Bukan Diriku Yang Sebenar


Salam,
Tak tidur semalaman hamba jadinya apabila cuba menyiapkan babak kasar untuk skrip yang belum bertajuk hamba semalam. Hendak menulis seribu daya, jadinya hamba kena siapkan juga sebelum jelang tahun baru tak lama lagi. Lakarannya sudah ada, cuma malas tak malas nak menulis yang membuatkan masalah, tambahan hamba baru saja sembuh dari selsema yang tidak berapa kronik.
Sahabat hamba, Kuden Omar, seorang bakal doktor yang kini menuntut di Universitas Gadjah Mada di Yogoyakarta pulang ke tanah air sempena Lebaran. Sebulan juga dia dia Marang. Sempat juga dia mencari novel remaja pertama tulisan hamba - Bukan Diriku terbitan Pekan Ilmu Publication. Alhamdulillah, bertemu juga dia dengan buku hamba, sedangkan hamba jarang sekali dapat bertemu buku tulisan hamba di toko-toko buku sekitar Lembah Kelang.
Ketika mula menggunakan YM semalam, sempat juga Kuden mengomel mengenai novel hamba. Sebenarnya hamba ternanti-nanti komentar beliau sejak dulu lagi kerana sejak hamba mula mengesan bakat menulis, Kudenlah satu-satunya sahabat hamba yang gemar memberi dorongan dan juga kutukan. Perkataan pertama yang terpacul dari mulutnya ialah 'Novel mung agak pop'.
Pop dalam novel seorang yang melaungkan selamat maju bahasa kita - itulah kritikan yang hamba agak takuti. Jadinya, hamba mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan mengenai novel Bukan Diriku yang sudah 8 bulan di pasaran sejak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, April lalu.
Bukan Diriku mula ditulis sejak akhir tahun 2005, ketika masih menuntut di Uniten. Manuskrip itu tergendala sebentar sehinggalah hamba bertemu responden yang cocok untuk cerita tersebut. Ia berlaku pada 2006, dan watak Azran dan Maryam dalam buku tersebut benar-benar wujud. Namun, hamba mengolah semula kisahnya untuk dijadikan sebuah cerita yang lebih dramatik. Azran seorang remaja dari luar bandar baru saja menjejak kaki di kota KL. Maryam pula gadis bandar yang dihimpit masalah penceraian kedua-dua ibubapanya. Melalui titik mula tersebut, hamba mengupas satu lapis demi satu lapis rahsia kedua-dua remaja tersebut.
Maryam dan Azran hamba temui ketika hamba hampir-hampir terlanggar seorang remaja lelaki yang baru saja lari dari pagar sekolah yang terkoyak. Turut serta ketika itu ialah remaja perempuan yang sudah menanggalkan tudung sekolah. Hamba bergegas keluar dari kereta dan menjenguk remaja lelaki yang terjatuh itu. Dari saat itulah hamba berkenal dengan kedua-dua watak utama - Maryam dan Azran.
Kisahnya mudah - mengenai remaja belasan tahun yang gemar ponteng sekolah. Konfliknya juga mudah - mengenai remaja belasan tahun yang mula mengenal seks dan rasa mencintai dan ingin dicintai.
Pop dalam konteks Kuden mungkin pada laras bahasanya, jadi ingin hamba jelaskan bahawa ketika mula menulis novel tersebut, hamba tidak bermegah-megah untuk mengagungkan bahasa Melayu seperti yang hamba lakukan sekarang. Jadinya bahasa novel tersebut bernahu 'surealism' di mana hamba tidak akan membakukan sebutan anak muda zaman sekarang sedangkan hamba pun secara pasarnya tidak berbahasa Melayu dengan tatabahasa yang betul, apalagi untuk 100% bercakap dalam bahasa Melayu.
Hamba remaja yang lahir pada zaman Dr. Mahathir, dan hamba remaja yang dimomokkan dengan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih maju berbanding bahasa ibunda. Kesannya kepada remaja sezaman dengan hamba ialah masalah untuk bertutur dengan betul dalam bahasa ibunda sendiri kerana penggunaan bahasa Inggeris yang merojakkan bahasa ibunda hamba. Masalah ini bukan masalah dalam diri hamba saja, malahan rakan-rakan lain juga.
Pun begitu, dalam bab menulis novel atau skrip drama hamba lebih berminat untuk berbahasa surealism. Hamba pemerhati keadaaan sekeliling, amat payah hamba temui remaja sekarang yang bertutur 100% bahasa ibunda, paling-paling mesti tersembur perkataan-perkataan basic dalam bahasa Inggeris seperti 'so', 'whatever', 'and then', 'I', 'You' atau apa saja.
Novel-novel pop seperti tulisan Ahadiat Akashah dan saya sendiri hanya mengukir sejarah bangsa kita, di mana penggunaan bahasa zaman Ahadiat dan saya tidak sama seperti pada zaman Ishak Hj Muhammad, hatta Harun Aminurrashid atau Tun Sri Lanang sekalipun. Karya sastera Melayu berubah mengikut pola perubahan dan kemodenan.
Jadi, boleh bilang berapa banyak perkataan bahasa Inggeris yang dimelayukan telahpun hamba guna dalam artikel ini? Cuba lihat kepada perkataan yang berwarna biru, dan kalau mahu lebih teliti, carilah perkataan pinjaman bahasa asing yang hamba gunakan juga terutama daripada bahasa Arab dan Sanskrit. Hambalah remaja zaman Dr. Mahathir.
Salam Barbarian,
Amer Yusof

1 ulasan:

Kurt Kuden berkata...

aku setuju dengan mung. Hari ini kita bercakap 'rojak'kerana kita bertolak ansur dengan bahasa bukan bahasa melayu tanpa banyak soal (malah dalam banyak hal, kita juga terlalu banyak bertolak ansur, agama dan adat misalnya)

'Pop' tak salah. Malah 'pop' ialah salah satu bentuk gaya penulisan, bezanya cuma kita boleh terima atau tidak wujudnya 'pop' dalam tulisan. Namun begitu, persoalan dan hujah pihak pencadang yang mungkin timbul ialah menulis secara surealisme adalah lebih dekat dengan masyarakat sebab memang itulah anutan kita sehingga hari ini.

Pada hemat aku, 'pop' cuma sebuah lagi hidangan sastera yang boleh dicuba bersama piring-piring yang terisi sastera tidak pop yang lain. Sama seperti hidangan hari raya, walaupun macam-macam kuih dan kek moden di atas meja, dan rasanya tak juga kalah enak, tetapi hidangan ketupat rendang masih tetap pemenang. Pop bukan pencemaran, tetapi pop buat sastera bangsa lebih meriah.

Tak sabar menunggu buah tangan mung seterusnya.

penggemar