak rasa hebat mana hamba jadi hairan kenapa baru sekarang masyarakat kita boleh terima muzik Situasi, sedangkan pada pandangan hamba Situasi tidak jauh beza daripada lagu-lagu lemah kumpulan Simple Plan. Cuma lirik Situasi, amatlah outstanding, biar hamba harap penggunaan bahasa Melayu lacuran akan dapat dikurangkan pada masa akan datang. Tahniah!

Imej itu yang dibawa Bunkface sekarang, dan hamba rasa bukanlah kugiran yang harus diangkat sebagai yang terbaik. TETAPI, mana lagi kita nak jumpa penyanyi yang bersuara seperti Sam, vokalis Bunkface yang hamba kira sangat okay-lah dan unik. Vokal Sam setakat ini adalah yang paling okay selain Lan MUH dan Rithan (Deja Vodoo) . Kugiran lain, maaf cakap vokalis menyanyi sekadar cukup makan. Harap ada inisiatif untuk menyanyi dengan betul.

Lesson from the season muncul pada 2007, dan hamba sempat dengar awal tahun lepas ada enam lagu Inggeris yang comel-comel. Kenapa comel? Kerana stail muzik mereka belum cukup matang. High School Musical + American Pie + Lindsay Lohan's film segala. Silly Lily mungkin digemari, tetapi hamba rasa tiada istimewa selain video muzik yang cool gila serta beberapa bait lirik yang 'sungguh' gila . Hyper Killer kira okaylah, namun hamba gemar lagu Bunk Anthem yang paling okay.

Apabila muncul lagu Situasi, biarpun hamba tidaklah gemar sangat, hamba mula rasa menghargai kugiran ini kerana akhirnya mahu juga menyanyikan lagu Melayu. Ketika itu hamba terdetik, mesti ramai bebudak jerit 'fcuk hujan, amik bunkface;. Dan itulah yang berlaku. Bunkface kini berjaya caras Hujan. Apa nak dikisahkan, Bunkface dan Hujan punya kekuatan yang setara. Kalau Hujan berbangga dengan Noh Salleh yang genius tetapi bermasalah, hamba tengok Bunkface juga punya Sam yang lebih kurang serupa.

Bunkface dan Hujan berbeza latar belakang barangkali. Bunkface amat kental pengaruh kolonial sedangkan Hujan memberontak dengan jatidirinya. Namun persamaan, kedua-duanya menjadikan kugiran daripada barat sebagai kitab mereka.

Sampai sekarang, hamba fikir Bunkface patut mempergunakan populariti mereka untuk menjenamakan semula muzik mereka. Bunkface tidak perlu menjadi band punk budak-budak. Selami isu-isu berat, dan hala tuju muzik yang lebih besar ruang lingkupnya sebagaimana anda laung dalam lagu Situasi.

Dan TOLONG, jangan buat lirik macam lagu Last Minute, Here We Go Again dan paling jelas High School Rockers. Anda tak perlu peningkan kepala dengan prom nite, setidak-tidaknya Land of Hope adalah percubaan yang baik untuk berlirik serius.

Paling-paling dapat kaji lebih mengenai Blink 182, Panic@TheDisco, Greenday (salah satu lagu GD ialah 'Crazy Amanda Bunkface') , MCR atau NOFX, barulah celik mata. Itu pengaruh muzik korang tetapi kenapa hasil jadi seperti McFly atau Simple Plan atau Fallout Boys atau Good Charloote saja. Seperkara lagi, nyanyi lagu bahasa Melayu banyak-banyak okay!

Anda akan layan kugiran ini jika anda layan Greenday, Simple Plan, Good Charlootte, Fall-out Boys, SUM41, Paramore atau dunia muzik Melayu barangkali seperti Superman Is Dead (kugiran punk Indonesia yang keren!) atau busuk-busukpun yang cuba buat punk manja macam Kertas Band dan One Buck Short.




Algebra
Nuansa: Nasyid Rock
Sejak 2007

Tidak banyak yang hamba tahu tentang kugiran ini melainkan hamba mendengar dua buah lagu mereka, dan hamba akan katakan - inilah stail baru 2009. Kugiran yang membawa lagu-lagu dakwah Islam sangat jarang, tetapi seingat hamba ada aje kugiran-kugiran Kristian yang berkarya tanpa sebarang masalah. Paling hamba ingat ialah Evanescene dan Switchfoot. Kalau diperhati lirik-lirik mereka, ada unsur dakwah.

Algebra kalau ramai yang kenal adalah Al-Jabar, sebuah teori matematik yang dicipta oleh ilmuan Islam - Al-Khawarizmi. Unik tentang Algebra (nasib baik mereka tak guna nama Al-Jabar, sebab hamba dah lekat dalam otak dengan imej makanan kesihatan Al-Jabar yang selalu muncul di muka depan Harian Metro iklannya) ialah imej mereka, berserban berjubah segala bagai. Memang kalau mak aji datang tengok boleh pengsan.

