Ayat-ayat Cinta Abby Abadi


Salam,

Ribut juga menjelang pemilu AS yang lalu di Malaysia, kerana salah seorang rakyatnya bernama Mohd Norhakim Zaidon atau lebih dikenali sebagai Norman Hakim terpaksa memilih salah seorang di antara dua wanita. Seorang ialah isterinya yang sah - Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi manakala seorang lagi ialah remaja naif yang baru bertatih dalam dunia hiburan - Suhaiza Suhaimi atau manja diteriak - Memey Suhaiza.

Gempar satu negara bila Norman - Memey ditangkap khalwat selepas beberapa hari tajuk utama akhbar melaporkan penafian kedua-dua artis ini bahawa mereka bercinta. Gempar lagi satu negara apabila Abby dituduh menjadi dalang yang melaporkan kes Norman-Memey. Tambah haru apabila 2 hari lalu Abby telah 'menyerang' suaminya di lokasi drama bersiri kepolisan 'Gerak Khas' di hadapan puluhan wartawan dan krew drama.

Sebagai pembaca akhbar Melayu, malu juga hamba apabila kisah rumahtangga selebriti menjadi tajuk utama akhbar (Utusan Malaysia meletakkan gambar pertengkaran di muka depan pada 4 November 2008). Malu kerana akhbar Melayu terpaksa menjual cerita-cerita sebegini bagi melariskan akhbar, dan menanam minat baca di kalangan orang Melayu sendiri. Namun itu satu hal yang berbeza, dan akan hamba ungkapkan kemudian.

Berbalik kisah Abby -Norman, hamba tidak minat untuk menggodek seluruh isi rumahtangga pasangan Norman -Abby, tapi memandangkan isu ini menjadi topik utama hampir keseluruhan media termasuk yang bukan berbahasa Melayu (sementelah Norman dan Abby- kedua-duanya mempunyai nama yang agak besar dalam persada seni). Jadinya, hamba hanya ingin lampirkan rasa simpati tetapi berperi untuk wanita bernama Arbaeyah Abdul Manan.


Gambar : Norman dan Abby ketika rujuk semula setelah 7 hari bercerai talak satu (2006)

Hamba amat berharap jika Abby mampu menjadi sekuat Aisha dalam Ayat-ayat Cinta tatkala menerima berita pedih sebegitu. Isteri mana yang tidak naik radang apabila suami yang sudah berbulan tidak seranjang bersama rupanya berumahtangga dengan gadis usia 20 tahun di pejabat. Isteri mana yang tidak naik malu apabila suami yang asyik menafikan hubungan sulit memilih untuk terus berahsia hingga terjadinya petaka besar sebegini. Tambahan Abby baru saja melahirkan anak ketiga, dengan daya yang tidak seberapa tubuh wanita mana yang mampu bertindak waras.

Norman mungkin seorang lelaki yang baik seperti diakui oleh Abby sendiri, namun atas sedikit kealpaan, Norman mungkin lupa bahawa apa yang dia lakukan itu sebenarnya HALAL sekiranya dia menurut lunas yang betul. Norman, ini bukan kali pertama, tapi kali kedua kaedahnya. Tidak salah seorang suami yang berkemampuan untuk bernikah lebih daripada satu, syaratnya harus memaklumkan kepada isteri pertama dan kedua, harusnya mempunyai sebab yang kukuh. Namun, Norman memilih untuk mendiam, maka bertebaranlah cerita kurang manis mengenai status dirinya. Tambah pelik, Norman memilih untuk mengHARAMkan niat baiknya dengan sebumbung dengan gadis tersebut di waktu awal pagi.


Gambar: Saat bahagia Abby - Norman pernah menjadi contoh kepada pasangan selebriti lain.

Lelaki harus punya keberanian untuk berterus terang. Dan wanita juga, ada naluri dan perasaan, makanya tak semua dapat menerima untuk dimadukan. Namun, ia harus juga dilaksanakan dengan betul. Benda yang halal seperti menikah lebih daripada satu ini seringkali menjadi simbol negatif kepada bangsa Melayu beragama Islam di Malaysia.

Budaya kita tidak boleh menerimanya. Sejak wujudnya dongeng Bawang Putih Bawang Merah lagi budaya bermadu hampir semua tidak manis, tidak elok dan tidak harus diterima. Tapi itu bukan alasan untuk orang kita menegah berlakunya poligami - sesuatu yang di halalkan Allah.

Hamba sebagai lelaki lebih memilih untuk hanya monogami, tetapi itu tak bermakna hamba menghalang poligami. Perkara yang sudah jelas dalam Islam harus kita junjung, bukan disangkal.

Makanya, silap disini terletak di bahu Norman. Sebagai lelaki anda harus memikul seluruh tanggungjawab untuk menawan semula hati Abby dan dalam masa yang sama bertanggungjawab terhadap Memey yang masih muda itu.
Islam melebihkan kedudukan suami, bukan bermakna anda berkuasa melakukan apa saja sesuka hati. Sebaliknya kedudukan suami yang diangkat oleh Allah di atas satu ‘perjanjian’ bahawa suami perlu menjalankan amanah dan tanggungjawab menjaga keselamatan, memberi nafkah (zahir dan batin) dan membimbing ke jalan diredai.

Kepada kaum wanita pula, sering saya dibisikkan dengan dua baris ayat ini:-

1. "Perempuanlah juga yang selalunya melukakan hati perempuan"
2. "Allah halalkan poligami sebenarnya untuk mengelakkan perkara sebegini (berkhalwat kerana sang isteri tidak izinkan poligami)"

Jadi terpulang kepada akal kita untuk memilih jalan yang terbaik.

Salam Sayang,

Amer Yusof

0 ulasan:

penggemar