Alkisah : Hukum PIAT di Wilayah Kecil

Nota: Ini kisah peribadi , jadi hamba guna kata ganti nama 'aku' kerana kata ganti nama 'hamba' hanya hamba gunakan di blog ini, dan apabila bercakap dengan sanak saudara di kampung halaman. Harap maklum

Zaman kanak-kanak kalau nak dicerita memang tak kering gusi. Aku pun sama, banyak yang lawak dan segan nak kenang kembali. Walaupun ramai yang kata kalau dikenang juga, memang akhirnya kita akan rasa "Bebudak sekarang ni memang bertuah sebab bla bla bla bla". Kalau nak kata zaman kecil aku serba kurang, rasanya tak. Setidak-tidaknya dalam hal yang seperkara ini.


Aku dulu masa umur 7 tahun sampai 12 tahun tinggal di Paka, Terengganu. Memang jauh dari Kuala Lumpur, dan pencapaian hebat di dalam kelas, selain akademik ialah kejayaan melancong ke Kuala Lumpur.

Adalah seorang dua anak-anak jiran aku yang bergaya dengan kemeja cetak 'Kuala Lumpur' segala. Nak cemburu? Tak ada makna, sebab aku dah jejak kaki ke KL buat pertama kali dalam hidup pada 18 Jun 1994, dan percutian ke KL itulah menyebabkan aku tak berjaya menggondol hadiah 'Kehadiran 100%' sempena Hari Penyampaian Hadiah Tahunan Sekolah Kebangsaan Cacar (sebelum ditukar namanya kepada Sekolah Kebangsaan Seri Paka, setelah ramai ibubapa merungut, anak-anak mereka digelar 'wabak cacar' setelah dua tahun sekolah itu beroperasi).


Berbalik kepada kes Kuala Lumpur- Paka dulu, aku dan kawan-kawan ada sedikit anti (atau envy?) terhadap budak-budak KL. Almaklumlah, Paka daerah yang kami mastautin itu dihuni orang-orang luar juga. Paka dan Kerteh adalah dua wilayah minyak yang mengakibatkan ketagihan ramai pendatang luar dari Terengganu.

Dalam kelas, sejak kecil ada yang tak berapa suka bergaul dengan bebudak KL sehinggalah bebudak ini terpaksa mengasimilasikan diri mereka dengan budaya setempat, budaya pantai timur. Kalau tak, susahlah masa depan mereka sebab kebanyakan budak-budak luar KL memilih untuk mendalami budaya setempat hingga fasih berbahasa daerah macam aku dan kawan-kawan. Sebab itu wilayah kami, maka mereka yang masuk ke wilayah kami harus bercakap dalam bahasa kami.

Tersebut alkisah, 10 tahun selepas itu, aku dan keluarga pun sudah tak tinggal sana. Bapak aku ditukarkan ke Perak selama 5 tahun, dan kemudian sekarang menghabiskan waktu pencen di kampung halaman ibu, di Kampung Geliga, Kuala Kemaman.

Dalam tempoh sepuluh tahun banyak menukar pemikiran aku bahawa aku tak wajar duduk dalam satu-satu wilayah, menghuni dan mendiam sekadar saja. Aku harus pergi merantau dan mengenal dunia luar. Itu yang berlaku sejak 2003 hingga sekarang. Aku bebas ke sana ke mari tanpa halangan ibu dan bapak. Jadi bila kita kenal serba sedikit tentang orang luar wilayah kita, maka kita tak kisah sangat akan tindak tanduk mereka-mereka ini.

Cerita yang aku nak kongsikan ini berlaku dua tahun lepas, ketika musim Aidilfitri. Aku biasalah, bila balik kampung aku tak suka sangat nak kehulu kehilir, sebab dah biasa sangat dengan kampung aku jadi nak merewang pun rasa malas. Balik kampung bagi aku adalah waktu untuk tidur. Mak aku pun rimas sebab port dia aku take over. Port apa? Port depan TV lah.

Rumah kampung aku ada Astro, yang aku bayarkan bulan-bulan. Manakala, rumah bujang aku di KL, nan ado. Piring mangkuk pun segan nak ada, apa lagi piring Astro. Jadinya, balik kampung cuti aku tidur, makan (makanan kat kampung aku mewah, namakan saja; keropok lekor? satar? otak-otak? nekbat? ikan bakar? pari bakar? kerabu mangga? nasi dagang? taik itik? Semuanya ada disini!), dan tengok TV lah.

Bila tengok TV aku suka kalau aku pegang alat pengawal. Kalau orang lain kawal, maknanya 'wilayah kecil' aku tu sedang terancam. Bila aku naik takhta, maka akulah yang akan memerintah segala macam benda kat situ.

