Kelodan Umbra dan Penumbra

Kau

Dulu bila kau putus untuk bersendiri, suatu masa kau akan sedar bahawa kau akan rasa sepi juga akhirnya.

Jalan cerita memang ditakdirkan untuk insan yang mudah diperdaya, lemah dan tak kenal panah cinta yang sebenar.

Akhir cerita juga ditakdirkan untuk insan yang meninggalkan, dan ditinggalkan...
...selanjutnya TUAN HAMBA tekan sini





Hilang - MUH (terima kasih Malayapark.com)


Kelodan cinta tembus sampai ke dasar hati. Kesakitan itu yang memalaskan pagi kamu.

Kau sudah malas untuk mencari, biarlah ia datang sendiri.

Kau bukan bertemu untuk dinilai serba segala.

Kau manusia punya kekurangan, dan untuk membohong bahawa kau harus menjadi seperti yang dia harapkan adalah kebodohan dalam diri kamu.

Aku tahu kau percaya akan ada cinta suatu hari nanti, itu janji Tuhan.

Kau tak rugi apa-apa, sebaliknya dia.

Dia yang hidup sepi, sedih dan tak punya apa. Aku percaya hidup kau takkan sepi.

Orang seperti dia yang tak reti menilai.

Aku pohon doa agar kau tabahkan hati dan teruskan hidup.

Masih banyak cinta menanti.

Aku

Aku pohon kau biarkan aku sendiri.

Dunia ini bukan milik aku seorang, tapi aku percaya ada ruang Tuhan kosongkan untuk aku mengerti.

Kau tahu umbra dan penumbra? Aku mahu bersendiri dalam umbra, dan biarlah sikit saja cahaya penumbra yang tembus, itu sudah cukup.

Bersendirian, lebih baik.


***

p/s: Esok (Isnin) pukul 8.30 malam akan berlaku fenomena gerhana penumbra. Sama-samalah menikmatinya selama 4 jam.


p/s 2: Hamba akan bercuti daripada menulis buat sementara waktu. Nak cari ketenangan, insya-Allah tak lama. Salam semua.

p/s 3: Hamba akan bertapa dalam panggung kot, tengok Upin dan Ipin sampai lebam. Kepada mereka yang menyokong filem yang memartabatkan budaya Melayu, tontonlah filem Upin dan Ipin : Geng Pengembaraan Bermula.



Read more

Muka dia 'seks' sangat!

Ada yang tanya hamba pasal kerajaan jongkang-jongket Perak Darul Ridzuan. Jadi hamba beri pendapat hamba sekadar saja, sementelah hamba dah malas nak borak politik sejak dua menjak ini.

Jangan kata hamba tiru gaya blog Khir Toyo, sebab dia sebenarnya tiru gaya blog Che Det. Kalau tuan hamba nak kata hamba guna gaya blog Che Det. Jawapan hamba "Ya!"....selanjutnya TUAN HAMBA tekan sini

1. Sebagai bekas rakyat menumpang di Perak dari 2002 sampai 2005, hamba rasa hamba tak layak nak ulas panjang-panjang.

2. Perak merupakan negeri yang kedua termaju di Malaysia, selepas Selangor. Segala macam benda ada kat negeri ini. Hasil industri, hasil tani. Semuanya ada disini. Perak bukan negeri Pasir Berdengung ya.

3. Perak negeri majmuk yang cantik dalam perkauman. Hamba pernah menetap di Seri Manjung, yakni kawasan Melayu dan sering ke Sitiawan (kawasan India dan sedikit Cina), dan Lumut (kawasan Cina dan ada perkampungan India). Hamba pernah tertanya-tanya kenapa penempatan seolah diasing-asingkan?

4. Perak sekarang dibelenggu dengan situasi, kerajaan jongkang-jongket. Itu pasti.

3. PR = 28, BN = 28, Bebas 3 kerusi. Jawapan hamba senang, 3 kerusi bebas lah yang akan menentukan hala tuju. Dan jelas nyata, mereka (jika ditawarkan jawatan penting sebagai Exco barangkali) akan memihak kepada BN.

4. Ir Nizar Jamaluddin boleh turut perlembagaan, tetapi perlembagaan berada di bawah kuasa raja-raja (rujuk perkara 153), maka Ir Nizar tiada lain, berundurlah segera.

5. BN boleh bina kerajaan dengan 28+3 kerusi. TETAPI, pembubaran DUN mungkin berlaku sekiranya kuasa kehakiman (kalau kuasanya suci) guna kuasa mereka, maka MUNGKIN pilihanraya negeri akan berlangsung.

6. Kenapa? Sebab BN harus terlebih dulu mengisytiharkan untuk membentuk kerajaan campuran kerana 28 kerusi mereka bukanlah majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, dan kedudukan 3 calon Bebas itu juga boleh dipertikai kerana kesahihan mereka meletak jawatan sebagai ADUN, atau ke parti mana mereka lompat.

