Kak Ani lagi sedih...


Nak kata kecewa, memang Kak Ani sudah lama kecewa dengan senario irama tradisional yang dilihat kian terpinggir. Cuma Kak Ani perlu sentiasa kena ada inisiatif ke jalan positif untuk terus menarik lebih banyak minat pencinta muzik etnik. Sedar atau tidak sedar, stesen radio Hot FM dan Era sebagai contohnya memutarkan lagu negara seberang tapi masih mempunyai sentuhan etnik biarpun berirama pop. Sebagai contoh, ada lagu dangdut Indonesia yang diadunkan dalam irama pop komersial. Kita lebih suka menilai dan memberi komen tetapi tidak pernah ada usaha untuk melakukan perkara yang sama dilakukan pengkarya seni dari Indonesia. Justeru, kita kena membuka mata untuk memperkasakan irama tradisional dengan cara bereksperimentasi antara kreativiti, tuntutan semasa dan menyerapkan sendiri elemen etnik yang sedia adaluah Noraniza Idris, dalam Berita Harian 28 November 2008

Memetik kata-kata Kak Ani dalam akhbar hari ini, hamba terpanggil untuk berkongsi pendapat mengenai kepupusan irama tradisional masyarakat Melayu saat ini, yang seriusnya agak ketara kelihatan. Hamba sedih dengan nasib komputer hamba, tapi hamba melihat luas, nampaknya Kak Ani lagi sedih dengan nasibnya.

Kepupusan perkembangan muzik tradisional Melayu hampir serupa dengan kepupusan mercu-mercu Melayu yang lain seperti tulisan jawi, makanan tradisi, adat resam dan terutama sekali Bahasa Melayu itu sendiri.

Muzik tradisional Melayu yang luas dari Sabang ke Marauke, dari Kra, Thailand ke Selandia Selatan, New Zealand. Muziknya luas. Tersangatlah luas. Sampaikan hamba dikutuk apabila mengaku laghu-lagu berentak gemalai Hawaii juga punya elemen Melayu.

Satu yang harus difahami semua ialah konsep dunia Melayu ataupun Nusantara. Kalau dirujuk, ruang lingkupnya luas, dari Madagaskar ke Hawaii, dari Taiwan ke Selandia Baru. Tak guna hamba terang panjang lebar disini, kerana tujuan hamba untuk bercerita mengenai muzik tradisional. Ada baiknya, anda google menerusi Wikipedia, semuanya tercatat lengkap di sana.

Bercakap mengenai muzik Melayu, lewat 90an dahulu muzik tradisional yang enak kita teriak Irama Malaysia (sedangkan irama tersebut juga dikongsi di Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan lain-lain negara). Zaman kegemilangan Ratu Pop Etnik, Noraniza Idris lewat lagu Awallah Dondang, Dikir Puteri, Ngajat Tampi dan banyak lagi sebenarnya amatlah dirindui. Jualan album Kak Ani ketika itu mencecah 100,000 unit. Okay, relevan; kini tahap berjaya seseorang artis tidak bergantung kepada jualan album semata-mata kerana program muat turun dan nada dering juga memberi pulangan lumayan. Tapi hakikatnya kini, produksi yang menampilkan muzik sebegini makin hari makin kurang.

Kita ada penyanyi pelapis yang hamba kira begitu berkualiti seperti Syura, Haziq, Nas Adila, Mawi, kump Akasia, kump Flava dan beberapa nama. Malahan, nama-nama besar seperti M Nasir, Jamal Abdillah, Nash, Aishah, Ramlah Ram, Kopratasa, Zainal Abidin juga pernah cemerlang tatkala membawa lagu-lagu sebegini. Penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza pun lebih cemerlang dengan irama Melayu jika dibandingkan dengan nyanyian pop beliau yang tak ada beza dengan penyanyi-penyanyi yang sedia ada. Kenapa muzik dan penyanyi lagu-lagu Melayu tidak mampu bernafas?


Gambar : Syura dan Haziq, tugas berat mereka menjunjung irama budaya Melayu.

Betul bak kata Kak Ani, stesen radio kita yang menjadi punca. Stesen radio kita sendiri yang secara halus membunuh irama ini. Kenapa? Fikir-fikirkanlah.

Kemana hala tuju muzik tradisi bangsa kita selepas ini?
Read more

Kekasih Sedih

Kekasihku merengek,
Kekasihku merintih,
Kekasihku menangis,
Pada petang khamis yang sepi
Aku tergugah bimbang,
Kehilangannya

Kekasihku menjerit,
Bahawa aku tak pernah memikirkan tentang dirinya,
Kekasihku tak bercanda,
Meninggalkan layar hitam untuk ku fahami,
Maksud dan hakikat
Takdir dan kehidupan

Jangan pergi dulu kekasihku,
Aku belum puas,
Bersentuh- sentuhan,
Saling berpandangan,
Saling bercanda,
Bercumbu rayu,
Malah menangis sendiri di hadapmu

Kekasihku menjerit lagi,
Dan lagi,
Menyedarkan aku betapa
Dia tak mampu bertahan,
Panas yang sekian lama mencengkam
Haba yang menyirap segenap kapilari,
Bagai mahu memuntahkan dendam

Kerana aku tak pernah cuba memahaminya,
Kerana aku hanya mempergunakannya,
Kerana aku tak betah melayani kemahuannya,

Aku memang manusia bodoh,
Tak reti menjaga hati dan perasaan,
Dia yang selama ini berjasa,
Dia yang selama ini setia

Aku memang manusia selenge,
Tak reti mengawal dan mengurus,
Benda yang selama ini patut berjasa,
Benda yang selama ini aku gigih usahakan,

Aku kerunsingan,
Kerana kekasihku mohon diri,
Mohon agar aku menyelamatkan,
Mohon agar aku mencurahkan ringgit sebagai korban,
Kerana kekasihku punya benda itu,
Benda yang ku butuh daripada angan-angan,
Benda yang nilainya lebih daripada sang ringgit,

Wahai kekasih,
Sembuhlah semula,
Bercandalah denganku,
Renunglah mataku,
Pulangkan benda itu,
Pulangkanlah segalanya


Kekasih Sedih - 6.24pm, Jalan Liku Bangsar KL
Read more

Tunggu Sekejap Sang Nyonya



Tunggu sekejap wahai kasih,

Kerana hujan masih renyai,
Tunggu sekejap;
Dalam pelukan asmara ku

Jangan bimbang,
Walaupun siang akan menjelma;
Malam ini,
Belum puas bercumbu dengan dikau

Tunggu sekejap wahai kasih,
Tunggulah sampai hujan teduh;
Mari ku dendang,
Jangan mengenang orang jauh

Jangan pula,
Jangan tinggalkan daku sorang;
Tunggu sekejap kasih,
Tunggu

Tunggu Sekejap - P Ramlee



Fakta

Awal dan pertengahan kurun ke 20, di Tanah Melayu akibat daripada penjajahan Inggeris, kaum minoriti Peranakan Cina atau Baba dan Nyonya telah digembleng tenaga untuk diajar dengan didikan Inggeris. Oleh kerana sejarah kaum ini yang amat mudah menerima pengaruh luar maka tidak hairan m
ereka mampu berkuasa di sebilangan negeri-negeri selat di Tanah Melayu ketika itu dengan memegang jawatan penting dalam pentadbiran Inggeris.