Rumah aku dah tak ada kanak-kanak Ribena sejak adik bongsu aku akil baligh, dua tiga tahun kebelakangan ini. Rumah itu, kalau tak ada kanak-kanak memang sunyi. Malangnya, raya tahun itu rumah aku cukup lengkap dengan segala peringkat umur kanak-kanak. Kalau korang, rimas tak?

Aku ada ramai anak saudara, dan mereka ini terbahagi kepada tiga.

1. Sekumpulan anak-anak Terengganu jati yang memang dah berkuasa kat rumah atuk nenek mereka,

2. Kumpulan kedua adalah anak-anak saudara yang sering balik kampung, dan mampu menguasai budaya kedua-dua wilayah - KL dan Terengganu, manakala

3. Sekumpulan lagi ialah mereka yang jarang balik, atau selalu balik TETAPI masih tebal dengan budaya wilayah luar.


Alkisah, anak saudara yang bernama timangan Sulong ini memang bermulut lancang (seperti pak ciknya), dan anak saudara bernama timangan Adi ini memang jenis selamba badak dan hyper tahap Tom & Jerry. Sulong mewakili kumpulan pertama yang memang dah tahu selok belok wilayah rumah keluarga aku. Makanya, setiap kali raya si Sulong ini akan jadi penyambut tetamu. Adi pula mewakili golongan ketiga yang kalau balik, dia peduli apa dengan cara dia asalkan dia suka dan seronok di kampung.

Sulong dah matang sikit, dan tahu pantang larang serta undang-undang wilayah rumah kami itu. Jadi, dia abaikan aktiviti seperti berlari sampai nak runtuh rumah kayu itu, dan juga usik adik dia sampai budak tu menangis tanpa sebab yang kukuh.

Adi tak tahu undang-undang. Dia turun aje kereta dia terus lompat-lompat dan mengejar kucing-kucing + ayam-ayam yang ada.

Jadi, apabila Adi si budak bandar kelihatan serba tak kena di mata Sulong si budak kampung, maka mood si Sulong ini akan jadi tak seronok. Dan, selalunya Iman (wakil kumpulan kedua) akan jadi perantara. Sulong akan tegur si Adi melalui Iman, sebab Iman boleh berkomunikasi dengan si Adi. Adi bila disuruh bercakap dalam loghat Terengganu hanya akan menjawab dia tahu sebut "To'ki, Adi tak mboh!".

Dan ketika tibanya waktu bersemayam sang raja TV (akulah tu), maka bebudak ini harus diusir dari wilayah aku. Remote mesti di telapak tangan aku, dan mereka TIDAK dibenarkan sama sekali buat onar yang melanggar undang-undang wilayah kecil aku tu.

Tapi, belum sempat program di saluran Astro 555 (Hist) menjangkau 30 minit, bebudak ini mula sibuk berlari ke hulu ke hilir atas rumah. Malang sekali waktu itu malam, maka aku tak nak suruh mereka main di luar rumah, elok saja berada dalam rumah. Maklum saja, bila bebudak ini berlari di atas papan rumah kayu mau bergoyang satu rumah. Kaum-kaum ibu takkan perasan sebab mereka sibuk di dapur batu, wilayah autonomi mak aku. Jadi yang menanggung sakit hati, akulah!

Aku dulupun suka berlari, cuma waktu aku kecil kira bertuah sebab rumah lama aku rumah batu. Takde gangguan kalau setakat nak berlari asalkan jangan ditengah kesibukan khalayak. Tapi, kini tak boleh. Rumah kayu ni, kalau aku berlari nak berebut guna jamban dengan adik beradik aku pun mak aku boleh naik darah.

Aku mulanya cuba anggapkan mereka ini sebagai X dan abaikan. Tapi, kalau dah sampai babak berkejar-kejaran ala-ala Police Story menjadi babak air mata ala-ala Kabhi Khushi Kabhi Gham, pastinya aku akan tukar babak itu menjadi babak ganas seperti dalam filem Sinking of Japan!!

Amukan aku tak berjaya membuatkan si kecil Lisa berhenti menangis, dan untuk mengubat luka di hati budak ini aku terpaksa menyerahkan cokmar diraja wilayah aku (remote control) kepada si Lisa ini untuk dia hayati rancangan Hikayat Putera Shazlan (yang aku pelik, bersiaran tak kira pagi petang hinggalah ke pagi buta).