Hamba tak pasti kalau Algebra pernah bermain di gig, kalau ya "Pergh! Sentap bebudak undergound!". Kemunculan Algebra dengan kelainan ini hamba kira sebagai satu titik mula yang positif. Kalau dulu Lefthanded rajin menyanyi lagu dakwah, kini apa salahnya Algebra pula ambil alih.

Hamba sudah dengar lagu 'Aku Bukan Musuh Harta' dan pernah mengulas liriknya yang digam oleh RTM bulan lalu. Lirik lagu dalam album Algebra ditulis oleh bekas Mufti Besar Perlis, Dr Mohd Asri Zainol Abidin atau Dr. MAZA. Kira dasyatlah ni!

Sebuah lagi lagu yang hamba dengar adalah lagu Puisi Dunia. Lagu-lagu mereka nak kata killer song, susah sikit tetapi untuk halwa telinga yang sihat kira okaylah. Kebetulan ini adalah lagu puisi, dan melodinya mungkin dibikin selepas siap puisi, maka jarang berlaku lagu-lagu puisi yang menangkap telinga kerana kesukaran nak membikinnya.

Pun begitu, hamba yakin suatu hari Algebra akan popular, kalau bukan kerana lagunya mungkin kerana ahli-ahlinya yang ibarat bakal menantu mak mertua. Ahnaf Jamal sebagai vokalis agak segan gaya nyanyiannya. Harus lebih berekspresi, namun hamba fikir mereka masih memikirkan batas mereka sebagai penyanyi lagu dakwah.

Hello! Ada orang kisah? Teruskan sajalah. Lepaskan semua nuansa rock yang korang miliki, lirik yang bagus harus dicernakan dengan muzik yang bagus. Kalau mahu rock, maka rocklah betul-betul. Hamba tak boleh komen panjang sebab masih belum mendengar kesemua lagu mereka, tetapi - band pakai jubah serban, pernah tak korang terfikir?

Anda akan layan kugiran ini jika anda layan Rabbani, Akhil Hayy, Radja, Ungu, Creed dan Silverchair.

Pesawat
Nuansa: Progresif Garaj Rock
Sejak 2005

Pesawat ialah band paling bongsu dalam fikiran hamba sekarang. Hamba sangat layan lagu-lagu mereka sejak tahun lepas. Pertama mendengar lagu Excuse Me, dan hamba kata kenapa lambat aku dapat tahu lagu ini? Lagu mereka crunchy. Mudah dihadam dan tidak berbahaya.

Secara peribadi hamba sangat layan lagu Modula Oblongata (paling baru hamba dengar) dana da sebuah lagi lagu berjudul Hitam (yang takde suara lagi best). Pesawat pernah perform bersama Nidji, tetapi hamba tak ambil pusing masa itu kerana hamba sangat layan Nidji.

Apabila mereka muncul dengan Mirage, sebuah lagu Melayu hamba fikir inilah band masa depan. Nama band pun nama Melayu, dan harus mereka banyak menyanyikan lagu berbahasa Melayu. Mirage punya lirik mudah tetapi misteri , namun muzik lagu itu yang menyelamatkan mood hamba. Pernah juga terbaca good review daripada Malay Mail, tahun lepas rasanya pun hamba tak rasa minat. Yang hamba rasa suka ialah mereka bernama Melayu, apabila tengok tajuk lagu yang berbahasa Inggeris, terus hamba turn-off. Dan bertambah turn-off bila mereka muncul dalam Latte @ 8, speaking London berterabur.

Tetapi apabila mendengar balik muzik mereka, terutama lagu Hitam tu, hamba fikir buat apa hamba sibuk dengar The Killers sedangkan mereka ini ada untuk jiwa Melayu hamba.

Kini masa untuk mengkali keunikan Pesawat yang dianggotai antara lain ialah Kudux yang sebelum ini bersama MUH. Dan Pesawat, sebelum berlepas pastikan siap dengan bekalan lagu-lagu Melayu untuk masa depan korang. Vokalis! Perbaikkan mutu vokal anda!

p/s: Hamba berangan nak menulis lirik untuk Pesawat. Dah ada pun jalan cerita dan tajuk untuk lagu, tapi boleh kah hamba jadi penulis lirik? Dah cuba banyak kali asyik gagal. Buta tempo betul.

Anda akan layan kugiran ini jika anda layan Boy Kill Boy (lagu Showdown mirip lagu mereka), The Killers, Flop Poppy pun ada sikit, dan kugiran Indo seperti PAS Band barangkali.