Namun, diselak balik sejarah asal usul kaum ini, mereka dikatakan datang sejak zaman Laksamana Cheng Ho yang bertandang ke Melaka pada kurun ke 16 lagi. Dan seiring dengan kehadiran Puteri Hang Li Po di Istana M
elaka. Kaum ini sudah diasimilasi atau disebatikan dengan budaya Melayu hingga beratus tahun lamanya hingga mereka menyerap semua budaya asas Melayu seperti makanan, pakaian, serta paling ketara - makan dengan tangan dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.

Hiruk hidup kaum ini juga tak lari daripada sengketa dan nestapa. Dikatakan kaum ini tidak menyenangi kehadiran kaum Cina pendatang kurun ke 18. Mereka juga tidak mengakui bahawa mereka berketurunan asal Cina sedangkan jelas nyata mereka masih membawa pengaruh Cina seperti tocang kepala yang menjunjung kedaulatan Dinasti Manchu, serta dialek Baba yang serupa dan senada dengan dialek Hokkien di Tanah Besar Cina selain agama majoriti mereka masih Buddha dan adat perkahwinan mereka masih asli budaya Cina. Kini, kaum Baba & Nyonya dianggap sebagai minoriti berstatus Bumiputera dan menikmati keistimewaan sama seperti bangsa Melayu dan suku-sukunya.

Jauh di kota Jakarta, kaum peranakan kini Tiongh
ua hidup makmur (selepas reformasi berdarah 14 Mei 98) dan budayanya sama juga seperti di kota Melaka. Pengkisahan sejarah mereka sedikit berbeza, namun adat budaya dan kesebatian budaya mereka dengan budaya nusantara berlangsung tanpa aman dan terus-terusan.

Kaum Baba di Indonesia menjadi mangsa diskriminasi dan sering di tindas biarpun mereka telahpun mengorbankan hampir seluruh budaya asal mereka untuk disatukan dengan budaya setempat. Kisah masyarakat ini sering diceritakan dalam filem-filem mutakhir ini seperti filem Ca Bau Kan dan Gie.

Lantas, hamba berkesempatan membandingkan sisi hidup pejuan
g kaum Peranakan di Tanah Melayu dan Tanah Jawa yang nyata menerima nasib berbeza. Tan Cheng Lok masyhur di Malaya, sementara Soe Hok Gie di Jakarta lara dengan mata penanya.

Secara ringkas; inilah sejarah kaum Baba & Nyonya yang masih wujud baik di Melaka dan Jakarta mahupun Pulau Pinang dan Singa
pura.

Hamba mengambil contoh dua buah filem yang memaparkan watak peranakan dengan dilema mereka tersendiri sekadar untuk anda semua renung-renungkan:-

Gambar DAN kisahnya:

Sepet(2005) menampilkan watak Ibu kepada Jason; seorang wanita Bumiputera keturunan Nyonya yang tidak fasih berbahasa Mandarin di rumah mereka. Jason dalam kisah ini tidak mendapat biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran biarpun keputusan SPMnya jauh lebih baik daripada Orked, gadis Melayu lakonan aktres Melayu + Arab + Cina - Sharifah Amani. Jason dalam kisah ini digambarkan bukan sebagai salah seorang anak Bumiputera, sedang jelas ibunya berketurunan Baba dan Nyonya.

Gie(2005) merupakan filem hebat dari Indonesia yang membawa perjuangan dan kisah hidup penulis kritis berbangsa Peranakan Cina Indonesia - Soe Hok Gie lakonan mantap Nicholas Saputra. Gie seorang penulis yang berjaya menyiat halus hati rakyat bumiputera Indonesia (disana, istilahnya - pribumi) bila mana pemuda bergelar mahasiswa ini menuntut keadilan ke atas semua kaum. Gie wujud sebagai salah satu watak yang lara dalam perjuangan dan jasa besarnya terhadap warga Indonesia.


Mitos

Pembacaan hamba menerusi kisah-kisah mereka ini membawa hamba kepada satu idea untuk menulis kisah mengenai kaum Baba dan Nyonya. Ia sudah dirangka dan kini untuk mengisinya sahaja, hamba amat perlu kepada pengkajian yang lebih terperinci.

Kisahnya? Hamba mengambil pendekatan untuk menulis novel secara berkembar menerusi satu tajuk. Judul sementaranya "Awan Masih Berat". Signifikasinya kepada segumpal awan yang tak henti hujan, dan menafsirkan bahawa awan masih belum ringan untuk berhenti melimpah.

Kenapa hujan? Alkisahnya, hamba pernah ke Melaka pada 1997 dan melawat tempat yang dipanggil Jalan Jonker. Ia sebuah deretan kedai bercirikan tradisional Baba & Nyonya. Dan saat hamba ke sana, hujan turun dan hamba berteduh di kaki lima. Hamba berkesempatan melihat seorang gadis nyonya yang cantik berdiri di tepi jendela. Suasananya amat cantik, dan dapat hamba ingatkan hingga kini.

Perkaitan? Hamba merancang untuk menulis dua kisah yang berpusat di dua tempat. Pertamanya di Kota Melaka, Tanah Melayu dan keduanya di Kota Bogor, Tanah Jawa. Tapi kisahnya tak patut hamba dedahkan lebih awal. Yang nyata ia mudah, pertama berkenaan hidup seorang gadis Melayu yang menumpang rumah sebuah keluarga Baba & Nyonya ketika lewat 30an. Kedua pula berkenaan kisah hidup anak gadis kacukan Nusantara & Inggeris yang hidup di rumah keluarga angkat berketurunan Peranakan Tionghua di Kota Bogor pada lewat 50an. Ya, kisahnya berkait. Tetapi tidak diselajurkan kerana masing-masing tidak saling mengenali ekoran kesan perang dunia kedua anjuran Jepun. Asasnya, ia berkonsepkan parallel.

Menulis novel fiksyen bersandarkan kepada fakta sejarah amatlah susah bagi hamba kerana ketelitiannya. Hamba perlu merujuk kepada banyak sumber untuk memastikan surealisme wujud dan teratur.

Insya-Allah bakal hamba siapkan menjelang 2010 jika tiada aral melintang memandangkan rangkanya sudah dijana sejak 2006, selepas hamba menulis Bukan Diriku. 4 tahun suatu tempoh yang lama untuk sebuah buku gred B, bukankah? (jangan ketawa)

Parallel? Elemen penceritaan dia kedua-dua kisah adalah sama- bermotifkan 1) sederet rumah kedai lama, 2) hujan yang senantiasa renyai menyiram bumi, 3) burung yang riuh berkicau di sangkar, 4) kedai kopi yang menyediakan kugiran keroncong biarpun hujan tiba, 5) gadis yang punya berat tanggungan dan jejaka peranakan yang punya simpati dalam ego yang tinggi.

Hamba membayangkan lagu Tunggu Sekejap versi keroncong dapat menyemarakkan ilham untuk menulis. Hingga kini hamba tertunggu-tunggu ada pihak yang sudi merakamkan Tunggu Sekejap versi keroncong, jika ada alangkah indahnya. Pilihan hamba, sekiranya biduan - hamba mahukan Afgan Syah Reza, jika biduanitanya hamba inginkan mersik suara Camelia. Kedua-duanya mampu membawa rona Jazz dengan baik, apalagi jika diberikan keroncong. Bukan?

Sahabat ada bertanyakan hamba; bagaimana mendapat ilham. Jawabnya mudah - semuanya rezeki Allah. Ada hari ada, ada hari tiada.

Pelik; tapi hamba bukanlah penggemar aksi menunggu. Penantian suatu penyiksaan.

Sampai Bertemu,

Amer Yusof

Read more

Yoga atau Senaman Tua?

