Dosa-dosa Barbarik

Apa masalahnya dengan perihal seorang wanita suku dekad menuju menopause yang merogol remaja lelaki berusia 16 tahun? Kes sebegini tak pernah berlaku atau cuba ditutup sebelah mata?

Malaysia sangat pelik. Semakin berlaku sesuatu perkara, semakin cuba disorok seboleh mungkin. Hamba melihat situasi ini sebagai penanda bahawa wujudnya perasaan berbelah bagi akan keterbukaan rakyat kita untuk menerima permasalahan.

Saban hari, makin banyak jenayah sosial yang dipaparkan media dan kesannya terpercik ke muka kerajaan. Kerajaan sedaya mungkin cuba membentuk imej positif terhadap pola kemasyarakatan di Malaysia agar (atas sebab utama untuk meraih undi dalam PRU seterusnya, dengan perskalaan - Jika kurang isu sosial, maka kerajaan berjaya menanganinya) dunia memandang hormat terhadap warganegara ini.

Hamba melihat cara ini salah. Media menjalankan tugas untuk mendedah, kerajaan HARUS menjalankan tugas untuk menangani masalah itu. Berapa banyak kes selingkuh sumbang mahram yang atas dasar rela suka sama suka yang mana tidak diketahui umum? Berapa banyak kes bersekedudukan tanpa nikah di Parlimen Setiawangsa sahaja? Berapa peratus kelahiran di Malaysia ini, berada di luar nikah? Berapa banyak pula Muslim yang murtad setiap tahun?

Penyakit-penyakit sosial sebegini tidak harus disorok. Buat apa nak sorok? Benda sudah berlaku, kita harus nyatakan kebenaran biar pahit mana sekalipun. Yang boleh kita lakukan adalah mendedahkan secara berhemah (tanpa mengaib, dan mensensasikan mana-mana individu) sebaliknya memberi petunjuk bahawa semua ini berlaku, dan ia harus sama ada digalakkan, diperbaik atau dihentikan.

Hamba melihat ketidak sekataan di antara media dan kerajaan menyebabkan penyakit sosial menjadi parah.


Impaknya terhadap penulis kreatif (seperti hamba).

Menulis sesuatu yang luar daripada norma kebiasaan amat merunsingkan. Ketika hamba menulis Bukan Diriku (2008), judul asalnya adalah Hilang uDara, dan terpaksa ditukar. Dalam novel 299 muka surat itu diselitkan pergolakan seks remaja sekolah. Atas beberapa sekatan kreativiti, terpaksa hamba cincang beberapa baris penyedap sehingga hasilnya serupa itu.

Kaedahnya, apakah kita akan terus menulis kisah ala Salina (A. Samad Said) atau lakonlayar seperti Bintang Malam (Adman Salleh) sehingga ke alaf yang akan datang?

Kisah perempuan kabaret ke dunia pelacuran ke anak derhaka ke pembunuh misteri ke gelora penari joget ke gelojak bohsia sudah basi. SUDAH BASI.

Penulis kreatif seharusnya dibuka pintu untuk mengautopsi tubuh yang lain pula. Ada yang sudah melakukannya, dan jalan mereka berliku sekali. Seeloknya kisah-kisah sumbang mahram, seks sejenis, gelora nafsu anak muda masakini, perang akidah remaja mainstream, diskriminasi remaja underground, tuntutan minoriti, terus ke kisah bomoh pawang alaf baru, sengketa kaum ke pergolakan politik negara atau kisah siang eksekutif malam melacur serta yang hamba nyatakan dahulu sekali; wanita dewasa yang 'merogol' remaja lelaki - semua ini didedahkan secara massa atau menerusi penulisan kreatif.

Soal seks menjadi taboo, soal tahyul menjadi gangguan. Belum lagi kisah politik tak boleh dibuat main, serta isu perkauman dilaung sensitif dan tidak wajar dibincangkan secara umum.

