Yoga atau Senaman Tua?

Salam,

Rumus - salah satu bentuk ilmu yang hamba pelajari zaman sekolah. Ilmunya mempermudahkan sesuatu perkara. Kali ini, hamba mahu membuat rumus menerusi sudut pandangan. Lain, tapi percayalah ia senang difahami. Apa guna berbahasa bunga-bunga untuk suatu bentuk isu yang mudah.


Isu

Kecoh satu negara apabila Majlis Fatwa Kebangsaan putuskan untuk MENGHARAMKAN amalan senaman yoga kepada semua penganut agama Islam. Menurut Majlis Fatwa, yoga diamalkan secara rohaniah sebenarnya disertakan dengan unsur-unsur mantra Hindu yang boleh memesongkan akidah.

Logik

Yoga tidak diharamkan secara terus menerusi mana-mana surah dalam Al-Quran. Namun kita semua sedia maklum Quran menyarankan mana-mana tindak tanduk yang boleh memesongkan akidah sebaiknya diharamkan daripada dilaksana. Mengikut nas-nas syarak sebegitu, Majlis Fatwa beranggapan bahawa yoga satu amalan yang boleh dan akan memesongkan akidah.

Tak Logik

Pengharaman tidak jelas samada a) Yoga berunsur rohaniah atau b) Yoga secara jasmani. Yoga secara rohaniah dah memang sah melanggar akidah. Tak terbayang kalau ada akak-akak satu pejabat yang bertudung (sekadar contoh) pulang ke rumah setiap petang, sambil menonton slot Akasia di TV3 kemudian menghampar tikar dan membaca mantra-mantra Hindu untuk amalan yoga. Itu satu hal. Namun, bagaimana dengan yoga secara jasmani (fizikal) yang secara logiknya diamal untuk meregangkan otot-otot sahaja.

Melogikkan

Untuk melogikkan, pengharaman ini jelas kerana mengikut patah 'Mencegah lebih baik daripada mengubat'. Betul juga, yoga dengan baca-baca ayat ini bukan datang terus, sebenarnya mulanya dengan yoga ringan-ringan. Katakanlah dalam 100 000 orang Islam yang mengamalkan yoga secara jasmani, tidak mustahil segelintir mereka (yang mendalami) akan terjebak mengamalkan yoga rohani. Minta simpang ya, nauzubillah!

Dilogikkan

Dah Majlis Fatwa yang dianggotai mufti dan cendikiawan kata haram, kita yang sedan-sedan ni terima sahajalah, tetapi dengan berfikir. Hamba agak tak yakin juga kerana bukan mudah senang-senang nak keluarkan fatwa, isunya besar. Hamba rumuskan sebab dan akibat dengan mengambil contoh bentuk rentas bumi.


Kerak (W)
Yang orang nampak - Berapa banyak perniagaan kelas yoga yang bakal tanggung rugi kalau diharamkan yoga?

Mantel (Z)
Yang orang separa nampak - Bukankan ini isu agama. Penganut Hindu yang kita kenal agak dramatik secara perwatakkan, manakala Muslim agak berapi-api di permukaan saja. Isu ini akan menjebakkan masyarakat terhadap sensitiviti keagamaan.

Teras Luar (Y)
Yang sesetengah otak kacang berfikir - Kerajaan saja nak sakitkan hati HINDRAF (jangan ketawa), dalam masa yang sama nak bantu kaum Melayu yang ada buka kelas aerobik, pilates atau setidak-tidaknya kelas tarian.

Teras Dalam (X)
Yang hamba sedar - Kita sibuk nak haramkan benda yang kita halalkan bertahun-tahun, dalam masa yang sama kita tidak sedar yang selama ini kita patut punya senaman sendiri yang boleh orang kita amalkan.

Persoalan
Bangsa Melayu tidak ada senaman sendirikah?

Jawapan
Ada. Namanya, senaman Tua. Dah lama ada, orang (baca: kerajaan) je tak nampak.

Amende senaman Tua ni? Senaman nak suruh cepat tua ke?
Jangan gelak. Senaman ini bukan untuk kasi lekas tua. Ia diamalkan untuk meregangkan otot. dan bukan nak lekas tua. Senaman ini belum dikomersilkan sepenuhnya tetapi yang hamba dapat tahu daripada En Abdullah Arshad, pegawai korporat di UPM, senaman Tua telahpun dikecimpungkan di kalangan pelajar menerusi kelas-kelas khas. Menarik bukan? Oh ya, pengasaskan masih bernyawa - Azlan Jumat Abdul Ghani. yang berasal dari Pahang, Malaysia.


...dipetik daripada blog En Azlan. Faedah senaman tua.
  • Meningkatkan kecergasan, keceriaan dan keyakinan diri
  • Menguatkan otot jantung dan paru-paru
  • Memperbaiki sistem penghadaman dan selera makan
  • Meningkatkan daya ketahanan badan
  • Mengekalkan kekuatan otot dan tulang untuk memudahkan pergerakan
  • Mencapai dan mengekalkan berat badan unggul
  • Membantu tidur lebih lena
  • Memperbaiki peredaran darah dan melindungi dari serangan sakit jantung
Simpul

Nah! Kita sudah ada senaman sendiri, bukan baru nak ada, sebenarnya dah wujud. Setakat hamba perhatikan, pergerakkannya tak jauh lari daripada gerak senam yoga. Perlukan tikar, perlukan tubuh badan dan tak guna banyak alat. Alangkah baiknya jika kita memartabatkan senaman bangsa kita dan tak perlu lagi mengamal budaya asing yang kita tak tahu hujung pangkal tujuannya.

0 ulasan:

penggemar