Salam,

Rumus - salah satu bentuk ilmu yang hamba pelajari zaman sekolah. Ilmunya mempermudahkan sesuatu perkara. Kali ini, hamba mahu membuat rumus menerusi sudut pandangan. Lain, tapi percayalah ia senang difahami. Apa guna berbahasa bunga-bunga untuk suatu bentuk isu yang mudah.


Isu

Kecoh satu negara apabila Majlis Fatwa Kebangsaan putuskan untuk MENGHARAMKAN amalan senaman yoga kepada semua penganut agama Islam. Menurut Majlis Fatwa, yoga diamalkan secara rohaniah sebenarnya disertakan dengan unsur-unsur mantra Hindu yang boleh memesongkan akidah.

Logik

Yoga tidak diharamkan secara terus menerusi mana-mana surah dalam Al-Quran. Namun kita semua sedia maklum Quran menyarankan mana-mana tindak tanduk yang boleh memesongkan akidah sebaiknya diharamkan daripada dilaksana. Mengikut nas-nas syarak sebegitu, Majlis Fatwa beranggapan bahawa yoga satu amalan yang boleh dan akan memesongkan akidah.

Tak Logik

Pengharaman tidak jelas samada a) Yoga berunsur rohaniah atau b) Yoga secara jasmani. Yoga secara rohaniah dah memang sah melanggar akidah. Tak terbayang kalau ada akak-akak satu pejabat yang bertudung (sekadar contoh) pulang ke rumah setiap petang, sambil menonton slot Akasia di TV3 kemudian menghampar tikar dan membaca mantra-mantra Hindu untuk amalan yoga. Itu satu hal. Namun, bagaimana dengan yoga secara jasmani (fizikal) yang secara logiknya diamal untuk meregangkan otot-otot sahaja.

Melogikkan

Untuk melogikkan, pengharaman ini jelas kerana mengikut patah 'Mencegah lebih baik daripada mengubat'. Betul juga, yoga dengan baca-baca ayat ini bukan datang terus, sebenarnya mulanya dengan yoga ringan-ringan. Katakanlah dalam 100 000 orang Islam yang mengamalkan yoga secara jasmani, tidak mustahil segelintir mereka (yang mendalami) akan terjebak mengamalkan yoga rohani. Minta simpang ya, nauzubillah!

Dilogikkan

Dah Majlis Fatwa yang dianggotai mufti dan cendikiawan kata haram, kita yang sedan-sedan ni terima sahajalah, tetapi dengan berfikir. Hamba agak tak yakin juga kerana bukan mudah senang-senang nak keluarkan fatwa, isunya besar. Hamba rumuskan sebab dan akibat dengan mengambil contoh bentuk rentas bumi.


Kerak (W)
Yang orang nampak - Berapa banyak perniagaan kelas yoga yang bakal tanggung rugi kalau diharamkan yoga?

Mantel (Z)
Yang orang separa nampak - Bukankan ini isu agama. Penganut Hindu yang kita kenal agak dramatik secara perwatakkan, manakala Muslim agak berapi-api di permukaan saja. Isu ini akan menjebakkan masyarakat terhadap sensitiviti keagamaan.

Teras Luar (Y)
Yang sesetengah otak kacang berfikir - Kerajaan saja nak sakitkan hati HINDRAF (jangan ketawa), dalam masa yang sama nak bantu kaum Melayu yang ada buka kelas aerobik, pilates atau setidak-tidaknya kelas tarian.

Teras Dalam (X)
Yang hamba sedar - Kita sibuk nak haramkan benda yang kita halalkan bertahun-tahun, dalam masa yang sama kita tidak sedar yang selama ini kita patut punya senaman sendiri yang boleh orang kita amalkan.

Persoalan
Bangsa Melayu tidak ada senaman sendirikah?

Jawapan
Ada. Namanya, senaman Tua. Dah lama ada, orang (baca: kerajaan) je tak nampak.

Amende senaman Tua ni? Senaman nak suruh cepat tua ke?
Jangan gelak. Senaman ini bukan untuk kasi lekas tua. Ia diamalkan untuk meregangkan otot. dan bukan nak lekas tua. Senaman ini belum dikomersilkan sepenuhnya tetapi yang hamba dapat tahu daripada En Abdullah Arshad, pegawai korporat di UPM, senaman Tua telahpun dikecimpungkan di kalangan pelajar menerusi kelas-kelas khas. Menarik bukan? Oh ya, pengasaskan masih bernyawa - Azlan Jumat Abdul Ghani. yang berasal dari Pahang, Malaysia.


...dipetik daripada blog En Azlan. Faedah senaman tua.
  • Meningkatkan kecergasan, keceriaan dan keyakinan diri
  • Menguatkan otot jantung dan paru-paru
  • Memperbaiki sistem penghadaman dan selera makan
  • Meningkatkan daya ketahanan badan
  • Mengekalkan kekuatan otot dan tulang untuk memudahkan pergerakan
  • Mencapai dan mengekalkan berat badan unggul
  • Membantu tidur lebih lena
  • Memperbaiki peredaran darah dan melindungi dari serangan sakit jantung
Simpul

Nah! Kita sudah ada senaman sendiri, bukan baru nak ada, sebenarnya dah wujud. Setakat hamba perhatikan, pergerakkannya tak jauh lari daripada gerak senam yoga. Perlukan tikar, perlukan tubuh badan dan tak guna banyak alat. Alangkah baiknya jika kita memartabatkan senaman bangsa kita dan tak perlu lagi mengamal budaya asing yang kita tak tahu hujung pangkal tujuannya.
Read more

Runsing




Salam,

Saat sukar buat hamba sekarang ialah komputer hamba dikesan rosak Khamis yang lalu, kerana kesibukan hamba tidak sempat untuk membaikinya. Hamba amat runsing memikirkan jika sekiranya berlaku tak elok, dan hamba harus format komputer hamba, tidak dapat hamba bayangkan bagaimana jadinya.

Sebenarnya hamba tidak sempat menyalin semula semua skrip, masnuskrip dan gambar-gambar terbaru hamba. Hamba akan kerugian lebih RM100 000 (nilai hasil kerja yang telah hamba siapkan) sekiranya apa-apa berlaku kepada PC hamba. Mohon agar ada manusia bergelar sahabat yang mampu menolong hamba menyelesaikan permasalahan ini.

Runsing, runsing boleh buat gila. Dan akhirnya, kerana cukup runsing hamba merokok semula hujung minggu lalu.

Apa sudah jadi?

Salam Kerunsingan,

Amer Yusof
Read more

Ceritera




Tiga gambar, sebuah kisah.

Hamba terdorong untuk menulis mengenai bangsa hamba - bangsa Melayu. Bukanlah hamba menyokong 100% konsep ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan, ada yang tak kena dengan pelaksanaannya; yang hamba kisahkan ialah kemana hala tuju Melayu dalam menempuh era tanpa sempadan. Ulas hamba nanti mungkin berkisar mengenai bahasa dan budaya Melayu. Sebetulnya, itulah yang hamba mahu tumpukan dalam pembikinan blog ini. Tunggu sahaja okay.

Insya-Allah
Read more

Tuan Tanah Miskin - Kedaifan Melayu

Gambar: Klise, kemiskinan sering dikait dengan penduduk luar bandar

Melayu paling ramai pendapatan bawah RM1,000

(Utusan Malaysia, Rabu - 12 November 2008)

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Kaum Melayu merupakan kumpulan terbesar dalam senarai penduduk negara ini yang pendapatannya di bawah RM1,000 sebulan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S. K. Devamany berkata, berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

‘‘Sebanyak 495,500 isi rumah yang mempunyai pendapatan di bawah RM1,000 sebulan secara keseluruhannya.