7. Hamba tak runsing pasal siapa yang bakal bentuk kerajaan Perak selepas ini, tetapi hamba cukup runsing dengan 1 persoalan .

6. Persoalan peribadi hamba - Betul ke buku Perlembagaan Tubuh Negeri Perak ditulis dalam Bahasa Inggeris?

Petikan surat Kerajaan PR Perak kepada DYMM Sultan Perak.

Artikel XVI(6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa “If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council”. Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

7. Ada yang tanya hamba, apa komen tentang wakil-wakil PKR dan DAP yang lompat jadi Bebas?

Jawapan hamba senang saja.

Hamba belek akhbar untuk mencari gambar wakil yang keluar pakatan, dan salah seorangnya ialah Jamaluddin Osman (Behrang) dan lantas, hamba tertatap gambar ini

Tiba-tiba terpacul kata-kata ini.

"Muka dia 'seks' sangat!"
p/s: Merujuk kepada lelaki gelap di belakang wanita bertudung kuning.

8. Rasanya nombor 7 sudah menjelaskan pemerhatian keseluruhan hamba terhadap isu Perak dan kerajaan jongkang- jongketnya.

9. Menteri Besar baru, Dr Zambry Kadir sudah mengangkat sumpah petang tadi.

10. Petang-petang akan datang, isu ke'mamak'an Zambry akan jadi bahan. Tak mustahil kan?

Ingat tak kes di atas ini?

Politik adalah permainan.
Read more

Alkisah: Mari berfikir di luar kotak

Ramai orang selalu bebel.

"Think out of the box! Berfikirlah di luar kotak!"


Konon ramai manusia masih berfikir di bawah tempurung.


Hamba tak nafikan hal yang satu ini, sebab hamba sentiasa cuba untuk berfikir di luar kotak. Banyak benda yang kita perlu kerjakan membutuhkan kita memikirkan jalan yang terbaik, selamat dan efisyen (dalam BM apa ya?).


Tapi hamba tak nafikan, apabila kita terlalu nak fikir di luar kotak, kita akan terlebih fikir di luar kotak. Macam kes ini.

...selanjutnya TUAN HAMBA tekan sini

Suatu hari salah seorang rakan seuniversiti kami telah dijadikan berita utama akhbar kerana kematiannya.

Dia mati kerana membunuh diri di Jambatan Pulau Pinang. Kami menatap akhbar dan berbual mengenai kisah bunuh diri ini.

PETIKAN AKHBAR SUMBER: LOL NSTP
Document 8 of 141938
Publication : Harian Metro
Edition : Tengah
Date : 28/02/2004

Page Number : 01

Headline : Misteri Razlan

Words : 543

Byline : By Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Text :


BANGI: Kehilangan seorang penuntut jurusan kejuruteraan mekanikal
Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Razlan Amir Mohd Nazri, 21, masih
misteri apabila mayatnya ditemui di sebuah pulau terpencil berhampiran
Pulau Pinang, 10 hari selepas dia dilaporkan hilang.

Razlan sebelum ini meninggalkan rumahnya di Bandar Baru Bangi pada jam
12 tengah malam, 18 Februari lalu dengan alasan untuk mengulangkaji
pelajaran bersama rakan bagi menghadapi peperiksaan.
Mangsa yang dilaporkan hilang bagaimanapun ditemui polis di Pulau Rimau,
yang mengambil masa 45 minit perjalanan menaiki bot dari Balik Pulau,
Pulau Pinang.

Mangsa sempat meninggalkan pesanan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada

bapanya pada malam dia meninggalkan rumah dengan menulis, "Papa, Lan tidur
di Uniten, esok ada kelas".

Bagaimanapun, Razlan yang meninggalkan rumah dengan menaiki kereta
Perodua Kancil gagal dihubungi ahli keluarga keesokan harinya.
Keluarganya cuba untuk menjejaki mangsa melalui rakan sekelasnya di
Uniten sebelum membuat laporan polis pada 20 Februari selepas gagal
menjejakinya.

Namun, lima hari selepas kejadian, kereta Perodua Kancil yang dinaiki

Razlan ditemui tersadai di Jambatan Pulau Pinang oleh polis Seberang Prai
Tengah.

Kereta Kancil berwarna metalik perak dengan nombor pendaftaran BFV 7049

itu dipercayai berada di atas Jambatan Pulau Pinang tidak kurang empat
hari.

Penemuan pada 22 Februari itu menimbulkan tanda tanya apabila barang

peribadi termasuk kunci kereta dan dompet mangsa ditemui tidak terusik di
dalam kereta berkenaan.

Berikutan penemuan itu, bapa mangsa, Mohamad Nazri Azizan dan ibunya,

Rashidah Abdul Hamid meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Razlan
melalui hebahan media cetak dan elektronik pada 24 dan 25 Februari lalu.
Bapa mangsa juga pernah membuat kenyataan anaknya itu mengeluarkan wang
RM100 dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di
Kajang, Selangor, pada malam selepas dia keluar dari rumah.
Bagaimanapun, pada 21 Februari lalu, polis menemui mayat seorang lelaki
di Pulau Rimau tanpa mengesyaki dia mangsa yang dicari keluarganya sebelum
ini.

