Tunggu sekejap wahai kasih,
Kerana hujan masih renyai,
Tunggu sekejap;
Dalam pelukan asmara ku
Jangan bimbang,
Walaupun siang akan menjelma;
Malam ini,
Belum puas bercumbu dengan dikau
Tunggu sekejap wahai kasih,
Tunggulah sampai hujan teduh;
Mari ku dendang,
Jangan mengenang orang jauh
Jangan pula,
Jangan tinggalkan daku sorang;
Tunggu sekejap kasih,
Tunggu
Tunggu Sekejap - P Ramlee
Fakta
Awal dan pertengahan kurun ke 20, di Tanah Melayu akibat daripada penjajahan Inggeris, kaum minoriti Peranakan Cina atau Baba dan Nyonya telah digembleng tenaga untuk diajar dengan didikan Inggeris. Oleh kerana sejarah kaum ini yang amat mudah menerima pengaruh luar maka tidak hairan mereka mampu berkuasa di sebilangan negeri-negeri selat di Tanah Melayu ketika itu dengan memegang jawatan penting dalam pentadbiran Inggeris.
Namun, diselak balik sejarah asal usul kaum ini, mereka dikatakan datang sejak zaman Laksamana Cheng Ho yang bertandang ke Melaka pada kurun ke 16 lagi. Dan seiring dengan kehadiran Puteri Hang Li Po di Istana Melaka. Kaum ini sudah diasimilasi atau disebatikan dengan budaya Melayu hingga beratus tahun lamanya hingga mereka menyerap semua budaya asas Melayu seperti makanan, pakaian, serta paling ketara - makan dengan tangan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.
Hiruk hidup kaum ini juga tak lari daripada sengketa dan nestapa. Dikatakan kaum ini tidak menyenangi kehadiran kaum Cina pendatang kurun ke 18. Mereka juga tidak mengakui bahawa mereka berketurunan asal Cina sedangkan jelas nyata mereka masih membawa pengaruh Cina seperti tocang kepala yang menjunjung kedaulatan Dinasti Manchu, serta dialek Baba yang serupa dan senada dengan dialek Hokkien di Tanah Besar Cina selain agama majoriti mereka masih Buddha dan adat perkahwinan mereka masih asli budaya Cina. Kini, kaum Baba & Nyonya dianggap sebagai minoriti berstatus Bumiputera dan menikmati keistimewaan sama seperti bangsa Melayu dan suku-sukunya.
Jauh di kota Jakarta, kaum peranakan kini Tionghua hidup makmur (selepas reformasi berdarah 14 Mei 98) dan budayanya sama juga seperti di kota Melaka. Pengkisahan sejarah mereka sedikit berbeza, namun adat budaya dan kesebatian budaya mereka dengan budaya nusantara berlangsung tanpa aman dan terus-terusan.
Kaum Baba di Indonesia menjadi mangsa diskriminasi dan sering di tindas biarpun mereka telahpun mengorbankan hampir seluruh budaya asal mereka untuk disatukan dengan budaya setempat. Kisah masyarakat ini sering diceritakan dalam filem-filem mutakhir ini seperti filem Ca Bau Kan dan Gie.
Lantas, hamba berkesempatan membandingkan sisi hidup pejuang kaum Peranakan di Tanah Melayu dan Tanah Jawa yang nyata menerima nasib berbeza. Tan Cheng Lok masyhur di Malaya, sementara Soe Hok Gie di Jakarta lara dengan mata penanya.
Secara ringkas; inilah sejarah kaum Baba & Nyonya yang masih wujud baik di Melaka dan Jakarta mahupun Pulau Pinang dan Singapura.
Hamba mengambil contoh dua buah filem yang memaparkan watak peranakan dengan dilema mereka tersendiri sekadar untuk anda semua renung-renungkan:-
Gambar DAN kisahnya:
Sepet(2005) menampilkan watak Ibu kepada Jason; seorang wanita Bumiputera keturunan Nyonya yang tidak fasih berbahasa Mandarin di rumah mereka. Jason dalam kisah ini tidak mendapat biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran biarpun keputusan SPMnya jauh lebih baik daripada Orked, gadis Melayu lakonan aktres Melayu + Arab + Cina - Sharifah Amani. Jason dalam kisah ini digambarkan bukan sebagai salah seorang anak Bumiputera, sedang jelas ibunya berketurunan Baba dan Nyonya.