‘‘Pecahan itu merangkumi 50,900 isi rumah kaum Cina, India (29,000), Kadazan (29,300), Orang Asli (7,500) dan lain-lain (78,800),” katanya semasa menjawab soalan Dr. Micheal Jeyakumar Devraj (PKR- Sungai Siput) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, bagi kumpulan berpendapatan antara RM1,001 hingga RM2,000 pula, keseluruhan bilangan isi rumah ialah 1,695,900 isi rumah dengan 976,500 daripadanya adalah Melayu, 338,300 (Cina), 125,300 (India), 38,800 (Kadazan), 9,800 (Orang Asli) dan 207,200 untuk kaum-kaum lain.

Dalam pada itu katanya, sebanyak 1,144,700 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM2,001 hingga RM3,000.

‘‘Seramai 614,700 daripada mereka adalah orang Melayu, 300,800 (Cina), 121,500 (India), 15,300 (Kadazan), 2,500 (Orang Asli) manakala 89,900 isi rumah daripada kaum-kaum lain.

‘‘Bagi pendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 terdapat sebanyak 743,000 isi rumah dengan 380,500 daripadanya adalah Melayu, 234,700 (Cina), 73,300 (India), 8,900 (Kadazan), 1,000 (Orang Asli) dan 44,600 kaum lain.

Katanya, seramai 497,800 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM4,001 hingga RM5,000 pula dengan 254,700 daripadanya adalah Melayu, 166,600 (Cina), 44,800 (India), 6,900 (Kadazan), 200 (Orang Asli) dan 24,600 kaum lain.

‘‘Bagi pendapatan antara RM5,001 hingga RM10,000, ia membabitkan seramai 914,200 isi rumah.

‘‘Daripada jumlah itu, 419,200 adalah Melayu, 368,400 (Cina), 76,800 (India), 13,400 (Kadazan) dan 36,500 lain-lain kaum.

‘‘Sebanyak 235,300 isi rumah memperoleh pendapatan antara RM10,001 hingga RM20,000 dengan 85,700 adalah Melayu, 118,700 (Cina), 23,400 (India), 800 (Kadazan) dan 6,700 kaum lain,” jelasnya.

Sementara itu, terdapat 49,500 isi rumah yang memperoleh pendapatan melebihi RM20,000 sebulan dengan 16,500 adalah Melayu, 27,900 (Cina), 3,600 (India) dan 1,500 dari kumpulan etnik lain.

Laskarbangsa: Tiada apa nak diulas, hamba sekadar nak memaklumkan bahawa inilah hakikat. Dalam kita sibuk mempertahankan ketuanan Melayu, kita tidak sedar bahawa istilah ketuanan itu tidak menjadi. 50 tahun kita sibuk mahu menjadi tuan tanah akhirnya kita tersungkur kerana kita tidak mampu menjadi tuan dalam bidang-bidang utama seperti ekonomi dan hartanah. Setakat yang hamba tahu, tanda aras kemiskinan di Malaysia ialah RM 720 ke bawah. Sebenarnya RM 720 itu bukanlah tanda aras yang logik mengikut acuan seluruh Malaysia. Dengan RM720, di Kuala Terengganu, sepengalaman hamba seorang bapa anak 15 bekerja sebagai guru agama mampu menyara kesemua anak-anaknya dengan baik. Bagaimana pula jika di Kuala Lumpur? Dengan RM720, seorang bapa anak 15 mungkin terpaksa menjual anak kepada sindiket ataupun, menghalalkan rezeki haram untuk menyara keluarga. Inilah yang hamba ingin bincangkan pada masa akan datang - Kemiskinan Bandar.


Gambar: Bagaimana nasib anak-anak flat di KL yang bapanya mungkin berpendapatan paling banyak- RM2000?


Read more

Laskar Bangsa

Salam untuk sahabat,

Selamat datang ke laman blog terbaru hamba (ini blog yang keenam kalau diikutkan). Insya-Allah, hamba akan teruskan dengan blog ini hingga masa-masa mendatang. Doa dan sokonglah blog ini ya. Harapan hamba agar sahabat-sahabat dapat membantu memperkenalkan laman blog ini kepada teman-teman yang lain. Terima kasih.

Amer Yusof

Gambar: Kredit kepada poster filem terbaru Indonesia, Laskar Pelangi yang kini sedang ditayangkan.
Read more

Kerja Tuhan Di Tangan Amrozi

Gambar: Amrozi sebagai pejuang bangsa?

Salam,

Geli hari mendengar ejek dan usik beberapa teman apabila bercerita mengenai Amrozi, sang wira yang mengebom Bali 4 tahun lalu. Kata mereka, Amrozi itu pengganas, memang patut kena hukum tembak. Kalau ikutkan hati, tambah mereka, hukuman tersebut memang tak padan. Kurang lebih 200 orang yang terbunuh, 88 daripadanya bergelar warga Australia.

Ya, sejak kes pendakwaan berlangsung, Australia tak putus-putus melancarkan perang psikologi dalam usaha mereka untuk menggambarkan puak pelampau Islam di Indonesia sebagai pengganas. Itu bukan agenda Australia semata, malah disokong blok barat juga.

Pertama, hamba mahu berfikir secara ketimbang (rasional) apabila berbicara sebab dan akibat Amrozi melakukan pengeboman bersama-sama abangnya- Mukhlas serta perancang utama - Imam Samudera. Semua mereka pemastautin Jawa Timur, beragama Islam dan berbahasa Melayu, etnik Jawa. Timbang fikir kenapa mereka melakukan satu pengeboman yang bagi hamba, takkan berlaku jika tiada punca yang kuat diterima akal.

Apabila disampuk soalan yang menduga hamba kenapa hamba begitu membela Amrozi, lekas hamba tanyakan kembali - Apa makna jihad?

Segi syar'ie, Jihad ialah sebagaimana digambarkan dalam hadith ini:

'Seorang lelaki berkata kepada Rasulullah s.a.w, Apakah Jihad itu? Rasulullah s.a.w menjawab: Iaitu kamu memerangi kafir ketika menjumpai mereka"

Kalimat di atas merupakan potongan hadits Shahih riwayat Ahmad dengan sanad yang Rijalnya Rijaalush Shahih (perawi sahih).


Kalau baca, bunyinya seperti zalim sangat, sampai nak berbunuh ketika berdepan si kafir. Apakah jika hamba menurut maksud ini, hamba akan bunuh boss hamba, wanita beragama Kristian yang saban hari mejanya bersebelahan dengan hamba?

Sudah tentu tak. Yang hamba maksudkan secara ketimbang ialah, pengertian jihad menurut kefahaman sendiri (yang waras). Bayangkan, jika kita menghuni suatu kawasan, aman damai, sentosa untuk anak cucu akan datang. Namun didatangi orang asing, tak diundang, hadir lantas waktu demi waktu cuba merosakkan orang-orang kamu. Apakah kamu akan berdiam?

Itu jadinya di Bali yang secara ironinya adalah sebuah pulau di Nusantara yang majoriti beragama Hindu, namun fizikal mereka sama dengan kita. Sawo matang, tinggi bawah paras 6 kaki, berbahasa Melayu malah berkebaya di kuil. Bali amat terkenal dengan pelancongan destinasi pelacurannya. Bali amat terkenal untuk pelancong-pelancong datang menebar benih manusia. Bali terkenal dengan itu, syurga untuk orang asing, namun neraka untuk gadis, dan penduduk tempatan.

