Dosa-dosa Barbarik

Apa masalahnya dengan perihal seorang wanita suku dekad menuju menopause yang merogol remaja lelaki berusia 16 tahun? Kes sebegini tak pernah berlaku atau cuba ditutup sebelah mata?

Malaysia sangat pelik. Semakin berlaku sesuatu perkara, semakin cuba disorok seboleh mungkin. Hamba melihat situasi ini sebagai penanda bahawa wujudnya perasaan berbelah bagi akan keterbukaan rakyat kita untuk menerima permasalahan.

Saban hari, makin banyak jenayah sosial yang dipaparkan media dan kesannya terpercik ke muka kerajaan. Kerajaan sedaya mungkin cuba membentuk imej positif terhadap pola kemasyarakatan di Malaysia agar (atas sebab utama untuk meraih undi dalam PRU seterusnya, dengan perskalaan - Jika kurang isu sosial, maka kerajaan berjaya menanganinya) dunia memandang hormat terhadap warganegara ini.

Hamba melihat cara ini salah. Media menjalankan tugas untuk mendedah, kerajaan HARUS menjalankan tugas untuk menangani masalah itu. Berapa banyak kes selingkuh sumbang mahram yang atas dasar rela suka sama suka yang mana tidak diketahui umum? Berapa banyak kes bersekedudukan tanpa nikah di Parlimen Setiawangsa sahaja? Berapa peratus kelahiran di Malaysia ini, berada di luar nikah? Berapa banyak pula Muslim yang murtad setiap tahun?

Penyakit-penyakit sosial sebegini tidak harus disorok. Buat apa nak sorok? Benda sudah berlaku, kita harus nyatakan kebenaran biar pahit mana sekalipun. Yang boleh kita lakukan adalah mendedahkan secara berhemah (tanpa mengaib, dan mensensasikan mana-mana individu) sebaliknya memberi petunjuk bahawa semua ini berlaku, dan ia harus sama ada digalakkan, diperbaik atau dihentikan.

Hamba melihat ketidak sekataan di antara media dan kerajaan menyebabkan penyakit sosial menjadi parah.


Impaknya terhadap penulis kreatif (seperti hamba).

Menulis sesuatu yang luar daripada norma kebiasaan amat merunsingkan. Ketika hamba menulis Bukan Diriku (2008), judul asalnya adalah Hilang uDara, dan terpaksa ditukar. Dalam novel 299 muka surat itu diselitkan pergolakan seks remaja sekolah. Atas beberapa sekatan kreativiti, terpaksa hamba cincang beberapa baris penyedap sehingga hasilnya serupa itu.

Kaedahnya, apakah kita akan terus menulis kisah ala Salina (A. Samad Said) atau lakonlayar seperti Bintang Malam (Adman Salleh) sehingga ke alaf yang akan datang?

Kisah perempuan kabaret ke dunia pelacuran ke anak derhaka ke pembunuh misteri ke gelora penari joget ke gelojak bohsia sudah basi. SUDAH BASI.

Penulis kreatif seharusnya dibuka pintu untuk mengautopsi tubuh yang lain pula. Ada yang sudah melakukannya, dan jalan mereka berliku sekali. Seeloknya kisah-kisah sumbang mahram, seks sejenis, gelora nafsu anak muda masakini, perang akidah remaja mainstream, diskriminasi remaja underground, tuntutan minoriti, terus ke kisah bomoh pawang alaf baru, sengketa kaum ke pergolakan politik negara atau kisah siang eksekutif malam melacur serta yang hamba nyatakan dahulu sekali; wanita dewasa yang 'merogol' remaja lelaki - semua ini didedahkan secara massa atau menerusi penulisan kreatif.

Soal seks menjadi taboo, soal tahyul menjadi gangguan. Belum lagi kisah politik tak boleh dibuat main, serta isu perkauman dilaung sensitif dan tidak wajar dibincangkan secara umum.

Ini belum dimasukkan soal kreatif dalam penulisan berteraskan agama. Jika masuk, maka berapa banyak lagi lubang kreatif yang harus kita gali dan bukakan jalan?

GAMBAR: David Hare

Hamba petik kata-kata penulis terkenal British; David Hare. Kata-kata beliau ini hamba tilik dan tenung untuk mengenal ertinya.

“The ultimate tendency of civilization is towards barbarism”

Kenapa kebobrokan masyarakat kita, yang sememangnya menuju barbarisme cuba disorokkan? Apakah kita takut warga kita dilabel Barbarian? (Boleh blah! Hamba dah lama melabel segelintir masyarakat KL sebagai Bangsarian) Pencirian ketamadunan baru ini semakin lama, semakin jelas.

Ketamadunan manusia diperlihatkan sebagai penyuburan organisasi manusia. Wujudnya raja, wujudnya perlembagaan, gubalnya undang-undang dan seterusnya lahirnya sosial masyarakatnya. Itu transisi wajib dan telahpun dilalui.

Tapi pernahkah kita terfikir bahawa suatu hari, ketamadunan manusia mencari kelainan yang jitu dan kelainan itu mungkin dengan cara merombak undang-undang yang dilihat menyekat. Dengan itu, budaya-budaya baru akan muncul dan mengambil tempat.

Jika soal moral/akidah dipertikai, hamba kira soalan penting harus ditanya "Mana lagi baik? Budaya baru yang pelik ini bergerak secara diam atau transparent?"

Persoalannya - Kerajaan tidak terbuka, atau rakyat yang belum sedia atau penulisan kreatif kita masih di takuk lama?


p/s: David Hare menulis lakonlayar Licking Hitler (1978), Strapless (1989) serta adaptasi The Hours (2002), Murder in Samarkand (2008) serta terbaru The Reader (2008). Beliau juga menulis drama My Zinc Bed, berdasarkan lakon pentas beliau sendiri pada 2007. Psst...beliau berkongsi hari lahir dengan hamba : p

0 ulasan:

penggemar