Ini belum dimasukkan soal kreatif dalam penulisan berteraskan agama. Jika masuk, maka berapa banyak lagi lubang kreatif yang harus kita gali dan bukakan jalan?

GAMBAR: David Hare

Hamba petik kata-kata penulis terkenal British; David Hare. Kata-kata beliau ini hamba tilik dan tenung untuk mengenal ertinya.

“The ultimate tendency of civilization is towards barbarism”

Kenapa kebobrokan masyarakat kita, yang sememangnya menuju barbarisme cuba disorokkan? Apakah kita takut warga kita dilabel Barbarian? (Boleh blah! Hamba dah lama melabel segelintir masyarakat KL sebagai Bangsarian) Pencirian ketamadunan baru ini semakin lama, semakin jelas.

Ketamadunan manusia diperlihatkan sebagai penyuburan organisasi manusia. Wujudnya raja, wujudnya perlembagaan, gubalnya undang-undang dan seterusnya lahirnya sosial masyarakatnya. Itu transisi wajib dan telahpun dilalui.

Tapi pernahkah kita terfikir bahawa suatu hari, ketamadunan manusia mencari kelainan yang jitu dan kelainan itu mungkin dengan cara merombak undang-undang yang dilihat menyekat. Dengan itu, budaya-budaya baru akan muncul dan mengambil tempat.

Jika soal moral/akidah dipertikai, hamba kira soalan penting harus ditanya "Mana lagi baik? Budaya baru yang pelik ini bergerak secara diam atau transparent?"

Persoalannya - Kerajaan tidak terbuka, atau rakyat yang belum sedia atau penulisan kreatif kita masih di takuk lama?


p/s: David Hare menulis lakonlayar Licking Hitler (1978), Strapless (1989) serta adaptasi The Hours (2002), Murder in Samarkand (2008) serta terbaru The Reader (2008). Beliau juga menulis drama My Zinc Bed, berdasarkan lakon pentas beliau sendiri pada 2007. Psst...beliau berkongsi hari lahir dengan hamba : p

Read more

Mengenal Diri & Mengenal Manusia

Hamba, 1987

Assalamualaikum,

Lama tak mengetuk kotak blog ini, jari pun lain macam rasanya. Jari masih mengenang ketuk tak sudah sang 'Denting' yang belum punya masa depan yang cerah. Tapi jari ini masih disarafkan otak untuk membuka pintu kepada perkara lain, agar minda dan jiwa seiring masa.

Hamba lama tak mengetuk atas beberapa sebab. Sebab yang utama mungkin (baca: pastinya) kerana kekecewaan atas perkara yang remeh temeh. Lantaran semangat yang kian tak ada, maka soal lain dianggap di tempat kedua dan seterusnya.

Mengubat diri tak semudah yang disangka sebenarnya. Tak semudah ABC.

"Baik kau balik rumah, buka pintu luas-luas! Kau tak kenal orang lain, dan kau tak kenal diri kau sendiri!" bisiknya suatu petang, 5 kali bumi mengorbit yang lalu; di ruang kecil Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

Itu kata-kata akhir sebenarnya. Saranan itu suatu penolakan jitu yang hamba fikir, layak hamba hadam secukup-cukupnya.

Contoh: 1

Bagaimana dua manusia yang tidak pernah bertemu, dan pertemuan pertama mereka berlaku dengan pantas dan mengingatkan semua bahawa tiada antara mereka yang membuang masa.

Biasanya berlaku 4 kelaziman, yang mana menjadi senario biasa sebuah kegagalan;-

Kelaziman 1: Manusia akan menilai manusia yang lain, dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Kelaziman 2: Manusia akan berlaku tidak adil dengan diri sendiri, kerana memilih untuk menjadi orang lain sebagai alas untuk memenuhi jangkaan orang lain.

Kelaziman 3: Kerana terlalu mengikutkan jangkaan; manusia akan kerap melakukan kesilapan, baik zahir mahupun batin.