Gambar : Bali dan budayanya sama dengan Nusantara lain, yang beza hanya agama

Mungkin menurut Amrozi, tindakannya untuk membela bangsa. Bangsanya ditindas oleh dunia yang berbudaya kapitalis. Negara mereka menjadi hamba kapitalis dalam usaha untuk meningkatkan taraf ekonomi. Pelancongan diwartakan sebagai halal untuk memenuhi ruang lohong ekonomi. Pelancongan memberikan pendapatan, peluang kerja kepada anak tempatan. Dan tentunya, pelancongan membawa orang-orang asing ini ke bumi mereka, dan lihat sendiri kesannya.

Mendengar cerita Amrozi mengingatkan saya kepada seorang pak cik dari Setiu, Terengganu yang hamba jumpa di Chukai, Kemaman dua tahun lalu. Hamba sekadar bertanya anak-anak kerja di mana. Lantas, pak cik bernama Pok Heng (nama melayu dalam loghat Terengganu, maknanya Pak Ibrahim) bercerita anaknya yang sebaya hamba belajar setakat SPM, kemudian bekerja di sebuah resort di Pulau Perhentian. Almaklumlah, sejak Terengganu diwartakan sebagai negeri pelancongan warisan, banyak juga resort-resort dibuka di pulau-pulau pesisir pantai Terengganu. Resort-resort ini memberi peluang ekonomi kepada penduduk sekitar.

Pun begitu, nada Pok Heng berubah. Dia yang awalnya senang hati kerana anaknya ada kerja tetap sebagai pengawal pantai di Pulau Perhentian kini mula gusar.

"Anok hok jatang ni susoh nok jage. Pok royak suruh jage diri, dia ngelat. Awal-awal moleklah kijenye, lame-lame peel mule bruboh. Panda doh ning, togok arok mabok pio. Hok ngajo, nung...pelacong orang puteh hok ngajo, bowok bende dok molek. Maghi tempat kite, wak jahanang ke orang kita hok sedia bodo"

Terjemahan: "Anak jantan ni susah nak dikawal. Dia tak ingat pesan pak cik suruh jaga diri. Mula kerja dulu okaylah perangainya, tapi lama kelamaan mula berubah. Sudah pandai teguk minuman arak, mabuk habis. Yang mengajarnya siapa lagi, orang putihlah. Datang tempat kita, bawak benda tak baik. Buat jahanam orang kita yang dah sedia bodoh"

Sejak bertemu Pok Heng hamba jadi faham. Kenapa sesetengah orang bertindak seperti Amrozi. Ya, dia bersalah kerana tak semena-mena dia membunuh 200 manusia yang mana kerja ajal ini kerja tuhan. Tetapi matlamatnya betul, cuma salah daripada segi pelaksanaanya. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Namun hamba berat berfikir jika betul, selama ini dunia kita dihambakan dalam nada kapitalis. Semuanya kerana wang.

Salam Jihad,

Amer Yusof

Gambar: Dari kiri, Mukhlas, Amrozi dan Imam Samudera

p/s: Kudos dan al-Fatihah untuk Allahyarham Amrozi, Allahyarham Mukhlas serta Allahyarham Imam Samudera. Dalam hati hamba tetap menghargai usaha anda semua untuk menjaga nama baik dan masa depan bangsa kita. Urusan lain, soal syurga dan neraka semuanya kerja tuhan.
Read more

Bukan Diriku Yang Sebenar


Salam,
Tak tidur semalaman hamba jadinya apabila cuba menyiapkan babak kasar untuk skrip yang belum bertajuk hamba semalam. Hendak menulis seribu daya, jadinya hamba kena siapkan juga sebelum jelang tahun baru tak lama lagi. Lakarannya sudah ada, cuma malas tak malas nak menulis yang membuatkan masalah, tambahan hamba baru saja sembuh dari selsema yang tidak berapa kronik.
Sahabat hamba, Kuden Omar, seorang bakal doktor yang kini menuntut di Universitas Gadjah Mada di Yogoyakarta pulang ke tanah air sempena Lebaran. Sebulan juga dia dia Marang. Sempat juga dia mencari novel remaja pertama tulisan hamba - Bukan Diriku terbitan Pekan Ilmu Publication. Alhamdulillah, bertemu juga dia dengan buku hamba, sedangkan hamba jarang sekali dapat bertemu buku tulisan hamba di toko-toko buku sekitar Lembah Kelang.
Ketika mula menggunakan YM semalam, sempat juga Kuden mengomel mengenai novel hamba. Sebenarnya hamba ternanti-nanti komentar beliau sejak dulu lagi kerana sejak hamba mula mengesan bakat menulis, Kudenlah satu-satunya sahabat hamba yang gemar memberi dorongan dan juga kutukan. Perkataan pertama yang terpacul dari mulutnya ialah 'Novel mung agak pop'.
Pop dalam novel seorang yang melaungkan selamat maju bahasa kita - itulah kritikan yang hamba agak takuti. Jadinya, hamba mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan mengenai novel Bukan Diriku yang sudah 8 bulan di pasaran sejak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, April lalu.
Bukan Diriku mula ditulis sejak akhir tahun 2005, ketika masih menuntut di Uniten. Manuskrip itu tergendala sebentar sehinggalah hamba bertemu responden yang cocok untuk cerita tersebut. Ia berlaku pada 2006, dan watak Azran dan Maryam dalam buku tersebut benar-benar wujud. Namun, hamba mengolah semula kisahnya untuk dijadikan sebuah cerita yang lebih dramatik. Azran seorang remaja dari luar bandar baru saja menjejak kaki di kota KL. Maryam pula gadis bandar yang dihimpit masalah penceraian kedua-dua ibubapanya. Melalui titik mula tersebut, hamba mengupas satu lapis demi satu lapis rahsia kedua-dua remaja tersebut.
Maryam dan Azran hamba temui ketika hamba hampir-hampir terlanggar seorang remaja lelaki yang baru saja lari dari pagar sekolah yang terkoyak. Turut serta ketika itu ialah remaja perempuan yang sudah menanggalkan tudung sekolah. Hamba bergegas keluar dari kereta dan menjenguk remaja lelaki yang terjatuh itu. Dari saat itulah hamba berkenal dengan kedua-dua watak utama - Maryam dan Azran.
Kisahnya mudah - mengenai remaja belasan tahun yang gemar ponteng sekolah. Konfliknya juga mudah - mengenai remaja belasan tahun yang mula mengenal seks dan rasa mencintai dan ingin dicintai.
Pop dalam konteks Kuden mungkin pada laras bahasanya, jadi ingin hamba jelaskan bahawa ketika mula menulis novel tersebut, hamba tidak bermegah-megah untuk mengagungkan bahasa Melayu seperti yang hamba lakukan sekarang. Jadinya bahasa novel tersebut bernahu 'surealism' di mana hamba tidak akan membakukan sebutan anak muda zaman sekarang sedangkan hamba pun secara pasarnya tidak berbahasa Melayu dengan tatabahasa yang betul, apalagi untuk 100% bercakap dalam bahasa Melayu.
Hamba remaja yang lahir pada zaman Dr. Mahathir, dan hamba remaja yang dimomokkan dengan penggunaan bahasa Inggeris yang lebih maju berbanding bahasa ibunda. Kesannya kepada remaja sezaman dengan hamba ialah masalah untuk bertutur dengan betul dalam bahasa ibunda sendiri kerana penggunaan bahasa Inggeris yang merojakkan bahasa ibunda hamba. Masalah ini bukan masalah dalam diri hamba saja, malahan rakan-rakan lain juga.
Pun begitu, dalam bab menulis novel atau skrip drama hamba lebih berminat untuk berbahasa surealism. Hamba pemerhati keadaaan sekeliling, amat payah hamba temui remaja sekarang yang bertutur 100% bahasa ibunda, paling-paling mesti tersembur perkataan-perkataan basic dalam bahasa Inggeris seperti 'so', 'whatever', 'and then', 'I', 'You' atau apa saja.
Novel-novel pop seperti tulisan Ahadiat Akashah dan saya sendiri hanya mengukir sejarah bangsa kita, di mana penggunaan bahasa zaman Ahadiat dan saya tidak sama seperti pada zaman Ishak Hj Muhammad, hatta Harun Aminurrashid atau Tun Sri Lanang sekalipun. Karya sastera Melayu berubah mengikut pola perubahan dan kemodenan.
Jadi, boleh bilang berapa banyak perkataan bahasa Inggeris yang dimelayukan telahpun hamba guna dalam artikel ini? Cuba lihat kepada perkataan yang berwarna biru, dan kalau mahu lebih teliti, carilah perkataan pinjaman bahasa asing yang hamba gunakan juga terutama daripada bahasa Arab dan Sanskrit. Hambalah remaja zaman Dr. Mahathir.
Salam Barbarian,
Amer Yusof
Read more