Kotak
Nuansa: Pop Rock
Sejak 2004

Kotak, satu-satunya kugiran dari tanah seberang yang hamba pilih. Jangan kata hamba tak patriotik sebab blog hamba bersifat nusantara, jadi tak salah kalau kugiran Kotak yang dah sah-sah menyanyi lagu bahasa Melayu hamba pilih dalam senarai.

Pertama kugiran ini bukannya dikumpul secara semulajadi, tetapi menerusi sebuah pertandingan mencari band baru. Ala-ala pertandingan Twisties Bingit sekarang ni. Jadi, potensi mereka untuk berhayat pendek amat cerah. Harap mereka bertahan lama lah.

Dan mereka ini 2 lelaki, dan 2 perempuan. Semua mereka ganas, dan dengarlah lagu Beraksi yang sangat best. Kotak Kedua merupakan album kedua mereka selepas album pertama tak berapa nak menjadi. Album kedua inilah baru naik nama sikit.

Lain lagu Kotak yang hamba syorkan adalah lagu Sendiri (slow sangat, tak sesuai untuk kaki loncat), Terbang Khayal dan juga Tinggalkan Saja.

Kugiran ini hamba yakin, tunggu masa je nak disambar kaki kapitalis Malaysia untuk dibawa ke Malaysia. Namun, tiada siapa boleh halang kalau mereka menghasilkan karya bagus. Telinga kita tak boleh menipu.

Kotak akan menjadi satu nama yang harum tahun ini, itu ramalan hamba.

Anda akan layan kugiran ini jika anda layan P!nk, Linkin Park, Evanescene, Katy Perry, Cokelat versi pantas, Elyana, Mulan Jamilah (boleh ke?)

Sundae
Nuansa: Pop / Jazz / Akustika
Sejak Februari 2008

Menarik tentang band ini sebab mereka main biola. Kalau dulu kita takjub sebab Coldplay boleh gabungkan piano +rock, hamba rasa untuk muzik ringan seperti Sundae ini, biola bukanlah perkara yang pelik. Cuma, yang pelik dan menarik adalah mereka anak tempatan. Okay, nak menarik lagi, band ini ada dua cewek yang bergetah dan tiga cowok.

Sundae masih baru sangat, dan lagu pun tak pernah dengar di radio. Hamba layan lagu Sundae daripada seorang kawan seminggu yang lalu, dan untuk itu hamba mengesyorkan kugiran ini untuk senarai pencarian 2009. Mereka menyanyikan genre muzik yang hamba suka, dan itulah yang membuat telinga hamba lekat.

Setakat ini sempat dengar sebuah lagu (yang kualiti rakamannya, sedih), iaitu Hilang. Pergh! Cukup cakap, tolonglah! Dengarkan Hilang!! Suara Anis Kalissa (vokalis) sangat berpotensi. Serius!

Sundae akan jadi kugiran terbaru di hati anda semua, dan Estrella boleh mula fikir jalan untuk terus bertahan ya. Hehehe.

Anda akan layan kugiran ini jika anda layan Norah Jones, Lily Allen, Ella Fitgeraldz, Sheila Majid, Farhan Azizan, Tompi, Malique & The Essentials dan Mocca.

Jadi, tunggu apa. Kalau ada gig, redahlah cari. Hamba pun fikir tahun ni, nak banyak pergi gig. Jarang sekali ada peluang, asyik sibuk dengan hal lain. Sokonglah lagu-lagu Melayu okay!

7 ulasan:

Kurt Kuden berkata...

hai! aku rasa mung tahu apa aku nak tulis.
n aku rasa apa yang aku nak sampaikan mmg dah abih dah aku tulis lam YM tadi..
papepun, buat enam2 band yang terpilih. buktikan pada pendengar musik yang anda tak sekadar seperti banyak band2 indie lain; indie sebagai trend!!!

AieSha berkata...

aku tabik spring pada yuna! aku cair beb dgr vokal dia.

CAHAYA berkata...

nice new header. :) Yuna yeay! :)

Amer Yusof berkata...

@ kuden - aku rindu bandung, indie scene mereka lagi gempak.

@ aie - yuna ada amsa depan yang cerah, cuma kena buang attitude sengal bebudak indie. go yuna go!

@cahaya - terima kasih kak. hehehe header tu pasang sendiri, cam pelik pun ada..hehe

CAHAYA berkata...

tak pelik ah. sangat ber'energy' gitu. attitude!

p/s: ada soalan, soalan ni sangat tidak bijak. tapi tak tanya, sesat plak kan? Apa maksud LASKAR?

Amer Yusof berkata...

Laskar = Askar/ Pejuang

(bukan berperang dengan senjata,tapi dengan jari je) hehehe

fadz berkata...

good writing lah!

penggemar