Tindakan TV3 menyiarkan berita kehilangan Razlan menyebabkan polis

memanggil keluarga dan rakan mangsa untuk mengecam identiti mangsa di
hospital, kelmarin.

Identiti mayat itu kemudian disahkan sebagai Razlan berdasarkan baju

serta rekod pergigian.

Jenazah Razlan kemudian dibawa pulang ke rumahnya pada tengah malam

kelmarin dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang
pada jam 11.30 pagi semalam.

Sementara itu, jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang,

berkata, mangsa dipercayai lemas, bagaimanapun siasatan masih dijalankan
untuk mengetahui punca sebenar.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Seorang rakan sekelas mangsa, Mohd Hafizin Mohd Yusof, 22, berkata, kali
terakhir dia bertemu Razlan ialah pada 16 Februari lalu.

Menurutnya, ketika itu, mereka sempat keluar makan bersama di Serdang

sebelum Allahyarham menghantarnya pulang ke Uniten pada jam 11.30 malam.
"Ketika itu kami sedang bersiap untuk menghadapi peperiksaan dan Razlan
kerap mengulangkaji pelajaran bersama rakan lain.

"Yang saya tahu, dia tidak muncul ketika peperiksaan pada Khamis, iaitu

19 Februari. Bagaimanapun, saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah
kejadian sebenar diketahui semalam, katanya ketika ditemui di tanah
perkuburan Sungai Tangkas, semalam.

Razlan adalah pelajar yang aktif dan mewakili Uniten dalam sukan bola

sepak," katanya.

Rakan karib mangsa, Shahrul Farelli Zulkifli, mereka berkawan baik sejak

sekolah rendah sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah sains di
Kuantan.

"Kami kemudian sama-sama menyambung pelajaran di Uniten. Razlan pelajar

yang rajin dan baik. Sukar untuk saya percaya dia sudah tiada lagi,"
katanya.

Menurutnya, mereka kerap menghabiskan waktu hujung minggu untuk bermain

tenis bersama-sama.
(END)

Sambil menatap akhbar, hamba dan teman-teman mula berbincang tentang kisah Razlan ini di dalam sunyi sepi perpustakaan.

Teman A

Korang kenal Razlan ni?


Hamba
Budak Bangi, mana aku nak kenal. Kau tanya Loque mungkin dia kenal. Diakan Best Speaker Debat.


Teman B
Kesian, ini mesti sebab pressure final exam macam kita sekarang. Patutlah dia bunuh diri.


Hamba

Mana patut. Dia tak fikir ke sebelum bunuh diri.


Teman A

Dia fikir dia ada bajet nak pergi bunuh diri sampai ke Pulau Pinang. Sebab itu dia keluarkan RM100. Cukup buat bayar tol.


Teman B

Habis, dia tak habiskan pengajianlah?


Hamba

Buat rugi duit mak bapak saja. Mesti mak bapak dia sedih anak dia buat macam ni.


Tiba-tiba seorang lagi teman, hamba namakan Teman C yang dari tadi mendiam saja muncul menyampuk.


Teman C

Habis, kereta kancil dia siapa yang bawak lepas ni?


TAMAT

p/s: Seronok kalau kita bergaul dengan mereka yang berfikir di luar kotak. Percayalah cakap hamba.


Read more

Kembara Tanah Jawa



Hamba cukup tak suka dibebankan dengan kerja yang menimbun. Bila kerja menimbun bak Gunung Korbu mulalah hamba naik malas dan serabut. Tapi nak buat macam mana, hamba kerja dengan surat khabar. Tak buat, tergendalalah semua kerja.

Baik menulis, selamba saja. Bila-bila di mana saja. Hamba nak letak puisi, tentang impian jangka pendek hamba.
...selanjutnya TUAN HAMBA tekan sini

Ribu riban ku kumpul penuh dalam kocek,
Puas hati buat berkelana meredah macet,
Ribu-ribu manusia sedang menunggu,
Takkan puas ku nak tangkap mereka hidup-hidup!
Tangkap mereka cantik-cantik
Baik punya...

Aku mahu ke Tanah Jawa,
Meredah manusia dan pelbagai ragamnya,
Aku mahu berkelana ke Tanah Jawa,
Mencari makna hidup dan pengisiannya,
Aku mahu berkelana ke seluruh pelusuk Tanah Jawa,
Menjelma sebagai manusia yang penuh ruang lopong,
Sarat kisah,
Sipis nikmat,
Serba kurang,
Siap sedia,
Serah diri,
Kepada takdir dan waktuNya

Aku mahu jejak Jakarta,
Buat sekali lagi,
Dalam banci nafas hidup aku,

Aku mahu jejak Cengkareng,
Terus ke Jakarta,
Mencari sisa sabar warga macetnya,
Singgah ke Bogor,
Mencari suara sedap warga sihatnya,
Rentas Sukabumi,
Luang waktu di Bandung,
Meninjau anak gadis putih melepak,
Juga kenapa aku tak bisa rajin seperti pendiamnya,