Ayat-ayat Cinta Abby Abadi


Salam,

Ribut juga menjelang pemilu AS yang lalu di Malaysia, kerana salah seorang rakyatnya bernama Mohd Norhakim Zaidon atau lebih dikenali sebagai Norman Hakim terpaksa memilih salah seorang di antara dua wanita. Seorang ialah isterinya yang sah - Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi manakala seorang lagi ialah remaja naif yang baru bertatih dalam dunia hiburan - Suhaiza Suhaimi atau manja diteriak - Memey Suhaiza.

Gempar satu negara bila Norman - Memey ditangkap khalwat selepas beberapa hari tajuk utama akhbar melaporkan penafian kedua-dua artis ini bahawa mereka bercinta. Gempar lagi satu negara apabila Abby dituduh menjadi dalang yang melaporkan kes Norman-Memey. Tambah haru apabila 2 hari lalu Abby telah 'menyerang' suaminya di lokasi drama bersiri kepolisan 'Gerak Khas' di hadapan puluhan wartawan dan krew drama.

Sebagai pembaca akhbar Melayu, malu juga hamba apabila kisah rumahtangga selebriti menjadi tajuk utama akhbar (Utusan Malaysia meletakkan gambar pertengkaran di muka depan pada 4 November 2008). Malu kerana akhbar Melayu terpaksa menjual cerita-cerita sebegini bagi melariskan akhbar, dan menanam minat baca di kalangan orang Melayu sendiri. Namun itu satu hal yang berbeza, dan akan hamba ungkapkan kemudian.

Berbalik kisah Abby -Norman, hamba tidak minat untuk menggodek seluruh isi rumahtangga pasangan Norman -Abby, tapi memandangkan isu ini menjadi topik utama hampir keseluruhan media termasuk yang bukan berbahasa Melayu (sementelah Norman dan Abby- kedua-duanya mempunyai nama yang agak besar dalam persada seni). Jadinya, hamba hanya ingin lampirkan rasa simpati tetapi berperi untuk wanita bernama Arbaeyah Abdul Manan.


Gambar : Norman dan Abby ketika rujuk semula setelah 7 hari bercerai talak satu (2006)

Hamba amat berharap jika Abby mampu menjadi sekuat Aisha dalam Ayat-ayat Cinta tatkala menerima berita pedih sebegitu. Isteri mana yang tidak naik radang apabila suami yang sudah berbulan tidak seranjang bersama rupanya berumahtangga dengan gadis usia 20 tahun di pejabat. Isteri mana yang tidak naik malu apabila suami yang asyik menafikan hubungan sulit memilih untuk terus berahsia hingga terjadinya petaka besar sebegini. Tambahan Abby baru saja melahirkan anak ketiga, dengan daya yang tidak seberapa tubuh wanita mana yang mampu bertindak waras.

Norman mungkin seorang lelaki yang baik seperti diakui oleh Abby sendiri, namun atas sedikit kealpaan, Norman mungkin lupa bahawa apa yang dia lakukan itu sebenarnya HALAL sekiranya dia menurut lunas yang betul. Norman, ini bukan kali pertama, tapi kali kedua kaedahnya. Tidak salah seorang suami yang berkemampuan untuk bernikah lebih daripada satu, syaratnya harus memaklumkan kepada isteri pertama dan kedua, harusnya mempunyai sebab yang kukuh. Namun, Norman memilih untuk mendiam, maka bertebaranlah cerita kurang manis mengenai status dirinya. Tambah pelik, Norman memilih untuk mengHARAMkan niat baiknya dengan sebumbung dengan gadis tersebut di waktu awal pagi.


Gambar: Saat bahagia Abby - Norman pernah menjadi contoh kepada pasangan selebriti lain.

Lelaki harus punya keberanian untuk berterus terang. Dan wanita juga, ada naluri dan perasaan, makanya tak semua dapat menerima untuk dimadukan. Namun, ia harus juga dilaksanakan dengan betul. Benda yang halal seperti menikah lebih daripada satu ini seringkali menjadi simbol negatif kepada bangsa Melayu beragama Islam di Malaysia.

Budaya kita tidak boleh menerimanya. Sejak wujudnya dongeng Bawang Putih Bawang Merah lagi budaya bermadu hampir semua tidak manis, tidak elok dan tidak harus diterima. Tapi itu bukan alasan untuk orang kita menegah berlakunya poligami - sesuatu yang di halalkan Allah.

Hamba sebagai lelaki lebih memilih untuk hanya monogami, tetapi itu tak bermakna hamba menghalang poligami. Perkara yang sudah jelas dalam Islam harus kita junjung, bukan disangkal.

Makanya, silap disini terletak di bahu Norman. Sebagai lelaki anda harus memikul seluruh tanggungjawab untuk menawan semula hati Abby dan dalam masa yang sama bertanggungjawab terhadap Memey yang masih muda itu.
Islam melebihkan kedudukan suami, bukan bermakna anda berkuasa melakukan apa saja sesuka hati. Sebaliknya kedudukan suami yang diangkat oleh Allah di atas satu ‘perjanjian’ bahawa suami perlu menjalankan amanah dan tanggungjawab menjaga keselamatan, memberi nafkah (zahir dan batin) dan membimbing ke jalan diredai.

Kepada kaum wanita pula, sering saya dibisikkan dengan dua baris ayat ini:-

1. "Perempuanlah juga yang selalunya melukakan hati perempuan"
2. "Allah halalkan poligami sebenarnya untuk mengelakkan perkara sebegini (berkhalwat kerana sang isteri tidak izinkan poligami)"

Jadi terpulang kepada akal kita untuk memilih jalan yang terbaik.

Salam Sayang,

Amer Yusof
Read more

Presiden Kulit Hitam Pertama Amerika Syarikat - Barrack Obama



Tahniah kepada Encik Barrack Hussein Obama Jr kerana dipilih menjadi The Presidents of The United States of America. Obama menjadi rakyat Amerika berkulit hitam pertama dipilih menjadi Presiden, sekaligus mengotakan mimpi karyawan filem Hollywood yang selama ini sering meletakkan aktor kulit hitam untuk memeran watak Presiden AS.