Gie(2005) merupakan filem hebat dari Indonesia yang membawa perjuangan dan kisah hidup penulis kritis berbangsa Peranakan Cina Indonesia - Soe Hok Gie lakonan mantap Nicholas Saputra. Gie seorang penulis yang berjaya menyiat halus hati rakyat bumiputera Indonesia (disana, istilahnya - pribumi) bila mana pemuda bergelar mahasiswa ini menuntut keadilan ke atas semua kaum. Gie wujud sebagai salah satu watak yang lara dalam perjuangan dan jasa besarnya terhadap warga Indonesia.
Mitos
Pembacaan hamba menerusi kisah-kisah mereka ini membawa hamba kepada satu idea untuk menulis kisah mengenai kaum Baba dan Nyonya. Ia sudah dirangka dan kini untuk mengisinya sahaja, hamba amat perlu kepada pengkajian yang lebih terperinci.
Kisahnya? Hamba mengambil pendekatan untuk menulis novel secara berkembar menerusi satu tajuk. Judul sementaranya "Awan Masih Berat". Signifikasinya kepada segumpal awan yang tak henti hujan, dan menafsirkan bahawa awan masih belum ringan untuk berhenti melimpah.
Kenapa hujan? Alkisahnya, hamba pernah ke Melaka pada 1997 dan melawat tempat yang dipanggil Jalan Jonker. Ia sebuah deretan kedai bercirikan tradisional Baba & Nyonya. Dan saat hamba ke sana, hujan turun dan hamba berteduh di kaki lima. Hamba berkesempatan melihat seorang gadis nyonya yang cantik berdiri di tepi jendela. Suasananya amat cantik, dan dapat hamba ingatkan hingga kini.
Perkaitan? Hamba merancang untuk menulis dua kisah yang berpusat di dua tempat. Pertamanya di Kota Melaka, Tanah Melayu dan keduanya di Kota Bogor, Tanah Jawa. Tapi kisahnya tak patut hamba dedahkan lebih awal. Yang nyata ia mudah, pertama berkenaan hidup seorang gadis Melayu yang menumpang rumah sebuah keluarga Baba & Nyonya ketika lewat 30an. Kedua pula berkenaan kisah hidup anak gadis kacukan Nusantara & Inggeris yang hidup di rumah keluarga angkat berketurunan Peranakan Tionghua di Kota Bogor pada lewat 50an. Ya, kisahnya berkait. Tetapi tidak diselajurkan kerana masing-masing tidak saling mengenali ekoran kesan perang dunia kedua anjuran Jepun. Asasnya, ia berkonsepkan parallel.
Menulis novel fiksyen bersandarkan kepada fakta sejarah amatlah susah bagi hamba kerana ketelitiannya. Hamba perlu merujuk kepada banyak sumber untuk memastikan surealisme wujud dan teratur.
Insya-Allah bakal hamba siapkan menjelang 2010 jika tiada aral melintang memandangkan rangkanya sudah dijana sejak 2006, selepas hamba menulis Bukan Diriku. 4 tahun suatu tempoh yang lama untuk sebuah buku gred B, bukankah? (jangan ketawa)
Parallel? Elemen penceritaan dia kedua-dua kisah adalah sama- bermotifkan 1) sederet rumah kedai lama, 2) hujan yang senantiasa renyai menyiram bumi, 3) burung yang riuh berkicau di sangkar, 4) kedai kopi yang menyediakan kugiran keroncong biarpun hujan tiba, 5) gadis yang punya berat tanggungan dan jejaka peranakan yang punya simpati dalam ego yang tinggi.
Hamba membayangkan lagu Tunggu Sekejap versi keroncong dapat menyemarakkan ilham untuk menulis. Hingga kini hamba tertunggu-tunggu ada pihak yang sudi merakamkan Tunggu Sekejap versi keroncong, jika ada alangkah indahnya. Pilihan hamba, sekiranya biduan - hamba mahukan Afgan Syah Reza, jika biduanitanya hamba inginkan mersik suara Camelia. Kedua-duanya mampu membawa rona Jazz dengan baik, apalagi jika diberikan keroncong. Bukan?
Sahabat ada bertanyakan hamba; bagaimana mendapat ilham. Jawabnya mudah - semuanya rezeki Allah. Ada hari ada, ada hari tiada.
Pelik; tapi hamba bukanlah penggemar aksi menunggu. Penantian suatu penyiksaan.
Sampai Bertemu,
Amer Yusof
0 ulasan:
Catat Ulasan