Kenapa sekadar menumpang bangga Laskar Pelangi?

Ketika membaca novel karya Andrea Hirata berjudul Laskar Pelangi, lewat tahun lalu hamba tidak dapat tidak untuk berkata novel tersebut tidak seberapa untuk mencecah sempurna, tapi rasanya cukup manis sekali.

Apabila berpeluang menonton filem tersebut, hamba tidak menyangka apa yang diberi Riri Reza selaku sutradara melebihkan jangka hamba. Terkadang penghasilan filem adaptasi menuntut keperluan untuk memenuhi jangkaan dan bayangan pembaca novel asalnya, dan itu berjalan dengan mudah untuk filem Laskar Pelangi.



Sejak tahun lalu, ramai yang mengikuti tetralogi tulisan Andrea Hirata. Menyusul kemudian adalah Sang Pemimpi dan Edensor serta terbaru dan terakhir Maryamah Karpov. Ramai yang mula berbangga dengan kemunculan penulis yang hamba ibaratkan sebagai
Pramoedya Ananta Toer versi junior kerana kritis penulisannya yang berjaya membangkit aroma perjuangan untuk masyarakat Melayu serantau untuk menaikkan taraf sosial menerusi pendidikan.

Sebaris ayat berbunyi "Hidup ini bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya, tapi untuk memberi sebanyak-banyaknya" cukup untuk menggambarkan betapa besarnya pengertian yang harus ditemukan pembaca setia Andrea.

Tetapi cukupkan kita di Malaysia sekadar berbangga dengan novel tulisan anak Melayu kelahiran Belitong tersebut?

Memaksudkan semangat patriotik dalam diri Andrea dan membandingkan apakah wujud penulis sebegitu di negara kita, Malaysia. Hamba rasa jawapannya ADA.

Lewat tahun 1999 dahulu, ketika beberapa minggu dilantik menjadi pustakawan di Perpustakaan Al Ghazali, KOSPINT; hamba pernah meluangkan masa menyelongkar buku-buku di dalam gedung itu. Sepatah ayat daripada guru sejarah hamba (Cikgu Zaliha) yang masih hamba ingat hingga kini adalah "Kalau nak lihat minda sesebuah masyarakat, lihat bidang penulisannya" sebetulnya adalah hakikat.

Tahun itu hamba terjumpa sebuah novel nipis berjudul Memori Bukit Besi tulisan Awang Abdullah. Hamba mengambil masa dua hari untuk menghabiskannya, siap mencuri baca buku ini di bawah sinaran lampu koridor asrama.


Dan ketika hamba membelek Laskar Pelangi yang pertama kali dibaca umum pada 2005, hamba teringatkan novel terbitan tahun 1993 ini. Kisahnya tidak serupa, tetapi punya acuan yang sama disamping semangat patriotiknya amat jelas dan kukuh.

Terlintas pula, kenapa belum ada pihak ingin menerbitkan sebuah filem nuansa serupa adapatasi daripada Memori Bukit Besi. Hamba yakin, ramai pihak yang ingin melihat kapitalisme dan kemanusiaan yang bagaimana yang pernah menjelma di pusat perlombongan besi terhebat era 70-an di negeri Terengganu itu.


2 ulasan:

AieSha berkata...

bila kau kembali?

golok bong berkata...

Bukit besi hanya mmeninggalkan memori bukan lagi khazanah berharga ,bijih besi dirompak oleh bekas penjajah. sekarang giliran petroleum pulak.cuma perompak yg berlainan wajah...adakah ia senasib dgn bijih besi hanya tinggal memori........

penggemar