Ramai yang bergembira dengan pembaharuan yang dipilih rakyat AS. Almaklumlah, setelah sekian lama KETUANAN ORANG KULIT PUTIH beraja di benua baharu tersebut, hanya kali ini seorang lelaki berkulit hitam dipilih untuk memegang tampuk pemerintahan. Satu yang hamba tertarik dengan Obama adalah kerana beliau pernah menerima pendidikan Indonesia ketika menetap di Jakarta, Indonesia sehingga beliau berumur 10 tahun. Bukan setakat mengenal ABC di sekolah Indonesia, malahan Obama juga mempunyai bapa tiri berbangsa Indonesia, Lolo Soetoroe (ejaan ini ejaan Belanda yang sering gunakan 'oe', kalau laras bahasa kita nama bapa tiri Obama ialah Lolo Sutra. Obama juga mempunya adik perempuan yang berdarah Indonesia - Maya Soetoroe. Jadi, amat besarlah harapan hamba agar Obama masih lagi boleh berbahasa Melayu Indonesia selain memahami budaya dan agama masyarakat di Nusantara ini, sekaligus memberi lebih pemahaman kepada rakyat AS untuk lebih mengerti asal usul penduduk di rantau ini.


Gambar : Obama di Indonesia yang mana semua sekolahnya menggunakan bahasa Melayu Indonesia sebagai bahasa pengantar; tidak di Malaysia yang bergasak anak dagang luar negara yang belajar di Sekolah Antarabangsa. Sekeping lagi gambar menunjukkan Obama dan adik perempuannya, Maya Soetoroe (tiga dari kiri) yang berdarah Nusantara.



^Gambar:
Peta AS pada 1600an.

Pun begitu, hamba tidaklah teruja dengan kemenangan Obama kerana bagi hamba, siapapun yang terpilih sebagai Presiden AS, dasar luar serta polisi mereka tetap sama. Perlembagaan mereka tetap sama selagi mereka tak mahu menerima kekurangan diri (terutama kepincangan masyarakat mereka) dan masih mahu bergelar polis dunia. Jadi, hamba tetap meramalkan Obama tidak cukup kuat untuk menukar dasar luar Amerika, terutama dalam bab kononnya menentang keganasan selain bobroknya elemen anti-Islam mereka.


Maju terus untuk dunia, semoga aman dan sentosa selalu hendaknya. Amin.

Salam Dunia,

Amer Yusof

Gambar: Ibubapa Obama, bapanya Barrack Hussein Obama Sr dilahirkan sebagai Islam.

Tahukah Anda? 1 - Barrack Obama bukanlah lelaki Kulit Hitam 100% kerana beliau adalah darah campuran African-American. Obama ialah anak kepada ahli ekonomi berkulit hitam dari Kenya - Barrack Hussein Obama Sr. sementara ibunya ialah wanita kulit putih dari Kansas, AS. Neneknya yang baru saja meninggal di pagi hari pemilu, ialah seorang wanita berkulit putih.

Datuk dan nenek Obama berkulit putih, dan beliau dibesarkan di Hawaii.

Tahukah Anda? 2 - Obama mengalami pencarian agama rasmi yang agak pelik semenjak kecil. Bapa kandungnya Obama Sr dilahirkan sebagai Islam di Kenya, namun apabila berkahwin dgn ibu kandung Obama, lelaki itu memilih untuk tidak menganut apa-apa agama. Sementara bapa tirinya - Lolo Soetoroe pula dibesarkan dalam keluarga Islam, dan dikatakan masih Islam (pada nama) kini kerana di Indonesia, perkahwinan beza agama disahkan undang-undang, dan sejak kecil Obama diberitahu bapa tirinya bahawa apa-apa agama sekalipun tidak penting, tinggal lagi ibu kandungnya juga tidak mengamalkan ajaran Kristian. Mereka hidup dalam keluarga tanpa agama. Namun hanya pada 1988, Obama dibaptiskan setelah dia berminat untuk mencari agama yang sesuai untuknya.

Gambar: Keluarga Obama yang masih tinggal di Kenya. Kebanyakkan mereka adalah saudara tiri Obama.

Tahukah Anda? 3 - Obama juga adalah salah satu nama pekan kecil di negara Jepun - negara yang pernah di bom AS, selain nama Obama juga mirip nama Osama Laden, pemimpin Al-Qaeda asal Afghanistan - juga negara yang pernah di bom AS (malahan mejajah dan menjadikan stesen minyak mereka).


Read more

Rungkai - Halal kah? (bahagian 1)

Salam,

Isu makanan halal tak sudah-sudah menjadi kudis dalam perkembangan masyarakat Malaysia, sedangkan negara ini sudahpun mengecap usia sebanyak setengah abad dengan status sebagai negara Islam. Kudis tersebut datang daripada luka-luka moyang zaman silam tatkala perang, dan menjadi nanah yang tak dicuci dan dirawat tatkala perang tamat, dan kita sibuk membina negara.

Sering juga dilaungkan, Malaysia negara Islam contoh kepada dunia tetapi saban tahun ada saja pendedahan mengenai isu makanan halal yang tidak sah kehalalannya. Makanan, perkara utama yang ditegakkan dalam tubuh kerana kita faham - makanan akan menjadi darah daging. Dalam bahasa Melayu juga perkataan 'makan' itu sendiri dijeluakkan dengan pelbagai istilah lain. Antaranya; - mentedarah, mencekik, kudap, sarap, balun, lantak, mamah, jamah, mamam, isi perut, jamu, sental dan lain-lain lagi. Kata-kata di Nusantara ini pelbagai, sampaikan makan itu sendiri boleh dinyatakan mengikut laras perasaan. Kalau nada tertib katanya jamu selera, kalau nadanya ganas katanya melantak, membalun atau menyental. Semuanya berguna dalam ayat-ayat bahasa Melayu.

Berbalik kepada isu Halal. Hamba mulakan dengan perkara pokok, dan sering berada dalam fikiran orang Melayu iaitu BABI.

1. Babi dari segi bahasa. Ramai yang segan bila sebut perkataan babi sedangkan itulah perkataan yang tepat mengikut lunas bahasa Melayu. Bila sebut khinzir, dikatakan lebih bersopan tetapi jika menyebut babi, maksudnya menjadi kasar. Hamba lebih suka merujuk sebagai babi kerana ia perkataan asli dalam bahasa Melayu. Jika dikatakan menyebut khinzir lebih sopan, tak terfikirkah kebarangkalian bahawa bangsa Arab akan kata tidak sopan menyebut perkataan khinzir.

Pada saya, khinzir atau babi hanya perkataan selagi tidak ditujukan secara peribadi kepada orang lain.

2. Babi dalam situasi masyarakat Muslim Malaysia. Babi dah sah-sah termaktud di dalam Al-Quran bahawa babi dan apa-apa hasil daripada ternakan, bahan mentah binatang ini adalah HARAM untuk di makan. Jadinya, umat Islam di Malaysia amat menitikberatkan kehalalan sesuatu makanan menerusi "Ada unsur babi atau tidak" di dalam makanan tersebut.

Sedangkan, bukan setakat babi sahaja yang menjadi isu, tetapi jatuhnya haram pada sesuatu makanan juga terletak kepada pelaksanaan dalam menguruskan makanan tersebut. Makanan yang berasaskan haiwan bernyawa juga diwajibkan melalui beberapa cara untuk mengesahkan tahap halalnya. Daging lembu sekalipun, kalau salah cara sembelihannya tetap akan menjadi haram.