Aku mahu singgah ke Tasik Malaya,
Mahu mencari kait,
Aku, tanah airku dengan pasir tandus di situ,

Aku mahu berjumpa mbok-mbok di Purwakarta,
Belajar melenggang, belajar menari,

Aku mahu ke kota Jogja,
Menemukan sahabat yang lama ku tinggalkan,
Aku mahu menghabiskan waktu,
Berbual bicara,
Bertepuk tampar,
Menangis menjerit,
Kisah kami 10 tahun dulu,

Aku mahu curi tanah hitam di kaki Gunung Merapi,
Untuk ku tabur di keraton Solo,
Bakinya ku simpan untuk warga Surakarta,
Kut barangkali ada anak belum gedenya yang belum menginjak ke Candi Borobodur,

Aku mahu curi tanah gambut di Surabaya,
Untuk ku sebatikan dengan tanah petani di Malang,
Agar bumi ini terus berjalan,
Biar tua, tapi tak menderita,
Kerna ku tahu anak warisnya tetap berbakti,

Aku mahu ke Banyuwangi,
Makan berulam daun kemangi,
Persiap diri busana dan wangiku,
Untuk perjalanan ke Kuta - Bali,

Aku tak lupa kecak,
Aku tak lupa canda gurau manusia di Jawa,
Semuanya sudah ku tangkap beremosi jitu,
Buat bekal akhir perjalananku,
Mahu meninggalkan Tanah Jawa,
Biar manis segala kenangan,
Biar bermain di alam anganan,

Juta-juta batu aku nak pergi,
Ada waktu aku perlu simpankan,
Bila mana aku dan impian,
Harus aku simpulkan,
Buat kenangan
Hidup untuk dikenang
Sampai ke tua,
Biar asyik terkenang,

Tapi apakan daya,

Semua ini hanya impian,
Ribu riban belum penuh di kocek,
Ada hati nak berjalan meredah macet,

Di mana tempat aku nak simpulkan cita-cita?

Di mana tempat aku nak lukiskan angan-angan?

Mana lagi kalau bukan di atas kanvas hatiku,

Biar jadi pedoman dan azam,
Bahawa suatu hari semua ini bisa terjadi,
Dan aku takkan pernah menyesal,
Berbuat sesuatu yang bikin aku gembira,
Berjalan, melihat dan mentafsir.
Read more

Mencari Teman Untuk Ke Sunburst 2009

Hamba ada banyak teman, tapi teman sengkek. Bukan nak mengutuk tetapi hamba lebih rela mereka belanjakan duit mereka untuk hal yang lebih mustahak.

TAPI hamba tak nak lepaskan peluang secara berkali-kali. Dah banyak kali hamba terlepas peluang untuk membuat perkara yang hamba suka, tetapi atas sebab yang lebih mustahak hamba terpaksa ketepikan hasrat itu.



Kali ini sudah tak terbendung lagi. Hamba akan dan nekad mahu pergi ke Sunburst Music Festival 2009 yang bakal berlangsung pada 21 Mac 2009 di Bukit Kiara Equestrian Club. Hamba punya suntuk masa untuk memikirkan hal siapa teman hamba nanti kerana tarikh akhir tiket early bird adalah pada 8 Februari 2009.

Jadi hamba putus untuk beli dan pergi seorang diri.
...selanjutnya TUAN HAMBA tekan sini


Hamba tak mampu nak beli tiket selepas 8 Februari yang berharga RM 203 dan RM253. Jadi tiket early bird yang berharga RM143 adalah yang terbaik untuk hamba.



Kenapa hamba nak sangat pergi ke Sunburst kali ini?

Sedih kan?



Sebab senarai nama ini -

1. Jason Mraz
2. Coldplay
3. Foo Fighters
4. John Mayer
5. The Script
6. David Archuleta
7. Switchfoot
8. 30 Seconds to Mars
9. Daft Punk
10. The Academy Is...
11. Boys Like Girls
12. Jamiroquai
13. Lifehouse

Macam mana hamba nak lepaskan peluang menonton The Genius Love Company macam Coldplay, John Mayer, Foo Fighters dan lain-lain?!!!

Untuk itu hamba iklankan diri hamba untuk menjadi teman sesiapa yang nak pergi ke sana, dan keseorangan juga. Terbuka kepada sesiapa yang sudi melayan kerenah manusia pelik bernama Amer Yusof. Aku baru saja pasang 'read more' dan tak menjadi. Artikel (artikel ke?) ni panjang lagi, jadi tekanlah 'read more' kat bawah ni ya. Untuk keterangan lanjut mengenai Sunburst tekan sini
Read more

Warta Royan 0003 - Siput & Tunggul

Selesai aku dan sahabat baik, Loque menghadiri majlis tunang kawan kami - Amin yang mana pada awalnya kami tak berhajat nak pergi melanggar adat kerana tak pernah hayat hidup aku berbudayakan bakal pengantin lelaki datang berbondong-bondong ke majlis tunang di rumah pengantin perempuan.

