Maju untuk Kugiran Little Danielle

Little Danielle merupakan kugiran yang dah bertala dalam koklea hamba sejak tahun 2005, pernah juga kawan hamba, namanya Kadok (perempuan ya, bukan lelaki) menjadi vokalis kugiran ini. Kugiran ini asalnya teman-teman hamba ketika menuntut di Universiti Tenaga Nasional. Kini kugiran ini bakal menempa nama dalam persada seni muzik tanah air menerusi single sulung mereka 'Melakolia'.

Lewat hujung minggu lalu, menerusi Group Little Danielle di laman Friendster, mereka mengumumkan cadangan terbuka untuk menamakan semula nama kugiran tersebut menjadi kugiran yang menggunakan Bahasa Melayu.

Alhamdulillah, mereka punya kesedaran, dan hamba rasa amat berbesar hati. Lantas, hamba mengutus e-mel kepada mereka nama-nama yang hamba rasakan sesuai untuk diabadikan sebagai nama kugiran tersebut. Tidak mengharap untuk digunakan, tetapi cukup sekadar semangat yang hamba cuba berikan kepada kugiran ini.
Penjenamaan ialah suatu perkara yang amat sukar untuk dibuat, ia membuat titik persoalan kepada jatuh bangun atau jadi tak menjadi sesuatu penjenamaan semula tersebut. Mutakhir ini banyak juga nama kugiran di Malaysia yang menggunakan nama dalam bahasa kebangsaan. Tidak salah, malah di situlah kita bermula. Suatu ketika kita dibangunkan dengan Panca Sitara, Orkes Nirwana, The Zurah lapang jadinya lewat kita temui nama-nama band seperti Kembara, Gersang, Mega dan beberapa kerat yang menggunakan bahasa Melayu. Ketika itu, pemikiran bahawa kugiran yang menggunakan nama bahasa Inggeris (biarpun ada yang menyanyikan lagu yang penuh kemelayuan) dijangka akan dimendapat tempat. Kalau dihitung, sejak zaman Sweet Charity, terus ke Black Dog Bone, Carefree, Search, Wings, Slam, Ukays, Spoon, Scoin, Spin, Newboyz, Spider, Exist, The Muffins hinggalah kepada Laila's Lounge, Couple, Bittersweet. Mereka ini menjarah jalan yang luas untuk meneruskan 'dosa' menggunakan nama dalam bahasa Inggeris. Sedangkan, jelas mereka menyampaikan lagu dalam bahasa Melayu. Untuk apa mereka menggunakan nama Inggeris? Seolah-olah sebuah novel cereka yang berjudul dalam bahasa Inggeris, tetapi isinya ditulis dalam bahasa Melayu. Ini mengelirukan.

Ada juga kugiran yang menggunakan nama Inggeris kerana mereka sendiri menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris seperti OAG, Butterfingers, Flop Poppy, Nice Stupid Playground dan lain-lain. Selepas sepi dalam pasaran lagu-lagu Inggeris tempatan, mereka muncul dalam arus perdana muzik Melayu. Dan ketika itu, mereka tak mampu menjana satu jenama yang sesuai dengan penghijrahan mereka daripada kugiran berlagukan Inggeris kepada kugiran berjiwa merdeka, berbahasa Melayu.



(gambar : ahli-ahli kugiran Little Danielle)

Jadi, terlintas difikiran hamba agar suatu hari dosa menggunakan nama dalam Bahasa Inggeris yang berlanjutan sejak 40 tahun yang lalu dapat dihapuskan.







Contohi Indonesia

Kita harus mencontohi negara abang kita - Indonesia. Abaikan dosa besar mereka menggunakan nama negara yang tidak cocok dengan masyarakat sebenarnya. Di Seberang, nama-nama kugiran banyak juga yang bernuansa melayu. Paling hamba gemari ialah nama band seperti Kerispatih, Padi, Gigi, Dewa 19 dan juga nama-nama kugiran Malaysia yang menggunakan nama Melayu seperti Hujan dan terbaru Pesawat. Siapa agaknya terdetik untuk menamakan sebuah kugiran dengan nama seperti Hujan (metaforanya memaksudkan banyak perkara sisi negatif) serta nama Pesawat untuk satu perkataan yang sebetulnya hampir pupus kerana sebilangan besar Melayu lebih asyik menggunakan perkataan Flight, Plane, Airbus atau apa-apa lagi istilah yang sesuai.

Nama Melayu sebenarnya indah, dalam kamus Dewan Nusantara, banyak kata yang unik, menarik dan cantik untuk diketengah. Jadi itulah harapan hamba agar nama-nama Melayu diagungkan.

Malang, Little Danielle terpaksa akur dengan kehendak syarikat pengurusan mereka. Nama Little Danielle dikekalkan, namun judul album tetap dalam bahasa Melayu - judulnya nanti Mahkota (dapatkan di pasaran pada 2009). Apapun, sebagai kenalan yang melihat sendiri bagaimana Little Danielle muncul dan bertatih, hamba akan kotakan janji untuk terus menyokong kugiran ini.


Hamba keberatan untuk berhujah panjang, kerana beberapa sudut dalam hati hamba
sentiasa terdetik dengan rasa malu terhadap bangsa sendiri. Tiada persoalan, cuma pengertian - mengapa kita perlu menyanyi lagu Melayu bila mana kita tidak menggunakan nama Melayu untuk menjodohkan diri kita dengan Melayu. Ia berbalik kepada asas pokok iaitu - jatidiri.




Gambar: Little Danielle merenung masa depan


Maju untuk Little Danielle, maju juga untuk kugiran-kugiran baru yang bakal muncul serta yang sudah sedia di medan seni. Hamba kalungkan terima kasih kerana sudi menyanyikan lagu-lagu Melayu. Apa ada pada nama, bukan?

Gambar : Cap Ayamz - antara kugiran baru yang berani menggunakan nama Melayu. Tahniah!


Salam mesra,
Amer Yusof

0 ulasan:

penggemar