Terlepas tengok cerita sejarah Nostrodamus, aku naik darahlah. Sulong jawab Adi panggil dia "So Long", dan Iman api-apikan cakap apa itu "So Long". Itulah kesnya. Adi sebagai kaum pendatang harus menerima hukuman daripada pemastautin tetap si Sulong, dan Iman menjalankan tugas untuk menangkap pendatang tanpa sopan tersebut.

Dia orang fikir rumah mak bapak aku tu lokasi drama Gerak Khas?

Aku yang baru turun takhta tanpa banyak bicara melancarkan perang, dengan kata-kata sakti.

"Tadi Ayah Chik (akulah) pesan siapa yang buat bising (di wilayah kecil ini) kena apa?"

Semua - "Piat"

"Nak kena piat?"

Akur dan sudah dikepung lantas mereka semua beratur, termasuk adik bongsu aku -Sidek yang awal sebelum kisah ini telah sengaja mengunci pintu biliknya agar bebudak ini tak masuk, dan kacau dia main PS2. Sidek telah melanggar kontrak perjanjian antara aku dan dia, agar dia menjaga bebudak sengal ini.

Aktiviti Piat adalah hukuman yang popular, namun tidak dianggap serius. Rujuk Kamus.

piat II; memiat 1. memial, memulas; 2. Kl pukul, sebat (dgn benda kecil spt lidi, rotan, dll).Kamus Dewan Edisi Empat


Selesai memiat mereka, aku suruh mereka hayati babak Mak Som mendera Putera Shazlan.

Selamat Menyambut Hari Wilayah
kepada penghuni Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.


Rumah kami adalah wilayah kecil kami, dan begitu juga Malaysia dan wilayah-wilayahnya. Kepentingan harus dijaga.

8 ulasan:

scOotBerry berkata...

hahaha~klaka je deOrg tuh..patuh deorg pd hukuman ayah chik deorg ek..??bagus2..at least deorg ni nak jugak la buat hukuman pas buat salah.ade sesetengah budak xmkn saman kot bende2 mcm ni..tp cam klaka je..ngan adek yg menguncikan diri dlm bilik pOn kne skali..sian dea..huhu~

SyahNURazni berkata...

hehehe pada aku... ni satu kisah yg amat menarik...
ye kadang2 masyarakat dah semakin lupa tentang bagaimana nak beradaptasi dgn budaya dan cara hidup org kita...
erm best la baca citer nih... best best best

Kurt Kuden berkata...

aku ade 3 lagi anok buoh yg tgh sedap babil.. rase nok kenyekk jee

AieSha berkata...

selamat hari wilayah bro! heh.

lu punya wilayah mcm best jek.. bila2 ajak gua dtg wilayah lu k!

Amer Yusof berkata...

@ intan - ayah chik bebudak tu memang bengis cam singa. kalau ada anak sendiri pun nanti, belum tentu sy nk bagi muka. hahaha.

@ cikgu syazni - betul tu kak, tp sy respect budak-budak yang boleh berada dalam ekdua-dua budaya ibubapa diorang.

@ kuden - anok sedara mu hok 3 buoh tu besor jalor doh kang? sorang mu make-over jd mcm anjali sharma aka kajol, tingkatan brape doh dia?

@ aie - wilayah aku biasa2 je. ada masalah kebersihan, dan kes bukit kena tarah sampai terhakis kuala sungai. tp kalau ko nk dtg atau nak ikot aku balik, bgtau jelah. kot2 aku ada kt kampong.

JRY The Boonto berkata...

Betul- Wilayah kita harus dijaga

-isi tersirat tu..hehe..

*Read More ni x menjadi ka bro?hehe..
bleh jek klu nak tolong editkan layout, tapi ramai lg org kat blakang menunggu. nntla ada masa. x janji ok. Manusia berpegang pada janjinya kan?hehe

sheikh mustafa kamal al aziz berkata...

Amukan aku tak berjaya membuatkan si kecil Lisa berhenti menangis, dan untuk mengubat luka di hati budak ini aku terpaksa menyerahkan cokmar diraja wilayah aku (remote control) kepada si Lisa ini untuk dia hayati rancangan Hikayat Putera Shazlan (yang aku pelik, bersiaran tak kira pagi petang hinggalah ke pagi buta).

.... u memang lawak le amir...

GolokBong berkata...

salam amir,
aper pun tahniah dgn 'blog'yg sarat dgn informasi(bukan nak memuji)..kalau boleh kisah 'piat'di adaptasi dgn novel tak pun buat filem suatu hari nanti..cuma ceritanya di olah dgn kisah seorg maharaja yg pemalas suka memiat rakyatnya yg rajin bekerja kerana menggangunya tidor dgn kebisingan kerja..sekian.

penggemar