Tetapi mengenangkan kami semua sudah sepakat untuk menghadiri majlis tunang fesyen baru ini, maka aku gagahkan diri untuk ke majlis tersebut. Sebenarnya aku menjadikan majlis tunang tersebut sebagai alasan untuk aku mengelakkan diri daripada terlibat dalam satu acara lain.

Dipendekkan cerita, kami semua (sedozen ahli rombongan) bercadang untuk berjumpa di Sunway Piramid selepas majlis tunang tersebut. Aku dan Loque tak kisah menghabiskan masa bersama sahabat-sahabat baik ini, sementelah ketua rombongan yakni sahabat baik kami orang, Rais Kerang beriya-iya merancang perjalanan aktiviti pada hari itu. Rais Kerang pun baru saja bertunang senyap-senyap akhir tahun lepas, jadi inilah masanya dia memperkenalkan bakal isterinya kepada kami.

Sejak masing-masing menempuh alam kerja, masa untuk bersama macam dulu memang terhad. Kami semua sekepala, dari dulu lagi sekepala. Cuma, hari itu waktu berubah maka masing-masing pun berubah. Aku pada awalnya fikir kami akan main boling ataupun main luncur ais. Aku dan Loque berborak sakan, tapi kami tahu kami berjalan naik ke pusat boling.

Tiba-tiba Rais Kerang cakap "Jom tengok wayang!" sedangkan kami dah betul-betul berada di depan pintu masuk tempat main boling tu.



Kami terus beratur, dan masing-masing mencadangkan filem pilihan masing-masing. Aku sebagai peminat filem yang 'pelik' mencadangkan filem Changeling sambil mempromosikan konon ada aksi 'luar biasa' daripada Angelina Jolie. Loque mahu tonton Ong Bak, dan sibuk mempromosikan aksi filem itu. Afiq Kecoh mahu mempengaruhi kami untuk tengok filem Underworld 3, dan aku bilang "Underworld 3 dapat bad review", disebabkan aku orang media hampir saja mereka percaya. Rais Kerang bagitahu filem Ong Bak, Underworld 3 tengah laju jualannya.

Aku nampak filem Changeling tiada masa depan, terus aku mempromosikan komedi yang sedikit berotak - Bride Wars. Tapi dalam barisan mereka putuskan mahu tonton Sifu dan Tongga.

Alamak! Aku dan Loque merancang untuk belot. Aku dan Loque buat pilihan pertama Ong Bak 2, atau pilihan kedua - Bride Wars.

Bila masuk kaunter, Rais terus meluru laju sementara aku dan Loque ke kaunter lain. Kami akhirnya pilih untuk tengok Bride Wars. Dalam sibuk memilih tempat duduk, Rais Kerang datang dan bertanya "Hey! Aku dah beli tiket hang lah!"


Aku dah Loque terpaksa pura-pura tak kisah. Kami pun mahu ambil hati Rais sebab abang dia bekerja untuk produksi tersebut, yang mana aku hormat produksinya yang menitikberatkan bacaan doa sebelum mula tembak. Jarang produksi filem kita buat macam tu. Berbalik kepada kisah, lagipun Rais yang beriya-iya mahu gathering hari itu.

Sepanjang hayat aku, aku hanya menonton filem Prof A Razak Mohaideen di kaca TV, dan pernah membeli VCD cetak rompak Cinta Fotokopi, yang mana aku patahkan cakeranya setelah habis tonton.

Tapi aku mengakulah, tahun lepas aku dan Loque tergerak hati nak tengok Duyung, dan akhirnya aku dan Loque sama-sama sakit hati dengan filem yang.....entahlah. Sejak itu aku dan Loque sudah trauma nak tengok filem A Razak Mohaideen.

Jadi, apalagi kalau filem Sifu dan Tongga ni. Tengok treler pun aku tak lalu nak tengok, apalagi nak tonton di wayang. Tapi hari itu nasib kami malang, terpaksa habiskan masa hampir 2 jam untuk bersama-sama manusia kasta mana yang boleh tergelak dengan lawak yang.....entahlah.

Sepanjang filem itu berputar, aku dan Loque sibuk mengkaji karektor manusia yang ada dalam pawagam, dan sampai sekarang masih tertanya-tanya - Kenapa mereka buang RM11 untuk filem ini?

Akibatnya, aku dan Loque meroyan sakan dalam panggung. Makan hati dan sakit hati dengar gelak tawa yang tak perlu.

10 Sebab kenapa aku dan Loque seolah meratap meroyan dalam panggung hari itu.

1. Kami sakit dongak kepala sebab terpaksa duduk 4 baris dari skrin.

2. Beli bertih jagung, tapi tak lalu nak makan sebab tertengok adegan kotor yang tak perlu. Dan yang paling penting, selama ini tengok filem sambil makan pop corn ala-ala enjoy/layan tapi kalau dah tak enjoy, nak makan pun tak lalu.