3. Babi dalam konteks masyarakat Melayu pula adalah haiwan keji yang langsung tidak berguna. Pada pendapat hamba, babi tetap binatang ciptaan Allah yang tiada kurangnya, tetap ciptaan Allah dan kita tiada hak untuk meletakkan babi di taraf yang paling bawah. Dah tentu bersebab babi dijadikan, dan tiada benda yang Allah jadikan tanpa sebab. Hamba melihat babi sebagai binatang yang amat berjasa kepada keluhuran ajaran Islam. Islam melarang umatnya memakan babi kerana kebersihannya yang kotor. Secara tidak langsung, agama Islam itu sendiri menitikberatkan kebersihan umatnya tidak hanya melalui wuduk 5 kali sehari, beristinjak dan bersiram ketika hadas kecil dan besar, tetapi juga menerusi tabiat pemakanan. Jadi Allah jadikan babi supaya kita, manusia yang berakal dapat membuat perbandingan tahap kebersihan seekor babi dengan seorang manusia. Sudah tentu jauh berbeza. Apa yang menjadi selera manusia biasanya bercitarasa, tetapi babi tidak. Babi tak kisah, asalkan boleh sental, dia balun saja. Jadinya, kata-kata apa yang kita makan menjadi darah daging dapatlah kita rumus pada seekor babi. Jadinya, sudah terbukti malah dalam bidang saintifik pun daging babi amat tidak sihat untuk dimakan.

Berikut adalah beberapa pekeliling yang menerjah ruang e-mail hamba bekenaan isu babi ini.



^ Gambarajah di atas menceritakan sumber-sumber yang HARAM di makan, tidak hanya kepada produk makanan.






^ Produk-produk fesyen kulit yang menggunakan kulit babi, jelas pada teori titik tiga.

v Produk-produk yang ada juga dijual di premis 7-Eleven



Produk Air Kickapoo juga
Sumber : Katanya pengeluar produk ini adalah syarikat yang sama mengeluarkan minuman keras. Rujuk laman Monarch Beverage ini ataupun - Sejarah Kickapoo



Bukan syarikat yang tak berapa popular tersebut saja, malah syarikat besar seperti Carslberg juga mengeluarkan produk minuman ringan sendiri. Persoalannya, penyediaannya apakah halal disisi agama? Rujuk Jolly Shandy



Bukan itu saja, sebelum ini syarikat yang mengeluarkan produk minuman ringan yang disahkan halal juga menimbulkan isu sensitif dikalangan pengguna, contohnya Coca Cola.

Isu yang pernah heboh sebelum ini mengenai penggunaan bahan asing dalam penyediaan minuman popular seluruh dunia tersebut.

coke_bendasing.jpg

Tolak cerita minuman, timbul pula cerita makanan terutama produk mentah seperti daging ayam. Bayangkan, produk bahan mentah di pasaraya besar seperti TESCO juga pernah diragui tahap halalnya.

PETIKAN AKHBAR BERITA HARIAN 20 FEBRUARI 2008

berita_harian_penyembelihan_ayam.jpg


Habis bab makan minum, timbul pula kes-kes mengenai produk pengguna seperti bahan penjagaan diri dan makanan ringan. Laris, tetapi diragui halalnya. Semuanya dikatakan mengandungi lemak babi sebagai bahan pengawet. Malah JAKIM, tanpa sebaran media, telahpun menghantar surat mengarahkan pemberhentian pengeluaran produk-produk tersebut.

1.Shampoo dan facial DOVE
2.Pringles potato chips
3.Lychee NARCISSUS






Siapa pengeluarnya?

Narcissus adalah syarikat yang dikaitkan sebagai pengeluar yang tidak sensitif mengenai isu halal ini. Narcissus juga merupakan pengeluar produk-produk tersebut.

'Narcissus' is an established and well known brand associated with high quality China canned food and seasoning such as whole mushrooms, asparagus spears, lychees, spiced pork cubes, stewed pork chops etc. The range of 'Narcissus' food products, which is very well demanded in many parts of the world, include :
· Canned Meat
· Canned Seafood
· Canned Fruits
· Canned Vegetables
· Seasonings


Tidak cukup dengan pendedahan di atas, saya kepilkan juga keratan akhbar mengenai isu halal ini.















Jadi saya persoalkan, mengapa setelah 50 tahun merdeka dan bernaung dibawah panji Islam, Malaysia masih gagal dalam membentuk sebuah negara yang makanannya Halal dan tidak diragui. Mengapa?

1. Ekonomi Malaysia bersifat perkauman. Kenapa bangsa kita, Melayu lebih gemar menjadi tauke Ali Baba? Kenapa bangsa minoriti seperti Cina berminat membabitkan diri dalam industri pemakanan? Ini yang seharusnya dikaji sejak mula.

Sejarah menunjukan bahasa bangsa Melayu diseru supaya berkuasa ke atas politik, manakala masyarakat Cina diberi peluang luas untuk berkuasa ke atas bidang ekonomi. Setelah 50 tahun, warga Malaysia masih diberi ayat-ayat klise berbunyi "Kalau cakap bab bisnes, kaum Cina handal, kalau kaum Melayu jangan mimpilah". Kenapa pula Melayu sering dimomokkan dengan ketakutan dalam bidang ekonomi?

Ekonomi secara perkauman sebegini akhirnya membentuk kesan yang kita alami sekarang. Produk yang dihasilkan tidak halal, seperti didedahkan di atas, dipegang syarikatnya oleh kaum bukan Islam (baca: di sini, tiada sentimen bangsa tetapi lebih kepada agama). Di mana warga Islam? Kenapa amat kurang penglibatan mereka dalam industri makanan?

Hamba berhasrat untuk tidak mengungkit soal perkauman, kerana hamba sedar Muslim di Malaysia tidak hanya dianuti oleh majoriti kaum Melayu, malah juga sebilangan kaum India dan juga Cina. Yang hamba ingin persoalkan, sejak politik Tanah Melayu bergerak sendiri, segala benda dikelaskan mengikut kaum. Kaum Cina yang mentadbir sektor ekonomi begitu bersemangat untuk menguasai industri makanan. Kini, mereka betul-betul mengusai sektor makanan di Malaysia dan kita sebagai Melayu Muslim lebih terdorong untuk mengguna pakai produk-produk keluaran mereka memandangkan jenama yang mereka bina agak kuat.

Bagaimana dengan produk hasil usaha peniaga Muslim/Melayu?

Inilah yang jadi isunya, sejak kecil hamba diajar untuk melihat sesuatu produk melalui penjenamaannya, bukan pembuatannya. Berapa ramai antara kita yang lebih gemar Colgate berbanding Ubat Gigi Safi atau mana-mana produk yang bercirikan Islam? Pemikiran bahawa produk buatan tempatan atau dari mana-mana negara Islam sebagai produk kampung telah lama di tanam. Dunia kepenggunaan di Malaysia lebih mengutamakan jenama hingga mengabaikan faktor terpenting sesuatu produk - Pembuatannya.

Insya-Allah saya akan rungkai dalam bab kedua nanti mengenai punca-punca lain mengapa ekonomi Islam di negara Islam Malaysia amat terkebelakang sehingga kita masih lagi dibelenggu dengan masalah produk Halal di pasaran.

Salam berjumpa lagi,

Amer Yusof

Catitan:
Jika anda terjumpa, ternampak, terkesan mengenai penghasilan produk yang tidak mengikut piawai agama Islam tetapi dipasar dan diguna oleh umat Islam di Malaysia, harap lapor kepada mereka yang kini bersungguh-sungguh untuk menyedarkan umat Islam di Malaysia.

Hubungi syubhah@yahoo.com ataupun kepada yang ada YM - hubungi ID YM bernama syubhah




Read more

penggemar