Kelaziman 4: Setiap kesilapan akan dikira sebagai potongan markah;

...yang akhirnya membawa kepada penilaian akhir yang menjurus kepada 2 keadaan

Keadaan 1: Seorang manusia akan menjadi hakim dalam menentukan dirinya lebih kenal manusia yang lain.

Keadaan 2: Seorang manusia yang akhirnya akur dan mahukan peluang kedua diberikan sebagai menebus satu kesilapan, yang paling minimal sekalipun.

Namun, penamatnya tetap sama. Kedua-duanya berakhir kecewa.

Si A kecewa kerana meletakkan harapan yang tinggi, dan yang dilihat tak memenuhi jangkaan.
Si B kecewa kerana seolah gagal dalam perlumbaan untuk mempamerkan kesempurnaan diri, lantas mula terkesan akan kesilapan yang dilakukan. Maka peluang kedua dicari, dan tidak diberi.

Kenapa manusia berasa cukup yakin dalam penilaian tidak sampai 24 jam mereka?
Bapa hamba pernah berpesan ketika kecil dulu, ketika itu ada seorang kanak-kanak Cina yang hilang, dan dilaporkan telah dijual ke Thailand. Hingga kini kanak-kanak (yang sebaya abang aku) itu tidak dijumpai. Bapak hamba berpesan "Kita tak boleh kenal mana-mana manusia dalam tempoh 24 jam sahaja"

Kata-kata itu hamba pegang, dan hamba sentiasa beri masa untuk mengenal manusia lain. Menolak sesuatu perkara adalah perkara yang paling akhir hamba lakukan. Lainlah jika pendirian begitu teguh, dan lantas hamba katakan tidak. Berpendirian, bermakna kita sudah cukup kenal diri sendiri dan tidak perlu membuka ruang untuk dipengaruhi.

Tetapi memberi masa untuk orang lain membuktikan sesuatu kepada kita adalah perkara yang paling adil boleh kita lakukan secara aman.

Atas sebab ini, hamba beralasan tidak seharusnya hamba berjinak dengan dunia luar. Hamba lantas ambil masa untuk mengenal diri. Memperbaikkan apa yang patut, sedang hamba sedar tiada banyak yang boleh diubah. Hamba adalah hamba yang sejujurnya tidak mudah dipengaruhi sesiapa.

Tapi dunia ini bukan untuk bersendiri, dunia ini untuk berkomunikasi. Agar dua tala suara mampu bertemu, hamba gagahkan diri mengenal erti dan mencari akarnya.

Tak mudah mengenal manusia sebenarnya. Watak dan perwatakannya amat kompleks dan kerumitan itu sendiri hamba saksi kepada bagaimana penerimaan orang terhadap hamba. Menjadikan diri sebagai eksperimen dan tidak mengelegakkan fikiran dengan skala paranoia yang besar hamba kira pencapaian besar sepanjang cuti ini.

Kerana kita tahu diri kita kompleks, dan kita sedar kompleksiti itu juga ada kepada orang lain.

Seharusnya kita telan kata-kata " Ambil masa untuk kenal diri sendiri, dan ambil lebih masa untuk mengenal manusia yang lain juga"


p/s: Terima kasih untuk sokongan beberapa pihak yang menyarankan hamba melupakan yang lepas, dan terus menulis. Terima kasih.
Read more

Mengapa Letih


Mengapa sedih,
Dengan terburu,
Kau katakan babak ini mengancam,
Mungkinkah aku yang kau cemburu,
Membiar dan tak membunuh;

Mengapa letih,
Dan tak tertunggu,
Kau nyatakan saat ini menghukum,
Mungkinkah dikau yang ku setuju,
Membilang dan tak menyentuh;

Mengapa sedih dan terus letih,
Melayan perasaan di bibir pedih;
Mengapa perit untuk mengaku,
Bahawa ternafasnya ilham petunjuk dariNya

ditulis pada Jumaat, 10 April 09
Read more

penggemar