3. Masih hairan macam mana seorang anak gadis orang asli boleh pakai kain yang jahitannya kemas ala couture. Rizalman Ibrahim ke yang jahit?

4. Bahasa puak Watson dalam filem itu yang...entahlah. Orang yang sibuk gelak tu, tak terasa diperbodohkan ke?

5. Masih tak faham kenapa seorang editor akhbar Sinar Harian boleh berumah banglo, dan bersekedudukan dengan jurugambar lelakinya. Dan berpakaian ala awak tu pengacara rancangan Fesyen TV.

6. Tak tahu pulak kat balai polis / lokap, pegawai polis kena jugak pakai baju kuning (buat sekatan jalan tu) dan motif? pegawai polis sibuk tanya mana selipar jepun dia. Nak dijadikan cerita kan?

7. Tak tahu pula orang asli boleh masuk ke studio TV menerusi jalan belakang, dan dalam banyak-banyak studio boleh dan semudah-mudah masuk ke set. Betapa mudahnya kawalan keselamatan di sebuah stesen TV nasional, sedangkan di Iraq pun berduyun-duyun askar jaga masa perang dulu. Bukan ke kalau nak serang negara, baik serang pusat medianya terlebih dahulu.

8. .Tak tahu pulak akhbar Sinar Harian dicampak ke premis jualan pada waktu yang agak lewat pagi, dan penjaga premis buat-buat tak nampak akhbar yang baru sampai itu dicilok Sifu dan Tongga. Dan, Sinar Harian tak perlu taja filem ini semata-mata nak naikkan jumlah pembaca. Ada baiknya jaja nama baik akhbar dalam filem yang cerdik, dan filem ini bukanlah filem yang tepat. Tak baca skrip filem dulu ke?

9. Tak tahan tengok Fouziah Gous kena kurung dalam sangkar besi macam haiwan. Perlu ke seorang editor akhbar buat sampai macam tu sekali (baca: perlu ke seorang Prof boleh arah sampai macam tu sekali) terhadap seorang manusia yang sebenarnya tak berbahaya tahap gaban pun. Siap sebut "Dia jinak...dia jinak". Jinak? Keji punya skrip! Hal ini boleh dibawa kepada Suhakam.

10. Dengan menyatakan tahun Jepun datang menyerang, bila Tanah Melayu merdeka dan bla, bla, bla bukannya mencerdikkan filem ini untuk penonton seperti kami. Hujah itu semua sangatlah dangkal.

Untuk itu aku dan Loque memang dah taubat nasuha setelah 'tertengok' filem Prof buat kali kedua. Kami percaya, kami bukan orang pertama yang mengkritik filem prof ini, tapi kami yang tak ambil pusing filem prof ini masih rasa menyesal yang amat sangat membuang duit menonton filem yang tak menjana minda ini.

Kami MUNGKIN AKAN MEMPERTIMBANGKAN UNTUK MELUANGKAN MASA UNTUK MENONTON filem Prof. A Razak Mohaideen pada masa akan datang jika...

1. Dikritik bagus oleh A Wahab Hamzah/ Noor Azam Shairi atau sekurang-kurangnya dipuji oleh Rudy Imran atau Zubir atau kesemua pelajar dan bekas pelajar Prof (yang kami kenal) mengesyorkan kami menonton filem Prof.

2. Diiktiraf baik (mungkin terbaik) oleh FFM atau setidak-tidaknya di majlis Oskar PPFM.

3. Tiara, Ahmad Yatim, Rahim Razali, Zahim Albakri, Umie Aida, Afdlin Shauki, Deanna Yusof atau mana-mana aktor gred-A++ sedia membintangi filem Prof.

4. Prof bikin filem khas untuk tayangan percuma di TV, mungkin di Astro Kirana.

5. Dibayar untuk tonton filem (dengan bayaran yang berpatutan untuk 2 jam penderitaan).

p/s: Terimalah Header baru, hasil kerja aku dan Liyana (produk UiTM)...selanjutnya TUAN HAMBA tekan sini
Read more

Alkisah : Hukum PIAT di Wilayah Kecil

Nota: Ini kisah peribadi , jadi hamba guna kata ganti nama 'aku' kerana kata ganti nama 'hamba' hanya hamba gunakan di blog ini, dan apabila bercakap dengan sanak saudara di kampung halaman. Harap maklum

Zaman kanak-kanak kalau nak dicerita memang tak kering gusi. Aku pun sama, banyak yang lawak dan segan nak kenang kembali. Walaupun ramai yang kata kalau dikenang juga, memang akhirnya kita akan rasa "Bebudak sekarang ni memang bertuah sebab bla bla bla bla". Kalau nak kata zaman kecil aku serba kurang, rasanya tak. Setidak-tidaknya dalam hal yang seperkara ini.


Aku dulu masa umur 7 tahun sampai 12 tahun tinggal di Paka, Terengganu. Memang jauh dari Kuala Lumpur, dan pencapaian hebat di dalam kelas, selain akademik ialah kejayaan melancong ke Kuala Lumpur.

Adalah seorang dua anak-anak jiran aku yang bergaya dengan kemeja cetak 'Kuala Lumpur' segala. Nak cemburu? Tak ada makna, sebab aku dah jejak kaki ke KL buat pertama kali dalam hidup pada 18 Jun 1994, dan percutian ke KL itulah menyebabkan aku tak berjaya menggondol hadiah 'Kehadiran 100%' sempena Hari Penyampaian Hadiah Tahunan Sekolah Kebangsaan Cacar (sebelum ditukar namanya kepada Sekolah Kebangsaan Seri Paka, setelah ramai ibubapa merungut, anak-anak mereka digelar 'wabak cacar' setelah dua tahun sekolah itu beroperasi).


Berbalik kepada kes Kuala Lumpur- Paka dulu, aku dan kawan-kawan ada sedikit anti (atau envy?) terhadap budak-budak KL. Almaklumlah, Paka daerah yang kami mastautin itu dihuni orang-orang luar juga. Paka dan Kerteh adalah dua wilayah minyak yang mengakibatkan ketagihan ramai pendatang luar dari Terengganu.

Dalam kelas, sejak kecil ada yang tak berapa suka bergaul dengan bebudak KL sehinggalah bebudak ini terpaksa mengasimilasikan diri mereka dengan budaya setempat, budaya pantai timur. Kalau tak, susahlah masa depan mereka sebab kebanyakan budak-budak luar KL memilih untuk mendalami budaya setempat hingga fasih berbahasa daerah macam aku dan kawan-kawan. Sebab itu wilayah kami, maka mereka yang masuk ke wilayah kami harus bercakap dalam bahasa kami.

Tersebut alkisah, 10 tahun selepas itu, aku dan keluarga pun sudah tak tinggal sana. Bapak aku ditukarkan ke Perak selama 5 tahun, dan kemudian sekarang menghabiskan waktu pencen di kampung halaman ibu, di Kampung Geliga, Kuala Kemaman.

Dalam tempoh sepuluh tahun banyak menukar pemikiran aku bahawa aku tak wajar duduk dalam satu-satu wilayah, menghuni dan mendiam sekadar saja. Aku harus pergi merantau dan mengenal dunia luar. Itu yang berlaku sejak 2003 hingga sekarang. Aku bebas ke sana ke mari tanpa halangan ibu dan bapak. Jadi bila kita kenal serba sedikit tentang orang luar wilayah kita, maka kita tak kisah sangat akan tindak tanduk mereka-mereka ini.

Cerita yang aku nak kongsikan ini berlaku dua tahun lepas, ketika musim Aidilfitri. Aku biasalah, bila balik kampung aku tak suka sangat nak kehulu kehilir, sebab dah biasa sangat dengan kampung aku jadi nak merewang pun rasa malas. Balik kampung bagi aku adalah waktu untuk tidur. Mak aku pun rimas sebab port dia aku take over. Port apa? Port depan TV lah.

Rumah kampung aku ada Astro, yang aku bayarkan bulan-bulan. Manakala, rumah bujang aku di KL, nan ado. Piring mangkuk pun segan nak ada, apa lagi piring Astro. Jadinya, balik kampung cuti aku tidur, makan (makanan kat kampung aku mewah, namakan saja; keropok lekor? satar? otak-otak? nekbat? ikan bakar? pari bakar? kerabu mangga? nasi dagang? taik itik? Semuanya ada disini!), dan tengok TV lah.

Bila tengok TV aku suka kalau aku pegang alat pengawal. Kalau orang lain kawal, maknanya 'wilayah kecil' aku tu sedang terancam. Bila aku naik takhta, maka akulah yang akan memerintah segala macam benda kat situ.

Rumah aku dah tak ada kanak-kanak Ribena sejak adik bongsu aku akil baligh, dua tiga tahun kebelakangan ini. Rumah itu, kalau tak ada kanak-kanak memang sunyi. Malangnya, raya tahun itu rumah aku cukup lengkap dengan segala peringkat umur kanak-kanak. Kalau korang, rimas tak?

Aku ada ramai anak saudara, dan mereka ini terbahagi kepada tiga.

1. Sekumpulan anak-anak Terengganu jati yang memang dah berkuasa kat rumah atuk nenek mereka,

2. Kumpulan kedua adalah anak-anak saudara yang sering balik kampung, dan mampu menguasai budaya kedua-dua wilayah - KL dan Terengganu, manakala

3. Sekumpulan lagi ialah mereka yang jarang balik, atau selalu balik TETAPI masih tebal dengan budaya wilayah luar.


Alkisah, anak saudara yang bernama timangan Sulong ini memang bermulut lancang (seperti pak ciknya), dan anak saudara bernama timangan Adi ini memang jenis selamba badak dan hyper tahap Tom & Jerry. Sulong mewakili kumpulan pertama yang memang dah tahu selok belok wilayah rumah keluarga aku. Makanya, setiap kali raya si Sulong ini akan jadi penyambut tetamu. Adi pula mewakili golongan ketiga yang kalau balik, dia peduli apa dengan cara dia asalkan dia suka dan seronok di kampung.

Sulong dah matang sikit, dan tahu pantang larang serta undang-undang wilayah rumah kami itu. Jadi, dia abaikan aktiviti seperti berlari sampai nak runtuh rumah kayu itu, dan juga usik adik dia sampai budak tu menangis tanpa sebab yang kukuh.

Adi tak tahu undang-undang. Dia turun aje kereta dia terus lompat-lompat dan mengejar kucing-kucing + ayam-ayam yang ada.

Jadi, apabila Adi si budak bandar kelihatan serba tak kena di mata Sulong si budak kampung, maka mood si Sulong ini akan jadi tak seronok. Dan, selalunya Iman (wakil kumpulan kedua) akan jadi perantara. Sulong akan tegur si Adi melalui Iman, sebab Iman boleh berkomunikasi dengan si Adi. Adi bila disuruh bercakap dalam loghat Terengganu hanya akan menjawab dia tahu sebut "To'ki, Adi tak mboh!".

Dan ketika tibanya waktu bersemayam sang raja TV (akulah tu), maka bebudak ini harus diusir dari wilayah aku. Remote mesti di telapak tangan aku, dan mereka TIDAK dibenarkan sama sekali buat onar yang melanggar undang-undang wilayah kecil aku tu.

Tapi, belum sempat program di saluran Astro 555 (Hist) menjangkau 30 minit, bebudak ini mula sibuk berlari ke hulu ke hilir atas rumah. Malang sekali waktu itu malam, maka aku tak nak suruh mereka main di luar rumah, elok saja berada dalam rumah. Maklum saja, bila bebudak ini berlari di atas papan rumah kayu mau bergoyang satu rumah. Kaum-kaum ibu takkan perasan sebab mereka sibuk di dapur batu, wilayah autonomi mak aku. Jadi yang menanggung sakit hati, akulah!

Aku dulupun suka berlari, cuma waktu aku kecil kira bertuah sebab rumah lama aku rumah batu. Takde gangguan kalau setakat nak berlari asalkan jangan ditengah kesibukan khalayak. Tapi, kini tak boleh. Rumah kayu ni, kalau aku berlari nak berebut guna jamban dengan adik beradik aku pun mak aku boleh naik darah.

Aku mulanya cuba anggapkan mereka ini sebagai X dan abaikan. Tapi, kalau dah sampai babak berkejar-kejaran ala-ala Police Story menjadi babak air mata ala-ala Kabhi Khushi Kabhi Gham, pastinya aku akan tukar babak itu menjadi babak ganas seperti dalam filem Sinking of Japan!!

Amukan aku tak berjaya membuatkan si kecil Lisa berhenti menangis, dan untuk mengubat luka di hati budak ini aku terpaksa menyerahkan cokmar diraja wilayah aku (remote control) kepada si Lisa ini untuk dia hayati rancangan Hikayat Putera Shazlan (yang aku pelik, bersiaran tak kira pagi petang hinggalah ke pagi buta).

Terlepas tengok cerita sejarah Nostrodamus, aku naik darahlah. Sulong jawab Adi panggil dia "So Long", dan Iman api-apikan cakap apa itu "So Long". Itulah kesnya. Adi sebagai kaum pendatang harus menerima hukuman daripada pemastautin tetap si Sulong, dan Iman menjalankan tugas untuk menangkap pendatang tanpa sopan tersebut.

Dia orang fikir rumah mak bapak aku tu lokasi drama Gerak Khas?

Aku yang baru turun takhta tanpa banyak bicara melancarkan perang, dengan kata-kata sakti.

"Tadi Ayah Chik (akulah) pesan siapa yang buat bising (di wilayah kecil ini) kena apa?"

Semua - "Piat"

"Nak kena piat?"

Akur dan sudah dikepung lantas mereka semua beratur, termasuk adik bongsu aku -Sidek yang awal sebelum kisah ini telah sengaja mengunci pintu biliknya agar bebudak ini tak masuk, dan kacau dia main PS2. Sidek telah melanggar kontrak perjanjian antara aku dan dia, agar dia menjaga bebudak sengal ini.

Aktiviti Piat adalah hukuman yang popular, namun tidak dianggap serius. Rujuk Kamus.

piat II; memiat 1. memial, memulas; 2. Kl pukul, sebat (dgn benda kecil spt lidi, rotan, dll).Kamus Dewan Edisi Empat


Selesai memiat mereka, aku suruh mereka hayati babak Mak Som mendera Putera Shazlan.

Selamat Menyambut Hari Wilayah
kepada penghuni Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.


Rumah kami adalah wilayah kecil kami, dan begitu juga Malaysia dan wilayah-wilayahnya. Kepentingan harus dijaga.
Read more

penggemar